Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,234
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
9


     Tiba –tiba suara seorang gadis singgah di telingaku.

     “Mamat.  Tinggalkan saya ya?”

      Aku menoleh mendapati Amelia tersenyum lebar memandangku.  Entah dari pelusuk mana dia muncul sambil menarik sebuah bagasi hitam beroda di belakangnya.

      “Saya tak nampak awak di mana tadi,” ujarku sambil memandang bagasi hitam berkulit keras yang ditariknya.  Mungkin dia ke belakang gerabak tadi mengambil bagasi ini di ruang penyimpanan luar.  Patutlah kelibatnya tidak kelihatan sewaktu aku keluar dari pintu depan.  Aku menghela nafas lega dia sudah kembali ke sisi.  Entah kenapa langkahku menjadi perlahan.  Aku tidak mahu segera sampai ke ruang legar stesen.

      “Jadi kakak awak ada menunggu di luar?” tanyaku.

      Dia mengangguk.  “Dia dan mungkin juga teman serumahnya yang mempunyai kereta.”

      “Mamat bagaimana? Ada sesiapa yang menunggu Mamat di luar?” tanyanya dengan nada sedikit bimbang.  Aku tersenyum.  Dalam keadaan telefon bimbitku yang sudah kehabisan bateri ini, aku berserah sahajalah.  Aku hanya berharap Zharif tidak membuat sebarang perubahan pada perancangan tadi.

      “Adik saya mungkin ada di luar.”

      Amelia mengangguk.  Kami tiba di ruang legar stesen keretapi ini.  Pada waktu begini tidak ramai orang yang berada di dalam stesen kecuali penumpang – penumpang yang baru tiba tadi.  Kafeteria dan beberapa kedai di dalam ruang stesen ini juga agak lengang.  Aku hanya perlu meneruskan perjalananku ke arah Station Reception yang terletak berhampiran kaunter informasi.  

      “Mamat,” panggil Amelia.

      Aku menoleh.  Dia sudah berhenti berjalan.  Berdiri menahan putaran waktu.

      “Saya keluar ke arah ini.”  Dia menunjukkan papan tanda di belakangnya yang menyatakan Princes Street.  Aku hanya diam mengangguk.  Fikiranku terasa kosong melihat dia berdiri membelakangkan pintu keluar.  Segala kelibat rasa yang bercelaru tadi padam dengan tiba – tiba.  Seperti kelongsong yang tertinggal sepi.

      “Jadi?” wajahnya menjadi sedikit merah seakan menahan malu.  Dia kelihatan sedikit kekok seolah – olah ada bicara yang tidak lepas dari bibirnya.

      Aku seperti tersedar lantas mengeluarkan telefon bimbit.  Lantas berusaha menghidupkannya berkali – kali mencuba nasib.  Pada masa yang sama menyumpah – nyumpah perangaiku yang degil kerana tidak membeli powerbank atas alasan sebelum ini tiada keperluan.

      “Bagaimana ya? Telefon saya sudah mati kehabisan bateri,” aku menunjukkan paparan telefonku kepadanya.  Aku tidak ingin dia menyangka aku tidak bersungguh.

      “Mungkin saya boleh cuba menghafal nombor telefon Amelia.  Berapa digit semuanya?” khuatir pula sekiranya terlupa atau tertukar susunan nombor tersebut.  Alangkah bodohnya mensia – siakan peluang sebegini.

      “Beginilah.  Biar saya ambil nombor telefon Mamat.  Nanti saya hubungi,” ujarnya sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.  Jemarinya menekan – nekan paparan skrin telefon sewaktu aku membacakan nombor telefonku.

      Dia mengangguk setelah selesai.  Masih memandang paparan skrin tersebut dia bertanya, “Nama penuh?”

      “Muhammad.” Jawabku pendek.

      Amelia menjeling.  Jarinya masih menunggu.

      “Muhammad Irfan.”

      Bibirnya tersenyum sambil menaip skrin LCD tersebut.  Aku merasa ralat kerana tidak mendapatkan nombor telefonnya.  Itulah satu – satunya peluang untuk aku menghubunginya kelak.  Manalah tahu kalau – kalau dia terlupa untuk menghubungiku.  Atau sahaja buat – buat lupa.  Hatiku menjadi tidak keruan.  Pandanganku masih terpaku terbenam ke lantai.

      “Baiklah.” Suaranya mengejutkan aku daripada lamunan.  Dia menyeka rambut panjangnya sambil tersenyum.

      “Saya pergi dahulu.”

      Amelia masih lagi berdiri di hadapanku.  Dia seperti bena tak bena menentang mataku.  Mempamerkan rasa kekok yang sungguh – sungguh ingin diselindunginya.  Bangkit satu rasa yang menongkah kalbuku pada saat itu.  Aku ingin memeluknya.  Di hadapan khalayak ramai.  Dalam ruang stesen yang bergema suasana riuh yang lemah.  Namun kami terus diam berpandangan.  Hanya pandangan mata yang berkeras menyampaikan rasa.

      Aku mengangguk perlahan.

      Dia melepaskan pandanganku dan mencapai semula bagasi hitamnya.  Sebelum berpusing menuju ke pintu keluar, dia menoleh sekali lagi kepadaku.

      “Jumpa lagi.  Insya Allah.”

      Aku mengangguk diam.  Tidak termampu untuk membalas senyumannya.  Sungguh pada saat itu aku terasa ingin sahaja menghalang Amelia daripada pergi.  Masa yang kuluangkan beberapa jam bersamanya di dalam keretapi tadi seperti tidak mencukupi.  Ada sesuatu yang tertambat semasa bibit– bibit perkenalan tadi.  Kaki ini seolah– olah ingin mengekori langkahnya.  Seperti tidak faham kenapa aku melepaskan dirinya pergi.

Previous: 8
Next: 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.