Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,843
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
12


      Badanku terasa segar setelah selesai mandi dan berpakaian.  Zharif pula mengambil giliran untuk mandi setelah menguruskan pakaian dan sarapan Zahrane.  Budak kecil itu merangkak – rangkak ke arahku apabila melihat aku muncul dan duduk di sofa.  

      Pesanan ringkas dari telefon bimbitku masuk tiba – tiba.  Buat sesaat, aku teringat pada Amelia dan janjinya.  Pantas aku menoleh dan membaca pesanan ringkas tersebut.  Rupanya setiausahaku, Ain memaklumkan bahawa rakan kongsi syarikatku Rizal akan berkunjung ke London minggu depan atas urusan kunjungan perniagaan dengan salah sebuah syarikat konglomerat.  Namun menurut Ain, Rizal juga ingin menemuiku atas urusan perniagaan lain melibatkan projek usahasama dengan sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di London.

      Aku mendengus tanpa sedar.  Zahrane yang sedang cuba memanjat sofa ini turut terkejut memandangku.  Seketika dia melemparkan senyuman menampakkan mulutnya yang tidak bergigi sebelum menyambung kembali hasratnya.  Terkial – kial cuba mengangkat punggungnya yang berat.  Aku tolak sedikit lampin punggungnya yang gebu itu dengan hujung kakiku dengan niat untuk membantu.  Dia menarik dirinya sekuat hati ke atas sofa.

      Pesanan ringkas Ain kubiarkan tidak berjawab.  Aku mencongak jangkaan tarikh kunjungan Rizal pada minggu depan untuk disesuaikan dengan jadual penerbangan pulangku ke tanah air.  Sudah beberapa kali Rizal cuba mengaturkan pertemuan dan mesyuarat perniagaan dengan syarikat tempatan ini sewaktu di Kuala Lumpur, tetapi tidak berkesempatan disebabkan jadualku yang padat.  Mungkin kali ini Rizal cuba mengambil peluang sekali lagi apabila mengetahui aku berada di United Kingdom.

      Zahrane sudah turun kembali ke lantai.  Merangkak – rangkak pula ke pintu bilik bapanya yang sedikit terbuka.  

      Kali ini telefon bimbitku berbunyi.  Aku merenung nombor telefon yang terpapar di skrin.  Nombornya jelas dari Malaysia.  Pada awalnya aku memilih untuk tidak menjawab sehingga aku terfikir ini mungkin berkaitan dengan hal yang penting.

      Aku mendengar suara Arip sebaik sahaja deringan telefon berhenti. “Helo, Bos?”

      “Arip,” jawabku.  Aku mula risau kerana Arip biasanya tidak akan menghubungiku tanpa sebarang keperluan.  Tindakannya ini bermakna ada sesuatu yang penting telah berlaku dan memerlukan campur tanganku serta – merta.

      “Sihat, Bos? Tengah main saljikah?” tanya Arip bergurau.

      Aku ketawa kecil. “Salji belum turun lagi, Arip.”

      “Mana tahu.  Bos lambat angkat telefon tadi aku ingatkan Bos tengah meluncur salji.”

      Aku tersenyum mendengar gurauan Arip lagi.  Itu hanya mukadimahnya sahaja.  Aku tahu Arip ada berita penting yang ingin disampaikan.

      “Kenapa Arip?  Aku tahu kau tak telefon aku pasal salji.  Apa masalah sebenarnya?”

      “Minta maaf sebab terpaksa ganggu Bos semasa bercuti.  Tetapi kita ada sedikit masalah mengenai penyerahan bangunan kampus ini.  Dato’ Megat panggil mesyuarat pagi tadi mengenai isu syarikat Bikin Hebat yang gagal menyempurnakan penghantarannya.”

      Aku mendengar dengan teliti.  Memang masalah ini telah bermula sebelum aku meninggalkan tanah air lagi.  Tetapi tidak pula aku sangka ia akan meruncing pada saat – saat genting begini.

      “Dato’ Megat khuatir kegagalan syarikat Bikin Hebat ini akan menyebabkan kelewatan penyerahan projek.  Dan seterusnya pihak Kementerian akan mengenakan denda kelewatan.”

      “Habis itu, apa tindakan kita untuk menyelesaikan masalah ini?” cuba mengingat kembali minit keputusanku mengenai perihal ini bulan lepas.

      “Hendak buat bagaimana, Bos?  Dekat separuh daripada nilai kontrak mereka masih belum disempurnakan.  Pihak Kementerian sudah pun mengeluarkan notis pemeriksaan untuk serah projek dalam tempoh sebulan lagi,” ujar Arip dengan panjang – lebar.

      “Apa Arip? Separuh daripada nilai kontrak?”tanyaku memastikan.

      “Lebih kurang begitulah yang dimaklumkan kepada kami di dalam mesyuarat pagi tadi,” jawab Arip dengan suara yang hambar.

      “Banyak nilainya itu Arip.  Hampir lima juta untuk disiapkan dalam tempoh satu bulan.  Itu agak mustahil.  Kilang pun perlukan masa untuk fabrikasi perabot, sekurang – kurangnya satu bulan.  Berapa banyak kilang pula yang kita perlukan untuk memenuhi tempahan?” tanyaku pada Arip.  Lebih berupa pertanyaan pada diriku sendiri.

      “Itulah, Bos.  Aku pun tak tahu bagaimana hendak menjawab pagi tadi dengan Dato’ Megat.  Dia mahukan syarikat kita selesaikan masalah ini, Bos.”

      “Selesaikan masalah ini?  Bukankah syarikat Bikin Hebat itu diuruskan sendiri oleh pejabat dia?  Kini dia mahukan kita pula bertanggungjawab?” Aku tergelak sinis.  Aku masih ingat lagi bagaimana payahnya kami cuba mendapatkan kerjasama daripada syarikat anak emas Dato’ Megat itu.

      “Betul, Bos.  Dahulu panggil mesyuarat suruh bincang haram tak datang.  Siap keluar warning letter kata penyiapan bangunan kita melewatkan penghantaran perabotnya.  Sekarang, jadi masalah kita pula nak cuci tahi dia,” Arip membalas dengan geram.

      Aku faham perasaan Arip.  Kami telah merasa susah – senang bekerja bersama – sama hampir sepuluh tahun.  Sering berbincang untuk mencapai kata sepakat dalam mencari jalan penyelesaian.  Aku sememangnya bertuah dikurniakan ahli pasukan yang mempunyai nilai etika kerja dan matlamat yang sama.  Beban masalah di bahu ini menjadi lebih ringan apabila dikongsi bersama rakan kerja yang boleh dipercayai.

      “Tak mengapa, Arip.  Ini semua berpunca daripada masalah duit.  Dato’ Megat tidak mampu untuk membiayai nilai baki kontrak tersebut.  Itu sebabnya dia suruh kita selesaikan masalah ini,” jawabku setelah berfikir sejenak.

      “Begini, Arip.  Dapatkan pengesahan nilai baki kontrak yang perlu disiapkan daripada Jaafar, pengurus projek Dato’ Megat.  Dapatkan juga semua senarai pembekal yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian.  Aku nak mereka beri sebutharga secepat mungkin.  Yang penting aku mahu penghantaran dibuat sebelum tarikh pemeriksaan.”

      “Baik, Bos,” jawab Arip.

      “Nanti aku hubungi Dato’ Megat.  Aku perlu tahu kenapa syarikatnya tidak berupaya melaksanakan penghantaran, sedangkan pembayaran wang telah dibuat hampir lapan puluh peratus daripada nilai kontrak.  Mana pergi wang itu semua?” aku tertanya sendiri.

      “Entahlah Bos.  Beli kapal layar agaknya. Atau pun BMW X5,” sindir Arip bersahaja.  Tidak semena - mena aku teringat Jaafar yang baru sahaja menukar kereta mewah yang baru dua tiga bulan lepas.  Aku tersenyum sinis.

      “Nanti aku kemukakan sebutharga daripada pembekal kepada Bos.”

      Aku mengangguk. “Secepat mungkin.”

      Telefon kumatikan.  Mataku masih merenung kosong ke arah meja kabinet televisyen di hujung sofa.  Zahrane sibuk memanjat masuk dan keluar ke dalam kebuk kabinet kosong yang tidak berpintu itu.  Dia memandang kepadaku dan melemparkan lagi senyuman tidak bergiginya. Satu kejayaan baginya mungkin.

      Apalah budak kecil ini tahu tentang masalah orang dewasa sepertiku.  Dunianya ringkas sahaja.  Sofa ini dan kebuk kosong di kabinet televisyen.  Itu sudah memadai baginya.

      “Kenapa, long?”

      Suara Zharif menyedarkan aku daripada kemelut persoalan yang menyinggah.  Rupanya dia turut memberi perhatian kepada perbualan telefonku sebentar tadi. 

      Aku menggelengkan kepala.

      “Biasalah urusan kerja.  Mesti ada komponen drama swasta sedikit, barulah menarik,” ujarku sambil tersengih.  Aku bangun mendapatkan adikku di meja makan.  Dia sedang menikmati sarapan pagi roti prata bersama kari ayam semalam yang baru sahaja dihangatkan semula.

      “Zahrane sudah makan?” tanyaku sambil mengambil sekeping roti dan mencecahnya ke dalam kuah kari yang pekat itu.

      Zharif mengangguk sebentar.  Kemudian dia memanjangkan lehernya untuk menjenguk anaknya yang sedang bermain di belakang sofa.  Aku pula masih terdiam memikirkan perbualan kerja dengan Arip tadi.

      “Tak habis – habis dengan masalah kerja, Along ni.”

      Zharif menyedari aku masih terperangkap dalam duniaku.

      “Kalau tidak ada masalah, bukan kerja namanya,” balasku dengan mulut yang penuh.

      “Tetapi Along kan sedang bercuti.  Kerja itu bukanlah segala – galanya dalam hidup,” pesan Zharif lagi.

      Aku tersenyum lebar.  Memang pun selama ini dunia kerja merupakan segala – galanya bagiku.  Dan Zharif adalah antara insan yang paling arif akan perkara itu.  Mungkin dia sengaja ingin mengusik reaksiku.

Previous: 11
Next: 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.