Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,874
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
2

      “Bos cuti berapa lama di England nanti?” tanya Arip yang baru selesai mandi.  Andy masih lagi pisat – pisat berbungkus dalam selimut tebalnya.

      “Dua minggu lebih kurang.  Mesyuarat penyiapan bangunan nanti kau kendalikanlah.  Lagipun senarai semak bangunan semua sudah sedia, kan?  Pastikan kerja selesai sebelum aku balik,” jawabku panjang lebar sambil mengemaskan pakaian dan barang peribadiku ke dalam beg galas.  Fikiranku terimbas sebentar pada wajah masam Dato’ Megat yang tidak berpuas hati aku mengambil cuti yang panjang pada saat – saat kritikal penyiapan projek.  Sudah hampir tiga tahun aku tidak mengambil cuti semata – mata hendak menyiapkan projek pembinaan kampus universiti tempatan itu.

      “Nanti Dato’ Megat pasti bising tanyakan Bos.  Aku ini siapalah hendak menjawab dengan dia,” Arip menggosok – gosok kepalanya dengan tuala.

      “Aku peduli apa dia nak bising.  Biarkan dia selesaikan masalahnya sendiri.  Kita selesaikan tugas kita, sudahlah,” aku menjawab.  Andy yang tadinya pisat – pisat sudah bangun menuju ke bilik air.  Sebentar lagi kami perlu daftar keluar dari hotel ini.  Urusan kerja kami di Frankfurt sudah pun berakhir semalam.

      “Bagus juga aku tak ada, Arip.  Sudah tiba masanya engkau mengetuai pasukan kita.  Aku percaya engkau boleh selesaikan hal – hal mudah sebegini,” ujar aku lagi.  Beg galasku sudah siap ditutup dan diletakkan di balik pintu.  Sambil mengira – ngira duit Euro dalam dompet, aku menyerahkan beberapa keping not kepada Arip.

      “Buat spare cash.  Kalau – kalau ada kecemasan dalam perjalanan pulang.”

      Arip mengangguk semasa menerima wang tersebut.

      “Bagaimana Bos pergi ke England?  Naik keretapi sahaja boleh sampai?” Arip bertanya sambil menyikat rambutnya yang nipis.  Mukanya sudah bersih setelah jambangnya dicukur pagi tadi.  Maklumlah, hendak pulang berjumpa orang rumah selepas lama berpergian.

      “Ya.  Nanti keretapi tu lalu dalam terowong bawah Selat Inggeris,” aku cuba mengingat kembali perjalananku sepuluh tahun lepas dari Peranchis menaiki EuroTrain ke London.  Samar – samar sahaja ingatan tersebut kerana lebih banyak tidur daripada berjaga sepanjang perjalanan itu.  Pemandangan yang sama untuk beberapa minit awalnya.  Padang rumput.  Lembu.  Kambing biri – biri.  Rumah peladang.  Dan mungkin ladang anggur.  Berulang – ulang untuk beberapa ketikanya sehingga aku tertidur.

      “Seronok juga kalau boleh ikut Bos bercuti sekali.  Aku tak pernah pergi England,” ujar Arip sambil tersenyum.  Andy yang sedang memakai baju pun turut sama mengiyakan.

      “Apa pula kisahnya kalau kita semua bercuti panjang.  Tutuplah syarikat nanti,” pantas aku menepis angan – angan mereka.  Aku mencapai beg galasku dan menyandangnya dibahu.  Kasut bertali jenama Timberland aku sarungkan dan jaket aku capai dari belakang pintu.  Sambil mengangkat tangan kepada Arip dan Andy tanda berpergian, pintu bilik kubuka dan terus melangkah keluar.  Sarapan yang disediakan di restoran tingkat bawah hotel ini juga tidak sempat kujamah kerana ingin segera menuju ke stesen keretapi.  

      Jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi.  Lorong – lorong dan jalan di kawasan ini sudah mulai sibuk.  Derapan kaki manusia sama sibuknya dengan lalulintas kenderaan yang mengeluarkan kepulan asap putih daripada ekzos kereta.  Bangunan – bangunan tinggi di sekeliling jalan besar pula tenggelam di balik kabus tebal.  Menyelimuti pagi yang sejuk ini seperti selimut tebal yang kutinggalkan di atas katil hotel tadi.  Suhu yang masih rendah memaksa orang – orang di sini berjalan dengan laju.  Terkejar –kejar dengan langkah – langkah yang panjang.  Berbaju suit hitam dan kot labuh.  Pakaian korporat.  Warna musim luruh di kota raya.  Berpusu – pusu menuju ke stesen besar keretapi.

      Aku melintasi kawasan red light yang dilalui malam tadi.  Kedai hiburan dan barangan lucah yang malamnya terang – benderang seperti cahaya lampu yang menarik perhatian kelkatu malam kini menjadi kaku dan tidak bermaya di waktu siang.  Fikiranku terimbas sewaktu Arip cuba menyuakan kepadaku kad perniagaan perkhidmatan pelacuran yang diterimanya.  Sudah menjadi kelaziman tiapkali kami bersiar– siar pada waktu malam di bandar besar seperti ini semasa membuat lawatan kerja, kami akan dihujani dengan tawaran perkhidmatan tersebut.  Ada di antaranya daripada kalangan pelajar universiti tempatan.  Ada juga merupakan isteri orang yang dipaksa oleh suami mereka untuk menyara kehidupan.

      Setibanya di perkarangan Stesen Keretapi Hauptbahnhof, aku memeriksa jadual perjalanan keretapi ke London.  Masih ada dua puluh minit lagi.  Di kiri dan kananku dipenuhi dengan manusia – manusia yang sibuk dan berkejaran menuju ke destinasi mereka.  Wajah – wajah yang tidak aku kenali.  Dalam pertuturan bahasa asing yang tidak aku fahami.  Membawa rentak hidup masing –masing dalam poket masa yang mereka lalui ini.  Semuanya bersimpang – siur mencari hala tuju yang pasti.  Aku berdiri seperti sebuah pulau yang memerhati kesibukan ombak manusia yang tidak putus – putus di sekelilingku. 

      Bebas.  Perkataan itu bermain – main di benakku sewaktu aku menaiki gerabak keretapi Eurostar.  Beg galas yang kusandang dilontarkan ke atas rak penyimpanan bagasi di atas kepala.  Tempat duduk yang kupilih sentiasa di sebelah tingkap.  Mudah untuk aku melentokkan kepala di cermin tingkap kalau tertidur kelak.  Risaulah juga kalau – kalau tersandar pada bahu penumpang lain semasa dalam keadaan tidak sedar. Menitik pula air liur basi nanti di bahu mereka.

      Perjalanan ini akan mengambil masa yang panjang.  Sekitar enam jam melalui kawasan perkampungan di Jerman sebelum berhenti di Brussel, ibu negara Belgium.  Aku perlu menukar keretapi di stesen keretapi Brussels Midi untuk perjalanan selanjutnya merentasi negara Belgium dan Peranchis sebelum tiba di kotaraya London.  Gerabak keretapi ini dilengkapi dengan soket elektrik dan kemudahan wifi untuk penumpang – penumpang berhubung dengan dunia luar.  Namun aku memilih untuk menutup telefonku sepanjang perjalanan ke London.  Bagi menikmati pemandangan country side yang berulang – ulang tanpa sebarang gangguan.  Juga untuk menyimpan tenaga bateri telefon kerana aku merasa malas untuk mengecasnya.

      Banyak alasan yang boleh aku berikan.  Tetapi sebenarnya aku ingin menghalang dunia luar daripada menceroboh kebebasanku pada saat ini.  Untuk enam jam yang panjang ini, aku bukan lagi seorang pengarah syarikat yang dibebani urusan kerja tidak sudah – sudah.

      Keretapi mula bergerak di atas landasan meninggalkan platformnya di stesen keretapi Hauptbahnhof.  Dan secara rasminya percutianku bermula.  Aku kini bergelar musafir di bumi Eropah.

Previous: 1
Next: 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.