Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,212
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1

       Kepulan asap melingkar di bibir Andy.  Entahkan asap rokok ataupun wap udara hangat dari peparunya yang bertembung dengan suhu udara sejuk di luar ini.  Aku masih mendiamkan diri mendengar keluhannya di luar restoran.  Bangunan lama empat tingkat.  Menempatkan kedai makan masakan Thai yang kecil di bawahnya.  Pangsapuri tingkat atasnya dihuni oleh beberapa keluarga Arab Muslim.  Mungkin juga Arab Lebanon.  Mungkin juga bukan beragama Islam seperti yang aku sangkakan.

       Malam ini suhu tidak sesejuk biasa.  Musim luruh sudah bermula sejak hampir sebulan lalu.  Daun – daun sudah bertukar warna menurut cerita sekumpulan cabin crew Singapore Airlines yang kutemui semalam di kota Frankfurt.  Kebetulan semalam merupakan hari rehat bagiku daripada persidangan di Frankfurt Trade Fair.  Entah bagaimana bertemu pula dengan sekumpulan pemuda – pemudi berbangsa Timur yang sedang enak bersiar - siar.  Tanpa segan – silu aku terus menyertai mereka seharian membuat lawatan ke sebuah bandar Perancis yang berdekatan dengan sempadan.  Hanya kerana sebuah senyuman ramah salah seorang pramugari daripada kumpulan itu membuatkan aku terpancing.  Terkinja – kinja seperti anak kecil yang ingin mendapatkan belon di sebuah keramaian.  Belon merah.  Dan gula kapas.

      Senyumannya seperti itu.

      “Bos, jauh mengelamun nampak,” sindir Andy sambil menjeling kepadaku.

      “Mengelamun apanya,” aku menjawab.  Pandanganku terjerumus ke bawah.  Senyuman pramugari itu masih menari – nari di fikiranku.  Gadis kacukan Cina – India yang berasal dari Pulau Pinang.

      Andy ketawa terbahak – bahak melihatkan aku terkeseng – keseng disergah seperti budak kecil.      

      “ Itulah, Bos.  Lain kali jangan jual mahal sangat.  Ambil nombor telefon.  Bukan senang nak berkawan dengan pramugari.” Andy masih lagi tidak berhenti.  Ketawanya masih berdekah – dekah.  Melantun – lantun dipantul bangunan – bangunan mati pada malam yang sunyi.  Namun jalan ini sememangnya sepi.  Kosong bersama malam yang gelita.  Mungkin penduduknya semua sudah berada di unit pangsapuri masing – masing. 

      Hanya aku berdiri di luar.  Di sebelah Andy yang masih merasakan kebodohanku adalah satu perkara yang lucu.  Kami berdua menunggu Arip yang sedang berada di dalam restoran bersama wakil pembekal yang ditemui di tapak ekspo Automechanics, Frankfurt Am Main siang tadi.   Arip masih melayan mesra wakil – wakil pembekal mesin dan jentera berbual kosong sambil menikmati hidangan makan malam.  Aku sudah keletihan sehari suntuk berurusan dengan mereka untuk mendapatkan terma terbaik dalam perjanjian jual beli kami.  Juga kerana aku culas membuang masa bercakap kosong dan beramah – mesra. 

      Akhirnya Arip keluar bersama – sama dua orang wakil pembekal dari negara China itu menolak pintu restoran.  Mukanya bulat dan berjambang masih lagi ketawa ramah melayan saki baki perbualan.  Aku dan Andy juga turut ketawa mesra seperti disuruh – suruh tanpa mengetahui pangkal dan punca.  Kami bersalaman dan berjabat erat.  Tanda perjanjian telah dimeterai.  Di dalam kepalaku hanya mengira peluang keuntungan yang akan syarikatku perolehi.  Mungkin sama juga di dalam kepala mereka.  Di sebalik ketawa ramah itu hanyalah angka dan pertukaran matawang.

      Kami beredar ke arah yang berlainan.  Mereka menuju ke arah sebuah kereta mewah berwarna hitam terletak di hujung jalan.  Aku pula mengekori Andy dan Arip melintas jalan menghala ke jalan utama berhampiran Stesen Besar Keretapi Hauptbahnhof Frankfurt.  Jalan utama ini dipenuhi kereta dan lalulintas manusia berjalan – jalan ke sana sini.  Memakai lapisan baju sejuk bagi menahan suhu cuaca malam yang mencapai 10 darjah selsius.  Entah pulang ke rumah, entahkan mengunjungi barisan gedung – gedung beli – belah dan kedai yang masih dibuka. 

      Arip berhenti seketika di sebuah kedai runcit yang berdekatan dengan hotel kami.  Dia melangkah masuk diikuti oleh Andy yang turut menahan pintu kaca kedai itu.  Bagai lembu dicucuk hidung, kakiku juga melangkah masuk tanpa sebarang tujuan.  Arip dan Andy seperti biasa mencari sebungkus kotak rokok di kaunter.  Enak dihisap terutama pada musim sejuk ini, kata Andy.  Seingatku dia telah berhenti merokok tidak lama dahulu, tetapi mungkin cuaca yang sejuk  menyebabkan dia kembali mengulangi tabiat lamanya itu.  Melihatkan tubuhnya yang kurus dan tinggi aku menjadi tidak hairan.  Dia seringkali mengaduh sejuk semenjak tiba di Frankfurt seminggu yang lalu.  Kami sering melihat dia berbungkus sepenuhnya di bawah selimut tebal sebaik sahaja tiba di bilik.

      Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami melintasi sebuah lorong yang terang dibarisi dengan kerlipan lampu neon kedai – kedai hiburan dan barangan lucah.  Beberapa malam yang lepas kami telah disapa oleh wakil – wakil pembekal khidmat pelacuran yang tanpa segan silu menawarkan kepada kami perkhidmatan dengan harga yang murah.  Arip mengajukan kepadaku kad perniagaan mereka yang diterimanya sewaktu berjalan – jalan di kawasan ini.  Aku hanya tersenyum hambar apabila diusik dengan gurauan kasar seperti itu.

      Mudahlah bagi Arip dan Andy kerana mereka sudah berumahtangga dan beranak – pinak. Sudah ada perhubungan yang halal bagi mereka.  Aku pula sering diperli kerana masih memilih untuk membujang walaupun usiaku sudah melangkau tiga puluhan.  Memang alasan yang kuberi  kerana sibuk bekerja.  Orang – orang di sekelilingku pun tahu bahawa aku sentiasa sibuk lapan hari seminggu menyelesaikan urusan syarikat.  Ibu dan ayah pun jarang dapat aku jengah.  Apatah lagi tuntutan pergaulan sosial yang hanya membazirkan waktu.

      “Apa nama pramugari yang Bos jumpa semalam tu?” tanya Arip mengusik.

      “Entahlah.  June agaknya.  Aku tak berapa nak perasan,” jawabku.  Aku percaya itulah nama yang kudengar sepintas lalu sewaktu aku tanyakan namanya semalam.  Di hadapan van yang mereka sewa sewaktu berhenti rehat dalam perjalanan ke Peranchis.  Wajahnya manis dengan rambutnya yang ikal mayang jatuh ke bahu.  Tangannya memegang makanan panas frankfurter yang baru dibeli dari kedai kudapan pagi itu.

      “Yakah? Apa yang Bos perasan?” tanya Arip lagi.  Kali ini disertai ketawa yang berdekah – dekah.  Seperti tahu – tahu sahaja apa yang bermain di fikiranku.  Aku layankan sahaja perasaan lucu yang menghiburkan Arip kala itu.  Biarpun dalam hati terasa membungkam kerana tidak berjaya mengambil kesempatan untuk mendapatkan nombor telefon pramugari tersebut.  Mana tidaknya, dia asyik dikelilingi oleh beberapa orang pemuda lain yang juga sedang mencuba nasib.  Lidah aku menjadi kelu bila berada dalam situasi begitu.

      Sungguh berbeza sekali di tempat kerja.  Di dalam mesyuarat.  Di khalayak ramai membuat ucapan dan pembentangan.  Kebolehanku mengendalikan mesyuarat dan urusan niaga berjam – jam lamanya seolah – olah lebih mudah daripada membuka mulut di hadapan seorang wanita cantik.  Rasa keyakinan itu terus lebur.  Aku menjadi teragak – agak.

      Bahuku ditepuk.  Tersedar semula daripada angan – angan tadi.

      “Bos, jangan lama sangat bersendiri.  Kita kena fikirkan masa depan.  Yang dahulu tak usah lagi dikenang – kenangkan,” Andy berpesan sambil memandang ke hadapan.

      Kami sudah hampir dengan pintu hotel di simpang ini.  Aku sudah membayangkan tilam yang empuk dan selimut yang tebal.

      “Kalau kita fikir – fikirkan selalu perkara dahulu, peluang yang datang dalam hidup kita nanti akan terus berlalu.  Tanpa kita sedari,” ujarnya lagi.  Aku mengerling ke wajahnya yang cengkung dan berambut botak seperti tentera.  Kalau dipandang sepintas lalu tidak ubah seperti seorang vokalis kumpulan rock tanah air.  Tetapi suaranya tidaklah sesedap mana kalau menyanyi.  Hanya lebih pada gayanya sahaja.

      Kata – kata Andy terngiang –ngiang di telingaku sebelum tidur.  Berselang – seli dengan dengkuran Arip seperti bunyian irama yang kelam – kabut.  Tidak ubah seperti enjin motobot yang menderu di atas air.  Aku sudah menjadi lali dengan dengkurannya yang kadang – kala hilang menjelang subuh.

      Malam itu hatiku bagai disentap kenangan yang telah meninggalkanku lebih tujuh tahun dahulu.  Sungguhpun ia jarang bermain di ingatan, namun pedihnya masih terbias.  Lama sungguh aku dikurung sunyi.  Dari hari ke sehari, aku menghitung waktu menunggu bilakah kesunyian ini akan berakhir.  Cinta sudah lama pergi meninggalkanku.  Kenapa kesedihan ini masih tegar melingkari hati.

      Aku tanya malam.  Langit hitam di bumi Eropah.

Next: 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.