Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,967
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
8


      Jam di tangan menunjukkan waktu sudah melepasi sepuluh malam.  Keretapi sudah  memasuki bandar Edinburgh menuju ke stesen Waverly.  Ini adalah kali pertama aku sampai ke Edinburgh.  Menurut buku Lonely Planet, ia adalah antara tempat tercantik untuk dilawati semasa musim luruh.  Aku difahamkan bahawa ianya adalah kota tertua di Scotland.  Menyimpan sejarah silam yang menarik.  

      Keretapi sudah mula memperlahankan halajunya.  Mungkin akan tiba di stesen tidak lama lagi.  Amelia bangkit dari tempat duduknya menuju ke bilik air di hujung gerabak.  Aku segera memeriksa telefon bimbit yang kututup awal perjalanan tadi.  Aku perlu memaklumkan kepada Zharif bahawa aku akan tiba sebentar lagi.  Mungkin dia sudah tiba di stesen seperti yang dijanjikan.  Nampaknya Zharif telah menghantar pesanan ringkas yang baru.

      ‘Along.  Zharif tunggu di Station Reception.

      Baru sahaja aku ingin membalas, tiba – tiba paparan skrin telefon bimbit menjadi gelap.  Astaga, aku terlupa untuk mengecas telefon semasa perjalanan tadi.  Aku telah merancang awalnya untuk berbuat demikian sebaik sahaja keretapi bertolak dari London namun aku benar – benar tidak teringat. 

      Amelia duduk di sebelahku sekembalinya dari bilik air.  Wajahnya kelihatan segar dan lembap.  Rambutnya yang panjang itu juga telah disisir rapi.  Dia berkata sesuatu kepadaku dengan nada suara yang rendah.

      Aku tidak dapat mendengar dengan jelas. “Apa?”

      Dia mengulangi ayatnya kembali.  Aku masih tidak dapat menangkap butirnya.  Terasa seperti dipeluk dungu. 

      “Saya tak faham.  Awak cakap apa?”

      Aku mendekatkan telingaku pada mulutnya.

      “Berapa lama lagi?” ulangnya dengan lembut.

      Aku mengangguk.  Aku memandang jam tangan seketika.

      “Lima belas minit.  Agaknya.”

      Amelia kembali bersandar dan mencapai sesuatu dari tas tangannya.  Aku menjeling ke arah tas tangan tersebut.  Ia merupakan beg sandang bahu yang tertulis dengan nama Munchen, salah sebuah bandar di Jerman.  Mungkin dia pernah melawat tempat itu bersama keluarganya.  Atau kakaknya.

      Di dalamnya aku terlihat sebuah bekas alatulis kain berwarna merah jambu.  Aku merasa pelik kerana dia membawa sekotak alatulis bersama – samanya di dalam perjalanan ini.  

      “Kenapa bawa kotak pensil dalam beg tangan?”

      Aku terlupa bahawa memandang ke dalam tas tangan wanita adalah satu perkara yang tidak sopan bagi lelaki asing sepertiku.

      “Yang ini?” tanyanya sambil memegang bekas merah jambu itu.  Dia mengeluarkannya dari beg tersebut.  Aku mengiyakan.  Masih dipeluk dungu.

      “Ini bekas cermin mata saya,” ujarnya sambil membuka zip bekas kain tersebut.  Dia mengeluarkan sepasang cermin mata bulat berbingkai emas.

      Pada saat itu aku terasa seperti orang di zaman batu.  Sekiranya ini zaman batu, sekurang – kurangnya aku boleh mengetuk Amelia di kepala dan mengangkutnya pulang ke guaku.  Terasa kering tenggorokku disesah malu bertubi – tubi.  

      “Memang pakai cermin mata?” kelam – kabut aku menyusun ayat.  Serasa percakapan dan aksiku menjadi serba tidak kena.

      “Saya hanya pakai pada waktu malam disebabkan astigmatism.  Kalau terang begini, saya jarang memakainya,” terangnya sambil memegang cermin mata tersebut.  Dia memakainya sebentar sebelum menyimpannya kembali ke dalam bekas kain merah jambu tadi.

      “Maksudnya bagaimana itu? Awak nampak kurang jelaskah waktu malam?”

      “Saya nampak cahaya seakan pecah dan tidak fokus.”

      “Jadi awak perlu memakainya sewaktu memandu pada waktu malam? Disebabkan cahaya lampu daripada kenderaan yang datang dari arah bertentangan,” aku teringat ibu juga menghadapi masalah yang sama.  Itu sebabnya dia tidak gemar memandu pada waktu malam.

      Amelia mengangguk. “Tetapi saya tidak memandu.”

      Keningku terangkat.  Aku lupa bahawa dia telah berada di sini sejurus selepas tamat persekolahan. 

      “Sebenarnya saya baru sahaja terima lesen memandu manual.  Dalam bulan lepas,” ujarnya dengan segera apabila melihat aku tersenyum.

      Aku mengangguk.

      “Tetapi sekarang ini kebanyakan kereta mempunyai transmisi otomatik.  Kalau adapun transmisi manual dalam bentuk pedal shift.  Selalunya untuk memecut di lebuh raya.  Seperti kereta saya sebelum ini BMW 320i Sports,” jelasku sambil menebar jala.  Bersungguh ingin memancing minatnya.

      Amelia diam.  Riak di wajahnya bersahaja.

      “Sekarang pakai kereta apa?” dia bertanya.  Lengan baju panasnya jatuh sewaktu dia menupang dagunya dengan tangan kanan.

      “Sekarang saya guna kereta syarikat dan pemandu untuk urusan pejabat.” Aku terbayang pemanduku Usop yang sentiasa menemaniku terutama semasa bertugas di luar kawasan.

      “Yakah? Mamat ada pemandu?” tanyanya lagi.  Tidak percaya barangkali.

      Aku mengangguk.

      “Saya selalu sibuk dengan urusan pejabat dari pagi hingga ke malam.  Kadangkala melibatkan urusan luar kawasan.  Selalunya saya letih selepas seharian bermesyuarat dan bekerja di tapak bina.  Jadi sekurang – kurangnya saya dapat tidur dan berehat semasa dia memandu.”

      Amelia mengangguk memberi perhatian sepenuhnya padaku.

      “Cuma dia sering memandu perlahan.  Kalau saya rasa bosan, saya akan suruh dia berhentikan kereta dan duduk di sebelah.  Biar saya sahaja yang pandu,” aku mengerutkan dahiku mengingatkan berapa kali peristiwa itu berlaku.

      Amelia ketawa. “Kenapa perlu memandu laju– laju?”

      Tercengang aku seketika.  Tiada siapa yang pernah menyoalku begitu.  Aku tidak pernah harus memberi alasan kepada sesiapa pun.

      “Sebab.  Saya.  Tak cukup waktu adakalanya.  Berkejar – kejar dari satu tempat ke tempat yang lain.  Selalu bila saya pulang ke rumah sudah hampir pukul 1 pagi.  Ibu dan ayah pun saya jarang lawati.”

      Amelia mengangguk faham.  

      “Bagaimana pula teman istimewa Mamat?” matanya mengerling padaku tajam.

      Aku menggelengkan kepala.

      “Saya tak punya teman istimewa.”

      Mata kami bertentangan.  Apa sahaja yang terungkap di hati waktu itu kaku membisu.  

      Penumpang – penumpang mula bangun daripada tempat duduk masing – masing.  Keretapi ini sudah tiba di platform stesen Waverly Edinburgh.  Kami turut bangkit dan mencapai bagasi di rak simpanan atas.  Dia memakai semula jaket putih yang tebal dan menyarung tas tangan ke bahu kanannya.  Aku mencapai kasutku yang tersimpan di bawah kerusi dan memakainya dengan segera.  Aku tidak ingin membiarkan Amelia terus berlalu pergi begitu sahaja setelah turun dari keretapi ini.  Kepalaku ligat memikirkan alasan bagi mencari peluang untuk menemuinya lagi.

     Selesai memakai kasut aku berpaling dan mendapati Amelia sudah tiada di sampingku.  Aku terus melihat ke arah belakang dan hadapan gerabak.  Mencari di antara wajah – wajah penumpang lain yang masih sedang berkemas.  Mungkin dia sudah turun dari gerabak ini.  Meneka dalam kegusaran.  Aku merasa aneh dia hilang begitu sahaja tanpa berkata apa – apa.  Perlahan – lahan aku menyandang beg galas dan bergerak keluar dengan hati yang bungkam.

      Di luar gerabak, aku berdiri memandang sekeliling platform ini.  Penumpang – penumpang dari koc lain sudah mula bergerak menuju ke ruang legar stesen.  Agak lama juga pandanganku melilau meneliti susuk tubuh manusia di kiri dan kanan.  Kerana merasa janggal ditinggalkan begitu sahaja, aku menapak perlahan – lahan mengikuti arus manusia yang sedang meninggalkan gerabak keretapi.  Pandanganku menikam lantai platform sewaktu berjalan.  Kupanggung kepalaku dengan seribu persoalan.

Previous: 7
Next: 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.