Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
158,118
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
27


      Aku merenung wajahnya.  Senyumanku hilang tiba – tiba. 

      “Kenapa?”

      Tadi dia nampak elok sahaja.  Bila pula jadi tidak sihat.

      “Saya sakit perut sejak siang tadi,” jawabnya perlahan.  Dengan spontan mataku terarah pada bahagian abdomennya yang terlindung dengan kot hitam nipis.  Cepat – cepat kualihkan pandanganku ke wajahnya semula apabila tersedar sendiri.

      “Makan apa?”

      “Entah.  Macam – macam yang saya makan siang tadi.”

      “Tak pergi klinikkah?” intonasi suaraku jelas risau walaupun aku tidak tahu kenapa aku perlu bersikap demikian.  Anak dara ini sudah besar panjang.

      Amelia tersenyum. 

      “Saya sudah makan ubat.  Tetapi saya perlu berehat.”

      Aku mengangguk. 

      Namun risau itu tetap tidak surut.  Masih melakar riak pada wajahku.

      Kami melangkah keluar dari koridor menuju ke pintu masuk yang kami lalui tadi.  Aku bertanya juga bagaimana pula dengan kakaknya dan Alya.  Dia hanya menjawab mereka akan pulang setelah selesai sambutan harijadi tersebut.

      “Kita hendak ke mana, Amelia?” tanyaku sebaik sahaja berada di luar bangunan Ayton Student Accomodations.  Angin sejuk di luar bangunan ini terus menerpa ke wajah sewaktu kami melangkah ke jalan besar.

      “East Shore Accomodation.  Tidak jauh dari sini.  Asrama penginapan Alya,” jawabnya sambil menunggu aku di tepi jalan untuk melintas.  Aku menyegerakan langkahku dan melintas jalan besar itu bersama – samanya.  Tangannya kemas tersimpan di dalam saku kot hitam yang dipakainya.

      “Awak tak ada masalah untuk berjalan?” aku bertanya sambil memandang papan tanda hentian bas di seberang jalan.  Mungkin ada bas yang akan singgah sebentar lagi.

      “Saya masih boleh berjalan,” dia menjawab sambil tersenyum.  Matanya melirik kepadaku yang seperti serba tidak kena.  Aku tidak mahu dia menjadi lebih tidak selesa dengan memaksa dirinya berjalan ketika sakit begini.

      Kami berjalan perlahan di kaki lima yang terang - benderang disinari lampu jalan.  Beberapa orang pelajar lelaki melintasi kami turut memandang Amelia.  Mata mereka menyoroti tubuhnya dari atas ke bawah sebelum bertentang mata denganku, lantas mengalihkan pandangan mereka serta – merta.  Walaupun tubuhku tidak besar seperti kebanyakan pelajar atau penduduk di sini, namun sekiranya perlu aku masih berupaya menghayunkan penumbuk.  Dan menang.  

      Kali terakhir aku berbuat demikian, guru disiplin terpaksa mengejar aku berlari setelah bertumbuk dengan pelajar senior semasa di Tingkatan Empat.  Retak jugalah rahang mulut pelajar senior tersebut.  Mujur juga polis tidak campur tangan atas desakan Pengetua yang ingin menjaga nama baik sekolah asrama.  Jika tidak, aku mungkin telah merasa tidur di dalam lokap pada usia yang mentah.

      Angin bertiup lembut ke wajah Amelia.  Aku tercium harum bau rambutnya.  Dadaku menjadi berdebar kembali.  

      “Mungkin Amelia makan sesuatu di restoran tadi agaknya,” aku meneka.  Sekadar menginginkan perhatiannya.

      “Saya tidak pasti.  Saya memang suka mencuba pelbagai jenis makanan.  Kecuali tiram mentah,” jawabnya.  Mengerutkan keningnya di akhir ayat.

      “Saya pun.  Rupa bentuknya pelik,” balasku pula.  Turut mengerutkan keningku.

      “Rupa bentuknya? Banyak sahaja rupa makanan yang pelik tetapi sedap seperti lidah dan ikan pari,” dia membalas.  

      “Ya.  Tapi saya tidak makan itu semua.  Durian pun saya tak makan.”

      Amelia tergelak besar.  Matanya terbuka luas seakan tidak percaya.

      “What? Itu adalah identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” sambungnya.

      “Pandainya bercakap pasal identiti rakyat Malaysia.  Bukan awakkah yang keberatan nak balik ke Malaysia tempoh hari?” aku mengusiknya kembali.

      Dia memandang semula ke hadapan.  Menarik mukanya sebentar.

      “Saya pasti akan pulang.  Satu hari nanti,” ujarnya perlahan.  Nada suaranya kembali serius.

      Aku mengangguk terkenangkan perbualannya mengenai perancangan hidupnya tempoh hari di atas keretapi.

      “Apa impian Amelia?” tanyaku ikhlas.  Aku ingin menyelami jiwanya.  Sepertimana dia telah menambat jiwaku.

      Dia melirik sebentar mengintai wajahku sebelum menjawab.

      “Impian saya adalah untuk membina self – sustaining farm satu hari nanti.”

      Mulutku ternganga mendengarkan impian Amelia.  Dia tidak mengimpikan bulan dan bintang.  Matahari ataupun angkasaraya.  Dia hanya ingin membina sebuah kehidupan yang sederhana atas usaha kudratnya sendiri satu hari nanti.  Dia ingin berjasa kepada tanah.  Satu hari kelak.

      “Kenapa self – sustaining?” rasa ingin tahuku melimpah – ruah.

      “Kerana saya tidak mahu bergantung kepada sumber makanan luar.  Industri pemakanan tidak boleh dipercayai lagi.  Saya rasa besar kemungkinan saya akan menjadi vegetarian kelak.  Saya tidak dapat terima cara dan pengendalian mereka dalam industri livestock.”

      Wajah Amelia kelihatan serius.  Namun masih lagi menawan.  Aku menggaru – garu kepala yang tidak gatal, apa rasanya hidup dengan memakan sayur sahaja.  Walaupun aku tidak banyak memakan daging merah, tetapi aku masih gemarkan masakan daging goreng kunyit yang ibu sediakan pada hari Raya Haji.

      “Lagipun sumber bekalan makanan dunia semakin meruncing.  Itu bakal menjadi masalah dunia sejagat yang tidak dapat dielakkan lagi,” sambung Amelia.  Wajahnya kelihatan benar – benar khuatir.  Ingin sahaja aku memeluk bahunya ketika itu agar kerisauan itu hilang dari wajahnya.

      “Benar.  Ia akan menjadi masalah dunia sejagat kelak.  Jumlah penduduk dunia semakin bertambah dan tidak dapat lagi ditampung dengan sektor pemakanan yang sedia ada,” aku membalas.  Amelia mengangguk.  Riak wajahnya masih lagi serius.

      “Tetapi, secara peribadi saya berpendapat masalah sebegitu masih ada jalan penyelesaian.  Selagi ada kesedaran sesama manusia dan selagi mereka berganding bahu dalam mencari penyelesaian bersama, saya rasa masih wujud lagi harapan.  Peluang untuk memperbetulkan keadaan.  Saya percaya pada harapan tersebut.”  Aku pun hairan kenapa aku meletakkan harapan yang tinggi kepada bangsa manusia.  Bukankah kami ini bangsa perosak muka bumi.  Terbukti dalam lipatan sejarah zaman – berzaman.

      Amelia memandangku seketika sebelum mengangguk.  Jelas di wajahnya dia ingin mempercayai kata – kataku.  Dia diam berfikir seketika.

      “Tetapi saya boleh binakan farm itu untuk Amelia,” nadaku memujuk.  Dia ketawa kecil lantas menjeling lembut padaku.  Bukan setakat itu sahaja.  Mahligai pun aku mampu bina untuknya.  Dihiasi intan, permata, zamrud bertatah berlian, aku memasang angan – angan dalam kepala.  Tetapi bukan itu yang dia dambakan.  Aku belum pernah berjumpa dengan gadis yang mengimpikan kehidupan di ladang.

      “Sungguh.  Itu kerja saya.  Merealisasikan sesuatu.  Sudah berbelas – belas tahun saya membina,” aku meyakinkan lagi.  Apa sahaja akan kubinakan untuknya.  Mata gadis yang bundar ini kembali bersinar.  Di wajahnya terukir senyuman yang lebar.

      Hatiku berbunga – bunga melihat wajahnya kembali ceria.  Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.  Aku mencuri pandang berkali – kali.  Sambil menahan gelodak di hati.

      Kami membelok ke laluan pejalan kaki bersebelahan pantai East Sands.  Amelia memeluk tubuhnya, barangkali cuba menahan daripada kesejukan bayu dari laut yang terbentang luas di sebelah kami.  Gemersik bunyi ombak menghempas pantai jelas kedengaran di telinga.  Aku menanggalkan jaket kulit lantas kupakaikan ke bahunya.  Amelia menjadi sedikit tersentak.  Sebelum dia tersenyum sendiri membiarkan jaket itu tergantung di bahunya.


Previous: 26
Next: 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.