Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,978
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
37


      “Memang sial projek ni!” bentak Dato’ Megat melepaskan marahnya.

      Suasana di Jean Georges Restaurant Connaught Hotel menjadi tegang seketika.  Suara Dato’ Megat yang lantang itu menyebabkan pengunjung – pengunjung lain pada petang Ahad ini terdiam.  Aku, Rizal dan Singh berpandangan.  Segan pun ada apabila beberapa pasang mata menjeling ke arah meja kami.  Tidak kurang juga apabila pelayan – pelayan turut memandang seolah – olah kami tidak tahu etika dan kelakuan sopan di restoran hotel terkemuka ini.

      Aku mengambil sepotong coklat dari atas piring hidangan minum petang.  Berpura – pura untuk tidak mengendahkan letusan kemarahan tersebut.  

      Dato’ Megat membetulkan letak duduknya.  Tersedar sendiri barangkali.  Rambut putihnya tersikat kemas.  Misainya yang putih dan tebal mempamerkan riak wajah yang bengis.  Memakai kot berwarna perang dan bertali leher.  Malah kami semua lengkap berpakaian kot dan bertali leher.  Hanya kerana Dato’ Megat ingin mengadakan pertemuan minum petang ini di restoran yang mengkhususkan etika berpakaian dipatuhi.

      “You tahu berapa banyak I kena berhutang untuk projek ini?” ujar Dato’ Megat mengungkit lagi.  Kami sudah pun mendengar kisah hutangnya sepuluh minit tadi.

      “The bank requires my whole family to be guarantor for this project.  Tiga ratus juta.  Kalau kita tak deliver projek ini, Muhammad, I tak tahulah ceruk mana my family nak sembunyi.”

      Muka Dato’ Megat yang bengis itu menatap wajahku bersungguh – sungguh.  Riaknya berubah menjadi rawan pula.  Gerak tubuhnya jelas menunjukkan fikirannya sedang berkecamuk dan gelisah.  Memandangku seolah – olah aku ini adiwira yang berupaya menyelamatkannya.  Aku tidak mahu berkata apa – apa.  Membiarkan orang tua itu meluahkan apa sahaja yang terbuku di dalam hatinya.  Dia telah datang ke London semata – mata untuk menyelesaikan masalah kewangan projek serta tuntutanku ke atas cagaran yang kusyaratkan kepada Singh menerusi perbualan telefon minggu lepas.

      “You kena tolong I, Muhammad.  You have to help me.  Ini adalah untuk kepentingan kita juga.  Kalau you tak tolong I, you pun takkan dapat balik duit you,” ujar Dato’ Megat lagi.  Separuh mengugut.

      Aku tersenyum sinis sambil meleretkan pandangan kepada Rizal.  Dalam sabar aku menunggu hasrat sebenar pertemuan ini diadakan.  Sudah hampir satu jam kami di restoran ini.  Pada mulanya aku menolak untuk berjumpa kerana perlu bergerak menaiki keretapi ke Cambridge petang tadi.  Aku sudah berjanji pada Amelia untuk menghadiri makan malam bersama keluarganya di sana.  Jam di tangan kukerling berkali – kali.  Hampir pukul 7 malam.  Langit di luar sudah lama gelap.  Entahkan masih ada keretapi lagi atau tidak.

      “Dato’, kita faham situasi Dato’.  Kita boleh tolong Dato’ dapatkan pembiayaan untuk menanggung kos tambahan Dato' ini,” ujar Rizal tidak tahan menadah telinga mendengar keluhan Dato’ Megat dari awal pertemuan tadi.

      “Kenapa I kena dapatkan lagi pembiayaan?  I dah terikat dengan pinjaman sedia ada projek ini,” Dato’ Megat membantah.  Matanya memandang aku dan Rizal bersilih – ganti.  Singh di sebelahnya hanya terangguk - angguk macam burung belatuk.

      “Habis tu, bagaimana pulanya Dato’? Takkan kami pula nak menanggung kerugian Dato' ?” tanya Rizal lagi.  Mukanya kemerahan menampakkan sabarnya yang kian menipis.

      Aku mencuit lengan Rizal.  Menyuruhnya keluar untuk menghisap rokok sebatang dua.  Barangkali dia perlukan sedikit masa untuk kembali bertenang bagi menghadapi kerenah Dato’ Megat.  Sebaik Rizal bangkit, pelayan restoran dengan pakaian seragam kemas dengan rompi biru datang ke meja kami untuk menghidangkan satu pot air teh di atas meja.  Seleksi terbaik katanya sambil menyambut pandanganku.

      Telefon bimbitku berdering.  Paparan skrin bercahaya.  Nama Amelia berserta gambarnya  tersenyum manja jelas terpampang.  Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 7 malam.  Dan lebih.  Barangkali dia merasa hairan kenapa aku masih belum menghubunginya seperti yang dijanjikan semalam.  Jika diikutkan, aku sudah sepatutnya berada di Stesen Cambridge pada waktu ini.  Menurut Amelia, keluarganya keluar makan pada pukul 7.30 malam.  Dia perlu mengambilku dari stesen untuk bergerak bersama – sama menuju ke restoran.

      “Muhammad, you kena bantu II berhadapan dengan pelbagai risiko kalau projek ini tidak dapat disiapkan.  Denda dengan pihak bank.  Denda dengan pihak Kementerian.  Belum lagi ambil kira tindakan – tindakan samseng pembekal yang mengugut kita sekarang ini,” jawab Dato’ Megat panjang – lebar.  Tanpa segan – silu meletakkan bebannya ke atas bahuku.

      “You pun satu, Muhammad.  You tak awasi pengurusan projek ini betul – betul.  Bagaimana you boleh lepaskan Jaafar buat macam itu pada kita?” Mukanya mencuka.  Pantas menyalahkan aku.  Biarpun perlantikan Jaafar adalah atas arahannya, malah diberi kuasa bebas untuk melakukan apa sahaja dalam menguruskan projek bagi pihak Dato’ Megat.

      Sejurus kemudian Rizal tiba dan duduk kembali di sebelahku.  Mukanya nampak lebih tenang dan yakin.  Entah berapa batang rokok yang dihisapnya.  Bau rokoknya kuat menyapa deria hidungku.

      “Dato’ hendak apa sebenarnya daripada saya?” akhirnya aku bersuara. 

Previous: 36
Next: 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.