Bab 40

BAB 40

GUGUP pula aku mahu keluar dari bilik persalinan ni. Ibu dengan ayah serta Luqman sudah menunggu di luar. Beberapa kali aku membelek diri aku yang mengenakan busana pengantin berwarna putih dan dihiasi dengan batu-batu permata kecil. Bibir menguntumkan senyuman. Seperti tidak percaya saja yang aku akan berkahwin tak lama lagi.

"Alyna... dah ke?"

Suara ibu mengejutkan aku, nafas dihelakan lembut sebelum keluar dari bilik persalinan itu.

"Okey ke, ibu?" soal aku sebaik saja berdiri di hadapan ibu. Tangan ibu membelek-belek busana itu.

"Cantik anak ibu... sekejap saja anak ibu dah besar dan sekarang anak ibu akan berkahwin tak lama saja lagi. Ibu bersyukur kerana ada seseorang yang akan menjaga dan melindungi Alyna..."

Aku memeluk tubuh ibu erat. Sebak pula hati mendengar tutur kata ibu itu. Air mata sudah mula bertakung. Terasa tangan ibu mengusap belakang tubuhku.

"Aly sayang ibu..."

"Ibu sayang Aly jugak..." Kedua-dua belah pipi aku dikucup lembut.

"Jom, kita tanya bakal suami Aly. Okey tak busana pengantin Aly ni..."

Aku tersengih lalu menganggukkan kepala.

"Abang... okey ke?" soal aku sebaik saja mendekati Luqman yang sedang berborak dengan ayah membelakangi aku.

"Ya Allah...." Luqman memandang aku tidak berkelip. Tangan aku cepat memukul lembut lengannya. Tak malu betul ayah dengan ibu ada, selamba saja dia ni.

"Apa?" soal Luqman dengan kerutan di dahi.

"Janganlah tenung macam tu. Ayah dengan ibu tengoklah...," bisik aku dengan nada keras. Luqman tertawa kecil.

"Biarlah. Abang kan bakal suami. Kenapanya?"

Aku mengetap bibir. Ada saja jawapan dia ni. Sabar sajalah aku ni. Hesy!

"Okey sangat! Kena dengan sayang yang comel ni!" Dia tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala.

"Baju abang dah pilih ke?"

Dia menganggukkan kepala sambil menuding ke arah sehelai tuksedo berwarna putih di atas kaunter. Aku menganggukkan kepala.

"Sayang, abang dah minta izin dengan ayah, lepas kita berkahwin abang akan bawa Aly terus pergi honeymoon." Terkelip-kelip mata aku memandang wajahnya. Dia ni memang betul-betul pantas dalam bab-bab macam ni. Macam ada pengalaman sedangkan aku ni cinta pertama dia dan dia pula cinta pertama aku.

"Abang ni memang tak menyabar ek?" usik aku. Dia mencebikkan bibir.

"Biarlah. Abang ni professor, bukan kerja sembarangan. Bukan senang nak dapat cuti tau." Aku tertawa kecil. Sempat pula dia berlagak tu.

"Abang ni ada saja jawapankan! Taulah professor bukan Perdana Menteri pun!" ejek aku.

"Eh! Ke situ pula perginya! Dah sudah pergi tukar pakaian balik, lepas tu kita pergi makan!"

Mengekeh aku tertawakan dia. Suka dapat menyakat dia semula. Segera aku menukar semula pakaian di bilik persalinan tadi dan kami membuat pembayaran di kaunter.

*****

SELESAI membeli pakaian dan barangan perkahwinan, ibu dan ayah meminta diri untuk ke hospital ada masalah kecemasan manakala Luqman membawa aku ke sebuah restoran untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong. Dia memesan sepinggan nasi berlauk dan kopi ais manakala aku memesan mihun goreng dan air limau ais.

"Sayang... lepas makan nak pergi mana?" soalnya selepas menghabiskan air minumannya kemudian siap sendawa lagi. Memang betul-betul kenyang tu.

"Erm... ikutlah. Aly tak kisah..."

"Pergi makmal nak?"

Berkerut dahi aku memandang dia. Dia ajak aku pergi makmal nak buat apa? Bukannya ada tugasan dekat situ pun. Lagipun hari ni hari minggu. Ada-ada sajalah dia ni tau.

"Abang nak buat apa dekat makmal?" soal aku kemudian menyedut air minumanku.

"Abang nak buat eksperimenlah. Eksperimen ni paling penting dalam hidup kita..."

"Eksperimen apa pulak ni? Ada ke eksperimen dalam hidup kita?" soal aku dengan nada pelik, kening turut terjungkit memandang ke arahnya.

"Ya... eksperimen untuk abang memastikan ia akan bertahan lama sehingga ke akhir hayat. Kalau rosak ke apa, abang kena buat penawar secepat mungkin sebelum teruk." Semakin berlapis dahi aku, tak faham sebenarnya apa yang Luqman cuba sampaikan.

"Eh! Abang ni main-main pulak! Cepatlah. Eksperimen apa?" soal aku sebal. Dia tertawa kecil.

"Eksperimen cinta kita. Abang nak pastikan cinta kita akan bertahan sampai ke akhir hayat, kalau di antara perlukan penawar, abang akan cepat-cepat hasilkan penawar tu supaya tak cinta kita tak rapuh..."

Aku menghelakan nafas panjang. Sebal! Sempat pula dia ni buat pickupline. Punyalah aku ingat dia serius tadi nak pergi makmal. Rupa-rupanya saja nak buat ayat bunga-bunga pula. Tergeleng kepala aku melihat dia seronok ketawakan aku.

"Okeylah. Aly nak pergi mana? Hari ni hari kita berdua untuk luangkan masa bersama-sama."

Aku tersenyum lalu menganggukkan kepala.

"Pergi beli novel boleh tak? Lepas tu Aly nak beli baju sikit, pastu kita tengok wayang nak?" Giliran aku pula tertawakan dia saat melihat wajahnya yang terkebil-kebil memandang aku.

"Sekali tiga bagi idea. Bagus, bagus. Saya suka..."

"Eish! Abang ni. Sudahlah! Ada-ada jelah..." Aku masih lagi menyambung saki baki ketawaku. Dia turut ketawa lalu kami serentak bangun membawa langkah keluar dari restoran itu.

BUK!

"Argh!"

Sempat Luqman memegang lengan aku dari terduduk mencium lantai. Dia memeluk lengan aku dari belakang dan kami memandang ke arah gerangan yang melanggar aku itu.

"Firdan?"

"Eh, Prof... Aly..." Segera Luqman menjarakkan sedikit dari aku. Firdan memandang kami pelik, berkerut dahinya.

"Awak nak pergi mana?" Laju aku menukar topik. Firdan terus mengalihkan pandangannya ke arah aku.

"Ah... nak pergi makan. Baru lepas beli barang tadi..."

Aku menganggukkan kepala.

"Korang buat apa dekat sini?" soal Firdan seperti menyindir.

"Kami baru lepas makan, tadi pergi makmal. Saya belajar buat eksperimen." Mujur aku teringat ayat bunga-bunga Luqman tadi. Terus mulut aku memberikan jawapan itu pada Firdan sebelum dia bertanya banyak.

"Oh... begitu. Okeylah, aku nak pergi makan. Prof, saya pergi dulu." Dia berjabat tangan dengan Luqman kemudian melangkah masuk ke dalam restoran itu. Aku dan Luqman saling berpandangan sebelum menyambung semula langkah kami.

"Abang... kenapa abang tak umumkan dekat sesiapa yang terdekat yang kita nak berkahwin?" soal aku sambil memandang ke arah Luqman yang sedang fokus memandu. Dia mengajak aku ke pusat membeli-belah yang lain. Katanya tidak mahu terserempak dengan Firdan lagi.

"Nanti abang akan maklumkan tapi bukan sekarang. Abang tak nak kena soal jawab macam artis pula. Lagi 3 hari kita nak berkahwin, abang akan beritahu mereka. Lagipun dalam surat permohonan cuti tu abang dah nyatakan yang abang akan berkahwin tapi tak pastilah dorang dah tahu ke belum, setakat ni tak ada hebohan lagi."

Aku sekadar menganggukkan kepala. Pandangan aku lemparkan ke suasana luar. Sebenarnya aku perasan, pandangan mata Firdan dan Luqman seperti ada sesuatu tadi. Luqman ada sembunyikan apa-apa dari aku ke? Cara pandangan Luqman pada Firdan seperti tidak senang hati.

Alyna, jangan fikir negatif. Mungkin perasan kau saja... semuanya akan baik-baik saja. Aku akan berkahwin dengan Luqman dah tak lama lagi, hanya menghitung hari. 


Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.