Bab 51

BAB 51

KEDENGARAN esakan ibu sebaik saja ayah mahu menyerah diri ke balai polis. Aku hanya terdiam membisu. Tidak tahu apa yang harus aku katakan. Luqman di sebelah cuba memujuk ibu. Sungguh aku tersentuh dengan Luqman, walaupun ibu bukanlah ibu kandungnya, cara dia memujuk ibu membuatkan aku rasa terharu. Dia memeluk dan mengusap bahu ibu. Tutur katanya cukup lembut mahu memujuk ibu. Ayah di sebelah turut mengalirkan air mata.

"Ayah...," panggil aku sebaik saja melabuhkan punggung di sebelahnya. Tubuh ayah aku peluk erat.

"Aly sayang ayah... Aly tak tahu jawapan apa yang harus Aly berikan bila ayah sendiri yang cakap, ayah nak serahkan diri. Walau apapun yang berlaku, ayah tetap ayah Aly sampai bila-bila. Aly akan ingat jasa ayah yang banyak berkorban untuk Aly sejak Aly dari dalam perut ibu lagi sehinggalah sekarang Aly dah berkahwin." Air mata aku mula mengalir ke pipi setelah sekian lama menahan.

"Terima kasih ayah. Terima kasih sebab jaga dan didik Aly penuh dengan kasih sayang. Aly akan sentiasa mendoakan untuk ayah supaya ayah diringankan hukuman. Aly tak nak kehilangan ayah. Aly nak ayah tengok cucu-cucu ayah ni lahir dan ayah boleh bermain bersama mereka." Teresak-esak aku mengungkapkan setiap bait ayat itu. Perasaanku sangat sebak.

"Nur Alyna... anak ayah yang ayah sayang. Terima kasih sebab sentiasa bersama dengan ayah walaupun ayah selalu menyakitkan hati Alyna. Sekali lagi ayah buat Aly malu dan sakit hati bila Aly dapat tahu semua ni. Maafkan ayah sebab ayah tak mampu jadi ayah yang terbaik untuk Aly..."

Tubuh aku dipeluk erat oleh ayah. Dia turut menangis teresak-esak sehingga terhinjut-hinjut bahunya.

"Abang... abang janjikan nanti abang balik semula...," rintih ibu sambil memeluk bahu ayah setelah lama dipujuk oleh Luqman.

Ayah tersenyum kecil lalu mengangguk kecil. Dikucupnya dahi ibu dan membalas pelukkan ibu erat.

"Ya sayang, nanti abang balik. Insya-Allah. Doakan untuk abang dan maafkan semua kesalahan abang. Sayang jaga diri... tolong kenalkan diri abang dekat cucu-cucu kita, ya?"

Makin kuat esakan ibu. Kepala ibu terangguk-angguk mengiyakan kata-kata ayah. Aku memandang Luqman sayu.

"Sayang... jangan nangis. Kesian ayah... berikan ayah semangat untuk lakukan semua ni. Tak semudah ini untuk ayah menyerahkan diri."

Aku mengangguk lalu memeluk tubuh Luqman.

"Alyna..."

Aku menoleh semula memandang ke arah ayah. Tangan ayah naik ke perutku lalu diusap lembut.

"Lindungi dan didik cucu-cucu ayah lebih baik dari ayah yang menjaga Aly dulu. Sayangi dan fahami mereka tatkala mereka dalam keadaan susah dan senang. Jangan jadi seperti ayah yang terlalu pentingkan diri sendiri."

Laju aku menggelengkan kepala sambil menangis.

"Ayah... jangan cakap macam tu...," esak aku.

Ayah tersenyum kecil.

"Apa nama cucu-cucu ayah ni? Dah ada nama ke? Boleh ayah titipkan doa kalau ayah dah masuk dalam penjara nanti..."

"Insya-Allah ayah... nama cucu-cucu ayah, Adam Rizqin dan Arissa Rizqina," jawab Luqman sambil tersenyum kecil.

"Alhamdullilah... cantiknya nama-nama cucu ayah. Pandai Aly dan Luq pilih. Akan ayah ingat sampai bila-bila."

Aku hanya mampu tersenyum segaris. Tidak mahu menangis lebih-lebih, takut mendatangkan efek pada anak kembarku.

*****

PAGI itu, aku mengikut ayah pergi ke balai polis bersama ibu dan ayah serta Luqman. Firdan turut ikut serta untuk penerangan lanjut. Hospital tempat lama ayah dan ibu bertugas ditutup sementara untuk penyiasatan. Setelah berjam-jam menerang dan berbincang bersama pihak polis. Ayah dimasukkan ke dalam lokap untuk siasatan lebih lanjut selama dua minggu. Memandangkan kes ini berat dan tempoh masanya sudah lama. Ayah harus ditahan dan disoal manakala Yazid, mereka akan cari sehingga dapat.

"Ibu... serius ke ibu nak duduk rumah aunty Nadhia?" soal aku.

"Ya.. dia sendiri yang ajak ibu supaya ibu tak terlalu fikirkan masalah ini. Antara adik-beradik ibu yang lain, aunty Nadhia yang selalu memahami ibu."

Aku menganggukkan kepala.

"Ibu dah kemas baju ke? Kalau dah, Luqman boleh hantarkan ke sana. Tak jauh pun kan...," ujar Luqman.

"Ya. Ibu dah kemas malam semalam. Terima kasih, Luqman."

Luqman menganggukkan kepala.

"Sayang, sayang boleh drive pergi ke hospital dengan Firdan? Sementara abang pergi hantar ibu ke rumah aunty Nadhia?" tanya Luqman. Firdan di sebelah hanya memerhatikan kami.

"Insya-Allah boleh je. Alyna tunggu abang dekat hospital sajalah. Apa-apa abang call, ya? Hati-hati..."

Luqman tersenyum lalu mengucup dahi dan pipi aku.

"Pergilah dulu. Abang nak call teksi untuk ambil beg ibu di rumah kemudian abang pinjam kereta ayah untuk hantar ibu."

"Baiklah abang." Aku melambaikan tangan sebelum meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta begitu juga dengan Firdan.

"Alyna...."

"Ya?"

"Terima kasih sebab kau tak putuskan persahabatan kita bila kau dah dapat tahu semua ni. Aku rasa aku ni terlalu bodoh ikutkan perasaan. Kalau aku tunaikan dendam aku, mesti aku pun ikut jejak mereka duduk dalam penjara. Kan?"

Aku tersenyum nipis.

"Ya betul tu, Fir. Saya faham perasaan awak. Saya tahu saya tak ada kat dalam situasi awak. Tapi percayalah cakap saya, arwah mak awak bersedih kalau awak tunaikan dendam awak. Dia nak tengok awak berjaya menjadi seorang doktor yang bertauliah. Kalau dulu awak pernah janji nak sembuhkan dia dari penyakit tu. Sekarang awak buktikan yang awak boleh merawat pesakit yang memerlukan awak."

Dari ekor mata aku ternampak Firdan tersenyum kecil sambil menganggukkan kepalanya.

"Sekarang ni, awak dah jadi doktor. Ramai pewaris pesakit memuji ketangkasan awak dalam merawat pesakit. Saya sendiri kagum saya ada kawan seperti awak, Firdan. Pasal hal dulu tu kita lupakan dan kita buka buku baru. Awak tetap jadi sahabat saya."

"Terima kasih Alyna. Untung Luqman dapat kau. Seorang yang selalu berfikiran positif dan matang."

Aku tertawa kecil.

"Erm... Alyna... aku nak tanya ni..."

"Apa dia?"

"Aku nak lamar Andra jadi isteri aku. Tapi aku macam yakin tak yakin. Aku nak Andra jadi milik aku. Aku sayangkan dia. Kau rasa terdesak sangat ke aku nak lamar Andra? Dia pun dah nak habis praktikal."

Aku tertawa kecil.

"Kalau dah niat baik nak jadikan Andra tu isteri awak... apa salahnya awak bincang dengan dia baik-baik. Awak dengan diakan dah menjalani hubungan istimewa sejauh ini. Tak salah untuk awak luahkan sesuatu yang awak sendiri dah niat. Saya yakin Andra mesti terharu. Dia kan sayangkan awak..."

"Fuh... gementar rasanya. Sebenarnya malam ni aku dah ajak dia keluar makan malam bersama-sama. Masa tu lah aku nak lamar dia. Kau doakan aku, Aly supaya Andra terima aku."

Kepala aku anggukkan dengan senyuman di bibir.

"Mesti saya doakan. Awakkan sahabat saya. Nanti majlis perkahwinan jangan lupa jemput saya tau!"

"Eh! Mestilah aku jemput. Kau tu je yang tak jemput aku... kahwin senyap-senyap. Tup-tup je dah dapat gelaran 'puan'..."

Aku mencebik.

"Perli nampak. Yelah, maaflah tak jemput awak. Tapi kan hari tu Prof. Luqman dah tunjuk gambar kahwin. Kira okeylah tu..."

"Ada sajalah jawapan kau..."

Aku tersengih.


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.