Bab 46

BAB 46

LUQMAN masih belum pulang lagi ke rumah, hari ni dia dipanggil untuk pergi ke sebuah makmal untuk mengetahui keputusan kajiannya. Aku pulang ke rumah tadi bersama ayah dan ibu. Rindulah pula dekat dia. Biasa balik sama-sama. Inilah kali pertama dia pulang selama kami menjadi pasangan suami isteri.

Terasa pula nak pergi 7-Eleven dekat seberang sana. Dah lama tak pergi semenjak berkahwin ni. Dulu hidup bujang rajin juga pergi ke sana. Telefon aku capai lalu memberitahu Luqman yang aku mahu ke 7-Eleven untuk membeli makanan dan minuman. Dia masih belum balas, jadi aku mengambil masa untuk bersiap-siap.

Sebaik saja Luqman mengizinkan aku untuk ke sana, aku terus menyarung sandal dan menapak perlahan melalui jalan lorong yang singkat untuk cepat sedikit sampai ke 7-Eleven. Lalu lorong itu saja mengingatkan aku kejadian lama di mana aku diganggu oleh lelaki yang sama. Dua kali kejadian itu berlaku dan sampai sekarang aku tak tahu siapa lelaki yang menyelamatkan aku itu dan siapa lelaki yang cuba untuk mencederakan aku tu.

"Alyna..."

Aku mempercepatkan langkahku dengan debaran di jantung saat mendengar nama aku dipanggil dari belakang. Suara itu beberapa kali memanggil nama aku. Semakin laju aku melangkah, semakin dekat suara itu memanggil aku.

"Ahhh!"

Aku menjerit apabila lengan aku direntap oleh gerangan yang memanggil nama aku tadi.

"Alyna..."

"Awak siapa? Tolong jangan apa-apakan saya!"

Dia menolak tubuh aku sehingga terhentak perlahan ke dinding tembok lorong itu. Aku mengatupkan mata rapat sehingga mulut terkemam kuat. Takut mula menyerang diri aku. Terasa tangannya mengelus wajah aku lembut. Dia nak buat apa dengan aku? Abang.... tolong Aly...

"Kenapa kau tak tunggu aku? Aku dah cakap tunggu aku, Alyna..."

Suara itu seperti aku kenal tetapi di mana? Suara ini tidak sama seperti lelaki dulu yang pernah menganggu aku. Bermakna lelaki di hadapan aku ini adalah lelaki yang lain. Siapa pula yang nak ganggu aku kali ni?

"Awak siapa?" soal aku terketar-ketar.

"Aku sepatutnya yang berkahwin dengan kau, Alyna. Bukan dia... bukan Luqman!"

Aku terperanjat saat dia menengking aku dengan nada nyaring sehingga bahu aku terhinjut.

"Doktor Yazid?"

Entah kenapa nama itu terpacul dari mulut aku. Kerana suara dia. Kerana dia tak berpuas hati aku berkahwin dengan Luqman kerana sepatutnya aku dan dia disatukan atas permintaan ayah dulu.

Hero aku... tolonglah muncul. Abang... tolong Alyna!

"Kenapa senyap, sayang? Kalau sayang tahu aku Yazid... kenapa terdiam? Takut?"

Aku teragak-agak mahu mencelikkan mata.

"Ya, sayang. Aku Yazid Aqmar. Bakal suami kau..."

"Doktor, kenapa?" Aku kehilangan kata-kata saat melihat wajahnya itu. Tangannya membetulkan hoodie di kepala. Dia tersenyum sungging ke arah aku. Sangat menyeramkan dengan wajahnya yang berparut teruk itu.

"Kenapa dengan aku? Kau kisah ke pasal aku? Kisah ke?" Sekali lagi aku terkejut saat dia meninggikan suara. Terketar-ketar bibir aku mahu mengeluarkan suara.

"Doktor... nanti kita bincang elok-elok, ya?"

"Apa? Bincang? Kau dah kahwin dengan lelaki tak guna tu! Kau nak ajak aku bincang apa lagi? Hah!"

Dia menolak tubuh aku sehingga aku tersungkur ke lantai lorong. Mata aku terpejam saat terasa sakit mula menjalar pada tubuh badanku dan juga bibir. Terasa cecair hangat mengalir perlahan dari bibirku.

"Doktor... tolong... jangan apa-apakan saya...," rayu aku sambil menangis teresak-esak. Sedaya upaya aku mengesot menjauhi darinya. Dia tersenyum senget sambil meninggung di hadapan aku.

"Sayang... kenapa sayang menangis? Sayang takut ke?"

Aku hanya menggelengkan kepala perlahan manakala dia mengekeh tertawakan aku.

"Tolong...."

Aku merintih saat dia merentap pergelangan tangan aku sehingga aku terdorong bangun mengikut gerak-gerinya.

"Sakitlah! Lepaskan saya! Yazid!" jerit aku sekuat hati.

PANG!

Argh!

Kepala aku terteleng ke kanan. Kuat betul tamparan dia sehingga pipi aku terasa pijar. Tangan aku naik menyentuh pipi aku. Sungguh ketika itu pipi aku terasa kebas. Pandangan aku berbalam-balam.

"Alyna?" Nada suara Yazid berubah perlahan. Tiada lagi suara yang nyaring seperti tadi. Dia menarik tangan aku perlahan sambil memegang pipi aku. Aku memandang wajahnya dengan kerutan di dahi. Air mata masih tidak berhenti mengalir lagi. Sakitnya tak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata.

"Sayang... sakit ke?"

Aku menolak tangannya yang cuba memegang kedua-dua belah pipiku. Aku cuba mengumpul kudrat untuk melarikan diri dari dia.

"Arghhhhh!"

Aku berlari sekuat hati sebaik saja berjaya menggigit tangannya kuat. Dia mengejar aku dari belakang. Dalam hati aku berdoa agar sesiapa datang untuk membantu aku. Aku takut.

"Aaaah... hmphhh!"

Seseorang menarik aku ke dalam dakapan dengan menutup mulut aku dengan tangannya. Kami sekarang berada di satu lorong yang agak sempit di antara dua buah bangunan yang masih dalam pembinaan.

"Sshhh...."

Aku mendongak memandang wajahnya yang ditutup dengan hoodie dan topeng mulut. Suasana yang gelap menyebabkan aku sukar menampakkan wajahnya dengan jelas.

"Alyna!"

Terhinjut bahu aku mendengar nama aku diseru sebegitu. Mujur gerangan yang menyelamatkan aku ini menutup mulutku. Kalau tidak, memang aku sudah menjerit kerana terkejut.

BUKBUK!

Yazid ditumbuk kuat oleh si gerangan yang menarik aku tadi.

"Kau siapa?" tempik Yazid sambil mengelap darah yang mengalir dari tepi bibirnya.

"Kau tak perlu tahu aku siapa..."

Aku menyorok dia belakang tubuhnya, takut melihat Yazid yang semakin hilang kawalan.

"Kau jangan buat masalah... kalau kau rasa nak masuk penjara, silakan buat kerja gila kau tu!" ugut dia.

Yazid mendengus kasar kemudian dia merenung tajam ke arah kami sebelum dia melarikan diri.

"Hari ini kau terlepas...," gumamnya perlahan sebaik saja Yazid hilang dari pandangan kami.

*****

DIA memimpin aku berjalan sehingga sampai ke kedai serbaneka 7-Eleven. Aku melabuhkan punggung di atas sebuah bangku berhadapan dengan kedai itu. Nafas aku helakan panjang. Si dia pula turut melabuhkan punggung di sebelah aku lalu mengeluarkan tisu basah dan plaster.

"Sini..." Hanya sepatah saja dia bersuara, mengarah aku untuk duduk menghadapnya.

"Awak siapa? Kenapa awak selamatkan saya? Adakah awak lelaki yang selamatkan saya dulu?" soal aku dengan sedikit suara terketar-ketar. Dia tidak menjawab sebaliknya mengelap kesan darah pada bibir aku dan kemudian menampalkan plaster itu pada kesan luka. Satu botol krim kecil dikeluarkan dari kocek seluarnya kemudian disapu pada pipi aku yang sudah membengkak.

"Aw... awak? Kenapa diam? Awak siapa?" tanya aku lagi. Sungguh aku ingin tahu siapakah gerangan di hadapan aku ini. Kenapa dia terlalu baik membantu aku?

"Saya adalah pelindung awak," jawabnya.

Berkerut dahi aku saat mendengar suaranya. Suara dia macam.... susah aku nak dengar suara dia dengan betul disebabkan topeng mulutnya itu.

"Aw... awak jangan main-main. Saya isteri orang. Awak jangan buat saya tertanya-tanya...," ujar aku dengan nada sedikit ditegaskan. Sudahlah berdua-duaan begini, kalau sesiapa nampak. Teruk aku difitnahnya nanti.

"Kalau nak tahu sangat... tolak hoodie dan bukak topeng saya...," katanya.

Air liur aku telan payah. Teragak-agak tangan aku menolak hoodienya sekali gus menarik perlahan topeng mulutnya itu.

"Ab..."

Jantung aku seakan-akan sudah berhenti berdegup.

"Abang?"

Luqman memandang aku dengan senyuman kecil. Pipi aku yang bengkak diusap perlahan.

"Maafkan abang sebab lambat selamatkan sayang. Abang terkandas dalam trafik jem tadi."

"Tapi... bukan ke abang pergi...."

Dia menganggukkan kepala.

"Abang dah siap kerja awal jadi abang terus balik tapi abang lambat sebab trafik jem. Tak sangka benda macam ni terjadi."

Aku memeluk tubuh Luqman erat. Dia mengusap belakang aku lembut.

"Lepas ni ke mana abang pergi, sayang kena ikut. Abang tak nak sayang sorang-sorang lagi. Luruh jiwa abang tengok sayang kena macam ni sekali. Abang rasa bersalah sangat sebab tak datang selamatkan sayang awal-awal..."

Aku menggelengkan kepala.

"Abang... kejadian dulu betul ke abang yang selamatkan, Aly? Dua kali kejadian.... satu dulu di lorong masa tu Aly nak pergi 7-E jugak, satu lagi masa Aly jalan-jalan dekat sekitar kawasan rumah, Aly."

Luqman memandang aku kemudian melepaskan keluhan kecil. Dia tersenyum kecil sambil mengusap bahuku lembut. Sekali lagi mendakap tubuhku erat seperti tidak mahu lepaskan.

Aku memejamkan mata cuba menghilangkan rasa penat yang tak terhingga. Aku hanya menunggu jawapan dari Luqman untuk soalan aku tadi.


Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.