Bab 6

BAB 6

SUDAH hampir seminggu, aku bertungkus-lumus belajar demi meningkatkan prestasi aku dan sepanjang itu juga aku hadap Prof. Luqman. Memang tak dapat dinafikan, cara dia mengajar sangat sistematik dan teratur, tidak seperti Doktor Dennis yang agak tergesa-gesa. Tahu nak cepat tangkap saja. Siapa yang lambat, tiada diulangnya semula.

"Nur Alyna...," suara garau itu membuatkan aku segera mendongakkan kepala dan memandang wajahnya.

"Err.. ya Prof. Maafkan saya," ujarku perlahan. Penyakit kuat berangan aku ini susah untuk dihilangkan. Aku termenung sedikit saja sudah terbabas masuk ke alam lain.

"Saya panggil awak hampir 15 kali, baru awak sedar. Awak ni banyak sangat masalah ke dekat rumah sampai macam ni sekali keadaan awak? Makin parah saya tengok. Silap hari bulan awak kena belajar di pusat pemulihan mental," kata-katanya cukup selamba membuatkan hati aku tersentap. Bibirku diketap perlahan.

"Prof, nak cakap yang saya ni gila?" soal aku dengan nada perlahan. Ya. Aku terasa hati dengan kata-katanya.

"Eh, saya tak cakap pun awak gila. Awak yang cakap, jadi awak lah yang mengaku awak gila," katanya sambil membelek beberapa helaian kertas ujian yang sudah siap dicetak.

Aku terdiam seribu bahasa. Tiada gunanya aku membahas kata-katanya itu. Semakin dia menyindir adalah nanti. Sendiri yang terciduk.

"Dah. Awak dah bersedia ke nak jawab soalan ujian saya. Ingat tak cabaran yang saya bagi tempoh hari. Apa ganjaran yang awak akan dapat sekiranya awak gagal atau lulus dalam ujian saya ni."

Aku sekadar menganggukkan kepala, berlagak tenang, walhal jantung sudah berdegup kencang seperti mahu tertanggal dari tangkainya.

"Baiklah. Ada dua set kertas soalan awak kena jawab. Satu kertas soalan saya beri masa selama 30 minit, jadinya jumlah untuk dua set kertas soalan ada sejam. Awak ada masa sejam untuk siapkan sementara saya mengkaji kajian saya dekat makmal sana. Faham?"

Dia menolak kertas soalan itu ke arah aku. Aku menganggukkan kepala lalu mengucapkan terima kasih. Dia berlalu menapak ke makmal yang dimaksudkan tadi.

Nafas dihela perlahan.

Sehelai demi sehelai aku belek setiap kertas soalan itu. Tertelan air liur aku membaca soalan-soalan di dalam kertas ujian itu.

Sebatang pen diambil dan aku mula menulis jawapan mengikut kehendak soalan.

*****

"ALYNA..."

Aku mendongakkan kepala saat namaku dipanggil olehnya. Aku bangun lalu masuk ke dalam makmal semula. Dia hanya mengambil masa 20 minit untuk menanda dua set kertas ujian aku itu. Dengan penuh debaran, aku duduk berhadapan dengannya.

Dia menolak dua set kertas soalan itu ke hadapan aku kemudian anak matanya merenung aku lama sambil mencantumkan kedua-dua belah tangannya. Ekspresi wajahnya seperti sedikit kecewa. Adakah aku gagal?

"Bukalah soalan tu dan tengok markah awak. Terus terang saya cakap dengan awak. Awak gagal dalam ujian saya Nur Alyna. Markah awak bawah 80%, jadi seperti dalam perjanjian kita. Mulai esok, hari awak adalah hari saya, sepanjang tiga bulan sebelum peperiksaan percubaan semester 3 bermula," ujarnya dengan nada perlahan.

Aku tak dapat nak menelan air liurku saat mendengar kata-katanya, terasa seperti ada sesuatu yang tersekat pada kerongkongku. Perlahan tanganku menyelak kertas ujian tadi. Kertas set satu aku hanya memperolehi 75% manakala kertas set yang kedua aku memperolehi markah 78%. Teruk sangatkah aku? Kenapa aku tak mampu nak skor 80%, dapat sekali pun dah mampu menggembirakan hati aku. Kenapa susah sangat aku nak skor 80% ke atas, sedangkan aku berusaha memahami setiap topik yang diajar.

"Dah puas tenung kertas sendiri? Seronok dapat markah macam tu sampai tenung tak sudah-sudah, huh?" perli dia.

Aku menundukkan wajah dan sedaya upaya menahan tangisanku.

"Janganlah perli saya macam tu...," ujar aku dengan nada sebak.

"Kenapa nak menangis? Sendiri yang jawab soalan tu bukan saya, kan?"

Aku harap dia akan berikan kata-kata semangat tetapi lagi dia perli aku.

"Sudahlah. Jangan menangis. Lepas ni belajar lagi. Awak pun dah sertai cabaran saya tu, jadinya sepanjang tiga bulan tu, awak bersemangat nak berjaya dalam peperiksaan percubaan tu nanti sebelum awak kena hadap peperiksaan yang sebenar." Walaupun dia suka menyindir, dia tetap memberikan kata-kata positif yang membuatkan hati aku terasa tenang.Walaupun kena hadap dulu dia punya sindiran tu!

Dalam sindirannya ada aura positifnya. Aku sendiri pun tidak tahu kenapa aku boleh bertahan dengan dia.

*****

CABARAN aku sudah pun bermula, hari ini dia mahu membawa aku ke sebuah tempat sebelum pembelajaran kami bermula memandangkan hari ini hari Sabtu. Aku hanya mengenakan baju blaus berwarna maroon dan seluar jeans berwarna hitam. Rambut aku ikat gaya ekor kuda. Simple dan mudah untuk aku bergerak ke sana ke sini.

Aku menyapu jem strawberi di atas permukaan roti Gardenia dan dilipat dua kemudian dikemam pada bibirku. Satu tin air Milo mocha aku ambil dari dalam peti sejuk dan dibuka penutup tinnya kemudian straw dimasukkan ke dalam tin itu.

Nikmat sungguh aku bersarapan pada pagi ini. Sihat dan kenyang!

PIN! PIN!

Alamak, Professor muda dah sampai. Segera aku menggalas beg kecil berwarna putih bercorak rama-rama, kemudian menyarung kasut Adidas berwarna putih.

"Selamat pagi," ucapnya sebaik saja aku memboloskan diri ke dalam kereta Toyotanya itu.

"Selama pagi, Prof," balasku dengan nada ceria.

"Kan saya dah pesan. Kalau dekat luar panggil saya, Luqman atau abang."

Aku terkebil-kebil. Masalahnya perlu ke aku nak panggil 'abang' itu. Setakat beza 4 tahun saja, bukan jauh sangat pun.

"Alyna... haih... penat saya panggil awak ni lah."

Aku tersentak dari lamunanku segera membetulkan posisi kedudukkanku dan memakai tali pinggang keledar.

"Ya, apa? Maaf. Saya tak sengaja termenung," ujarku perlahan. Dia memberikan fokus sepenuhnya kepada pemanduan.

"Saya cakap, jangan panggil saya Prof kalau dekat luar. Saya tak selesa. Panggil saya abang, okey?"

Aku sekadar menganggukkan kepala. Apa lah nasib aku gagal dalam ujian dia, sudahlah aku kena ikut kata-kata dia dan tak boleh bantah walau sekali pun. Sekarang ni pula nak kena panggil 'abang'. Memang tahap kesabaran aku sungguh luar biasa. Orang senang-senang je boleh pijak kepala aku.

Sepanjang perjalanan aku hanya melemparkan pandangan ke luar tingkap, mengamati suasana sekeliling dan hanya membisukan diri. Seketul huruf pun tidak keluar langsung dari mulutku. Dia pun senyap aje, aku pun senyap ajelah. Tak tahu nak berbual mengenai topik apa. Bukannya biasa berkomunikasi dengan dia pun.

Aku harap cepatlah tempoh tiga bulan ni berlalu dengan pantas dan aku boleh skor dalam peperiksaan percubaan semester aku tu. Aku harap sangat. Aku bersemangat nak buktikan pada ibu dan ayah yang aku boleh menjejaki langkah mereka satu hari nanti.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.