Bab 8

BAB 8

"SAYA minta maaf pada awak, Alyna," ujarnya tiba-tiba sambil menarik hujung lengan kot bajuku, lantas langkahku terhenti.

"Kenapa abang Luq nak minta maaf pula?" Memandangkan kami sudah di luar waktu pembelajaran maka gelaran aku kepadanya bertukar. Kami sekarang berada di taman tasik selepas saja makan tengah hari bersama di warung berhampiran tadi.

"Maaf sebab saya selalu sindir awak. Buat awak kecil hati. Saya tak tahu awak ada masalah seberat itu. Maaf," ujarnya sekali lagi sambil membongkokkan sedikit tubuhnya membuatkan aku terkesima seketika. Aku tak sangka dia akan bertindak sedemikian.

"Abang Luq tak perlu minta maaf. Apa yang abang Luq cakap semua betul. Saya memang lambat tangkap sekiranya dalam pelajaran. Sepatutnya saya berterima kasih pada abang Luq kerana sudi menerima saya sebagai pelajar abang Luq walaupun saya banyak menyusahkan abang Luq sepanjang pembelajaran," tuturku lembut sambil berdiri di hadapannya dan mendongakkan kepala memandang wajahnya.

Dia tersenyum lalu kami bertaut mata buat seketika sebelum dia bersuara.

"Abang ikhlas terima Alyna sebagai pelajar abang. Terima kasih sebab tahan dengan sikap abang. Lepas ni Alyna kena banyak tumpukan perhatian pada pelajaran. Tanya apa saja yang Alyna tak faham, abang akan tolong setakat mana yang abang mampu."

Aku tersenyum lebar lalu melompat gembira.

"Maknanya cabaran tu dibatalkan?" soal aku dengan penuh harapan.

"Amboi! Itu tetap diteruskan, ya. Kalau tidak, Alyna takkan belajar dengan bersungguh-sungguh. Biar abang sindir-sindir baru dia rasa tercabar nak belajar."

Aku mencebikkan bibir dan dia selamba melangkah meninggalkan aku di belakang.

"Abang Luq! Eii!" rungut aku seorang diri di situ. Aku berlari mengejarnya dan saat itu aku nampak dia sedang tertawa kecil.

"Hah! Ketawakan orang, ek!" sergah aku di belakangnya. Dia terkejut lalu jatuh terduduk.

"Aduhhh!"

Aku terkebil-kebil memandangnya yang sudah selamat terduduk di atas lantai taman itu.

"Alamak. Maaf. Maaf." Aku membantu dia bangun.

"Aduh! Abang Luq! Ahhh!" jerit aku marah apabila dia sengaja menyakat aku. Aku nak tolong dia bangun tapi dia tarik aku sampai jatuh sebelah dia, dia pula selamba bangun dan lari tinggalkan aku.

Dari jauh aku nampak dia mengekek ketawa. Aku pada mulanya marah tetapi saat melihat wajahnya yang tersenyum lebar itu membuatkan aku turut tersenyum tanpa aku sedar. Kenapa aku terasa bahagia saat ini?

"Alyna!" panggilnya sambil melambai ke arah aku. Lantas aku bangun lalu mengejarnya dari belakang.

"Kejarlah!" Dia ketawa sambil berlari laju. Aku sudah tercungap-cungap mahu mengejarnya lalu berhenti di tengah-tengah taman itu sambil memegang kedua-dua belah lututku. Letih. Lelah.

"Abang Luq?" Aku menegakkan semula badan dan cuba mencari kelibatnya yang tiba-tiba saja menghilang.

"Abang Luq!" panggil aku lagi tapi tiada sebarang sahutan.

Satu kuntum bunga tiba-tiba terselit di tepi telinga aku dan saat itu aku mendongakkan kepala. Susuk tubuh milik Luqman berdiri tegak di hadapan aku sambil sebelah tangannya diselukkan ke dalam poket.

"Takut sangat abang hilang, ya?"

Aku terus menampar bahunya, geram. Bibirku ketap perlahan. Dia tertawa kecil.

"Cantik bunga dahlia ni. Sesuai untuk Alyna yang tembam!" usiknya. Terlopong mulutku saat mendengar perkataan 'tembam' dari mulutnya. Terus dia berlari meninggalkan aku. Aku mengejarnya semula.

"Okey! Maaf!" jeritnya sambil berlari.

"Kata orang tembam lagi! Hah!" balas aku sambil mengejarnya lagi.

Dia tertawa sambil rebah di atas rumput berhadapan dengan tasik. Aku duduk memeluk betis di sebelahnya.

"Matahari nak terbenam," ujarnya dan saat itu mata aku terpaku pada matahari yang berwarna oren kekuningan jelas terpancar di hadapan kami. Perlahan bibirku melorekkan senyuman lebar. Tangan kanan menguis rumput di situ.

"Cantikkan?" ujarnya sambil mengubah posisi kepada duduk bersila. Aku sekadar menganggukkan kepala.

"Cantik sangat. Dah lama saya tak nampak matahari terbenam cantik depan-depan macam ni," kataku.

"Kali terakhir, bila?" soal dia.

Reaksi wajahku berubah saat mendengar soalannya. Bibirku diketap.

"Kali terakhir, masa tu saya baru lepas ambil keputusan SPM. Ayah dan ibu bawa saya ke satu taman tasik besar. Dari tengah hari sehingga malam kami meluangkan masa di situ. Berkelah. Main layang-layang dan badminton." Perlahan air mataku gugur, menitis di pipi.

"Alyna?" panggilnya sambil menyentuh bahuku lembut. Segera aku menyeka air mataku.

"Ya?" Aku menoleh memandangnya sambil tersenyum kecil.

"Janganlah menangis. Penat abang dah buat Alyna terhibur tadi. Jangan menangis, ya?" Dia mengusap bahuku lembut. Jarak kami dirapatkan dan dia menyandarkan aku di bahunya.

"Lepas ni, Alyna dah tak keseorangan. Abang akan sentiasa jadi pendengar setia untuk Alyna, abang janji tapi Alyna kena janji dengan abang yang Alyna akan skor cemerlang untuk peperiksaan percubaan dan akhir tahun. Okey?"

Aku mengesat air mata dan mendongakkan kepala memandang wajahnya sambil tersenyum.

"Janji," ucapku sambil jari kelingking kami bertaut sesama sendiri.

"Abang tak nak Alyna menangis, apa saja masalah yang Alyna tempuhi beritahu abang supaya Alyna tak terseksa memendamnya," katanya lagi.

"Baik, abang Luq. Terima kasih." Dia sekadar menganggukkan kepala dan memeluk bahuku sambil mengamati pemandangan matahari terbenam sepenuhnya.

Perlahan aku melentukkan kepala pada bahu Luqman. Entah kenapa aku rasa selamat setiap kali dia di sisiku tapi apa perasaan dia terhadap aku? Mungkin dia hanya menganggap aku sebagai anak muridnya dan mungkin hanya sebagai adik? Tak lebih dari itu. Tapi aku?

Kenapa perasaan aku lain sangat setiap kali bersamanya?

Jujur aku katakan, sewaktu perjumpaan kami dulu. Jantung aku berdegup kencang saat memandangnya. Selama ini aku memandang mana-mana lelaki, tiada pula berdetak laju sebegitu. Ada sebuah novel yang pernah aku baca, sekiranya jantung kita berdegup kencang saat memandang seseorang bermakna kita sudah jatuh cinta pandang pertama.

Aku? Jatuh cinta? Layakkah aku mencintai dan dicintai oleh seseorang?

Tapi...

Luqman Rafhael dah berjaya buat aku terbuka hati untuk mula menyukainya. Lebih-lebih lagi dia yang sudi menghiburkan dan mendengar segala masalah aku.

Tiada satu pun yang tercicir.

Apa yang aku rasa sekarang ini, patutkah Luqman tahu?

Aku takut...

Takut perasaan aku ini hanya bertepuk sebelah tangan saja. Aku juga sendiri menanggung malu yang menggunung.

Aku ambil keputusan untuk pendamkan perasaan ini dulu dan mencari masa yang sesuai untuk meluahkan kepadanya dan aku harap Luqman tak marahkan aku.

Maafkan saya, Luqman. Saya tak pernah rasa sebahagia ini, tapi awak berjaya buat saya gembira walau awak hanya mendengar masalah saya yang terbuku di dada ini.

Terima kasih, Luqman kerana sudi hadir di dalam hidup saya.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.