Bab 1

BAB 1

"NUR ALYNA!" Bergema-gema suasana dewan dengan empunya suara Dr. Dennis.

Aku yang sedang berkhayal tersentak mendengar suara jeritan itu, secara refleks aku berdiri saat nama aku dilaungkan. Semua pelajar yang ada di dalam dewan itu tertawa kecil.

Seronok sangat ya? Tak apa...

"Awak ni, Aly tak habis-habis berangan, dah serupa mat jenin dah saya tengok awak ni!" bebel Dr. Dennis.

Aku hanya menggarukan kepala sambil tersengih kecil. Tak tahu nak beri jawapan apa. Aku sememangnya kuat berangan sejak kecil lagi memandangkan aku ni suka bersendirian. Boleh dilabelkan aku dalam senarai kategori introvert.

"Maafkan saya, doktor," ucap aku seraya menundukkan sedikit badan.

"Kali ni saya beri amaran terakhir! Kalau esok awak berangan juga dalam kelas saya atau pensyarah lain siap awak, nantikan denda dari saya!" ugut Dr. Dennis.

Aku hanya mampu menganggukkan kepala dan sebenarnya aku tak boleh berjanji. Kadangkala aku ni berangan tanpa aku sedar memandangkan aku ni tak minat sangat dengan cara mengajar Dr. Dennis, tak boleh masuk dalam kepala otak aku.

*****

TEPAT jam 2 petang, kelas pun tamat tepat pada waktunya. Tanpa membuang masa, aku menggalas beg pada sebelah bahu lalu melangkah keluar dari dewan. Semua pelajar tidak sabar mahu balik ke rumah masing-masing dan ada yang masih lepak di kafeteria dengan kumpulan masing-masing.

Seperti biasa, aku semestinya keseorangan dan aku memang suka balik lambat memandangkan ibu dan ayah terlalu sibuk dengan pekerjaan mereka. Pekerjaan mereka itu bagaikan nyawa mereka sendiri sehingga aku boleh kira bilangan hari mereka cuti dan masa mereka di rumah dengan hanya menggunakan jari tangan sahaja.

Kata ayah, usia aku tahun ini sudah 22 tahun, dah boleh hidup berdikari sendiri dan ayah hanya memindahkan wang belanja ke dalam akaun bank aku setiap minggu.

Aku melepaskan keluhan setiap kali melihat kemesraan keluarga orang lain yang menjemput anak-anak mereka pulang dari kolej.

Walaupun mereka sudah besar panjang dan mampu membina keluarga sendiri, keluarga mereka tetap mengambil mereka di hadapan kolej setiap hari tepat jam 2 petang.

Kenapa aku tak dapat rasai semua itu?

Kenapa aku seperti tidak mempunyai keluarga?

Kata ustaz, kita tak boleh mengeluh dan bersyukur dengan apa yang kita perolehi sekarang ni.

Perlahan aku meraup wajah dan beristighfar di dalam hati.

BUKKK!

Punggung aku selamat mencium lantai tatkala terlanggar seseorang yang keras bagaikan batu. Keras betul badan dia. Orang ke batu yang aku langgar tadi tu?

"Ehem... cik okey ke?"

Suara garau itu merindingkan bulu roma aku. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mata dan mendongakkan kepala memandang ke arah figura yang tinggi melampai bagaikan belut diregangkan.

Ya Allah, jodoh jatuh dari langit ke apa ni? Kenapa lelaki ni tampan sangat tapi...

Aku mengimbas penampilannya dari atas sehingga bawah. Huish! Berdosa pandang lelaki macam tu. Ya Allah, beristighfar aku di dalam hati.

"Cik?"

Aku mengelengkan kepala saat terdengar suara garau itu lagi, dia membantu aku untuk bangun dengan memegang hujung lengan bajuku.

"Maafkan sa..." Belum sempat aku menghabiskan ucapan maaf, lelaki itu menundukkan sedikit tubuhnya sebaris dengan ketinggian aku. Nampak sangat aku pendek kan?

"Tak perlu minta maaf kerana cik telah membuang masa saya menunggu cik untuk bangun dari lantai tu. Maaf itu tidak boleh digantikan dengan masa saya yang telah terbuang. Saya rasa saya dah cukup besar untuk cik nampak saya lalu depan cik tadi."

Aku memandang dia terkebil-kebil. Dia ni marah aku ke menyindir aku? Siap dengan mengukirkan senyuman lagi. Aku tak pasti itu senyuman sindir atau senyuman ikhlas?

"Cik... sila peka dengan keadaan sekeliling cik, ya. Silap hari bulan, gajah lalu pun cik tak perasan. Saya pergi dulu. Jumpa lagi."

Aku menghantar figuranya melalui ekor mata dengan penuh perasaan sebal. Kedua-dua belah tangan aku genggam penumbuk dan bibir mula terherot-berot.

Tak ingin aku nak jumpa kau lagi! Aku punya baiklah tadi nak minta maaf, sekali dapat sindiran percuma tanpa dipinta. Memang menyakitkan hati!

*****

SAMPAI saja di rumah, aku terus membersihkan diri. Nafas dihela sebaik saja aku merebahkan diri di atas tilam katil yang empuk bagaikan jeli ini. Siling berwarna hijau pastel aku tenung lama, silap-silap boleh tembus nampak langit biru. Tangan aku silangkan sambil memikirkan kejadian tadi.

Siapa lelaki tadi tu? Nak cakap tua, tak tua pun cuma muka dia nampak matang lebih-lebih lagi mengenakan kot putih makmal dengan baju kemeja lengan panjang berwarna kelabu dan seluar slack berwarna hitam. Rambutnya pula berwarna hitam pekat dan mata bundarnya berwarna ungu cair kehitaman. Pakai lens agaknya.

Sekali pandang memang macam rasa jodoh jatuh dari langit tapi bila tahu perangai dia suka menyindir orang terus aku tarik balik. Sampai sekarang aku terasa dengan sindiran dia. Aku nak minta maaf, dia potong percakapan aku lepas tu siap sindir aku lagi.

Perghhh! Siapa yang tak sakit hati?

TOK! TOK!

"Cik Aly, makanan sudah siap. Marilah makan bersama!" panggil Kak Mutiara, iaitu pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat sejak aku kecil lagi.

Dengan perasaan malas, aku menggagahkan diri untuk bangun dan menapak ke pintu. Kak Mutiara tersenyum melihat aku sebaik saja aku membuka dedaun pintu. Bahu aku dirangkul dan bersama-sama menuruni anak tangga, menuju ke ruang makan.

"Ibu dengan ayah, belum balik ke dari semalam?"

Soalan aku dijawab dengan gelengan dari Kak Mutiara. Bibir aku kemam sambil tangan mencapai senduk nasi.

"Belum balik lagi, sayang. Biasalah, musim hujan lebat sekarang ni ramai orang kemalangan. Mungkin banyak kes kecemasan yang perlu diselesaikan. Aly, jangan sedih, ya?"

Aku sekadar menganggukkan kepala dan tersenyum nipis.

Hati siapa yang tak sedih. Sudah beberapa minggu aku tak bersua muka dengan mereka. Mereka jarang balik ke rumah dan sekiranya mereka balik pun, aku sudah selamat berlabuh tirai di dalam bilik.

"Macam mana pelajaran Aly di kelas?" soal kak Mutiara.

Aku hanya mampu tersenyum. Nak cakap aku pelajar cemerlang, jauh sekali. Cemerlang dalam berangan boleh lah aku mengaku.

"Macam tu jelah, kak," jawab aku acuh tak acuh.

"Aly, jangan tertekan dengan kehidupan Aly sendiri. Ingat, ibu dan ayah cari rezeki untuk Aly. Untuk kesenangan Aly juga. Doakan kesejahteraan mereka, ya?"

Nasihat kak Mutiara, aku simpan di dalam kepala.

Ya, sebagai anak aku tak lupa mendoakan kesejahteraan mereka dan pada yang sama aku rindu. Rindu untuk meluangkan masa bersama-sama dengan mereka.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.