Bab 11

BAB 11

MALAM ini aku hanya mengenakan dress labuh bercorak bunga ros dan seluar jeans berwarna putih. Kata Luqman, hari ini dia mahu membawa aku ke sebuah taman kunang-kunang. Inilah kali pertama aku keluar malam bersamanya memandangkan ibu dan ayah terlalu sibuk di hospital. Sudah beberapa hari tidak balik...

Aku menyarung kasut sarung berwarna pink pale dan duduk di bangku hadapan rumah menunggu ketibaan Luqman. Sesekali aku mengerling ke arah jam di pergelangan tanganku. Masih ada berbaki masa 5 minit untuk Luqman sampai seperti yang dijanjikan.

PIN! PIN!

Aku tersenyum mendengar bunyi hon dari kereta milik Luqman. Segera aku keluar kemudian mengunci pintu pagar rumah dan meloloskan diri ke dalam kereta Luqman. Dia segak berpakaian kemeja berlengan panjang berwarna hitam dan seluar jeans berwarna navy blue.

"Sedia?" soalnya. Tangannya sudah bersiap-sedia untuk menukar gear kereta. Aku menganggukkan kepala bagi menjawab soalannya. Bibir masih melorekkan senyuman manis untuknya.

"Dah makan?"

Aku menggelengkan kepala.

"Belum lagi. Kak Mutiara tak masak hari ni. Dia tak berapa sihat."

Luqman menganggukkan kepalanya.

"Tak apa. Nanti abang bawa Alyna makan kat sebuah restoran berhampiran taman tu."

Aku tersenyum, menganggukkan kepala.

Aku melemparkan pandanganku ke luar tingkap, mengamati suasana di waktu malam. Sungguh cantik pemandangan di waktu malam, diterangi dengan pelbagai warna cahaya lampu di setiap bangunan yang terbina megah di tengah bandar.

*****

TAK sampai beberapa minit, kami sampai di taman kunang-kunang yang dimaksudkan oleh Luqman. Buku nota dan pen sentiasa dibawa setiap masa kerana Prof. Luqman ini suka-suka hati dia saja mahu memberi informasi. Tak kira di mana dan waktu bila.

"Nak makan dulu atau belajar?" soalnya sebaik saja kami keluar dari perut kereta. Dia mengunci keretanya lalu merapati aku. Aku memandang suasana sekeliling. Tidak jauh dari taman itu terdapat sebuah tasik yang luas terbentang diterangi dengan cahaya bulan menyinari air tasik yang tenang itu. Berhampiran tasik itu juga terdapat beberapa buah deretan kedai makan yang dipenuhi dengan ramai pelanggan.

"Kita belajar dululah. Aly tak sabar nak tengok kunang-kunang," jawab aku dengan nada teruja. Luqman menganggukkan kepalanya lalu kami beriringan jalan masuk ke taman kunang-kunang itu.

"Baiklah. Abang akan berikan maklumat mengenai kunang-kunang. Sambil itu, Alyna perhatikan kunang-kunang yang sedang berterbangan sambil mengeluarkan cahayanya. Jangan bising, ya. Nanti kunang-kunang tu lari," beritahu Luqman. Aku sekadar menganggukkan kepala, bersedia dengan buku nota dan pen.

"Kunang-kunang atau The Lampyridae adalah keluarga serangga dalam kumbang Coleoptera dengan lebih daripada 2000 spesies yang diketahui." 

 Aku mula menyalin maklumat tersebut tanpa menghasilkan sebarang bunyi kemudian mata aku meliar melihat kunang-kunang yang mula keluar berterbangan ke udara sambil badannya berkelip-kelip bercahaya.

 "Mereka adalah kumbang bertubuh lembut yang biasanya disebut kunang-kunang, cacing cahaya, atau serangga kilat kerana penggunaan bioluminescence mereka yang sangat ketara semasa senja untuk menarik pasangan atau mangsa. Kelip-kelip menghasilkan 'cahaya sejuk', tanpa frekuensi inframerah atau ultraviolet." 

 Terangguk-angguk kepala aku mendengar penerangan dari Luqman. Baru aku tahu mengenai serangga kunang-kunang ini.

 "Kelip-kelip dijumpai di kawasan beriklim sederhana dan tropika. Banyak dijumpai di rawa atau di kawasan berhutan basah, di mana larva mereka mempunyai sumber makanan yang banyak. Beberapa spesies disebut 'cacing bersinar' di Eurasia dan di tempat lain." 

Tambah Luqman lagi. Tangan aku tidak berhenti menulis dan sesekali mengerling ke arah kunang-kunang itu.

 "Kenapa abang cakap kunang-kunang di dalam zon kepupusan? Kenapa mereka pupus?" soal aku. 

 "Seperti yang abang cakap, kepupusan kunang-kunang berpunca dari manusia sendiri di mana mereka mengamalkan kepercayaan karut, antaranya sepasang pasangan kekasih mahu membuktikan cinta mereka kepada pasangan masing-masing dengan menggunakan kunang-kunang. Mereka menangkap kunang-kunang itu dan disimpan di dalam bekas dan membuat hajat mereka menggunakan kunang-kunang itu."

 Aku mengerutkan dahi. Percaya karut betul. Itu dah salah di sisi agama. Kasihan kunang-kunang, tak pasal-pasal dalam zon kepupusan disebabkan manusia yang tak bertauliah.

 "Dan lagi satu, kelip-kelip mempunyai sejumlah besar variasi dalam penampilan umum mereka, dengan perbezaan warna, bentuk, ukuran, dan ciri seperti antena." 

 "Abang rasa tu saja mengenai kunang-kunang yang penting untuk Alyna tau. Mana tahu masuk dalam peperiksaan nanti, Alyna boleh gunakan maklumat yang abang berikan tu." 

 Aku tersenyum lalu menganggukkan kepala.

 "Jom, kita pergi makan dekat restoran tepi tasik tu," ajak Luqman. 

Aku menganggukkan kepala. Kami jalan beriringan ke restoran tersebut.

 ***** 

BZZT... BZZT... 

Telefon bimbitku bergetar-getar sebaik saja makanan kami sampai. Tertera perkataan 'Ayah' pada skrin. Aku memberi isyarat kepada Luqman kemudian meleret butang hijau ke tepi dan ditekapkan ke telinga.  

"Alyna, sebelum pukul 9 malam balik. Ada benda ayah nak bincangkan." Aku mengetap bibir. Sekarang dah pukul 8:15 malam, baru aje aku nak meluangkan masa bersama Luqman. 

 "Ada hal penting sangat ke?" soal aku.

 Kedengaran ayah berdengus di hujung talian. "Aku suruh balik tu balik je lah. Kau nak buat apa keluar lama-lama! Dah malam!" suara ayah mula mendatar. Nak tak nak aku kena akur dengan arahannya, kalau tidak lagi sekali aku nak kena hadap baran dia.

 "Okey okey... Alyna balik." Laju aku mematikan telefon dan terus makan tanpa banyak cakap. Luqman memandang aku bersertakan kerutan di dahinya. 

"Kenapa Alyna, ada masalah?" soalnya selepas beberapa aku mendiamkan diri. Aku mengeluh kecil lalu mendongak memandang wajahnya. 

"Sebelum pukul 9 malam, ayah suruh balik. Spoil betullah. Baru teruja nak belajar dengan abang lagi lepas ni," rungut aku. Luqman hanya tersenyum kecil. 

"Tak apa. Esokkan boleh. Esok kita keluar awal pagi, kita buat eksperimen. Nak?"

Daripada monyok terus bertukar ceria. Siapa yang tak suka eksperimen? Seronok! "Nak! Nak sangat! Tulah bab yang paling Aly suka!" balas aku dengan nada gembira. 

 "Okey nanti, kita pergi makmal yang selalu abang pergi untuk uji kaji. Tapi dekat situ tempat dia agak ketat, jadi Alyna kena ikut prosedur dekat situ. Kalau tak, kena saman tau." Aku laju menganggukkan kepala. 

"Nah... abang bagi dekat Alyna. Harap Alyna suka. Sebenarnya barang tu dah lama abang beli, tapi tak tahu nak bagi dekat siapa." Dia menolak satu kotak kecil dibalut dengan pembalut hadiah ke arah aku.

 Aku memandang dia dengan kerutan di dahi. "Bagi dekat Alyna? Untuk apa?" soal aku sambil membelek kotak hadiah tersebut. 

"Saja. Untuk Alyna ingat abang walau kita dah berjauhan nanti," katanya sambil tersenyum. 

"Berjauhan? Abang nak pergi mana?" soal aku. Nada sedih cuba dikawal supaya dia tidak tahu.

 "Tak pergi mana. Saja bagi." Dia cuba mengelat untuk menjawab soalan aku. Aku sekadar menganggukkan kepala dan menyimpan kotak hadiah itu ke dalam beg. 

Seusai makan, kami terus memboloskan diri masuk ke dalam kereta dan pulang ke rumah.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.