Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
114,054
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Emelda mula rasa gelisah. Sudah hampir dua minggu Darius tidak menghubunginya. Sungguh dia tidak menduga panjang pula rajuk Darius kali ini. Tidak pernah kekasihnya itu merajuk panjang dengannya. Apa sekalipun kesalahan yang dilakukan, Darius akan sentiasa memaafkannya. Dia akui, kerana sifat sentiasa beralah Darius membuatkan dia tidak gentar melakukan kesalahan demi kesalahan kerana dia amat yakin lelaki itu amat mencintainya.

Serabut kepalanya memikirkan rajuk si kekasih hati. Selama ini hanya Darius yang memujuk setiap kali mereka bergaduh namun kali ini berlainan pula yang terjadi. Telefon bimbitnya direnung. Sedang berkira apakah perlu dia memujuk Darius atau membiarkan sahaja Darius sejuk sendiri.

Emelda mundar mandir di dalam biliknya. Otaknya masih ligat berfikir. Nombor Darius terpapar di skrin telefonnya namun hatinya masih berat mahu menekan. Kepala yang tidak gatal digaru. Dia mendengus perlahan. Mengapa sukar benar dia mahu mengalah sedangkan dia yang menjadi puncanya.

Bunyi yang lantang dari telefon bimbitnya mengejutkannya dari lamunan. Sebaik melihat nama yang terpapar di skrin, bibirnya mula mengukir senyuman.

“Hello….” Sengaja dia menjawab dengan suara dingin sedangkan dalam hatinya sudah bersorak keriangan.

“You tak rindu I ke?” suara Darius di sebelah sana kedengaran perlahan. Emelda semakin melebarkan senyuman.

“You yang nak merajuk sangat. Padanlah muka you.” Acuh tidak acuh Emelda membalas.

“Sampai hati you. I kat sini macam orang hilang akal rindukan you. Jom keluar nak? I jemput you satu jam dari sekarang.”

“Hmm…. Okey tapi you kena hantar I sebelum jam enam petang. Malam nanti I ada appointment dengan designer.”

Setelah mendapat persetujuan dari Darius, panggilan ditamatkan. Senyumannya semakin lebar.

Seperti yang dijanjikan, sejam kemudiannya kereta Darius sudah terpakir di depan rumahnya. Dengan senyuman dia menghampiri dan memboloskan diri dalam kereta Darius.

“ Hai Honey,” sapa Darius sebaik Emelda duduk di sebelahnya. Dua minggu dia lancarkan mogok. Dalam tempoh itu dia berharap Emelda akan memujuknya namun setelah dua minggu, apa yang diharapkan tidak juga kunjung tiba. Emelda hilang tanpa khabar dan akhirnya dia sendiri yang lemas dalam kerinduan.

“Kita nak ke mana? Start dari saat ini hingga jam enam nanti, masa I hanya untuk you. Anggap saja I ganti balik date kita hari tu.”

Sounds great. Kalau macam tu, untuk hari ni no phone calls, no sms or apa-apapun. I tak nak semua-semua tu nanti menganggu date kita…” Tangan dihulur meminta telefon bimbit Emelda. Setelah mematikan telefon Emelda, dia kembali menyerahkan kepada gadis di sebelahnya. Telefon bimbitnya juga turut dimatikan. Hari ini dia tidak mahu sesiapa pun menganggu mereka.

Semoga ia mampu menghangatkan kembali hubungan mereka yang sentiasa tegang sejak akhir-akhir ini.

Setelah lima jam mereka menghabiskan masa bersama, seperti yang di janjikan Darius menghantar Emelda pulang walau hatinya masih berat untuk melepaskan kekasihnya itu. Tempoh lima jam bersama terasa seperti empat puluh minit. Pantasnya masa beredar. Sepanjang tempoh itu, terasa seperti kembali semula ketika mereka sedang hangat bercinta di awal perhubungan dulu. Ke hulu ke hilir sentiasa bersama. Di mana ada dia di situ ada Emelda. Di ketika itu dia benar-benar bahagia. Emelda sentiasa ada di sisinya namun rentak hubungan mereka mula suram bila dia mula menguruskan Firhad Holdings dan Emelda pula dalam bidang modeling.

Sejak akhir-akhir ini hubungan mereka semakin ‘panas‘ di rasakan dek sikap Emelda yang adakalanya keterlaluan. Kerana cinta dan kasih yang bersemi utuh di hati dia tetap bersabar walau adakalanya kesabarannya juga terasa tercabar.

“ I pergi dulu and thank’s untuk hari ini. I betul-betul happy….” Ucap Emelda dengan senyuman riang di bibir. Hari ini hari yang benar-benar gembira buatnya. Sudah lama rasanya dia dan Darius tidak meluangkan masa begini.

“ Terima kasih untuk you juga…”

Darius hanya melihat pemergian Emelda dengan dada yang lapang. Bibirnya masih mengukir senyum. Semoga hubungan ini terus bertaut dan bahagia. Doanya di dalam hati.



Puan Dalilah termenung mengenangkan nasib puterinya. Dia tahu bukan mudah untuk Leya menghadapinya lebih-lebih lagi apabila terluka dek perbuatan sahabat sendiri.

“Kami mohon maaf, Ilah. Kami tahu perbuatan Erina telah melukakan Leya sekaligus mencalarkan kebahagiaannya. Kalaulah kami tahu sedari awal, mungkin kami dapat menghalangnya.”

Kata-kata maaf yang sering diulang oleh Puan Zulaiha dan Encik Emran terlayar di ingatan. Dia tahu sejak hari kejadian, Puan Zulaiha dan Encik Emran tidak berhenti memohon maaf padanya dan Leya. Dia juga tahu mereka rasa bersalah dek perbuatan Erina dan Fahim namun walau berkali-kali kemaafan diucapkan, tidak mungkin mampu untuk mengubati kelukaan puterinya. Bukan sehari dua kedua buah keluarga mengenali antara satu sama lain malah sudah bertahun-tahun lamanya sedari Leya dan Erina masih di bangku sekolah. Persahabatan yang terjalin akhirnya tercalar hanya kerana cinta seorang lelaki.

Dia sedih melihatkan kesudahan yang begini dalam persahabatan Leya dan Erina. Erina sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia tahu betapa pentingnya Erina dalam hidup puterinya kerana Erina satu-satunya sahabat yang paling bermakna dalam hidup Leya.

“Jauh termenung, kak…”

Lamunannya berterbangan sebaik mendengar suara yang menegur. Dia menoleh dan cuba memaniskan wajah sedangkan dalam hatinya terasa sesak dek kejadian yang telah berlaku.

“Midah tak kerja hari ni?” soalnya sebaik jirannya itu duduk di depannya.

“Cuti, Kak Ilah. Badan ni dah terasa lenguh sana sini.”

Puan Dalilah hanya mengangguk perlahan. Pandangannya ditebarkan ke halaman rumahnya.

“Jangan terlalu susah hati, kak. Midah tahu akak sedih dengan apa yang menimpa Leya tapi apa yang berlaku sudah tercatat dalam takdirnya. Kalau akak lemah, bagaimana nanti dengan Leya. Dia perlukan kekuatan Kak Ilah,” ujar Hamidah cuba untuk meredakan kesedihan Puan Dalilah.

Puan Dalilah melepaskan keluhan. Wajah Hamidah direnung dengan mata yang berkaca.

“Akak kesiankan Leya. Dia tersenyum depan akak tapi hakikatnya dia menangis dalam diam. Akak tahu dia pura-pura tabah kerana tak mahu akak risaukan dia. Kesian dia, Midah. Yang mengkhianatinya bukan orang lain tapi sahabatnya sendiri….” Tangisan yang cuba ditahan akhirnya terhambur jua. Saat ini, wajah sugul puterinya bermain di ruang matanya.

“Midah percaya, Leya kuat untuk hadapinya. Kak Ilah kena bagi Leya masa. Segala apa yang terjadi ini pasti ada hikmahnya….” Bahu Puan Dalilah diusap perlahan. Dia mengerti akan kesedihan yang dialami Leya dan Puan Dalilah.

“Bila akak dah tak ada nanti entah macam mana dengan Leya.”

“Jangan begitu Kak Ilah. Kalau Leya dengar, dia pasti lagi sedih. Kak Ilah kena jaga kesihatan. Kak Ilah tak boleh tertekan sangat nanti kesihatan akak terjejas. Jangan terlalu bersedih. Allah tu Maha Mendengar. Kita doa banyak-banyak agar diberi kekuatan dan ketabahan pada Leya. Midah percaya, Allah telah aturkan seorang anak Adam yang terbaik untuk Leya….”

Mendengar kata-kata Hamidah sedikit melegakan hatinya. Ya Allah, dia khilaf dalam mengenang nasib anaknya padahal segala yang berlaku pasti ada sebab dan hikmahnya.
Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff