“Leya….”
Panggilan
itu membuatkan dia yang sedang dirias menoleh. Melihat Erina di muka pintu
biliknya membuatkan dia melebarkan senyum. Dia bangun dan menghampiri
sahabatnya itu. Meskipun pelik dengan kehadiran Erina namun kehadiran
sahabatnya ini membuatkan hatinya berbunga keriangan.
Dia
masih ingat tentang panggilan telefon dari Erina hampir dua minggu lepas.
Betapa kecewanya dia apabila sahabatnya itu menyatakan tidak dapat hadirkan
diri di hari bahagianya ini. Hingga saat ini, dia masih tercari-cari akan sebab
utama yang membawa sahabatnya itu tiba-tiba ke Perth lebih sebulan yang lalu. Meskipun Erina menyatakan yang dia
ke sana kerana mahu bercuti serta melawat kakaknya yang menetap di sana, namun
dia dapat rasakan ada sesuatu yang disembunyikan sahabatnya itu.
Untuk
hari ini dia tidak mahu memikirkan hal itu. Dia tahu lambat laun pasti akan
diketahuinya juga. Sejak dari dulu, antara dia dan Erina saling meluah rasa
hati masing-masing. Pendek kata, tiada rahsia antara mereka.
Dia
memeluk sahabatnya itu. Dia tahu ini bukan mimpi. Sahabatnya ini benar-benar
ada di depannya.
“Aku
gembira sangat. Thank you so much
Rin,” ucapnya dengan rasa gembira dan terharu.
Melihat
wajah Leya tika ini membuatkan Erina semakin dihimpit rasa bersalah dan
berdosa. Sahabat jenis apakah dia ini sanggup menikam sahabat sendiri? Wajah
Leya direnung. Jauh di sudut hati, dia tidak sanggup untuk menyatakannya tapi
apa pilihan yang dia ada. Ampuni aku, Leya. Air matanya mengalir menuruni pipi.
Sungguh dia tidak sanggup. Dia kembali memeluk sahabatnya itu.
Leya
mula terasa lain. Sikap sahabatnya ini membuatkan dia tertanya sendiri. Dia
pelik mengapa tiba-tiba Erina menitiskan air mata. Apa sebenarnya yang berlaku?
“Kenapa
Rin?” Hanya esakan Erina kedengaran. Dia menjadi semakin buntu.
“Ada
sesuatu yang ingin aku bicarakan dengan kau…” Pelukan dileraikan. Air jernih
yang membasahi pipinya juga disapu perlahan.
Leya
mengerutkan dahi. Matanya merenung wajah Erina cuba mencari jawapan.
“Hanya
kita berdua. Please, Leya…”
Dia
semakin pelik namun dia mengangguk juga bersetuju lalu dia mengarahkan Kak
Sheila selaku mak andamnya serta pembantu wanita itu supaya meninggalkan dia
bersama Erina. Sebaik keduanya menghilangkan diri, pandangannya mula difokuskan
pada Erina. Dia masih mendiamkan diri. Menunggu butir bicara yang akan keluar
dari bibir sahabatnya.
“Aku…”
Bicara Erina terhenti. Oh Tuhan, berikan aku kekuatan untuk menyatakannya.
Bukan ini yang dia inginkan. Melukakan Leya adalah perkara terakhir yang akan
dia lakukan. Dia alpa. Dia terleka dengan kebahagiaannya saat itu. Dia lupa
siapa Leya padanya.Kerana dosa itu juga, dia mengambil keputusan untuk ke Perth dan berharap pemergiaannya itu
mampu menutup segala cela yang telah dia lakukan. Tapi dia lupa, Allah itu
lebih berkuasa dan kini dia terpaksa kembali untuk berdepan dengan
dosa-dosanya.
“Aku
mohon ampun dengan kau, Leya. Aku berdosa kerana mengkhianati kau. Ampuni aku…”
Tangan Leya diraih dan dia genggam tangan sahabatnya itu seerat mungkin.
Sesungguhnya saat ini dia benar-benar takut. Takut untuk kehilangan Leya. Pipi
Leya dia sentuh perlahan. Wajah itu dia renung. Air matanya semakin deras
mengalir.
“Apa
sebenarnya yang kau sembunyikan dari aku?” Dia pasti ada sesuatu yang
disembunyikan Erina. Melihat tingkah Erina saat ini membuatkan dadanya
tiba-tiba berdebar.
“Aku
fikir dengan pergi jauh dari sini, aku dapat sempunyikan kekhilafan diri, tapi
kuasa Allah melebihi segalanya hingga aku terpaksa kembali semula demi menuntut
sebuah tanggungjawab. Aku perlukan dia, Leya.…”
“Apa
maksud kau, Rin?” Jantungnya semakin kuat berdetak.
“Aku…
Aku mengandung, Leya…”
Terkaku
dia seketika. Kenyataan yang baru sahaja keluar dari bibir Erina bagaikan arus
eletrik yang tiba-tiba merenjat tubuhnya. Benarkah atau dia yang tersilap
mendengar?
“Leya..”
Teguran
dari Puan Dalilah mengejutkan Leya. Dia yang sedari tadi hanyut dibuai kenangan
luka itu terus menoleh ke arah uminya. Senyuman diukir.
Puan
Dalilah memandang wajah mendung anak gadisnya. Dia mengerti keperitan puterinya
ini.
“Umi
tahu Leya kecewa dengan apa yang terjadi dan umi mengerti akan keperitan Leya
tapi Leya kena kuat, sayang. Fahim bukan jodoh Leya…” Sudah dua bulan berlalu
namun puterinya ini masih begitu. Dia faham bukan mudah untuk Leya melupakan
segala yang telah terjadi namun sebagai ibu, dia turut berduka dengan
kesengsaraan puterinya ini.
“Sampai
hati mereka khianati Leya, umi. Apa salah Leya umi. Tidak bermaknakah kasih
sayang Leya pada mereka hingga mereka sanggup lukakan Leya? Hati Leya sakit,
umi…” Rintihan Leya menusuk ke kalbu Puan Dalilah. Tubuh puterinya dipeluk.
Melihat tangisan Leya membuatkan hatinya juga turut merintih pilu. Ya Allah,
andai dapat keperitan puteriku ini dialihkan kepadaku, aku rela asalkan aku
dapat melihat senyuman dan keceriaan puteriku ini.
“Dengar
sini, sayang. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah dah tentukan
seseorang yang lebih baik dari Fahim untuk Leya. Percayalah sayang. Allah
sedang menguji Leya dan dia tidak akan menguji umat-Nya melebihi kemampuan
hamba-Nya. Dia tahu Leya seorang yang kuat dan umi percaya satu saat nanti,
Leya pasti dapat melupakan semuanya….” Sebagai ibu dia perlu kembalikan
keyakinan puterinya ini. Dia tidak mahu Leya terus hanyut dalam kesedihan. Di
setiap akhir solatnya, dia tidak pernah putus berdoa agar puterinya ini terus
diberikan kekuatan.
“Pergilah bercuti, Leya. Tenangkan diri. Lapangkan
fikiran. Jangan terus hanyut dalam kesedihan Leya. Semua itu mainan syaitan.
Sebagai umat Allah, kita harus reda dengan apa yang telah ditentukan oleh-Nya.
Setiap apa yang terjadi pasti ada sebab dan hikmah yang ingin Allah tunjukkan.
Mungkin ketika ini, Leya masih tidak nampak tapi satu ketika nanti pasti Leya
akan bersyukur dengan segala yang telah Allah tentukan untuk Leya. Percayalah
sayang. Allah akan sentiasa bersama kita. Dia sentiasa mendengar rintihan
setiap umatnya dan dengan bermunajat padanya jiwa yang lara pasti akan lebih
tenang….” Belakang tubuh Leya diusap perlahan. Tangisan puterinya bagaikan
sembilu yang menusuk hatinya. Dalam hatinya berharap suatu masa nanti ada
bahagia buat puterinya ini.