Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,647
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Lelaki impian?” Dahi Leya sudah mula berkerut. Entah apa yang merasuk Erina hingga bertanyakan soalan yang tidak pernah singgah di otaknya.

“Kau dah gatal nak menikah ke?”

Erina mula menjegilkan mata bila pertanyaannya tidak mendapat balasan, malah Leya menyoalnya kembali.

Hisy, payah sungguh si Leya ni kalau bercakap bab-bab lelaki. Bukan tak ada yang nak dekat, cuma Leya sahaja yang langsung tidak menghiraukan lelaki-lelaki yang mahu berkawan dengannya.

“Jawab ajelah. Payahlah kau ni. Takkan kau tak ada ciri-ciri lelaki yang kau suka?”

“Malas nak fikir. Penting ke?” Sahut Leya acuh tak acuh.

Erina mula mencebik. Nampak sangat Leya tidak pernah ambil port tentang hal-hal lelaki. Sadis sungguh, sedangkan kalau ditanya kepada teman-teman lain, mudah saja dia mendapat jawapan.

“Menyesal aku tanya. Kalau aku kan Leya, aku suka lelaki yang handsome, romantic, yang memahami aku dan yang penting berkaca mata…” Dengan penuh teruja, Erina menyatakan ciri-ciri lelaki idamannya. Leya yang pada mulanya hanya berkerut dahi mendengar tetapi apabila melihat Erina yang sedang memejamkan mata seperti sedang membayangkan lelaki idamannya membuat Leya tidak dapat menahan rasa ingin ketawa. Meremang bulu romanya bila melihat Erina dengan wajah begitu.

Hampeh punya member. Aku bukan main baik lagi duk membayangkan prince charming aku, boleh pulak kau bantai gelak sampai bergegar tahi telinga aku…”

Sorry, Rin. Aku tak tahan sangat, serius rasa meremang bulu roma aku tengok muka gatal kau. Menakutkan…”

Erina terus menampar lengan Leya yang masih belum berhenti ketawa. Geram sungguh apabila dipermainkan sahabatnya.

At least aku ada juga ciri-ciri lelaki yang aku suka tak macam kau, hati daun kering…”

Leya hanya tayang sengih. Muncung Erina rasanya kalau diikat boleh buat sangkut baju. Entah apalah yang seronoknya bercakap tentang lelaki idaman. Dalam umur yang masih mentah macam ni, dah layak ke memasang impian tentang ciri-ciri lelaki idaman?

“Rin, kau sedar tak kita ni baru tujuh belas tahun? Tak sesuai kot. Apa kata kita discuss tentang pelajaran. SPM dah dekat ni. Takut nanti kantoi aje. Kau tak apalah kalau kantoi pun sebab kau memang dah simpan angan-angan nak menikah muda, tapi aku ni tak nak weh.…”

“Cis, kau ingat aku dah merenyam sangat nak menikah? Amboi, kau kalau mengutuk aku memang tak agak….”

Terukir senyuman di bibir Leya tatkala mengimbau kenangan di ketika itu. Dalam tidak sedar, sudah enam tahun ia berlalu. Kenangan indahnya punya sahabat yang sanggup bersamanya tak kira dalam apapun keadaan. Betapa bertuahnya dia kerana mengenali seorang yang bernama Erina. Seorang sahabat yang amat dihargai dalam hidupnya. Insan yang paling dekat di hati selain uminya.

Setiap kali mengimbau kenangan antara dia dan Erina, pasti bibirnya akan mengukir senyuman. Bukan sedikit kenangan yang mereka ciptakan bersama tapi saat ini, semua kenangan itu bagaikan sedang menghiris hatinya. Sungguh dia tidak menduga walau sedikit pun yang akhirnya hatinya dilukai oleh sahabatnya sendiri. Insan yang paling dia percaya.

Leya memandang tasik yang beriak tenang di depannya. Meskipun matahari sudah mula memancar terik, namun dia tidak peduli. Peritnya cahaya mentari tidak mampu menandingi keperitan luka di hatinya. Bukan dia tidak perasan akan pandangan serta jelingan orang sekelilingnya bila memandang dia yang dibaluti pakaian pengantin duduk sendirian di situ. Mungkin pelik bagi pandangan mereka, namun dia sudah tidak mahu mempedulikan semua itu. Biarlah orang sekelilingnya memandangnya pelik. Walau dilabel kurang siuman pun dia sudah tidak peduli lagi. Di saat ini, dia hanya ingin mencari sedikit kedamaian untuk meredakan sedikit keperitan luka di hatinya.

Bukan mudah untuk dia berdepan dengan sebuah hakikat yang begitu melukakan. Dia berharap semuanya hanya sebuah mimpi yang akan hilang apabila dia terjaga dari lena namun kenyataannya semuanya adalah realiti, sebuah hakikat yang perlu dia terima. Kesakitan dan kepedihan yang dirasainya juga adalah benar, bukan juga mimpi.

Hari yang sepatutnya menjadi hari bahagia buat dia. Hari yang seharusnya dia diraikan. Hari yang sepatutnya melakar sejarah baru dalam hidupnya, namun sebaliknya melakar kenangan pahit dan melukakan.

Kerana sudah tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan sebuah hakikat yang benar-benar melukakan itu, dia terus meninggalkan majlis yang sedang berlangsung di rumahnya dan membawa diri hingga ke sini. Tidak mungkin untuk dia terus berpura-pura kuat dan menyaksikan lelaki yang dicintainya melafazkan akad untuk sahabatnya sendiri. Apa yang sedang berlaku terlalu menyakitkan. Kesakitannya terasa berganda kerana yang mengkhianatinya bukan orang lain, tapi sahabat dan kekasihnya sendiri. Berkali-kali dia bertanya pada diri sendiri, kesalahan apakah yang telah dilakukan hingga mereka sanggup mengkhianatinya.
Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff