Hanya
dengan sekali lafaz, termeterailah ikatan antara Leya Aulia dan Umayr Darius.
Majlis yang hanya dibuat secara sederhana terasa meriah dengan kehadiran
keluarga dan tetamu-tetamu lain.
Darius
menoleh memandang daddynya. Di wajah tua itu ada genangan air jernih. Dia tahu
daddynya pasti sedih dengan pernikahannya ini. Dia memandang pula pada maminya
dan wajah itu kelihatan gembira. Gembira kerana apa yang dihajati maminya telah
pun tercapai.
Dia
melangkah menghampiri kedua orang tuanya. Tangan daddynya dicium perlahan
sebelum memeluk lelaki itu. Belakang tubuhnya terasa diusap perlahan.
“Daddy
doakan Darius bahagia. Apa sekali pun penyebab pernikahan ini, Dia
tanggungjawab Darius…” ucap Dato Firdaus perlahan lalu meleraikan pelukan
mereka. Pipi Darius disentuh sebelum dia mengukir sebuah senyuman.
Darius
beralih pada maminya. Tangan maminya disalam dan dikucup sebelum memeluk tubuh
maminya. Dia sedar sikap maminya yang kadang-kadang agak melampau. Meskipun
orang sekelilingnya mengatakan dia anak mak hingga sanggup mengikut segala
arahan maminya, dia tidak peduli. Dia pekakkan telinga kerana wanita di
depannya ini adalah ibunya. Yang telah mengandungkannya dan melahirkannya ke
dunia ini dengan pertaruhkan nyawanya sendiri. Oleh itu salahkah dia andai
mengikut kehendak maminya walau ia bertentangan dengan kehendaknya.
Dia
menoleh pula pada sahabatnya yang tersenyum memandangnya. Dia menghampiri lalu
memeluk Ashriq.
“Terima
kasih Ash. Terima kasih kerana selalu ada di sisi aku…” Bisiknya perlahan
sebelum meleraikan pelukan mereka. Ashriq hanya tersenyum. Sedikit sebanyak
terharu juga dia dengan ucapan tersebut.
Kini
tiba saatnya dia menemui gadis yang baru sahaja menjadi isterinya. Jantungnya
berdegup tiba-tiba. Dia menarik nafas dan melepaskan. Beberapa kali dia
melakukan yang sama. Bahunya terasa ditepuk. Dia menoleh pada Ashriq dan
sahabatnya itu mengangguk perlahan. Dengan rasa gementar dia melangkah perlahan
menghampiri gadis yang sedang tunduk dan dikelilingi oleh saudara-saudara
perempuannya serta tetamu-tetamu lain. Dia duduk di depan isterinya. Wajah itu
masih juga tunduk. Malu barangkali.
“Assalamualaikum…”
ucapnya perlahan. Salam yang diberikan bersambut namun wajah itu tetap juga
menunduk. Dengan perlahan dagu si isteri diangkat dan bila wajah yang tadi
menunduk semakin jelas di matanya membuatkan dia kaku. Bagaikan sebuah mimpi.
Benarkah atau hanya ilusinya semata-mata. Debaran di dada semakin kuat
berdetak. Inikah jawapannya? Jawapan di sebalik pertemuan-pertemuan mereka.
Jawapan di sebalik wajah yang sering hadir tika dia memejamkan mata. Ya Allah,
inikah maksud-Mu? Diakah yang menjadi pilihan-Mu untuk aku dampingi?
Dadanya
terasa sebak tiba-tiba. Birai matanya juga terasa panas. Dia tidak tahu
perasaan sebenarnya saat ini. Apakah patut dia bersyukur atau sebaliknya.
Bibirnya mengukir senyum dan dalam tidak sedar pipi si isteri diusap perlahan.
Leya
tunduk menyalami pemuda yang baru pertama kali ditemuinya ini. Lelaki yang
telah sah bergelar suaminya. Ada rasa sendu yang mengusik apa lagi melihat
wajah-wajah yang mengelilinginya. Tidak seorang pun dia kenal. Semuanya
wajah-wajah asing. Saat dahinya dikucup oleh suaminya, air mata yang ditahan
menitis akhirnya. Saat itu dia dapat merasakan ada jari yang menyentuh lembut
pipinya. Dia merenung wajah suaminya dengan mata yang berkaca. Dia cuba untuk
menahan air jernih itu dari mengalir namun bila ingatannya singgah pada uminya,
air jernih yang cuba ditahan terus sahaja mengalir.Sungguh dia tidak menduga
yang dia akan melalui pernikahan yang begini.
Bila
pemuda yang baru saja bergelar suami padanya membawa dia dalam pelukan dia
hanya membiarkan. Wajahnya disembamkan pada dada si suami dan melepaskan
tangisannya. Rasa sendu yang bermukim bagaikan tidak lagi mampu dikawal.
Pelukan di tubuhnya juga terasa semakin erat dan dia turut membalas pelukan
tersebut.Dia sudah tidak peduli apa sekalipun pandangan tetamu-tetamu yang
hadir. Dia hanya mahu melepaskan segala tekanan yang ada dan dia akui pelukan
ini begitu mendamaikan jiwanya yang sedang bercelaru. Kehadiran suaminya ini
bagaikan dahan untuk dia berpaut. Segala keresahannya sebelum ini bagaikan
terus hilang.
**********************************************
Emelda
termenung sendirian. Keadaan sekeliling langsung tidak diendahkan. Dia melihat
jam di pergelangan tangannya. Dah 8: 40 malam maknanya Darius sudah selamat
menjadi seorang suami. Dia melepaskan keluhan. Macam-macam yang dia rasa saat
ini. Menyesalkah dia?
“Kenapa
termenung ni? Dari tadi I tengok you tak habis-habis termenung kemudian
mengeluh. You ada masalah..?” Nafiz memandang gadis di depannya ini. Dari tadi
lagi dia sudah menyedari akan sikap pelik Emelda. Gadis itu kelihatan gelisah.
Entah apa yang sedang difikirkan hingga begitu sekali ketara perubahan sikap
Emelda.
“Darius
nikah malam ni…” ujar Emelda perlahan. Dia menoleh pada Nafiz di sebelahnya
tapi Nafiz kelihatan diam sahaja.
“You
menyesal…?” soal Nafiz. Dia tahu penyebab pernikahan Darius. Hubungan baiknya
dan Emelda membuatkan mereka semakin rapat sementalah dia dan Emelda banyak
bekerjasama dalam projek-projek yang memerlukan dia sebagai fotographer. Mereka
sudah lama mengenali antara satu sama lain. Sejak di university lagi. Mungkin
hubungan baik antara mereka juga membuatkan Emelda senang bercerita dan
meluahkan masalahnya padanya.
“Perlu
ke I menyesal? Entahlah Fiz. Mesti you cakap I bodoh kan…” sahut Emelda. Sekali
lagi dia melepaskan keluhan.
“I
tak nak komen apa-apa cuma I harap you tak menyesal dengan apa yang dah you
putuskan. Kerjaya bukan segalanya dalam sebuah kehidupan Mel. Dalam hidup ni
cinta dan kasih sayang adalah perkara yang bukan semua orang dapat memilikinya.
Ramai kat luar sana tak kira lelaki atau perempuan yang berjaya dan ada kerjaya
yang bagus tapi dalam kehidupan mereka, kosong. I tak mahu you jadi salah
seorang dari mereka Mel….”
“Hubungan
I dan Darius tidak akan terjejas dengan pernikahan tersebut. Pernikahan mereka
hanya untuk sementara dan bila tiba saatnya hubungan kami akan kembali pada
asal….” ujar Emelda dengan yakin.
“Keyakinan
tu bagus Mel tapi kalau terlalu tinggi keyakinan tu, I takut you akan
tersungkur nanti.You never know what you
have until you lose it…” balas Nafiz sekadar mengingatkan Emelda.
Emelda
hanya menjungkit bahu. Dia percayakan Darius dan cinta mereka. Dia yakin Darius
tidak akan berubah. Dia menarik nafas
dan kemudiannya lepaskan. Ini keputusannya dan dia tidak perlu menyesal
atau terbeban kerana ini pilihannya. Sebaik mendengar pengumuman tentang
penerbangannya dia terus bangun dan melangkah masuk diekori Nafiz. Dia perlu
gandakan usahanya andai dia mahu impiannya cepat tercapai dan dia tidak perlu
terlalu memikirkan tentang hubungannya dan Darius kerana dia yakin antara dia
dan Darius ada ikatan cinta yang kuat. Bila semuanya selesai, dia dan Darius
akan kembali pada asal. Tiada lagi desakan Datin Aida dan tiada lagi isteri
kontrak Darius. Yang ada hanya dia dan Darius.
********************************************
Setelah
segalanya selesai dia duduk di beranda rumahnya. Ashriq masih setia
menemaninya. Di bawah kelihatan beberapa pekerja dari pihak catering yang
ditempah maminya sedang mengemas segala perkakas yang digunakan ketika majlis
tadi. Tubuhnya terasa lenguh. Meskipun majlisnya sederhana sahaja namun cukup
meriah dengan kehadiran saudara mara serta kenalan terdekat.
Teringat
dia akan apa yang berlaku tadi. Hingga kini dia masih dapat rasakan pelukannya
pada isterinya. Dia tidak tahu apa yang menghasutnya melakukan demikian tapi
sebaik melihat air mata si isteri buatkan hatinya menjadi pedih tiba-tiba dan
rasa pedih itulah yang pernah dirasai waktu pertama kali melihat gadis itu
menangis berbulan dulu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dirasai
isterinya ketika itu namun dia dapat melihat ada kepedihan di mata yang sedang
berkaca itu. Dia menarik gadis itu dalam pelukannya agar tindakannya itu dapat
mengurangkan sedikit tekanan yang dirasai dan dia rasa tindakannya berjaya bila
melihat senyuman yang terukir di bibir isterinya sebaik pelukan mereka
terlerai. Melihat senyuman tetamu-tetamu yang hadir barulah dia tersedar di
mana mereka kala itu. Wajah isterinya terus berubah kemerahan bila mereka tidak
sudah diusik. Dia yang turut menyedari akan wajah si isteri yang sudah
kemerahan hanya tersenyum. Siapa sangka gadis yang berjaya menarik perhatiannya
di kala bertemu telah menjadi isterinya yang sah.
“Pandai
sungguh mami kau pilih calon. Cantik weh. Aku rasa tak keterlaluan andai aku
katakana wife kau lagi cantik dari Emelda. Kalau macam ni aku pun nak minta
mami kau tolong carikan jugalah calon untuk aku…” ujar Ashriq. Wajah sahabatnya
itu kelihatan bersungguh dengan apa yang baru sahaja diucapkan. Darius hanya
ketawa tanpa komen apa-apa.
“Tapi
kan Darius, apa yang aku lihat tadi macam bukan kahwin paksa. Masa kau peluk
wife kau tu, dalam hati aku ni tak putus berdoa agar itulah jodoh kau yang
sebenarnya. Daddy kau pun aku nampak tersenyum. Weh kau dah mula jatuh cinta
dengan wife kau ya. Cinta pandang pertama ke? Tulah eksyen lagi kan dah
tersuka…” gelak Ashriq dengan katanya sendiri.
“Hisy
kau ni membebel aje dari tadi. Tak penat ke mulut kau tu…” sahut Darius.
Sahabatnya itu dijelling tajam.
“Rilek
la bro. Wah baru berubah status terus jadi sensitive….” Makin kuat ketawa
Ashriq lebih-lebih lagi melihat wajah Darius yang sudah berubah warna.
“Emelda
tak datang ke..?” soal Ashriq tidak mahu lagi berterusan mengusik Darius. Mahu
jadi hijau wajah sahabatnya itu nanti.
“Dia
mungkin dalam penerbangan ke Paris…”
sahut Darius perlahan. Sebenarnya dia masih berharap agar Emelda datang dan
menghalang penikahan itu namun akhirnya dia yang semakin kecewa. Emelda semakin
jauh dari gapaiannya.
“Sejujurnya
aku berharap kau mampu buka ruang hati kau untuk isteri kau. Pertama kali
melihatnya tadi aku dapat rasa dia gadis yang baik…”
Kali
ini Darius pula yang ketawa. Baikkah andai sanggup gunakan diri untuk duit
semata-mata. Dia pasti bukan sedikit ganjaran yang di terima isterinya itu.
“Kenapa
kau ketawa..?” soal Ashriq pelik.
“Aku
ketawa sebab kau kata isteri aku tu baik. Baik ke kalau sanggup gunakan maruah
diri semata-mata kerana duit…” Sinis sahaja Darius menjawab.
“Mungkin
dia ada sebab yang kita tak tahu. Jangan mudah menyimpan tanggapan buruk pada
orang Darius…”
“Dahlah
aku dah malas nak fikir. Otak aku ni dah sendat dengan pelbagai masalah…”
Ashriq
mengangkat bahu. Mengerti di saat ini Darius sedang celaru dengan apa yang baru
sahaja terjadi ditambah pula rasa kecewanya terhadap si kekasih hati. Sebelum
berlalu pergi sempat dia memberikan kata semangat agar tabah mengharungi
segalanya dan sempat juga dia memberi amaran agar jangan perlakukan macam-macam
pada isteri yang baru di nikahi sekalipun tidak menyukai pernikahan ini.
Darius
hanya menganguk sahaja. Di saat ini dia tidak tahu harus bagaimana. Di dalam
sana isterinya sedang menanti. Bolehkah dia menjalankan tangungjawabnya sebagai
‘suami’ hanya untuk mendapatkan zuriat yang diinginkan maminya. Tergamakkah dia
menyentuh gadis itu hanya kerana keinginan maminya dan bagaimana pula untuk dia
berkompromi dengan hatinya yang hanya menggambarkan Emelda sebagai isteri dan
ibu kepada zuriatnya. Segalanya semakin kusut.
Di
saat dia mengharapkan kehadiran Emelda, gadis itu pula pergi mengejar
impiannya. Mengapa begitu sukar untuk kekasihnya itu mengerti akan isi hatinya.
Rasa kecewanya terhadap Emelda semakin dalam dirasakan. Cintanya bagaikan
dipersendakan gadis itu.