Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,814
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

“Maafkan aku, Leya. Kau pukullah aku. Aku sanggup tapi tolong maafkan aku…”

Esakan dan rayuan Erina membawa Leya kembali dalam realiti. Dia masih tergamam dengan sebuah hakikat yang baru terbongkar.

“Kenapa, Rin? Kau sahabat aku. Sanggup kau tikam aku dari belakang. Apa dosa aku pada kau Rin?”Berkali-kali dia menidakkan kebenaran yang sudah tersingkap namun akhirnya dia kecewa sendiri. Hatinya sakit kerana semuanya adalah kenyataan. Sahabatnya berselingkuh dengan lelaki yang dicintai. Lelaki yang akan menjadi suaminya dalam beberapa jam nanti. Oh Tuhan, dugaan apakah ini?

“Sejak bila Rin?” Dalam sendu dia melontarkan pertanyaan. Dia ingin tahu bilakah semuanya bermula sedangkan selama ini, keduanya seperti biasa pada pandangannya. Terlalu pandai mereka berlakon hingga dia sendiri tidak menyedarinya.

“Kami mula rapat tiga bulan lalu. Sejak aku menjadi orang perantaraan untuk kau dan dia. Aku tak tahu bila ia bermula tapi sejak tiga bulan lalu kami sering bersama”

Leya meraup wajahnya. Keputusannya untuk tidak mahu mengadakan apa-apa pertemuan hingga hari diijabkan ternyata telah memberi ruang untuk Erina dan Fahim menjadi rapat. Diakah yang memulakan segalanya?

“Dia tunang aku. Lelaki yang aku cintai dan aku percayakan kau sebagai sahabat aku. Kenapa dalam ramai-ramai lelaki kat Malaysia ni dia yang harus buntingkan kau? Kenapa kau dan Fahim sanggup mengkhianati aku?” Betapa sukarnya untuk dia mempercayai semua ini. Bakal suaminya membuntingkan sahabatnya. Ya Allah, mengapa di saat aku hampir menjadi isterinya, Kau hamparkan kenyataan ini padaku?

“Aku tak sedar, Leya. Sumpah aku tak sedar perasaan aku pada Fahim berubah menjadi cinta. Aku… aku cintakan Fahim, Leya”

“Hingga sanggup serahkan diri pada lelaki yang bukan halal untuk kau?” Pedih hatinya saat mendengar pengakuan Erina.

Erina menundukkan wajah. Betapa dia malu dengan Leya. Betapa rapuh imannya hingga dengan mudah menyerahkan tubuhnya untuk diratah oleh lelaki yang bukan suaminya. Hanya sekali mereka tersasar dan dia sendiri tidak menduga keterlajuran yang pertama kali itu akhirnya membenihkan hasil dalam kantung rahimnya.

Mengingatkan itu, dia menjadi jijik dengan diri sendiri. Terasa jahatnya dia kerana tega mengkhianati sahabat sendiri. Rasa bersalahnya terhadap Leya bukan sedikit dan kerana itulah dia membuat keputusan untuk ke Perth.

Dia bangun menghampiri Leya lalu dia melutut depan sahabatnya itu. Dia tahu terlalu sukar untuk dia mendapatkan sebuah kemaafan. Melihat Leya yang langsung tidak memandangnya membuatkan hatinya semakin sayu.

“ Tolong jangan benci aku, Leya. Aku tak mahu kehilangan kau. Maafkan aku, Leya. Aku sanggup terima apa sekalipun hukuman kau tapi tolong jangan benci dan buang aku dari hidup kau….”

“Kau dah mengkhianati aku, Rin” Tangisannya sudah tidak mampu lagi ditahan. Keperitannya bagaikan sedang menikamnya bertubi-tubi. Ya Allah, berikan aku sedikit kekuatan.


************************


Fahim yang sedang bersila cuba untuk mententeramkan gemuruhnya. Berdebar jantungnya. Saat ini adalah saat terindah hidupnya. Saat yang dinanti-nantikan. Hanya beberapa detik sahaja lagi insan yang dicintainya akan menjadi suri dalam hidupnya. Inilah yang diimpikan selama ini. Menjadikan Leya Aulia sebagai isterinya yang sah.

“Boleh kita mulakan?” soal Ustaz Ahmad yang akan menikahkan Fahim dan Leya.

Fahim menarik nafas lalu melepaskan. Dia memandang Ustaz Ahmad lalu menganggukkan kepala. Bibirnya menguntum senyum.

“Aku nikahkan di kau Fahim Iskandar bin Mansur dengan Leya Aulia binti Arsyad berwakil walikan aku dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai…”

“Aku terima nikahnya…”

“Tunggu!”

Lafaz akad terhenti. Semua yang ada turut terpinga saat jeritan tersebut bergema kuat. Fahim yang mula terasa pelik mendengar jeritan tersebut turut terkedu apa lagi kerana dia yakin suara yang menjerit itu kepunyaan Leya lalu dia menoleh ke belakang dan yang semakin membuatkan dia hampir putus nafas bila terpandangkan wajah Erina di sisi Leya. Badannya terasa menggeletar. Peluh mula memenuhi dahinya. Dia yakin saat itu, wajahnya pasti pucat seperti mayat dan andai ada yang menorehnya pasti tidak akan ada darah yang mengalir keluar. Persoalan demi persoalan semakin berselirat di benaknya.

Jantungnya bagaikan mahu tercabut apabila Leya menghampirinya lalu mengajaknya ke satu sudut yang agak jauh dari tetamu. Melihat wajah gadis yang dicintainya saat itu, dia mula yakin segala olahan yang telah dia lakukan di belakang gadis itu telah terbongkar dan anggapannya itu semakin benar apabila melihat Erina turut berada di situ sedangkan Erina sudah berjanji tidak akan muncul di depannya dan Leya pada hari bersejarahnya ini.

“Saya nak awak nikah dengan Rin,” ujar Leya dengan tegas.

“Ap…. Apa awak cakap ni? Mana mungkin saya menikahi Rin sedangkan saya cintakan awak dan hari ini adalah hari kita, Leya.” Meskipun terkejut dengan permintaan Leya, namun dia cuba untuk merasionalkan diri dan memujuk gadis itu agar segalanya berjalan seperti yang dirancang.

Leya ketawa mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Fahim. Ketawa akan kebodohan diri yang gagal mengesan kecurangan dua insan kesayangannya. Andai Erina ibarat tangan kanannya, Fahim pula tangan kirinya. Betapa dia memerlukan keduanya. Betapa dia mempercayai keduanya. Betapa pentingnya mereka dalam hidupnya selain uminya. Dan kini saat mendengar ucapan cinta dari Fahim bagaikan selumbar yang menusuk pedih di jiwanya. Betapa parahnya cinta lelaki itu merobek jiwa gadisnya. Betapa hancurnya kasih bila dikhianati sahabat sendiri.

“ Segalanya dah berakhir, Fahim. Awak perlu bertanggungjawab atas apa yang telah awak lakukan. Rin lebih memerlukan awak…”

“Tidak! Saya cintakan awak, Leya. Saya hanya mahu awak menjadi suri hidup saya. Hanya awak Leya, bukan Rin juga sesiapa pun. Saya mengaku saya berdosa dengan awak tapi cinta saya untuk awak bukan satu kepuraan, Leya. Apa yang berlaku kerana khilaf kami. Ia satu kesilapan. Tolong Leya. Saya janji tidak akan mengulanginya lagi…” Sedaya mungkin Fahim cuba memujuk Leya. Cintanya terhadap gadis ini terlalu dalam. Apa yang berlaku antara dia dan Erina hanya kesilapan. Dia alpa dalam kenikmatan dunia yang menjerumuskan dia ke lembah dosa. Dia tidak menyalahkan Erina semata-mata kerana apa yang berlaku adalah kekhilafan mereka berdua. Sebulan yang lalu, dia dan Erina mengambil kata putus untuk tidak bertemu lagi sekaligus merahsiakan segalanya dan kerana itu juga Erina membawa diri ke Perth.

“Cinta?” Sekali lagi Leya menghamburkan tawanya. Sudah cukup dia diperbodohkan selama ini.

“Cintakan saya tapi sanggup berselingkuh dengan sahabat saya. Itukah makna cinta pada awak Fahim?”

Tergamam Fahim mendengarnya. Segala ucapan yang ingin dia katakan bagaikan ternoktah. Dia tahu kini, apa sekalipun yang dia katakan tidak akan mampu untuk mengembalikan Leya dalam hidupnya.

“Rin mengandungkan anak awak,” ujar Leya dengan nafas berat. Wajah Fahim direnung untuk kali terakhir.

Kaku Fahim mendengar kenyataan yang baru keluar dari bibir Leya. Apakah dosanya itu kini sedang menuntut tanggungjawabnya?

“Pergilah Fahim. Dengan rela hati saya lepaskan awak dari segala janji yang pernah awak ucapkan. Rin dan baby dalam kandungannya perlukan awak. Awak perlu bertanggungjawab, Fahim. Mungkin saya bukan jodoh awak. Perkenalan kita mungkin adalah lorong yang Allah aturkan untuk satukan awak dan Rin. Pergilah kepada Rin,dia cintakan awak. Kalau awak tak kasihankan dia, kasihankan anak yang dikandungnya itu. Itu zuriat awak. Anak itu tak bersalah” Meskipun hatinya parah dilukai, namun dia cuba untuk merasionalkan diri. Dia mahu berpegang pada Qadak dan Qadar Allah. Fahim bukan jodohnya. Dia harus reda.

Air mata yang mengalir disapu perlahan. Dia kecewa bukan kerana cintanya tidak kesampaian tapi kerana dikhianati oleh orang-orang yang disayanginya.

Keakraban persahabatan antara dia dan Erina bagaikan isi dan kuku. Segalanya mereka lakukan bersama. Di mana ada dia, di situ juga pasti ada Erina. Persahabatan yang terjalin sejak di tingkatan empat membuatkan mereka semakin serasi bersama.

Bagi Leya, Erina adalah sahabat terbaiknya. Erina yang suka akan aktiviti lasak sedangkan dia paling malas mahu melibatkan diri dalam aktiviti seperti itu. Aktiviti yang memenatkan pada perkiraannya. Meredah hutan semata-mata mahu berkhemah tepi air terjun. Mendaki bukit semata-mata mahu melihat alam dari tempat tinggi, berkayak, snorkelling entah apa lagi yang pernah dilakukan sahabatnya itu.

Baginya kenapa perlu bersusah payah melakukan semua itu sedangkan tanpa melakukan semua itu, dia masih mampu berkelah tepi air terjun tanpa perlu meredah hutan, boleh melihat keindahan alam walau hanya berdiri di beranda apartment milik kakak Erina dan boleh melihat kehidupan laut tanpa perlu melakukan aktiviti snorkelling. Dan bila itu diluahkan kepada sahabatnya itu, Erina dengan bersahaja akan mengatakan dia itu gadis yang manja. Anak umi katanya dan dia hanya ketawa setiap kali mendengarnya.

Meskipun dia tidak gemarkan aktiviti lasak namun dia gemar mendengar setiap pengalaman yang dilalui Erina setiap kali sahabatnya itu balik dari menyertai apa-apa program. Segala apa yang dilakukan dan dilalui akan diceritakan kepadanya dan secara tidak langsung, dia dapat meneroka alam ini melalui cerita-cerita dan pengalaman sahabatnya itu.

Fahim pula dikenali ketika lelaki itu di tahun akhir dan dia pula di tahun dua di universiti yang sama dan perkenalannya dengan pemuda itu benar-benar memutik rasa indah di jiwa gadisnya. Kehadiran Fahim benar-benar telah membuatkan dunianya semakin berwarna-warni. Hubungan cintanya dan Fahim bukan lagi menjadi rahsia bagi kedua belah pihak. Dia dan Fahim saling mengenali keluarga masing-masing.

Fahim cinta pertamanya. Lelaki yang benar-benar menyentuh hati gadisnya. Setelah Fahim menamatkan pengajiannya, lelaki itu berjanji dengannya yang dia akan menghalalkan hubungan mereka setelah pengajiannya tamat nanti dan ternyata Fahim tidak bergurau saat dia melafazkan janji itu. Setelah dua bulan dia tamat pengajian, Fahim menghantar rombongan untuk menyuntingnya. Baginya saat itu adalah saat terindah hidupnya meskipun pada mulanya ditentang oleh umi dan Erina.

Umi mahu dia bekerja terlebih dahulu sebelum memikul tanggungjawab sebagai isteri. Erina juga turut bersetuju dengan uminya. Katanya dunia ini luas, masih banyak yang perlu diselusuri.

Dia tidak mempedulikan larangan itu kerana di jiwanya saat itu hanya ada Fahim. Baginya, status isteri masih boleh untuk dia memulakan kerjaya dan membantu umi yang telah banyak berjasa dalam membesarkannya. Kepayahan umi setelah pemergian arwah ayah tiga tahun dulu tidak mungkin akan dia lupakan dan akan dia balas setiap keperihan umi meskipun statusnya telah berubah.

Kini segalanya tinggal sebagai memori yang melukakan. Dua minggu selepas Fahim dan Erina dinikahkan, keduanya terus berangkat ke England. Setelah hampir tiga bulan berlalu, hingga saat ini dia tidak lagi mengetahui apa-apa tentang mereka. Mungkin mereka sedang berbahagia dalam menanti kelahiran buah cinta mereka.

Leya melepaskan keluhan. Dia merenung keindahan yang terbentang. Keindahan ladang teh yang kehijauan sedikit sebanyak mendamaikan jiwanya yang sedang bercelaru. Kerana uminya dia akhirnya terdampar di sini. Dia tahu uminya turut bersedih dengan apa yang terjadi dan dia juga sebolehnya tidak mahu uminya berterusan risaukan dirinya.

Dia sudah bertekad untuk melupakan segalanya walau dia tahu mungkin sukar untuknya. Dia perlu melepaskan segalanya. Segalanya sudah tertulis dalam Takdir-Nya. Dia perlu reda.

Hari ini, biarlah menjadi hari terakhir untuk dia mengenang kenangan luka itu kerana perginya dia dari sini akan ditinggalkan semua kenangan lalu. Berharap agar semua kenangan lalu pergi dibawa sang bayu dan tidak akan lagi melingkari hidupnya.

“Aku doakan kalian bahagia selamanya. Kau tetap sahabat aku, Rin…” Dia melebarkan senyuman. Terasa bebanan yang ditanggung terlepas dibawa pergi sang bayu. Kini dia reda dan menerima segalanya sebagai ujian untuknya. Kehidupan perlu diteruskan. Benar kata umi, kemaafan itu sebenarnya penawar paling indah walaupun terlalu payah untuk diberikan. Dan hari ini dia dengan seikhlasnya memaafkan Erina dan Fahim.
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff