Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,678
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

“Leya….”

Panggilan itu membuatkan dia yang sedang dirias menoleh. Melihat Erina di muka pintu biliknya membuatkan dia melebarkan senyum. Dia bangun dan menghampiri sahabatnya itu. Meskipun pelik dengan kehadiran Erina namun kehadiran sahabatnya ini membuatkan hatinya berbunga keriangan.

Dia masih ingat tentang panggilan telefon dari Erina hampir dua minggu lepas. Betapa kecewanya dia apabila sahabatnya itu menyatakan tidak dapat hadirkan diri di hari bahagianya ini. Hingga saat ini, dia masih tercari-cari akan sebab utama yang membawa sahabatnya itu tiba-tiba ke Perth lebih sebulan yang lalu. Meskipun Erina menyatakan yang dia ke sana kerana mahu bercuti serta melawat kakaknya yang menetap di sana, namun dia dapat rasakan ada sesuatu yang disembunyikan sahabatnya itu.

Untuk hari ini dia tidak mahu memikirkan hal itu. Dia tahu lambat laun pasti akan diketahuinya juga. Sejak dari dulu, antara dia dan Erina saling meluah rasa hati masing-masing. Pendek kata, tiada rahsia antara mereka.

Dia memeluk sahabatnya itu. Dia tahu ini bukan mimpi. Sahabatnya ini benar-benar ada di depannya.

“Aku gembira sangat. Thank you so much Rin,” ucapnya dengan rasa gembira dan terharu.

Melihat wajah Leya tika ini membuatkan Erina semakin dihimpit rasa bersalah dan berdosa. Sahabat jenis apakah dia ini sanggup menikam sahabat sendiri? Wajah Leya direnung. Jauh di sudut hati, dia tidak sanggup untuk menyatakannya tapi apa pilihan yang dia ada. Ampuni aku, Leya. Air matanya mengalir menuruni pipi. Sungguh dia tidak sanggup. Dia kembali memeluk sahabatnya itu.

Leya mula terasa lain. Sikap sahabatnya ini membuatkan dia tertanya sendiri. Dia pelik mengapa tiba-tiba Erina menitiskan air mata. Apa sebenarnya yang berlaku?

“Kenapa Rin?” Hanya esakan Erina kedengaran. Dia menjadi semakin buntu.

“Ada sesuatu yang ingin aku bicarakan dengan kau…” Pelukan dileraikan. Air jernih yang membasahi pipinya juga disapu perlahan.

Leya mengerutkan dahi. Matanya merenung wajah Erina cuba mencari jawapan.

“Hanya kita berdua. Please, Leya…”

Dia semakin pelik namun dia mengangguk juga bersetuju lalu dia mengarahkan Kak Sheila selaku mak andamnya serta pembantu wanita itu supaya meninggalkan dia bersama Erina. Sebaik keduanya menghilangkan diri, pandangannya mula difokuskan pada Erina. Dia masih mendiamkan diri. Menunggu butir bicara yang akan keluar dari bibir sahabatnya.

“Aku…” Bicara Erina terhenti. Oh Tuhan, berikan aku kekuatan untuk menyatakannya. Bukan ini yang dia inginkan. Melukakan Leya adalah perkara terakhir yang akan dia lakukan. Dia alpa. Dia terleka dengan kebahagiaannya saat itu. Dia lupa siapa Leya padanya.Kerana dosa itu juga, dia mengambil keputusan untuk ke Perth dan berharap pemergiaannya itu mampu menutup segala cela yang telah dia lakukan. Tapi dia lupa, Allah itu lebih berkuasa dan kini dia terpaksa kembali untuk berdepan dengan dosa-dosanya.

“Aku mohon ampun dengan kau, Leya. Aku berdosa kerana mengkhianati kau. Ampuni aku…” Tangan Leya diraih dan dia genggam tangan sahabatnya itu seerat mungkin. Sesungguhnya saat ini dia benar-benar takut. Takut untuk kehilangan Leya. Pipi Leya dia sentuh perlahan. Wajah itu dia renung. Air matanya semakin deras mengalir.

“Apa sebenarnya yang kau sembunyikan dari aku?” Dia pasti ada sesuatu yang disembunyikan Erina. Melihat tingkah Erina saat ini membuatkan dadanya tiba-tiba berdebar.

“Aku fikir dengan pergi jauh dari sini, aku dapat sempunyikan kekhilafan diri, tapi kuasa Allah melebihi segalanya hingga aku terpaksa kembali semula demi menuntut sebuah tanggungjawab. Aku perlukan dia, Leya.…”

“Apa maksud kau, Rin?” Jantungnya semakin kuat berdetak.

“Aku… Aku mengandung, Leya…”

Terkaku dia seketika. Kenyataan yang baru sahaja keluar dari bibir Erina bagaikan arus eletrik yang tiba-tiba merenjat tubuhnya. Benarkah atau dia yang tersilap mendengar?



“Leya..”

Teguran dari Puan Dalilah mengejutkan Leya. Dia yang sedari tadi hanyut dibuai kenangan luka itu terus menoleh ke arah uminya. Senyuman diukir.

Puan Dalilah memandang wajah mendung anak gadisnya. Dia mengerti keperitan puterinya ini.

“Umi tahu Leya kecewa dengan apa yang terjadi dan umi mengerti akan keperitan Leya tapi Leya kena kuat, sayang. Fahim bukan jodoh Leya…” Sudah dua bulan berlalu namun puterinya ini masih begitu. Dia faham bukan mudah untuk Leya melupakan segala yang telah terjadi namun sebagai ibu, dia turut berduka dengan kesengsaraan puterinya ini.

“Sampai hati mereka khianati Leya, umi. Apa salah Leya umi. Tidak bermaknakah kasih sayang Leya pada mereka hingga mereka sanggup lukakan Leya? Hati Leya sakit, umi…” Rintihan Leya menusuk ke kalbu Puan Dalilah. Tubuh puterinya dipeluk. Melihat tangisan Leya membuatkan hatinya juga turut merintih pilu. Ya Allah, andai dapat keperitan puteriku ini dialihkan kepadaku, aku rela asalkan aku dapat melihat senyuman dan keceriaan puteriku ini.

“Dengar sini, sayang. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah dah tentukan seseorang yang lebih baik dari Fahim untuk Leya. Percayalah sayang. Allah sedang menguji Leya dan dia tidak akan menguji umat-Nya melebihi kemampuan hamba-Nya. Dia tahu Leya seorang yang kuat dan umi percaya satu saat nanti, Leya pasti dapat melupakan semuanya….” Sebagai ibu dia perlu kembalikan keyakinan puterinya ini. Dia tidak mahu Leya terus hanyut dalam kesedihan. Di setiap akhir solatnya, dia tidak pernah putus berdoa agar puterinya ini terus diberikan kekuatan.

“Pergilah bercuti, Leya. Tenangkan diri. Lapangkan fikiran. Jangan terus hanyut dalam kesedihan Leya. Semua itu mainan syaitan. Sebagai umat Allah, kita harus reda dengan apa yang telah ditentukan oleh-Nya. Setiap apa yang terjadi pasti ada sebab dan hikmah yang ingin Allah tunjukkan. Mungkin ketika ini, Leya masih tidak nampak tapi satu ketika nanti pasti Leya akan bersyukur dengan segala yang telah Allah tentukan untuk Leya. Percayalah sayang. Allah akan sentiasa bersama kita. Dia sentiasa mendengar rintihan setiap umatnya dan dengan bermunajat padanya jiwa yang lara pasti akan lebih tenang….” Belakang tubuh Leya diusap perlahan. Tangisan puterinya bagaikan sembilu yang menusuk hatinya. Dalam hatinya berharap suatu masa nanti ada bahagia buat puterinya ini.
Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff