Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,748
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Melihat keadaan uminya yang semakin teruk benar-benar membuatkan dia semakin takut. Takut untuk kehilangan lagi. Teringat kata-kata doktor Badrul tiga hari lepas.

"Pembedahan untuk Puan Dalilah perlu disegerakan kalau tidak keadaan jantungnya pasti akan lebih teruk.."

Dan kerana itu dia ada di sini. Menunggu Datin Aida seperti yang telah dijanjikan. Bilik yang berhawa dingin itu tidak mampu mendinginkan keresahan hatinya tika itu. Berkali-kali dia cuba mengingatkan diri keputusannya ini demi nyawa uminya. Dia sanggup pertaruhkan kebahagiaannya demi nyawa uminya. Ini pengorbanannya buat si ibu yang telah banyak berkorban untuknya. Demi seorang ibu yang tidak pernah berhenti memberi sokongan ketika dia rebah. Uminya adalah harta yang paling bernilai dalam hidupnya dan selagi terdaya dia akan melakukan apa saja demi uminya.

“Maaf buat Cik Leya menunggu…” sapa seorang lelaki yang baru melangkah masuk bersama Datin Aida. Lelaki pertengahan umur itu kelihatan segak dalam suit korporatnya.

“Saya, Zamri selaku peguam yang dilantik oleh Datin Aida dalam perjanjian antara Cik dan Datin. Dalam tangan saya sekarang perjanjian yang Datin Aida telah nyatakan. Cik boleh membacanya terlebih dahulu sebelum menurunkan tandatangan pada perjanjian ini….” terang Zamri lalu menghulurkan dokumen perjanjian di tangannya kepada gadis di depannya itu.

Teragak-agak Leya mengambil perjanjian tersebut. Matanya mengerling Datin Aida yang hanya berdiam diri sedari tadi. Wanita itu langsung tidak memandangnya. Mungkin beginilah sikap orang kaya. Menggunakan peguam sebagai jurucakap.

Dia menarik nafas perlahan sebelum membuka helaian perjanjian tersebut. Dia membacanya dengan teliti. Bukan sekali malah tiga kali isi perjanjian tersebut dibacanya.

“Maksudnya saya tidak akan ada hak apa-apa terhadap anak yang dilahirkan nanti..?” soalnya untuk kepastian.

“Betul…” sahut Zamri memberi kepastian.

“Walaupun untuk melawat dia..?” soalnya lagi.

“Hak Cik Leya hanya pada nama ibu yang tercatat pada surat kelahiran bayi tersebut dan selebihnya, Cik Leya tidak berhak sama sekali…” terang Zamri memberi lebih kepastian pada gadis muda di depannya. Dia sendiri tidak faham mengapa gadis secantik ini sanggup menerima pernikahan begini. Apakah kerana duit semata? Bukan sedikit ganjaran yang Datin Aida sediakan untuk gadis di depannya ini.

“Bagaimana pula dengan pernikahan kami nanti..?” soalnya untuk sekian kalinya. Dalam perjanjian ini syarat dikemukakan hanya bersangkutan dengan anak yang bakal dilahirkan bukan pernikahan antaranya dan anak tunggal Datin Aida.

“Tiada perjanjian bertulis tentang pernikahan antara Cik dan anak tunggal Datin Aida. Proses perceraian akan menyusul sebaik zuriat itu dilahirkan. Tugas cik hanya mengandung dan melahirkan dan selepas zuriat itu dilahirkan, tugas cik juga selesai dan cik harus pergi dari keluarga Datin dan jangan pernah muncul apa lagi untuk menuntut hak kerana dalam perjanjian ini jelas tertulis di mana hak cik sekalipun cik yang melahirkan bayi tersebut…”

“Apa akan jadi kalau saya langgar perjanjian ini…?”

“Rasanya, dalam perjanjian itu jelas tercatat apa yang akan berlaku andai perjanjian ini dilanggar…” ujar Zamri dengan riak tenang namun matanya dapat melihat riak sendu yang cuba disembunyikan gadis di depannya ini.

Leya mengangguk perlahan. Bukan dia tidak faham apa yang sudah jelas tercatat cuma sengaja diutarakan pertanyaan itu dan pertanyaan itu sebenarnya lebih kepada menyoal diri sendiri. Mampukah dia nanti? Apakah sampai hatinya bila tiba saat itu? Bermacam persoalan yang bermain di benaknya. Perasaannya tika ini payah untuk diungkapkan. Segalanya ada, bersatu dalam jiwanya apalagi saat membaca setiap patah yang sudah siap bertaip membuat hatinya sayu tiba-tiba.

Andai perjanjian ini dilanggar, selain dia terpaksa membayar tiga kali ganda dari bayaran yang di terima, anak yang dilahirkannya bukan sahaja tidak akan diakui malah tidak berhak untuk menuntut apa-apa dan dia sendiri tidak dibenarkan untuk menerangkan siapa ayah kandung kepada anaknya nanti. Lama dia merenung kertas yang bertaip di tangannya. Terasa menggigil tangannya tika itu. Dia menarik nafas dan memejamkan mata untuk mencari kekuatan danketabahan. Wajah uminya yang semakin lemah berputar jelas dalam pandangannya. Dengan tangan yang menggigil dia turunkan juga tandatangannya. Kolam matanya terasa panas tiba-tiba. Ya Allah, tabahkanlah aku.


*******************************


“Umi tak setuju Leya. Jangan rosakkan masa depan Leya kerana umi…” marah Puan Dalilah sebaik mendengar apa yang telah diberitahu anaknya.

“Hanya ini jalan yang ada untuk Leya selamatkan umi. Leya dah tak ada siapa-siapa lagi umi. Leya cuma ada umi. Leya tak nak kehilangan umi. Leya sanggup korbankan apa sahaja walau jantung Leya sekalipun asalkan umi ada di sisi Leya. Cukuplah Leya kehilangan ayah, hilang Rin, Fahim dan Leya tak nak kehilangan umi pula...” Dia menghamburkan tangisannya dalam pelukan uminya. Dia mengerti andai uminya tidak bersetuju namun di saat kritikal ini hanya itu jalan yang ada.

“Tapi kenapa perlu musnahkan masa depan Leya. Umi dah tua Leya. Sampai masanya, umi pasti akan dijemput-Nya juga…” Dengan lembut dia cuba memujuk agar anaknya menarik balik keputusan untuk menikahi seorang yang langsung tidak dikenalinya.

“Mungkin ini takdir Leya umi…”

“Tidak sayang. Jangan salahkan takdir….” Puan Dalilah mengeratkan pelukannya. Ya Allah kenapa tidak putus puteriku ini diduga.

Leya merenggangkan pelukan uminya. Tangan uminya dicapai dan dikucup penuh kasih.

“Tolong restui keputusan Leya umi. Itu sudah cukup untuk Leya menjadi tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan ini…” Air matanya kembali bergenang. Penuh harapan dia memandang uminya.

Dengan perlahan Puan Dalilah mengangguk. Betapa besarnya pengorbanan puterinya ini. Andai arwah suaminya masih ada, mungkin Leya tidak perlu melalui semua ini. Dia rasa bersalah kerana menjadi beban pada anaknya itu.

“Umi minta maaf kerana tak mampu bahagiakan Leya. Umi dah banyak menyusahkan Leya….”

Leya menggeleng perlahan.

“Umi jangan cakap macam tu. Umi tak pernah susahkan Leya. Leya yang banyak susahkan umi. Umi sakit pun sebab bimbangkan Leya. Leya yang harus minta maaf sebab tak pernah bahagiakan umi…”

“Dengar sini Leya. Umi tak pernah rasa susah malah kehadiran Leya menambahkan lagi kebahagiaan umi dan ayah. Leya adalah harta yang paling bernilai dalam hati umi dan ayah…”

“Leya juga bahagia dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak umi dan ayah. Umi dan ayah adalah segalanya dalam hidup Leya sebab tu Leya sanggup korbankan apa sahaja demi umi, ratu hati Leya…” ucap Leya dengan senyuman. Pipi uminya diciumnya bertalu-talu.

Puan Dalilah turut melakukan perkara yang sama. Pipi Leya turut diciumnya bertalu-talu. Sesungguhnya inilah anugerah yang tak ternilai dalam hidupnya. Leya lahir dari kasih sayangnya dan arwah suaminya. Bersyukur kerana dia dikurniakan seorang puteri sebaik Leya. Seandainya arwah suaminya masih ada, pasti suaminya juga turut bangga memiliki Leya Aulia sebagai permata mereka.
Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff