Setelah
berfikir dia akhirnya akur dengan permintaan uminya untuk pergi bercuti.
Permohanan cutinya juga telah diluluskan oleh ketuanya.
“Dengarnya
mula minggu depan Leya dah start cuti?” soal Hanani. Haiza yang duduk di
sebelahnya hanya mendiamkan diri.
“A’ah
kak. Umi yang minta Leya pergi bercuti. Leya tak mahu umi tambah susah hati.
Mungkin lepas bercuti nanti, Leya semakin okey…”
“Pergilah,
Leya. Sejak kejadian dulu tu, akak tengok Leya kerja tak berhenti. Betul
kesibukan itu mampu buat kita lupa akan sengsara di jiwa, namun ia hanya
bertahan seketika dan bila bersendirian, pasti sengsara itu datang kembali.
Selagi Leya tak lepaskan semua keperitan itu, Leya akan terus merasai
kesakitannya. Leya kena kuat, dik…” Haiza pula menasihati. Sebagai seorang wanita,
dia juga mengerti sengsara yang dideritai Leya. Sungguh dia kasihan dengan
gadis di depannya ini. Andai dulu gadis ini seorang yang periang dan sering
tersenyum namun kini, gadis itu lebih banyak mendiamkan diri. Senyuman yang
terukir pun sekadar melindungi duka di hatinya.
“Betul
kata kak Haiza, Leya. Lupakanlah semuanya. Biarpun tidak mudah, tapi Leya kena
cuba. Lepaskan segalanya. Reda dengan apa yang terjadi. Akak dah rindu sangat
dengan adik akak yang periang dan suka tersenyum tu. Akak harap bila balik
bercuti nanti, Leya yang dulu juga turut kembali…” Tutur Hanani dengan
senyuman. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar gadis di depannya ini kembali
seperti Leya Aulia yang mereka kenali dulu.
Leya
melebarkan senyuman. Terharu dengan pengertian dan sifat ambil berat kedua-dua
wanita di depannya ini. Kini dia sedar, meskipun dia kehilangan sahabat dan
lelaki yang dicintainya, namun Allah masih kurniakan dia insan-insan yang masih
menyayanginya dan mengambil berat akan dirinya. Insan-insan yang tidak pernah
jemu menasihati dan memberi semangat buat dirinya. Meskipun ada seorang dua
yang memandangnya sinis, namun masih ramai yang berdiri di sisinya. Dia
sepatutnya bersyukur dengan semua yang dimilikinya itu.
“Carilah
pengganti Leya. Kalau tak dapat yang macam Aaron Aziz, dapat yang macam Enrique
Iglesies pun dah kira okey,” ujar Haiza dengan tawa kecilnya.
“Amboi
kak, tingginya permintaan. Enrique Iglesias tu mamat paling hot tau. Nak dapat
macam Enrique tu, Leya kena terbang ke Miami
la,” sahut Leya yang juga turut ketawa dengan ocehan Haiza. Hanani juga turut
ketawa. Senang hatinya melihat tawa Leya.
“Tak
payah susah-susah pergi Miami Leya, kat Malaysia pun ada. Tak percaya cuba Leya
tengok pakwe meja belakang Leya. Fuh, handsome tu Leya. Kalau akak ni tak ada
Abang Naim, harus akak pergi tackle
pakwe tu,"ujar Haiza. Matanya masih memandang pemuda yang duduk selang
empat meja dari mereka.
“Gatalnya
kau Haiza. Tak padan dah ada laki. Ingat sikit dengan Naim. Tahu dek Naim
nanti, kecik hati dia…” Hanani pula bersuara apabila temannya ini masih
memandang pemuda di depan mereka itu. Dia sendiri akui akan ketampanan yang
dimiliki lelaki itu. Nampak hebat dalam suit korporat yang sudah pasti
berjenama dan mahal.
Ketawa
Haiza mendengar rungutan Hanani. Dia masih waras. Dia memandang sekadar
mengagumi ketampanan pemuda di depannya. Sedikit pun tidak memasang niat untuk
mencurangi suaminya Naim. Dengan adanya Naim di sisi, dia sudah cukup
bersyukur.
“Aku
tengok ajelah,sekadar cuci mata. Cuba Leya tengok pakwe tu, mana tahu kot-kot
tersangkut nanti,” Sendanya dengan tawa yang perlahan.
“Tak
kuasa la Leya. Pakwe handsome ni tak
boleh percaya sangat kak. Banyak auta,” sahut Leya tidak berminat. Sedikit pun
dia tidak menoleh seperti yang dipinta Haiza.
“Lelaki
tu handsome tambah pulak dalam suit korporatnya tu. Nampak hebat dan
berkarisma. Mesti anak orang kaya. Tak ada maknanyalah dia nak pandang
perempuan-perempuan yang bukan dalam kasta yang sama dengannya.…” Hanani
menyuarakan pendapat.
“Eh,
mana kau tahu? Tak semua anak orang kaya macam tulah,” bantah Haiza.
“Kalau
macam tu, kau pergilah cuba dapatkan nombor phone
dia….”
“Hoi,
nak mampus? Aku ni bini orang. Kau pun sama. Amboi tadi mengata aku bukan main
rupanya dia pun berminat juga. Ceh. Mengata dulang paku serpih…”
Hanani
sudah melambakkan tawanya. Boleh pula dia menyuruh Haiza pergi tacklepemuda itu. Memanglah tempah bala.
“Bukan
untuk kau, tapi untuk si Leya ni. Kau ingat aku dah hilang akal? Tak
pasal-pasal aku kena ‘hambat’ dengan
si Naim.”
Leya
yang sedari tadi hanya jadi pemerhati hanya menggeleng melihat telatah Haiza
dan Hanani. Boleh pula Haiza dan Hanani berdebat tentang lelaki yang mereka
sendiri tidak kenali.
“Dah
la, kak. Kita bukan kenal dia pun dan dia pun tak mungkin kenal kita. Masa
rehat pun dah sampai hujung ni. Jomlah,” tutur Leya lalu bangun dari duduknya.
Hanani dan Haiza juga turut bangun dan mereka terus melangkah keluar dari
restoran tersebut.
Mendengar
tolakan kerusi dari arah depan membuatkan Darius mendongak memandang lurus ke
depan. Kelihatan tiga wanita yang mula berdiri untuk berlalu dari situ. Tatkala
wajah si gadis yang berkurung ungu berpaling, jantungnya mula dihentak debaran.
Wajah
itu. Ya, dia yakin itulah gadis yang pernah ditemuinya dua bulan yang lalu.
Matanya masih terus mengiringi langkah gadis itu. Patutlah sedari tadi
jantungnya asyik berdebar, rupanya inilah penyebabnya. Dia memegang dadanya.
Masih terasa degupannya. Begitu kuat. Untuk apakah debaran ini? Mengapa hatinya
bergetar walau hanya dengan melihat wajah itu? Dia kurang mengerti. Entah
perasaan apa yang sedang bergolak di jiwanya saat ini.
“Apasal
tiba-tiba kau seperti berkhayal ni?” soal Ashriq yang pelik melihat perubahan
yang ditunjukkan sahabatnya itu.
“Kau
pernah rasa tak, jantung kau tiba-tiba berdebar bila pertama kali jumpa
seseorang yang kau langsung tidak kenal dan tak pernah jumpa?”
Ashriq
mengerutkan dahi.
“Maksud
kau..?”
“Aku
tak tahu, Ash. Dua bulan dulu aku jumpa gadis ni. Aku nampak dia yang ketika
itu sedang menangis, bersedih dan entah kenapa dekat sini turut terasa sakit,”
terang Darius dan jarinya menuding ke arah dadanya.
“Wajahnya
bagaikan magnet yang menarik untuk aku terus memandangnya. Wajahnya buatkan aku
lupa tentang kemarahan aku pada Emelda. Wajah yang berikan aku ketenangan.
Pertama kali aku bertemunya dan walau hanya memandangnya dari jauh, tetapi
getaran di hati aku ketika itu….” Bicaranya terhenti. Sukar untuk dia nyatakan
perasaan sebenarnya tika memandang gadis itu.
“Interesting,” sahut Ashriq. Badannya disandarkan
ke kerusi. Tangannya memutar-mutarkan telefon bimbitnya yang berada di atas
meja.
“Mungkin
kau dah jatuh cinta dengan dia. Cinta pandang pertama, mungkin…”
ulasAshriqmemberi pendapat.
Ketawa
Darius mendengar pendapat sahabatnya itu. Kepalanya digeleng perlahan.
“Nonsense. Kau ingat ni zaman dulu-dulu,
pertama kali jumpa terus jatuh cinta,” sahut Darius dengan ketawa yang masih
bersisa. Entah apa yang ada dalam kepala sahabatnya itu sehingga mengatakan
demikian. Mengarut sungguh.
Ashriq mengangkat bahu. Dia hanya menyatakan pendapat.
Dia sendiri mana pernah mengalaminya jadi dia hanya menyatakan apa yang
terlintas di fikirannya sahaja. Dia sendiri kurang yakin akan ungkapan cinta
pandang pertama. Masih wujudkah cinta sebegitu di zaman yang serba canggih ini?