Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,593
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Leya melangkah memasuki ruang kerjanya. Sekalipun cuti yang dipohon masih berbaki seminggu, namun untuk terus berada di rumah hanya akan membawa fikirannya mengingati perkara yang telah berlaku. Dari mengingati perkara yang hanya menyakitkan hati sendiri, lebih baik dia memulakan kerjanya lebih awal. Sekurang-kurangnya dengan kesibukan kerja, dia dapat melupakan buat seketika apa yang terjadi.

Sejak melangkah masuk tadi, dia sudah perasan akan pandangan teman-teman sekerjanya namun langsung tidak dihiraukan. Bila ada yang menegur, dia hanya tersenyum dan mengangguk sahaja. Dia rimas sebenarnya apabila semua memandangnya dengan pandangan simpati. Dia tidak perlukan simpati siapa-siapa, cukup andai orang sekelilingnya mengerti dan tidak lagi mengungkit akan perkara yang telah terjadi. Walau segunung simpati dilemparkan padanya tidak akan mengubah apa-apa. Perkara yang sudah terjadi tetap juga terjadi. Yang menderita sakit tetap dirinya seorang.

Fail-fail yang ada di atas meja diteliti satu demi satu. Keadaan sekeliling langsung tidak dihiraukan. Dia semakin leka dengan kesibukan kerjanya hingga langsung tidak menyedari akan waktu yang beredar.

“Leya tak nak pergi makan?” soal Hanani yang berdiri di tepi meja Leya. Sedari tadi lagi dia perasan yang Leya kelihatan begitu sibuk dengan kerjanya. Andai dia tidak datang menegur, alamatnya pasti gadis ini terlepas waktu makan tengah hari.

Leya yang ketika itu sedang tunduk, pantas mendongak apabila mendengar suara yang menegurnya. Melihat Hanani yang berdiri di tepi mejanya, dia melayangkan senyuman. Jam di pergelangan tangan diintai. Dah jam satu rupanya.

“Kak Nani baru nak pergi makan ke?”

Hanani mengangguk. Senyuman yang Leya ukirkan nampak benar kakunya. Senyuman yang hanya mahu melindungi duka di hati.

“Leya join akak ye....” Meskipun perutnya tidak terasa lapar namun apa salahnya dia menerima ajakan Hanani. Dia sudah berjanji dengan diri sendiri untuk menjalani rutin hidup seperti biasa. Selagi dia mampu menyembunyikan kedukaan hatinya, dia akan lakukan. Bukan mahu berpura-pura, cuma dia tidak mahu orang sekelilingnya terus memandangnya dengan simpati. Apa yang dirasa, biar saja dia yang merasai dan melaluinya.

“Marilah. Lambat nanti penuh pula cafe kat bawah tu...”

Setelah mengemas fail-fail dan kertas kerjanya, dia terus berlalu mengikut langkah Hanani. Sebaik sampai di café yang terdapat di tingkat bawah bangunan pejabatnya, mereka terus mengambil makanan. Selepas membuat pembayaran, dia dan Hanani melilau mencari tempat kosong.

“Nani, Leya sini...”

Terdengar laungan seseorang memanggil mereka. Sebaik menoleh Haiza dan Naim sedang melambai ke arah mereka.

“ Tempat kau orang ni kosong ke?” soal Hanani untuk kepastian.

“Sebab kosong la kami panggil. Duduklah. Tempat lain rasanya dah penuh,” ujar Naim dengan ramah.

Leya dan Hanani terus melabuhkan duduk di depan Haiza dan Naim. Mereka mula menjamah makanan yang dibeli. Hanani, Haiza dan Naim rancak berbual dan Leya hanya menjadi pendengar sahaja.

“Leya okey ke?” soal Naim. Haiza di sebelah menyiku lengan suaminya itu.

Leya mengangkat kening bila mendengar pertanyaan itu dan sempat juga matanya menangkap tingkah Kak Haiza yang menyiku lengan Abang Naim. Dia hanya tersenyum. Mungkin Kak Haiza tidak mahu Abang Naim mengungkit akan perkara yang telah berlaku.

“Abang Naim minta maaf, Leya. Tak bermaksud nak ungkit kejadian tu...” Cepat-cepat Naim memohon maaf apabila menyedari keterlanjuran kata apalagi bila isterinya menjegil mata ke arahnya.

“Leya okey, Abang Naim. Semuanya ketentuan Allah dan Leya terimanya dengan reda,” sahut Leya bersama senyuman.

“Sabarlah Leya. Akak tahu apa yang berlaku bukan perkara yang mudah untuk dilupakan. Anggaplah Fahim bukan jodoh yang telah ditetapkan untuk Leya,” ucap Hanani, mengambil kesempatan memberi semangat.

“Betul kata Kak Nani tu, Leya. Jodoh pertemuan Allah yang tentukan. Bagaimana kita merancang sekalipun, andai itu bukan jodoh kita ia tak mungkin akan berlaku. Leya kena kuat. Kena tabah. Jangan sesekali rebah hanya kerana seorang lelaki. Akak yakin adik akak ni seorang yang kuat...” Haiza pula mengambil kesempatan memberi nasihat sedangkan tadi dialah yang tidak suka perkara itu diungkit.Tapi alang-alang sudah terlanjur kata, tidak salah rasanya untuk dia menitip sedikit nasihat buat Leya.

“Insya-Allah. Leya sedang mencuba. Mungkin ambil masa, tapi Leya tidak mahu berterusan memikirkannya. Yang terjadi biarkan berlalu dan hidup perlu diteruskan seperti biasa…”



Usai solat, Leya mengambil Al-Quran dan membacanya. Sejak kejadian dulu, dia kini lebih mendekatkan diri pada yang Esa. Hanya dengan membaca surah-surah Al-Quran, dia dapat mendamaikan jiwanya. Kesakitannya bagaikan dibawa pergi. Kalam Allah ini bagaikan penawar untuknya yang sedang berduka.

Teringat pesan seorang ustazah dalam satu ceramah yang pernah dia hadiri. ‘ La Tahzan’ jangan bersedih. Allah ada. Allah tahu. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama umatnya. Mengadulah pada dia dan luahkan segala kesakitan pada-Nya. Dia maha mendengar dan mengasihani. Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui. Sabar dan redha akan aturannya kerana jalan Takdir-nya tidak pernah salah dan Insya-Allah ada ganjarannya buat mereka yang tabah menghadapi ujian dari-Nya.

Leya menarik nafas panjang. Dia menjadi pilihan kerana Allah mahu menguji keimanannya. Mungkin ini salah satu sebabnya mengapa Allah turunkan ujian itu padanya. Di setiap solatnya, dia tidak pernah putus meminta agar diberi ketabahan serta kekuatan dalam mengharungi hari-hari yang mendatang.

“ Ya Allah, andai sudah begini yang tertulis dalam takdir-Mu, aku reda. Aku menerimanya sebagai ujian dari-Mu. Sesungguhnya engkau lebih tahu apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Berikan aku kekuatan dan ketabahan. Aku tidak mahu terus hanyut dalam kekecewaan ini. Kesakitan ini pasti ada sebabnya yang mungkin tidak aku ketahui.

Ya Allah, ampuni segala kelekaanku selama ini. Di saat aku gembira, di saat aku ketawa aku lupa akan kewujudan mu. Mungkin ini balasan untuk aku yang sering lalai dalam mengingati-Mu.

Ya Tuhanku, lapangkan hati ini agar dapat aku berikan kemaafan pada mereka sekaligus melepaskan semua rasa sakit yang ada. Kesakitan ini buat aku semakin lemah dan aku tidak mahu kesakitan ini menjadi racun lalu meninggalkan rasa dendam untuk mereka.Aku mahu menjadi insan yang reda dan ikhlas menerima semuanya sebagai ujian untuk aku sebagai hamba-Mu.”

Air mata yang mengalir di kesat perlahan. Setabah atau sekuat mana pun yang cuba dipertontonkan namun hakikatnya, hatinya tetap merintih.

Andai dia dapat putarkan waktu, dia akan mengelak dari jatuh cinta. Bukan dia menyesal tapi dia lebih rela memilih untuk tidak jatuh cinta. Adakalanya dia bertanya pada diri sendiri, ada apa dengan cinta kalau pengakhirannya hanya kelukaan dan kesakitan.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff