"Mengikut
wasiat Tan Sri Firhad, 60% dari hartanya diserahkan pada anak tunggal beliau
iaitu Dato Firdaus Tan Sri Firhad manakala 40% lagi diserahkan kepada cucu
tunggal beliau iaitu Umayr Darius Dato Firdaus."Kata-kata yang baru
diucapkan oleh Dato Amir selaku peguam yang dilantik oleh arwah Tan Sri Firhad
bagi menggantikan arwah Dato Dahlan empat tahun lalu memang telah dijangkakan.
Dato Firdaus merupakan anak tunggal kepada Tan Sri Firhad dan Umayr Darius pula
adalah satu-satunya zuriat yang dia ada.
"Segala
harta-harta ini akan sah menjadi milik Dato Firdaus dan Umayr Darius hanya
selepas lahirnya zuriat pertama keluarga Tan Sri Firhad," Ujar Dato Amir
lagi. Wajah-wajah di depannya dipandang seketika.
"Maksud
Dato?"soal Datin Aida tidak mengerti. Darius dan Dato Firdaus juga turut
mengerutkan dahi.
"Maksudnya
segala harta yang telah diwariskan untuk Dato Firdaus dan Umayr Dariushanya
akan menjadi hak mutlak mereka selepas lahirnya cicit pertama arwah..."
Suasana
menjadi sunyi seketika. Darius sendiri terkejut dengan syarat yang diletakkan
arwah datuknya. Kahwin? Dalam umurnya yang baru mencecah 26 tahun? Gila. Tidak
mungkin dia akan memenuhi syarat tersebut. Dia masih terlalu muda. Masih banyak
yang ingin dicapai sebelum dia mengakhiri zaman bujangnya.
Dia
akui dengan harta yang yang telah diwariskan kepadanya, kehidupannya pasti akan
bertambah mewah. Siapa yang tidak kenal Tan Sri Firhad. Seorang ahli perniagaan
yang berjaya. Aset yang ditinggalkan arwah datuknya mampu menyara hidupnya
tanpa perlu dia bersusah payah untuk keluar bekerja.
"Maknanya
selagi Darius tidak bernikah dan lahirkan zuriat keturunan Tan Sri Firhad,
segala harta-harta ini masih bukan hak kami?" Dato Firdaus pula menyoal.
Hairan juga dia akan sebab utama mengapa arwah ayahnya mengenakan syarat
tersebut.
Dato
Amir mengangguk. Satu per satu wajah-wajah di depannya direnung. Mungkin syarat
yang dikenakan arwah Tan Sri Firhad amat berat pada Darius yang masih terlalu muda
untuk bergelar seorang suami dan dia juga mengerti mengapa arwah Tan Sri Firhad
meletakkan syarat berkenaan. Arwah Tan Sri Firhad sebenarnya cuba untuk
melindungi hak anak dan cucu tunggalnya itu.
Bila
urusannya di situ selesai, Dato Amir memohon diri untuk berlalu. Pemergian Dato
Amir diiringi Dato Firdaus. Sampai di muka pintu, kedua sahabat itu berpelukan.
Setelah kelibat Dato Amir sudah menghilang, Dato Firdaus kembali ke ruang tamu.
"Nampaknya
terpaksalah Darius ajak Mel kahwin," Tutur Datin Aida sebaik Dato Amir
berlalu.
"Darius
muda lagi la, mami. Banyak lagi yang Darius nak buat sebelum pegang status
suami," bangkang Darius tidak bersetuju.
"Kamu
jangan jadi bodoh, Darius. Dengan harta arwah atuk kamu, hidup kita akan lebih
mewah. Dengan aset tersebut kamu juga mampu lakukan apa saja..." Datin
Aida membangkang sebaik sahaja Darius menolak rancangannya.
"Darius
tetap tak setuju, mami. Tanpa harta arwah atuk pun kita masih boleh hidup
dengan mewah. Darius tetap tidak setuju..."
Darius
tetap dengan pendiriannya. Geram benar hatinya bila maminya berterusan memaksa.
Apakah masih tidak cukup kemewahan yang dimiliki mereka hari ini sehingga
maminya begitu tidak sabar mahu menikmati segala harta yang diwariskan arwah atuknya.
“Selagi
kamu tak bernikah, Firhad Holdings masih bukan hak kita seratus peratus. Daddy
kamu hanya pemegang 20% syer sahaja sedangkan arwah atuk kamu pemegang syer
terbesar di situ dan selagi itu juga kita takkan dapat menyentuh segala aset
yang ditinggalkan arwah atuk kamu. Kamu sedar tak Darius?Selagi kamu tidak
berkahwin, segala harta arwah atuk kamu di bawah kuasa Dato Amir dan dalam
tempoh itu segala macam perkara boleh berlaku...”
“Apa
maksud awak? Amir tu sahabat saya dan dia tidak akan sekali-kali mengkhianati
kita. Saya kenal dia sejak dari kecil lagi. Dah tahu hati budi Amir tu macam
mana,” ujar Dato Firdaus yang kurang senang dengan apa yang diperkatakan
isterinya. Bukan dia tidak tahu akan sifat tamak dan penting diri isterinya
itu. Dia sebagai suami sering sahaja makan hati dek sikap Datin Aida.
Datin
Aida mencebik apabila suaminya mempertahankan Dato Amir. Sedari dulu dia memang
tidaksukakan sahabat suaminya itu. Dia masih ingat bagaimana Dato Amir cuba
mempengaruhi Dato Firdaus agar tidak mengahwininya 27 tahun dahulu. Kerana Dato
Amir, perkahwinannya dan Dato Firdaus hampir terbatal. Disebabkan cinta Dato
Firdaus yang amat dalam untuknya membuatkan Dato Amir dan arwah bapa mertuanya
terpaksa akur dengan kehendak Dato Firdaus.
“Adik-beradik
pun boleh bermusuh kerana harta, ini kan pula hanya bersahabat. Sudahlah mami
tak mahu dengar apa-apa lagi. Mami nak kamu penuhi syarat tersebut. Mami nak
kamu bincang dengan Emelda dan tetapkan hari secepat mungkin..." Dengan
tegas Datin Aida memberi arahan. Di depan matanya sudah terbayang segala aset
yang dimiliki arwah mentuanya. Dia pasti dengan aset yang dimiliki arwah
mentuanya, kekayaan yang dimiliki keluargannya akan bertambah banyak dan
kehidupannya juga akan bertambah mewah.
Darius
mendengus. Dia benar-benar tidak puas hati dengan arahan yang dikeluarkan Datin
Aida. Dato Firdaus pula hanya mampu menggeleng kepala. Arif benar dengan sikap
isterinya. Wajah suram anak tunggalnya hanya mampu dipandang dengan rasa
simpati. Meskipun dia ketua keluarga, namun sikap isterinya lebih mendominasikan
hingga adakalanya pendapat dia sebagai ketua keluarga hanya dipandang enteng
dan dipinggirkan.
************************
Darius
gelisah di tempat duduknya. Sudah lima belas minit dia menanti Emelda namun
kelibat gadis itu masih juga belum kelihatan. Otaknya masih ligat memikirkan
bagaimana caranya untuk memujuk kekasih hatinya itu untuk menerima lamarannya.
Dia tahu Emelda tidak mungkin setuju sementelah nama gadis itu kini sedang
meningkat naik dalam bidang peragaan. Dia yakin tidak mungkin Emelda sanggup
melepaskan kerjayanya demi mengahwini dirinya.
"Hai
sayang, sorry I lambat..."Suara
manja Emelda menerjah telinganya. Dia hanya tersenyum. Wajah Emelda direnung.
Sudah hampir tiga tahun hubungannya dan Emelda terjalin. Dia memang cintakan
Emelda meskipun sikap Emelda banyak melukakan hatinya namun dia tidak peduli
kerana kasihnya buat gadis ini tulus dan memang impiannya untuk menjadikan
Emelda sebagai suri hidupnya.
"Hey,
kenapa renung I macam tu?" Soal Emelda yang sedikit kekok bila Darius
merenungnya begitu.
"Salah
ke I renung buah hati I sendiri?" Sahut Darius bersama senyum nakal.
Emelda
mencebik manja. Dia hanya membiarkan Darius mengusap jarinya.
"Kenapa
tiba-tiba nak jumpa I?” Soal Emelda dengan rasa ingin tahu.
Terdiam
Darius seketika. Otaknya ligat mencari ayat untuk diluahkan.
"You
sayang I?"
"Mestilah
I sayang you. Kenapa ni. Hmmm..?" Pelik. Kelakuan Darius malam itu kelihatan sedikit
pelikdan riak wajahnya juga kelihatan gelisah.
Darius
menarik nafas dan dilepaskan perlahan-lahan mencari kekuatan untuk meluahkan
apa yang bermain di mindanya saat ini.
"Mel,
sudi tak you jadi isteri I?" Lamar Darius dengan dada berdebar. Wajah
Emelda di renung dengan harapan yang tinggi.
Kaku
Emelda seketika. Ucapan yang terlahir di bibir Darius amatlah diimpikan namun
saatnya sahaja yang tidak sesuai. Namanya semakin naik dan tidak mungkin dia
sanggup melepaskan kerjayanya di saat ini.
"Mengarutlah
you," Ujar Emelda diselangi ketawa kecil.
"I
serius, Mel. I nak lamar you jadi isteri I..."
"You
gila ke? Nama I tengah naik sekarang. Lagipun I tak pernah fikirkan soal
kahwin. Bukan sekarang,mungkin dua atau tiga tahun nanti. I nak kukuhkan
kerjaya I dahulu sebelum I fikirkan soal nikah kahwin..." Dengan tegas
Emelda menyuarakan pendiriannya.
"Please Mel, you kena tolong I. Lepas
kita nikah dan you lahirkan seorang zuriat, you boleh teruskan kerjaya you. Please sayang," rayu Darius, masih
berharap agar Emelda bersetuju.
"What..? Nikah dan kemudiannya lahirkan
anak untuk you? You memang dah hilang akal. Kalau I beranak, you ingat bentuk
badan I masih cantik macam sekarang ke? Tak nak lah. I takkan korbankan kerjaya
I demi permintaan karut you ni..." Bengang Emelda apabila mendengar
permintaan Darius.
"Mel,
I tahu tapi I terpaksa. Kalau ikutkan, I pun tak nak tapi kita kena juga lakukan.."
"Apa
maksud you?"
Darius
melepaskan keluhan.
"Untuk
dapatkan aset yang telah diwarisi oleh arwah atuk I, I kena nikah dan lahirkan
zuriat untuk keluarga kami dan itu adalah syaratnya..."
Terdiam
Emelda seketika. Dia tahu dengan aset yang akan dimiliki Darius, kehidupannya
sebagai isteri lelaki itu pasti penuh dengan kemewahan namun untuk melepaskan
cita-citanya terlalu berat untuk dia lakukan.
"Berikan
I masa untuk fikirkannya..."
Darius tersenyum bila mendengar jawapan buah hatinya.
Dia yakin kekasih hatinya ini tidak mungkin akan mengecewakan dirinya.