Emelda
mula rasa gelisah. Sudah hampir dua minggu Darius tidak menghubunginya. Sungguh
dia tidak menduga panjang pula rajuk Darius kali ini. Tidak pernah kekasihnya itu merajuk panjang
dengannya. Apa sekalipun kesalahan yang
dilakukan, Darius akan sentiasa memaafkannya. Dia akui, kerana sifat sentiasa
beralah Darius membuatkan dia tidak gentar melakukan kesalahan demi kesalahan
kerana dia amat yakin lelaki itu amat mencintainya.
Serabut
kepalanya memikirkan rajuk si kekasih hati. Selama ini hanya Darius yang
memujuk setiap kali mereka bergaduh namun kali ini berlainan pula yang terjadi.
Telefon bimbitnya direnung. Sedang berkira apakah perlu dia memujuk Darius atau
membiarkan sahaja Darius sejuk sendiri.
Emelda
mundar mandir di dalam biliknya. Otaknya masih ligat berfikir. Nombor Darius
terpapar di skrin telefonnya namun hatinya masih berat mahu menekan. Kepala
yang tidak gatal digaru. Dia mendengus perlahan. Mengapa sukar benar dia mahu
mengalah sedangkan dia yang menjadi puncanya.
Bunyi
yang lantang dari telefon bimbitnya mengejutkannya dari lamunan. Sebaik melihat
nama yang terpapar di skrin, bibirnya mula mengukir senyuman.
“Hello….”
Sengaja dia menjawab dengan suara dingin sedangkan dalam hatinya sudah bersorak
keriangan.
“You
tak rindu I ke?” suara Darius di sebelah sana kedengaran perlahan. Emelda
semakin melebarkan senyuman.
“You
yang nak merajuk sangat. Padanlah muka you.” Acuh tidak acuh Emelda membalas.
“Sampai
hati you. I kat sini macam orang hilang akal rindukan you. Jom keluar nak? I
jemput you satu jam dari sekarang.”
“Hmm….
Okey tapi you kena hantar I sebelum jam enam petang. Malam nanti I ada appointment dengan designer.”
Setelah
mendapat persetujuan dari Darius, panggilan ditamatkan. Senyumannya semakin
lebar.
Seperti
yang dijanjikan, sejam kemudiannya kereta Darius sudah terpakir di depan
rumahnya. Dengan senyuman dia menghampiri dan memboloskan diri dalam kereta
Darius.
“
Hai Honey,” sapa Darius sebaik Emelda duduk di sebelahnya. Dua minggu dia
lancarkan mogok. Dalam tempoh itu dia berharap Emelda akan memujuknya namun
setelah dua minggu, apa yang diharapkan tidak juga kunjung tiba. Emelda hilang
tanpa khabar dan akhirnya dia sendiri yang lemas dalam kerinduan.
“Kita
nak ke mana? Start dari saat ini
hingga jam enam nanti, masa I hanya untuk you. Anggap saja I ganti balik date kita hari tu.”
“Sounds great. Kalau macam tu, untuk hari
ni no phone calls, no sms or apa-apapun. I tak nak
semua-semua tu nanti menganggu date
kita…” Tangan dihulur meminta telefon bimbit Emelda. Setelah mematikan telefon
Emelda, dia kembali menyerahkan kepada gadis di sebelahnya. Telefon bimbitnya
juga turut dimatikan. Hari ini dia tidak mahu sesiapa pun menganggu mereka.
Semoga
ia mampu menghangatkan kembali hubungan mereka yang sentiasa tegang sejak
akhir-akhir ini.
Setelah
lima jam mereka menghabiskan masa bersama, seperti yang di janjikan Darius
menghantar Emelda pulang walau hatinya masih berat untuk melepaskan kekasihnya
itu. Tempoh lima jam bersama terasa seperti empat puluh minit. Pantasnya masa
beredar. Sepanjang tempoh itu, terasa seperti kembali semula ketika mereka
sedang hangat bercinta di awal perhubungan dulu. Ke hulu ke hilir sentiasa bersama.
Di mana ada dia di situ ada Emelda. Di ketika itu dia benar-benar bahagia.
Emelda sentiasa ada di sisinya namun rentak hubungan mereka mula suram bila dia
mula menguruskan Firhad Holdings dan Emelda pula dalam bidang modeling.
Sejak
akhir-akhir ini hubungan mereka semakin ‘panas‘ di rasakan dek sikap Emelda
yang adakalanya keterlaluan. Kerana cinta dan kasih yang bersemi utuh di hati
dia tetap bersabar walau adakalanya kesabarannya juga terasa tercabar.
“
I pergi dulu and thank’s untuk hari ini. I betul-betul happy….” Ucap Emelda
dengan senyuman riang di bibir. Hari ini hari yang benar-benar gembira buatnya.
Sudah lama rasanya dia dan Darius tidak meluangkan masa begini.
“
Terima kasih untuk you juga…”
Darius
hanya melihat pemergian Emelda dengan dada yang lapang. Bibirnya masih mengukir
senyum. Semoga hubungan ini terus bertaut dan bahagia. Doanya di dalam hati.
Puan
Dalilah termenung mengenangkan nasib puterinya. Dia tahu bukan mudah untuk Leya
menghadapinya lebih-lebih lagi apabila terluka dek perbuatan sahabat sendiri.
“Kami
mohon maaf, Ilah. Kami tahu perbuatan Erina telah melukakan Leya sekaligus
mencalarkan kebahagiaannya. Kalaulah kami tahu sedari awal, mungkin kami dapat
menghalangnya.”
Kata-kata
maaf yang sering diulang oleh Puan Zulaiha dan Encik Emran terlayar di ingatan.
Dia tahu sejak hari kejadian, Puan Zulaiha dan Encik Emran tidak berhenti
memohon maaf padanya dan Leya. Dia juga tahu mereka rasa bersalah dek perbuatan
Erina dan Fahim namun walau berkali-kali kemaafan diucapkan, tidak mungkin
mampu untuk mengubati kelukaan puterinya. Bukan sehari dua kedua buah keluarga
mengenali antara satu sama lain malah sudah bertahun-tahun lamanya sedari Leya
dan Erina masih di bangku sekolah. Persahabatan yang terjalin akhirnya tercalar
hanya kerana cinta seorang lelaki.
Dia
sedih melihatkan kesudahan yang begini dalam persahabatan Leya dan Erina. Erina
sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia tahu betapa pentingnya Erina dalam
hidup puterinya kerana Erina satu-satunya sahabat yang paling bermakna dalam
hidup Leya.
“Jauh
termenung, kak…”
Lamunannya
berterbangan sebaik mendengar suara yang menegur. Dia menoleh dan cuba
memaniskan wajah sedangkan dalam hatinya terasa sesak dek kejadian yang telah
berlaku.
“Midah
tak kerja hari ni?” soalnya sebaik jirannya itu duduk di depannya.
“Cuti,
Kak Ilah. Badan ni dah terasa lenguh sana sini.”
Puan
Dalilah hanya mengangguk perlahan. Pandangannya ditebarkan ke halaman rumahnya.
“Jangan
terlalu susah hati, kak. Midah tahu akak sedih dengan apa yang menimpa Leya
tapi apa yang berlaku sudah tercatat dalam takdirnya. Kalau akak lemah,
bagaimana nanti dengan Leya. Dia perlukan kekuatan Kak Ilah,” ujar Hamidah cuba
untuk meredakan kesedihan Puan Dalilah.
Puan
Dalilah melepaskan keluhan. Wajah Hamidah direnung dengan mata yang berkaca.
“Akak
kesiankan Leya. Dia tersenyum depan akak tapi hakikatnya dia menangis dalam
diam. Akak tahu dia pura-pura tabah kerana tak mahu akak risaukan dia. Kesian
dia, Midah. Yang mengkhianatinya bukan orang lain tapi sahabatnya sendiri….”
Tangisan yang cuba ditahan akhirnya terhambur jua. Saat ini, wajah sugul
puterinya bermain di ruang matanya.
“Midah
percaya, Leya kuat untuk hadapinya. Kak Ilah kena bagi Leya masa. Segala apa
yang terjadi ini pasti ada hikmahnya….” Bahu Puan Dalilah diusap perlahan. Dia
mengerti akan kesedihan yang dialami Leya dan Puan Dalilah.
“Bila
akak dah tak ada nanti entah macam mana dengan Leya.”
“Jangan
begitu Kak Ilah. Kalau Leya dengar, dia pasti lagi sedih. Kak Ilah kena jaga
kesihatan. Kak Ilah tak boleh tertekan sangat nanti kesihatan akak terjejas.
Jangan terlalu bersedih. Allah tu Maha Mendengar. Kita doa banyak-banyak agar
diberi kekuatan dan ketabahan pada Leya. Midah percaya, Allah telah aturkan seorang
anak Adam yang terbaik untuk Leya….”
Mendengar kata-kata Hamidah sedikit melegakan hatinya.
Ya Allah, dia khilaf dalam mengenang nasib anaknya padahal segala yang berlaku
pasti ada sebab dan hikmahnya.