Sedari
tadi Darius memandang tingkah gadis yang sedang duduk selang tiga bangku
darinya. Dia mengerutkan kening. Pelik melihat gadis itu. Entah apa yang dibuat
gadis itu di sini pada rembang matahari yang semakin naik memancarkan cahaya
dan lebih memelikkan, apabila tubuh si gadis dibaluti sepasang busana pengantin
berwarna putih gading.
Apakah
gadis ini melarikan diri dari majlis perkahwinannya? Atau sedang berduka kerana
ditinggalkan pada hari yang sepatutnya mereka disatukan? Satu demi satu
persoalan yang timbul di benaknya namun satu pun tidak mungkin akan berjawab.
Tidak mungkin untuk dia ke sana dan bertanya akan persoalan yang muncul di
benaknya. Mereka saling tidak mengenali tapi entah kenapa matanya tetap juga
terarah pada gadis itu. Sesekali dia melihat gadis itu menyapu pipi. Sedang
menangiskah dia? Dari wajah yang kelihatan mendung dan suram itu, dia pasti
kedukaan yang tergalas begitu menyakitkan. Siapakah yang tergamak menghadiahkan
kedukaan buat gadis itu?
Dia
melepaskan keluhan. Entah kenapa dia seakan berminat untuk mengetahui akan lara
yang menghuni dasar hati gadis yang langsung tidak dikenalinya itu. Entah
kenapa juga melihat gadis itu menangis, jiwanya terasa bagaikan turut merasa
sakitnya. Mengapa mesti ada rasa demikian di hatinya sedangkan mereka langsung
tidak saling mengenali. Perasaan apakah ini?
Dia
menepuk dahi lalu tersenyum. Ah, mengapa perlu dia sesakkan minda dengan
hal-hal gadis yang tidak dikenalinya itu? Siapa gerangannya pun dia tidak tahu.
Berpisahnya mereka nanti akan membawa haluan sendiri dan mereka mungkin tidak
akan bertemu lagi. Biarlah, mungkin gadis itu juga sedang mencari ketenangan di
sini seperti dirinya.
Pandangan
dibiarkan bebas memerhati sekeliling hinggalah dia dikejutkan dengan bunyi dari
telefon bimbitnya. Nama Emelda terpapar di skrin. Dia hanya memandang tanpa ada
niat untuk menjawab panggilan tersebut. Entah apa lagi alasan gadis itu kali
ini. Dia muak. Nampak sangat dirinya bagaikan langsung tidak berharga pada kekasihnya
itu. Biarlah kali ini dia berkeras. Akhirnya, telefon bimbitnya ditukar ke mode silent.
Pandangannya
jauh merenung aliran tasik yang beriak tenang. Mengapa hatinya saat ini tidak
setenang itu? Berkali-kali dia bertanya pada diri sendiri. Semuanya kerana
gadis itu. Gadis yang dicintainya. Ini bukan pertama kali Emelda memungkiri
janji. Dia marah, geram. Terasa diperbodohkan. Hampir dua jam dia menanti
Emelda namun gadis itu tetap tidak muncul hingga dia akhirnya keluar dari
tempat yang dijanjikan dengan rasa hangat membara menahan kemarahan.
Sejak
Emelda menceburi bidang modelling,
dia dapat rasakan gadis yang dicintainya itu semakin jauh darinya. Dari awal
lagi dia memang tidak suka Emelda menceburi bidang itu namun kedegilan Emelda
membuatkan dia terpaksa akur meskipun kini dia sendiri yang menjerut rasa.
Emelda terlalu sibuk mengejar impiannya hingga adakalanya gadis itu seperti
melupakan kewujudan dirinya.
Kehangatan
cinta mereka di awal hubungannya dan Emelda masih kuat di ingatan tapi
kini hubungan yang terjalin sejak di universiti itu dirasakan semakin hambar.
Dia mahupun Emelda sibuk dengan kerjaya masing-masing. Emelda sibuk mengejar
impiannya dan dia pula sibuk dengan tugas di syarikat milik keluarganya.
Adakalanya kesibukan waktu membuatkan mereka sudah jarang bertemu dan
menghabiskan masa bersama seperti pasangan lain. Cinta yang satu ketika dulu
hangat terasa semakin hilang bahangnya. Dia sendiri tercari-cari apakah
kesudahan hubungan mereka andai beginilah keadaannya.
Dia
kembali menoleh ke arah si gadis yang menjadi perhatiannya tadi namun bangku
itu kelihatannya telah pun kosong. Dia melilaukan pandangan namun kelibat gadis
itu tidak lagi kelihatan. Siapakah dia? Terdetik di hati kecilnya akan gerangan
gadis yang menjadi santapan matanya tadi. Wajah yang mendamaikan itu seakan
meninggalkan sesuatu di sudut hatinya.
Sebelum
berlalu, dia mengatur langkah menghampiri bangku yang telah ditinggalkan oleh
gadis yang tidak dikenali itu. Lama dia berdiri di situ. Aura yang di
tinggalkan masih dapat di rasainya dan seperti sedang menyentuh tangkai
hatinya. Sesuatu terdetik di sudut hatinya. Kenapa ada rasa aneh di jiwanya?
Nafas berat dilepaskan dan akhirnya dia turut berlalu dari situ bersama rasa
yang tidak dia tahu akan maksudnya.