Melihat
keadaan uminya yang semakin teruk benar-benar membuatkan dia semakin takut.
Takut untuk kehilangan lagi. Teringat kata-kata doktor Badrul tiga hari lepas.
"Pembedahan
untuk Puan Dalilah perlu disegerakan kalau tidak keadaan jantungnya pasti akan
lebih teruk.."
Dan
kerana itu dia ada di sini. Menunggu Datin Aida seperti yang telah dijanjikan.
Bilik yang berhawa dingin itu tidak mampu mendinginkan keresahan hatinya tika
itu. Berkali-kali dia cuba mengingatkan diri keputusannya ini demi nyawa
uminya. Dia sanggup pertaruhkan kebahagiaannya demi nyawa uminya. Ini
pengorbanannya buat si ibu yang telah banyak berkorban untuknya. Demi seorang
ibu yang tidak pernah berhenti memberi sokongan ketika dia rebah. Uminya adalah
harta yang paling bernilai dalam hidupnya dan selagi terdaya dia akan melakukan
apa saja demi uminya.
“Maaf
buat Cik Leya menunggu…” sapa seorang lelaki yang baru melangkah masuk bersama
Datin Aida. Lelaki pertengahan umur itu kelihatan segak dalam suit korporatnya.
“Saya,
Zamri selaku peguam yang dilantik oleh Datin Aida dalam perjanjian antara Cik
dan Datin. Dalam tangan saya sekarang perjanjian yang Datin Aida telah
nyatakan. Cik boleh membacanya terlebih dahulu sebelum menurunkan tandatangan
pada perjanjian ini….” terang Zamri lalu menghulurkan dokumen perjanjian di
tangannya kepada gadis di depannya itu.
Teragak-agak
Leya mengambil perjanjian tersebut. Matanya mengerling Datin Aida yang hanya
berdiam diri sedari tadi. Wanita itu langsung tidak memandangnya. Mungkin
beginilah sikap orang kaya. Menggunakan peguam sebagai jurucakap.
Dia
menarik nafas perlahan sebelum membuka helaian perjanjian tersebut. Dia
membacanya dengan teliti. Bukan sekali malah tiga kali isi perjanjian tersebut
dibacanya.
“Maksudnya
saya tidak akan ada hak apa-apa terhadap anak yang dilahirkan nanti..?” soalnya
untuk kepastian.
“Betul…”
sahut Zamri memberi kepastian.
“Walaupun
untuk melawat dia..?” soalnya lagi.
“Hak
Cik Leya hanya pada nama ibu yang tercatat pada surat kelahiran bayi tersebut dan
selebihnya, Cik Leya tidak berhak sama sekali…” terang Zamri memberi lebih
kepastian pada gadis muda di depannya. Dia sendiri tidak faham mengapa gadis
secantik ini sanggup menerima pernikahan begini. Apakah kerana duit semata?
Bukan sedikit ganjaran yang Datin Aida sediakan untuk gadis di depannya ini.
“Bagaimana
pula dengan pernikahan kami nanti..?” soalnya untuk sekian kalinya. Dalam
perjanjian ini syarat dikemukakan hanya bersangkutan dengan anak yang bakal
dilahirkan bukan pernikahan antaranya dan anak tunggal Datin Aida.
“Tiada
perjanjian bertulis tentang pernikahan antara Cik dan anak tunggal Datin Aida.
Proses perceraian akan menyusul sebaik zuriat itu dilahirkan. Tugas cik hanya mengandung
dan melahirkan dan selepas zuriat itu dilahirkan, tugas cik juga selesai dan
cik harus pergi dari keluarga Datin dan jangan pernah muncul apa lagi untuk
menuntut hak kerana dalam perjanjian ini jelas tertulis di mana hak cik
sekalipun cik yang melahirkan bayi tersebut…”
“Apa
akan jadi kalau saya langgar perjanjian ini…?”
“Rasanya,
dalam perjanjian itu jelas tercatat apa yang akan berlaku andai perjanjian ini
dilanggar…” ujar Zamri dengan riak tenang namun matanya dapat melihat riak
sendu yang cuba disembunyikan gadis di depannya ini.
Leya
mengangguk perlahan. Bukan dia tidak faham apa yang sudah jelas tercatat cuma
sengaja diutarakan pertanyaan itu dan pertanyaan itu sebenarnya lebih kepada
menyoal diri sendiri. Mampukah dia nanti? Apakah sampai hatinya bila tiba saat
itu? Bermacam persoalan yang bermain di benaknya. Perasaannya tika ini payah
untuk diungkapkan. Segalanya ada, bersatu dalam jiwanya apalagi saat membaca
setiap patah yang sudah siap bertaip membuat hatinya sayu tiba-tiba.
Andai
perjanjian ini dilanggar, selain dia terpaksa membayar tiga kali ganda dari
bayaran yang di terima, anak yang dilahirkannya bukan sahaja tidak akan diakui
malah tidak berhak untuk menuntut apa-apa dan dia sendiri tidak dibenarkan
untuk menerangkan siapa ayah kandung kepada anaknya nanti. Lama dia merenung
kertas yang bertaip di tangannya. Terasa menggigil tangannya tika itu. Dia
menarik nafas dan memejamkan mata untuk mencari kekuatan danketabahan. Wajah
uminya yang semakin lemah berputar jelas dalam pandangannya. Dengan tangan yang
menggigil dia turunkan juga tandatangannya. Kolam matanya terasa panas
tiba-tiba. Ya Allah, tabahkanlah aku.
*******************************
“Umi
tak setuju Leya. Jangan rosakkan masa depan Leya kerana umi…” marah Puan
Dalilah sebaik mendengar apa yang telah diberitahu anaknya.
“Hanya
ini jalan yang ada untuk Leya selamatkan umi. Leya dah tak ada siapa-siapa lagi
umi. Leya cuma ada umi. Leya tak nak kehilangan umi. Leya sanggup korbankan apa
sahaja walau jantung Leya sekalipun asalkan umi ada di sisi Leya. Cukuplah Leya
kehilangan ayah, hilang Rin, Fahim dan Leya tak nak kehilangan umi pula...” Dia
menghamburkan tangisannya dalam pelukan uminya. Dia mengerti andai uminya tidak
bersetuju namun di saat kritikal ini hanya itu jalan yang ada.
“Tapi
kenapa perlu musnahkan masa depan Leya. Umi dah tua Leya. Sampai masanya, umi
pasti akan dijemput-Nya juga…” Dengan lembut dia cuba memujuk agar anaknya
menarik balik keputusan untuk menikahi seorang yang langsung tidak dikenalinya.
“Mungkin
ini takdir Leya umi…”
“Tidak
sayang. Jangan salahkan takdir….” Puan Dalilah mengeratkan pelukannya. Ya Allah
kenapa tidak putus puteriku ini diduga.
Leya
merenggangkan pelukan uminya. Tangan uminya dicapai dan dikucup penuh kasih.
“Tolong
restui keputusan Leya umi. Itu sudah cukup untuk Leya menjadi tabah dan kuat
dalam menghadapi dugaan ini…” Air matanya kembali bergenang. Penuh harapan dia
memandang uminya.
Dengan
perlahan Puan Dalilah mengangguk. Betapa besarnya pengorbanan puterinya ini.
Andai arwah suaminya masih ada, mungkin Leya tidak perlu melalui semua ini. Dia
rasa bersalah kerana menjadi beban pada anaknya itu.
“Umi
minta maaf kerana tak mampu bahagiakan Leya. Umi dah banyak menyusahkan Leya….”
Leya
menggeleng perlahan.
“Umi
jangan cakap macam tu. Umi tak pernah susahkan Leya. Leya yang banyak susahkan
umi. Umi sakit pun sebab bimbangkan Leya. Leya yang harus minta maaf sebab tak
pernah bahagiakan umi…”
“Dengar
sini Leya. Umi tak pernah rasa susah malah kehadiran Leya menambahkan lagi
kebahagiaan umi dan ayah. Leya adalah harta yang paling bernilai dalam hati umi
dan ayah…”
“Leya
juga bahagia dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak umi dan ayah. Umi dan
ayah adalah segalanya dalam hidup Leya sebab tu Leya sanggup korbankan apa
sahaja demi umi, ratu hati Leya…” ucap Leya dengan senyuman. Pipi uminya
diciumnya bertalu-talu.
Puan Dalilah turut melakukan perkara yang sama. Pipi
Leya turut diciumnya bertalu-talu. Sesungguhnya inilah anugerah yang tak
ternilai dalam hidupnya. Leya lahir dari kasih sayangnya dan arwah suaminya.
Bersyukur kerana dia dikurniakan seorang puteri sebaik Leya. Seandainya arwah
suaminya masih ada, pasti suaminya juga turut bangga memiliki Leya Aulia
sebagai permata mereka.