Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 15

“Rina, sampai bila kamu nak terperuk dekat rumah ni? Sekurang-kurangnya, ambillah angin segar.”

Semua langsir tingkap yang ada diselak. Rina silau. 

“Maaflah malam tadi tak sempat datang. Mesyuarat dengan ahli persatuan kebun. Mak dah bawa bunga kegemaran kamu.”

Rina teruja. Dibelek-belek bunga dalam dakapan Noraziah. 

“Bagusnya kalau kamu selalu ceria macam ni.” Noraziah pula menilik wajah Rina.

“Apa mak cakap ni? Rina memang sentiasa gembirakan.”

Bagai mahu pecah jantung Noraziah. Dia lekas ketawa.

“Mak bawa ke dapur ya bunga ni. Letak dalam pasu kaca tu kan?”

Noraziah menuju ke dapur pula. 

“Ya Allah!” Noraziah terkejut sampaikan bunga matahari itu terjatuh ke lantai. “Banyaknya ulat dekat atas lantai!

Baru Noraziah tersedar, sampah sudah beberapa hari tidak dibuang.

“Kenapa mak?” Rina menjenguk.

“Tak ada apa.” Noraziah lekas membawa keluar bekas sampah.

Sebelum keluar, dia harus membersihkannya.


Rina mengikuti Noraziah ke ladang bunga mereka. Mulanya Rina keberatan untuk meninggalkan rumah.

“Bawa elok-elok!” Pesan Noraziah kepada pekerjanya setelah mereka selesai memuat naik dua bakul rotan bersaiz besar berisi pelbagai jenis bunga ke dalam lori.

Khabarnya, pelanggan mereka menjalankan perniagaan spa kecantikan. Bunga-bunga itu akan digunakan dalam mandian.

“Rina nak ikut boleh tak?” Celah Rina.

“Tiba-tiba je ni?”

“Rina saja nak jalan-jalan. Nak tengok suasana baru. Bolehkan, mak? Mak juga bising kalau Rina terperuk je dekat rumah.”

“Bolehlah. Baik-baik ya?”

“Rina dah besarlah mak!” Rina menyalami tangan Noraziah.

Noraziah menyentuh ubun-ubun kepala Rina.

“Tolong tengok-tengokkan anak saya ya?” Pesan Noraziah kepada pekerjanya.

“Baik puan.”

Mata tua Noraziah memerhati sahaja Rina berjalan dengan bersusah payah menggunakan tongkat menuju ke tempat duduk sebelah pemandu.


Rina banyak termenung sepanjang perjalanan. Secara tidak langsung, perjalanan menuju ke rumah pelanggan itu terasa seperti Dejavu! 

“Kita pernah datang ke sini?”

Pekerja itu menggeleng, “Tidak. Kali pertama.” 

Semakin hampir dengan rumah pelanggan itu, Rina menyedari semakin banyak tumbuhan hijau. Kawasan itu pedalaman dan terpencil. Hampir tiada sebarang kenderaan melalui jalan raya. 

Berdasarkan pin lokasi, mereka sudah tiba ke rumah pelanggan itu. Hanya sebuah rumah itu sahaja. Rina dapat melihat sebuah rumah banglo bercirikan Inggeris.

“Nampak klasik, kan? Terjaga rapi. Tenang dan mendamaikan. Untung ada rumah dikelilingi alam hijau. Tapi, sayang sekali. Kawasan ni sunyi. Jauh dari kejiranan.” Komen pekerjanya.

Pekerja lelakinya membunyikan hon sebelum membuat panggilan telefon kepada pelanggan. Tidak lama itu, penghuni rumah, seseorang wanita separuh umur keluar. Rina yang sedang memerhati pekerjanya menurunkan dua bakul rotan terkesima.

“Dah sampai pun awak! Marilah masuk dulu. Majikan saya pesan untuk hidangkan minuman. Kita minum sekejap. Panas ni. Dekat-dekat sini tak ada kedai minum.”

Mereka masuk ke dalam rumah. 

“Duduk dulu.” 

Rina membiarkan sahaja pelanggan itu berlalu. Rina meliarkan mata memandang segenap ruang tamu rumah. Memang klasik seperti luarannya.

“Wah, cantiknya!”

Rina bagai digamit untuk mendekati jam dinding besar dengan ukiran bermotifkan bunga pelbagai jenis. Jari-jemari bermain di atas permukaan ukiran kayu. Sepantas kilat, Rina terlihat bayangan lalu; dua orang saling bertingkah dan pada kemuncaknya, salah seorang daripada mereka terhantuk pada jam itu. Automatik kepala Rina pening dan sakit teramat. Rina memegang kepalanya.

“Puan?” Pekerjanya terlihat Rina dalam keadaan kesakitan.

Rina menggeleng kepala lalu dipimpin untuk duduk pada sofa kayu.

“Maaf terlambat.”

Pembantu rumah besar itu muncul bersama sedulang teko kaca dan tiga biji cawan. 

“Jemput minum.”

“Terima kasih.”

Mereka menikmati minuman masing-masing. Saat Rina mencicip minuman itu, matanya terbeliak.

Sekali lagi seperti Dejavu! Bancuhan itu seperti pernah dinikmati di rumah ini. Rina terus berhenti minum. Perlahan-lahan diletakkan cawan kembali ke atas meja. Berpura-pura sudah selesai minum.

Rina mencuri pandang ke sebuah meja dipenuhi beberapa foto dalam bingkai berhampiran dinding. Kebanyakan foto-foto keluarga.

‘Siapa lelaki dalam foto itu?’ Rina tertanya-tanya.


Hari ini, Lukman berasakan hari yang paling tidak berguna dalam hidupnya. Dari bangun pagi sehingga memasuki tengahari, Lukman banyak termenung di dalam bilik kerja. Dia tidak akan dapat menyiapkan diri untuk bekerja. Dia sudah dipecat! 

“Lukman, you pekerja yang bagus. I sangat tak sangka you boleh buat perkara yang boleh mencabar kredibiliti you sebagai jurufoto. Kerja kita ialah untuk memaparkan kebenaran. Itu bermaksud, sesuatu mesti diperoleh dengan kejujuran. Nampaknya, sampai di sini sahaja kerjasama kita. I akan suruh bahagian sumber manusia e-mel kepada you surat letak jawatan!”

“Argh!” Lukman menjerit sekuat hati teringatkan kata-kata CEO syarikat akhbar tempatnya bekerja.

Dia menerima panggilan itu ketika sedang dalam perjalanan ke rumah keluarga arwah Zahuri. Lukman kembali teringat juga alamat dituju setelah menerima berita buruk itu.

“Rasanya rumah ni dah lama kena tinggal.” Komen Azmir semalam.

Bertambah-tambah masalah Lukman. Terpandangkan beg berisi kamera dan beberapa lens, bertambah sayu hatinya! 

“Adakah aku perlu melepaskan kerjaya aku? Aku tak pandai buat perkara lain.”

“Man, apa kata kau guna kepakaran kau untuk tangkap siapa pelaku sebenar?” Lukman teringat kata-kata Azmir semalam setelah selesai menerima panggilan telefon menyayat hati daripada CEO.

“Baik, aku akan lihat hikmah di sebalik kejadian buruk ni! Aku takkan lepaskan kau Mr. Iz!” Lukman bagai mendapat semangat baru.

Lori milik keluarga Rina menyusur masuk ke halaman rumah. Lukman keluar dari bilik, berlari-lari ke ruang hadapan. Kali pertama dalam hidup, menyambut sang isteri pulang dari kerja. Nikmat kecil yang sebenarnya wajah disyukuri jika dia melihat dengan mata hati.

“Sayang!” Panggil Lukman, teruja melihat sang isteri keluar dari perut lori.

Mereka sama-sama melambai ke arah pekerja lelaki itu. Lori itu pun pergi.

“How’s your day, sayang?” Soal Lukman ketika sang isteri menyalami tangannya.

“I’m good. Saya perlu jalani hidup macam biasa. Saya tak boleh nak manjakan diri sangat. Kaki saya perlu banyak berjalan. Otak saya tepu.”

“Saya fikir esok saya nak ikut awak ke ladang.” Lukman membelai rambut berjuntaian pada dahi Rina. “Saya mahu merakamkan segala reaksi awak. Kehidupan seharian di ladang bunga matahari.”

Rina tergelak. Terus memeluk Lukman. 

“Mungkin itu rakaman foto terakhir yang boleh saya buat.” Kata-kata Lukman mematikan gelak Rina.

“Awak ni, sedih saya dengar.”

“Setiap yang bermula pasti akan berakhir.”

Lukman membelai pipi Rina.   


“Ada sesiapa mencurigakan tak hari ni dekat office?” Lukman bertanya kepada Azmir menerusi panggilan telefon sebaik sahaja selesai menikmati makan tengahari.

“Tak ada. Normal. Tapi, beberapa staff bergosip pasal kes kau. Sekarang semua orang dah tahu kau dibuang mengejut semalam! CEO ada keluarkan amaran kepada semua staff supaya jaga nama baik syarikat.”

“Tu aku tahu. Normal. Sesiapa ada mulut memang takkan pernah berhenti bercakap.”

“Sabrina macam biasalah. Sibuk tanya keadaan kau dekat aku. Dia tanya, kau okey ke tak? Macam-macamlah!”

“Aku rimas dengan dia! Tepat juga pilihan aku sekat nombor dia!”

“Kadangkala, aku tengok Sabrina tu syok gila dekat kau! Aku rasa semua orang termasuk dia tahu kau dah beristeri! Dia masih lagi nak terkejar-kejar kau!”

“Saja buat-buat tak tahu.”

“Jadi, sekarang ni kau ada syak sesiapa tak?”

“Ada. Dia mestilah orang dalam syarikat kita.”

“Tak nak kongsi dengan aku?”

“Nantilah, bro. Aku nak tengok sejauh mana tupai itu melompat.”

Perbualan menerusi panggilan ditamatkan sebaik sahaja Rina muncul membawa bersama sepinggan buah mangga.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.