Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 33

Noraziah menjeling jelik ke arah Lukman yang sedang membidik foto beberapa pekerja yang sedang memunggah hasil pertanian ke dalam lori. Pantang betul dengan kehadiran Lukman yang dianggap tidak berbuat apa-apa perkara berfaedah.

“Suami kamu tu tak tahu cari kerja lain ke?”

Rina yang sedang mengerat batang bunga matahari, tersentak. Dia mengesat peluh di dahi dengan tuala tergantung pada leher. Dipandang juga sang suami. Lukman zahirnya, tersenyum menyelesaikan kerjanya. Namun, dia tahu dalam hati Lukman sedang menanggung bebanan yang sukar dikongsi bersama. 

“Memang itu jiwanya, mak.” Rina membalasnya lembut.

Noraziah mendengus. “Boleh mengenyangkan kamu ke? Jangan nanti kamu mengadu ke aku sebab kebuluran, sudahlah!”

Rina tidak berani menjawab. Dia benar-benar tersepit. Dia tahu, hasil-hasil bidikan foto, Lukman menjualnya ke komuniti atas talian seperti Shutterstock. Di platform itu, Lukman mendapat permintaan tinggi hasil daripada kualiti footage dan gambarnya jika hendak dibandingkan dengan penggiat lain.

“Kalau dia terdesak sangat nak cari kerja, eloklah kerja dengan aku. Kebun ni luas. Perlu ramai orang. Duduk melangut, tak jadi apa. Cinta tak boleh hasilkan duit.”

“Nanti Rina katakan kepadanya.” Sekadar menyedapkan hati maknya.

“Eloklah kamu cakap. Kalau mak yang cakap, nanti dia ingat mak benci dia. Yalah, bukan menantu pilihan.” Noraziah ketawa kecil.

“Mak…” Rina sangat berharap, Noraziah tidak mengungkit kisah lalu.

“Ingatkan kamu kawin dengan dia, dapatlah hidup senang. Rupanya, bertambah malang. Hai, kalau tak mampu senangkan anak orang. Janganlah tambahkan beban pula.”

Ketika itu, Lukman sudah selesai dengan tugasannya. Dia berjalan perlahan menghampiri mereka berdua. 

Noraziah berdecit. Mengibas udara menggunakan topi diperbuat daripada anyaman rotan. Semakin membara hatinya melihat senyuman yang dilontarkan menantunya.

“Mak dah selesai kerja?” Lukman bertanya. “Nak saya tolong apa-apa?”

“Dah selesai main dengan kamera?” Benar menusuk ke kalbu Lukman. “Hari dah nak jauh petang. Harapkan kamu… tak balik-baliklah aku.”

Kata-kata itu benar-benar melukakan Lukman. Rina tertunduk malu.

“Rina…”

“Ya, mak.” 

“Singgahlah makan di rumah mak.” Noraziah tidak ikhlas. Sengaja menoreh luka di hati Lukman. 

“Baik, mak.” 

“Entah ada beras ke tidaklah dekat rumah anak aku tu.” Noraziah meratibnya saat dia berjalan meninggalkan mereka berdua. Hujungnya, disertai tawa kecil.

“Awak…” Rina benar-benar rasa bersalah terhadap Lukman. 

Lukman mendongak ke langit senja. Melarang air mata daripada mengalir. Dia benar-benar terasa seperti seorang pencundang.

“Rina, memang betul saya bersalah. Saya mengkhianati janji saya untuk memberikan awak kehidupan yang senang.”

“Tak. Awak tak mungkir janji.”

“Saya benar-benar rasa tak berguna.”

“Sayang, semua orang ada fasa terendah masing-masing. Kita bukan gagal. Kita diuji. Insya-Allah, sinar pelangi akan muncul selepas ujian. Tika itu, kita akan merasai betapa manisnya ujian.”

Meskipun jelas kelihatan sedih air mukanya, Lukman mengukir senyuman pahit. Rina memang seorang isteri yang baik. Sentiasa ada di sisi walaupun satu persatu ujian menimpa. Dia berasa bertuah memiliki Rina.

“Insya-Allah, sayang. Semoga Allah mengasihani kita.” Lukman menyentuh pipi Rina dengan lembut.

Lukman mengayuh basikal manakala Rina sebagai pembonceng. Mereka benar-benar menghayati suasana senja. Ketawa bersama dengan pelbagai cerita lawak meskipun sebenarnya air mata Lukman berderai sepanjang perjalanan. Dia ketawa dalam tangis.

Rina semakin mengetatkan pelukan. Menyandar kepala di belakang badan. Dia tahu Lukman sedang menangis. 


Makan malam di rumah Noraziah tidak berlalu dalam keadaan gembira. Rina mengerling Lukman yang sedang memandu. Segar dalam ingatan peristiwa baru berlaku di meja makan.

“Sedap? Mak beli barang basah segar terus dari jeti. Harga ketam ni boleh tahan mahal sekarang. Kalau tak ada duit, jangan berani bermimpilah nak makan laut macam ni. Makan Rina. Penat mak masak lauk kegemaran kau. Ketam masak lemak cili api.” Noraziah galak bercerita sambil menceduk lauk ke pinggan Rina.

“Banyak dah ni, mak.” Dalam masa yang sama, Rina melihat jari-jemari Lukman menguis nasi. Lukman termenung panjang. 

“Alah. Kamu dah makin kurus. Makan banyak sikit.” Noraziah tetap menambah. “Eh, Lukman! Kamu tak makan? Tak sedap mak masak? Takut kamu kempunan. Teringat-ingat masakan mak. Yalah. Bukan mudah nak makan macam ni dengan keadaan ekonomi kamu sekarang.”

Lukman tersentak. Seleranya mati dari awal lagi. Terasa ringan mahu mengangkat punggung. Apa kata ibu mentuanya pula jika dia menolak pelawaan itu dari awal. Lukman cuba untuk menahan kesabaran yang sudah senipis kulit bawang.  

Noraziah meneruskan suapan. Jelingannya berjaya ditangkap Lukman. Rina mengusap paha sang suami. Bimbang peperangan antara mereka akan terletus bila-bila masa.

Lukman cuba untuk ketawa agar amarahnya mengendur. Perempuan di hadapannya, wajib dihormati. Dia tidak mahu kewarasannya hilang.

“Terima kasih, mak. Makan malam yang sedap.” Lukman menghabiskan baki makanan. 

“Tambah lagi,” sindir Noraziah. “Ke memang tak sedap aku masak?”

“Sedap. Masakan mak memang sedap. Tak apa. Sunnah berhenti makan sebelum kenyang.” Terasa telefon pintar pada poket baju bergetar. Lukman bangkit mengangkat pinggan ke sinki. “Saya tunggu awak di kereta.”

“Cakap sikit sentap.” Noraziah bersuara setelah Lukman hilang dari pandangan mata. “Huh, aman sikit mata aku.”

“Mak…” 

“Dekat atas dapur ada seperiuk lagi lauk. Nanti mak bungkuskan. Bawa balik rumah. Kamu dah makin kurus. Silap-silap, kamu tinggal tulang. Mak bela kamu sihat-sihat. Tiba-tiba, sakit!” 

Rina mengeluh. Dia sentiasa berdoa, Noraziah untuk menerima Lukman dengan sepenuh hati.


“Kereta siapa pula tu?” Suara Lukman memecah lamunan Rina. 

Mereka sudah tiba di halaman rumah. 

“Yalah. Kawan awak ke?”

Lukman menjongket bahu. Enjin kereta sudah dimatikan. Mereka keluar dari perut kereta. Serentak itu, Sabrina keluar dari dalam kenderaannya. Sudah setengah jam dia menunggu.

“Apa kau buat dekat sini?” Lukman tidak senang dengan kehadiran Sabrina. 

Sabrina tidak mampu menipu menerusi senyuman pahitnya. 

“Aku bukan orang yang tepat untuk mendengar masalah kau.” 

“Maafkan saya. Saya tahu, selepas kejadian memalukan awak… tak mungkin awak akan menolong saya.”

“Apa semua ni awak?” Rina menyoal Lukman perlahan. Terasa kedengaran menguasai perbualan itu.

“Awak masuk rumah dulu. Saya nak cakap sikit dengan dia.”

Rina menuruti sahaja.

“Bincang baik-baik, ya?” Nasihat Rina.

Lukman mengangguk. 

“Apa dia tadi? Tentang mesej yang kau kirim kepada aku. Kau nak aku tolong kau bongkarkan sebab utama Kalsum berpura-pura mencintai arwah Zahuri? Aku rasa kelakar. Kenapa kau nak tahu sedangkan memang betul mereka saling mencintai? Dan, antara punca korang membalas dendam pun sebab arwah orang kesayangan korang, kan? Tak masuk akal semua ni.”

“Betul memang tak masuk akal. Saya rasa kak Kalsum mempergunakan arwah abang.”

“Demi harta? Kau fikir ni drama? Dramatik sangat alasan tu!”

“Tapi, memang betul sedang terjadi!”

“Dengar sini Sabrina. Mungkin betullah Kalsum hanya pergunakan Zahuri. Tapi, arwah Zahuri serahkan harta itu secara rela, kan? Ya. Betul cakap kau. Arwah tahu dan ada bukti bahawa kekasih dia curang. Jadi, kenapa dia nak serahkan juga harta dia? Itu harta dia dan suka hati dialah nak buat apa, kan? Kita tak ada hak nak halang. Orangnya pun dah tak ada. Aku pun masih dihantui rasa bersalah terhadap dia.”

“Saya tak puas hati. Orang macam tu tak patut dilayan dengan baik! Dia selalu susahkan abang saya.”

Lukman menghela nafas. 

“Jadi, kau patut selesaikan dengan dia. Aku tak nak masuk campur.”

“Awak tak nak hilangkan rasa bersalah awak terhadap arwah abang saya?”

“Apa kaitannya?”

“Menebus kesalahan dengan membongkar niat sebenar Kalsum! Awak tentu tak nak dihantui rasa bersalah seumur hidup. Tolonglah saya kali ni.”

Lukman merenung kata-kata itu. Keliru. Masakan musuh bertukar menjadi kawan dalam sekelip mata?


“Awak tentu tak nak dihantui rasa bersalah seumur hidup.” Berulang kali kata-kata Kalsum bermain di fikiran.

Lukman termenung di beranda.

“Rasa bersalah memang tak pernah berhenti menghantui aku.”

Bahu Lukman ditepuk dari arah belakang. Rina hadir bersama dengan teh O panas.

“Minum?”

Lukman mengangguk.

“Adik arwah nampak bersungguh-sungguh meminta pertolongan awak.”

“Awak tahukan apa yang telah dia buat?”

“Tahu. Saya juga tahu apa yang awak buat.” Rina tidak menyebelahi sesiapa dalam hal itu.

Lukman mengeluh. Dia tidak akan mampu memadam sejarah silam. Kembali teringat permintaan Sabrina.

“Tolong bongkarkan kecurangan Kalsum kepada peguam peribadi arwah abang saya. Dengan cara ini, terbatal kelayakan Kalsum nak warisi harta arwah abang saya.”

“Kenapa kau tak buat sendiri?”

“Saya rasa saya tak mampu sendirian.”

Mengenangkan air muka Sabrina yang kelihatan begitu kasihan, Lukman serba salah.

“Selagi tak melampau batas, saya rasa awak patut tolong Sabrina,” bicara Rina, membawa Lukman ke dunia nyata.

“Sayang, saya tak tahu pertolongan apa yang patut saya buat.”

“Saya pun tak tahu. Apa kata, awak fikir dulu dua tiga hari ni. Perhatikan suasana dan perilaku Kalsum. Mana tahu dapat ilham.”

“Dah serupa penyiasat sendirian!”

Mereka sama-sama tergelak.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.