Beberapa minggu kemudian…
Rina sudah mulai memahami siapa Lukman. Kadangkala timbul rasa kasihan kepada sang suami. Bercerita bersungguh-sungguh namun tetap sahaja fikiran Rina beku. Rina memaksa untuk menggali memori. Sudahnya, kepalanya sakit.
Hari itu, Rina membuat kuih tradisional kegemaran Lukman iaitu kuih onde-onde. Mujur sahaja terjumpa buku catatan tertulis pelbagai resepi daripada macam-macam sumber. Ada ditanya daripada orang-orang lama mahupun terjumpa di dalam buku-buku resepi.
“Berhabuk dah buku aku.”
Tika itu, Rina terjumpa buku catatannya di bahagian atas peti sejuk. Bukan main gembira hatinya. Terbersin-bersin.
“Betul ke resepi ni?” Rina mulai ragu-ragu.
Rina menggerakkan kerusi roda ke ruang tamu untuk mengambil telefon pintar. Mahu disahihkan resepi itu dengan sumber-sumber Internet.
Terkebil-kebil jugalah dia menggunakan telefon pintar membuka aplikasi Google untuk mencari resepi. Tiada sebarang ingatan akan ramuan mahupun langkah-langkahnya. Nalurinya sahaja mendesak untuk menyediakan hidangan itu. Saat dia memberitahu kepada Lukman, suaminya itu begitu terharu.
“Maksudnya, awak masih ingat akan kegemaran saya cuma, tidak begitu pasti. Tak apa, sayang. Perlahan-lahan. Jangan paksa diri,” kata Lukman sebelum ke kebun bunga rumah mereka tadi.
Lukman sempat mengurut jari-jemari kakinya menggunakan minyak kelapa muda. Rina masih belum biasa untuk menjejak kaki ke lantai. Dia seringkali terjatuh dan masih memerlukan kerusi rodanya. Dia turut menghadiri rawatan fisioterapi telah dijadualkan. Dia mahu segera sembuh. Tidak sabar berlari-lari dengan kakinya.
Tiap kali itu, Rina terasa mahu berputus asa. Sang suamilah pemberi semangat kepadanya.
“Awak mesti boleh, sayang! Saya percaya dekat awak.”
Dan, Rina mulai bersemangat!
Lukman sudah siap merumput. Dia masuk dari pintu belakang di bahagian dapur bersama sebuah bakul rotan berisi beberapa tangkai bunga matahari, kegemaran Rina.
Tersengih-sengih Lukman melihat Rina termenung di hadapan dapur gas, menunggu untuk mengangkat kuih onde-onde direbus sebentar dalam air mendidih. Bau harum daun pandan tersebar meluas di segenap ruang membuatkan Lukman terliur. Bancuhan kopi O panas, lagilah menggoda selera Lukman!
Rina meratakannya pula dengan hampas kelapa. Selesai. Sedia untuk dinikmati.
“Rina…” Lukman melutut di depan Rina.
Tersentak lamunan sang isteri. Menyebak rambut sang isteri berhampiran telinga. Diselitkan sekuntum kecil bunga matahari kuning.
“Awak…” Rina segera menggenggam jari-jemari Lukman.
“Apa yang awak menungkan?” Lukman membelai juntaian rambut pada dahinya.
“Saya harap rasa kuih tu sama seperti sebelum ni. Saya… saya tak dapat ingat bagaimana rasanya.”
Lukman ketawa, “It’s okay.”
Lukman mengambil beberapa kuih onde-onde untuk dijamah. Rina terkilan. Meragui kebolehannya. Terasa diperkecilkan.
“Saya… saya rasa tak berguna.” Rina memukul kakinya sendiri. “Sepatutnya, saya yang hidangkan untuk awak.”
Rina mulai sedih semula.
“Tidak… tidak! Awak hanya perlukan masa. Awak bagaikan bunga matahari… gemilang dan terus bersinar!”
Rina terpujuk.
“Jom kita makan! Saya rindu masakan awak.”
“Walaupun rasanya nanti tak sedap?” Rina kebimbangan. Berdebar-debar akan hasilnya.
Lukman mencuit pipi sang isteri.
“Sayang, apa yang awak masak semua sedap!”
Lukman mengambil satu kuih onde-onde. Dimasukkan ke dalam mulut sendiri.
“Hmmm, sedap! Seperti dulu-dulu. Lama betul saya tak menikmati air tangan awak.”
“Alah, awak ni! Biasa-biasa je.”
“Siapa cakap? Ni luar biasa tau! Bukan semua orang dapat menikmati air tangan seorang isteri. Mari saya suap awak.”
Rina tidak menolak saat Lukman menyuakan kuih itu.
“Comot awak makan.” Lukman membersihkan tepi bibir Rina menggunakan tisu.
Rina sebak. Tindakan kecil yang bakal dirindui. “Ada lagi satu kuih kesukaan awak.”
“Apa dia?”
“Kuih seri muka?”
“Betul!”
“Saya akan cuba buat kuih seri muka lepas ni. Tapi, boleh tak awak ambilkan daun pisang? Saya nak buat alas.”
“Insya-Allah, sayang.” Lukman membelek-belek tangan Rina. “Lembut tangan awak, sayang. Tapi, hati-hatilah guna pisau. Terluka ibu jari awak. Susah hati saya.”
“Saya potong bawang semalam.”
“Awak rehat jelah.”
Azan dari masjid berhampiran berkumandang.
“Dah masuk asar. Kita solat berjemaah?”
Rina mengangguk. Lukman menolak kerusi roda Rina menuju bilik air.
Rina melihat bekas parut di belakang tubuh menerusi cermin besar terlekat pada dinding bilik tidur.
“Aku tak ingat bagaimana aku mendapat parut ni. Kata Lukman, aku telah ditembak dari arah belakang semasa menjadi pembonceng motosikal. Tapi, kenapa aku kena terima kecelakaan ni? Pasti ada kesalahan besar yang telah aku lakukan. Adakah aku telah menyinggung perasaan seseorang di masa lalu tanpa sengaja?”
Rina berfikir sehingga pening. Dia memegang kepala kemudian duduk, tidak bentah untuk berdiri. Dunia terasa berpusing begitu laju.
Rina kembali teringat akan kata-kata ibunya, Noraziah tidak lama setelah dia kembali sedar.
“Polis masih tak dapat menjejaki siapa yang buat macam ni dekat Rina. Berdasarkan apa yang pihak polis bagitahu mak, kemungkinan bermotifkan dendam. Kamu ada buat sesuatu yang orang tak suka ke Rina? Ke suami kamu tu buat masalah? Kamu pula yang kena tanggung! Mujur kamu tak mati, Rina! Kamu tahu tak perasaan mak bila dengar berita kamu ditembak? Jantung mak ni hampir gugur! Mak rasa macam dah hilang seluruh hidup mak!”
Rina meluangkan masa menghirup udara petang di depan sliding door ruang tamu. Setiap hari semenjak sedar dari koma panjang, dia sentiasa bersyukur diberi kesempatan untuk terus menikmati kehidupan.
Rina mengangkat telapak tangan. Memandang langit mendung. Menadah gerimis yang mulai turun.
“Aku teringin nak menari dalam hujan lagi.” Rina mulai sebak melihat kakinya. “Aku perlu berlatih berjalan semula. Bertatih seperti bayi. Terasa masa lambat berlalu. Kesian suamiku.”
Gerimis sudah bertukar hujan lebat. Air hujan tempias masuk membasahi lantai. Dia mulai menggerakkan kerusi roda menuju ke bilik tidur. Namun, dia berhenti secara mendadak. Rina terpandangkan pasu bunga sederhana berisi beberapa tangkai bunga matahari di meja ruang tamu. Lukman yang menaruhnya di situ.
Perbuatan remeh bagi sesetengah orang, akan tetapi mempunyai makna besar buat Rina. Dia bagai dilamun cinta kembali bahkan semenjak hari pertama dia sedar.
“Sayang!” Rina terdengar Lukman memanggilnya. Mendadak Rina memandang pintu utama yang telah terbuka, dimasuki Lukman bersama dengan rakan-rakan sekerjanya. “Saya jemput mereka untuk menceriakan awak.”
Rina tersenyum. Meskipun tidak mampu mengingati mereka, dia tersenyum saja. Sehinggalah dia terpandangkan seseorang. Rina terkebil-kebil. Tiba-tiba, ligat memerah ingatannya. Air muka ceria bertukar keruh. Berkerut-kerut.
“Kenapa sayang?”
Rina mulai memegang kepalanya, menutup kelopak mata. Bersama-sama itu, air matanya mengalir deras.
“Saya tak tahu.”
Rina tidak sengaja tertolak pasu bunga tadi sehingga terjatuh ke lantai. Pecah berkecai! Masing-masing terperanjat dan serba salah menganggu Rina yang masih dalam proses pemulihan itu.
Rina menangis, kegagalan mendapatkan jawapan kepada kegelisahannya.