Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 3

Imbas kembali…

Dua tahun lepas…

Rombongan merisik daripada kenalan Noraziah memenuhi ruang tamu. Masing-masing berbisik perlahan sebelum upacara dimulakan. 

Rina menatang dulang berisi teko dan beberapa butir cawan. Turut dibantu adiknya, membawa beberapa jenis kuih ke ruang tamu. Rina sopan dalam pakaian baju kurung berbunga kecil. Menuangkan air untuk para tamu. Dia berasa tidak selesa diperhatikan oleh seorang wanita hampir usia dengan emaknya itu. Sebenarnya, Rina sendiri tidak tahu maksud kedatangan mereka. Dia cepat-cepat berlalu setelah selesai urusannya.

“Mak, ada apa diorang datang ramai-ramai tu?” Soal Rina, mencuit bahu Noraziah ketika keluar dari bilik tidurnya. 

Noraziah menyentuh pipi Rina. Ditilik sambil tersenyum. 

“Cuba baiki solekan kamu. Pucat-lesi macam mayat! Siapalah nak berkenan dengan perempuan yang mukanya tak berseri? Manalah tak laku-laku! Mak tak nak anak mak digelar anak dara tua.”

“Kenapa pula?”

“Mereka datang untuk merisik kamu,” jawab Noraziah, membetul-betulkan letak selendang pada kepala. 

Bagai dipanah petir. Jantung Rina terasa mahu gugur.

“Rina tak nak!” Suara Rina terlonjak tinggi membuatkan mereka di ruang tamu mendongak kepala. Noraziah menarik Rina sehingga ke dapur.

“Apa kena dengan kamu ni? Kamu jangan buat pasal! Anak kawan mak tu kerja bagus. Pegawai dekat pejabat pendidikan. Rupa pun boleh tahan. Kerja tetap. Kacak dan memukau para gadis. Lemah-lembut dan tahu hormat orang tua. Mak yakin dia boleh bimbing kamu. Serba-serbi lengkap. Kamu pun tak payah kerja teruk-teruk. Zaman sekarang ni, susah tau nak jumpa orang yang rupa boleh tahan dan ada harta.”

“Tak nak!” Rina menarik tangannya kembali. “Rina tak nak! Rina tak sudi. Tolonglah suruh mereka pergi.”

Merah padam muka Noraziah, “Kenapa tak nak dengar cakap mak ni? Mak nak yang terbaik buat kamu. Kamu dah hampir 30 tahun. Suruh kamu cari sendiri… sampai bila entah! Kehidupan kamu hanya tahu pergi ke kebun dan kedai uruskan penjualan bunga. Sampai bila nak macam ni? Kamu tu perempuan! Mak dah cari yang elok… baik kamu terima!”

“Mak…” Rina menggoncang tangan Noraziah. “Tolonglah bagi Rina buat keputusan sendiri.”

“Tak ada… tak ada! Mak berhajat untuk terima lelaki tu. Suka ke tak suka ke… kamu tetap kena terima. Muktamad”

Rina kehilangan kata-kata. Noraziah cuba memaniskan roman wajah supaya mereka tidak mengesyaki apa-apa. 

Noraziah mendapatkan tetamunya meninggalkan Rina terkulat-kulat.

“Eh, kenapa tak tambah airnya? Minumlah. Anak dara saya yang buat.” 

Mereka mulai berbual tentang anak masing-masing.


Rina mundar-mandir di dalam bilik tanpa tujuan. Ligat berfikir cara supaya maknya tidak menerima risikan itu. Dia ada terdengar, jika dia bersetuju maka, hari ini akan diadakan terus pertunangan. Jika ditanya kepadanya, tentu-tentu dia tidak akan setuju! Tetapi, dia tahu Noraziah pasti akan memaksanya untuk menerima. 

Rina mengintai dari pintu bilik. Kemudian, terhendap-hendap keluar dari bilik menuju ke dapur. Dia mahu beransur pergi dari rumah melalui pintu belakang menuju ke kebun bunga mataharinya. Rina berlari deras sambil tertoleh-toleh belakang. Bimbang ibunya mahupun adiknya menyedari dia meninggalkan rumah. Pasti keadaan menjadi kecoh selepas itu.

Dari jauh, Rina dapat melihat Lukman sedang memetik sebiji limau manis dari pokoknya. Lukman tidak mengambil masa lama untuk menemuinya setelah diberitahu hal sebenar menerusi panggilan telefon.

“Awak selalu datang ke sini. Petik limau dan bunga bersama-sama saya. Memang panas tapi kita gembira tiap masa di sini,” kata Rina, setelah melepaskan lelah.

Lukman mendongak memandang langit biru. Dia memejamkan mata kejap sebelum keluhannya terluah.

“Saya nak petik bunga matahari dengan awak lagi. Boleh tak kira lari di sini? Saya tak naklah kawin dengan lelaki tu! Cinta mana boleh paksa-paksa! Saya kenal pun tidak lelaki tu. Buatnya kaki pukul ke? Sebelum kawin, nampaklah baik. Bila dah kawin, macam-macam perangai keluar!”

Bicara antara mereka lumpuh seketika. Hanya angin berdesir menemani halwa telinga. Daun-daun kering berguguran ke tanah. 

“Rina, tak baik kita buat macam tu. Kita kena jujur.”

“Mak saya takkan peduli,” Rina merungut. Sudah terbayang akan wajah ibunya membengis sambil bercekak pinggang.

“Rina, mari kita ke rumah awak. Biar saya jelaskan semuanya. Kahwin lari bukanlah penyelesaian terbaik. Manisnya cuma seketika. Deritanya berpanjangan dan memberi kesan kepada kehidupan kita. Kita perlu menjelaskan kepada mak awak. Sekurang-kurangnya, sejuk juga hati mak awak nanti.”

“Tapi, mak saya takkan setuju! Bulat katanya maka, bulatlah!”

“Jangan risau. Saya akan lindungi awak. Tak kira betapa sukarnya. Awak percayakan saya, kan?”

Melihatkan Lukman begitu bersungguh-sungguh, Rina mengangguk dalam kepayahan. Mereka sama-sama berjalan pulang ke rumah Rina. Dalam hati, siapa yang tahu debaran kencang dada masing-masing!


“Kamu ke mana saja?” Noraziah masih mengawal nada suaranya meskipun kemarahannya mencanak naik.

“Rina… hmmm, Rina...” Dia menggaru-garu kepala.

“Rina apa?” Tekan Noraziah. Ikutkan hati, mahu dipukul-pukul anaknya. 

Rina sudah tidak keruan. Tidak berani bertentang mata. Mencubit-cubit jari-jemari sendiri untuk menghilangkan rasa takut dan gelisah. Dia tahu sangat. Noraziah jikalau sudah datang anginnya, bahana jawabnya!

Sebentar tadi, kecoh seisi rumah mencari kelibat Rina. Bilik tidurnya kosong! Dada Noraziah hampir pecah saat melihatnya. Rombongan merisik itu sudah saling berbisik-bisik memerhati kedua beranak bercakap-cakap di depan pintu utama rumah. Mereka menjangkakan sesuatu peristiwa buruk sedang berlaku.

Kedatangan Lukman bersama Rina, hampir sahaja membuatkan dunia Noraziah berpinar-pinar. Berdenyut-denyut kepalanya. 

“Kau! Kau pemuda yang selalu datang ke kebun tu kan? Kau siapa?” Noraziah menekan-nekan suara. Masih lagi bernada perlahan. Menahan geram yang bukan main! Menegak jari telunjuk tepat pada muka Lukman. Menyirap sungguh perasaan Noraziah!

Noraziah sudah terbayang-bayang imbasan lalu. 


“Siapa tu?” Noraziah menjeling ke arah Lukman. Tangannya ligat mencantas daun-daun berlebihan pada pokok limau. Tidak mahu pokok itu mabuk daun. Penyerapan baja nitorgen berlebihan membuatkan daun begitu melebat akan tetapi, buahnya pula kurang. Rugi masa dan tenaga sahaja. 

Rina sedang memetik limau kasturi pada pokok yang akan dijual kepada pemilik kedai-kedai makan. Dia turut sama menoleh.

“Oh, itu kawan Rina.” 

Rina sempat melambai ke arah Lukman yang sedang asyik memotret sekeliling kebun keluarga Rina. Bukan sahaja mereka menanam bunga matahari, bahkan tanaman limau, timun, cili dan sayur-sayuran. Semuanya akan dijual kepada peniaga pasar borong dan beberapa kedai makan dan runcit.

“Kawan?” Noraziah memandang Rina dan Lukman silih berganti. Bahasa tubuh mereka, mesra semacam. “Ke kekasih kamu?”

“Hisy, tak adalah mak. Biasa-biasa je. Rina tolong dia hari tu. Dia jurufoto. Tengah cari gambar-gambar menarik untuk akhbar.”

“Mak okey je kamu nak kawan dengan sesiapa. Tapi, setakat kawan jelah. Jangan lebih-lebih.”

“Kalau dah jodoh nak buat…”

“Jangan macam-macam! Aku tak suka.” Noraziah terus memintas. Gunting dibaling ke dalam bakul rotan berisi buah limau.

“Tapi, mak pernah cakap suruh Rina cepat-cepat cari jodoh? Rina tak faham sekarang ni.”

“Dari gayanya mak tak berkenan. Macam tak terurus. Kalau dia sendiri tak terurus, macam mana nak urus anak bini? Mak tak nak anak mak terabai. Mak jaga kamu cukup serba-serbi. Sampai ke tangan dia, menderita dibuatnya!”

“Kita tak boleh nilai macam tu je, mak.” Naik rimas Rina dengan andaian bukan-bukan Noraziah. “Tak kenal maka tak cinta, mak.”

“Sudah. Mak tak nak dengar pasal cinta. Kawan hanya kawan. Ingat tu! Mak nak tengok pekerja petik cili pula. Tak dipantau, curi tulang pulak! Siap kerja nanti, terus balik! Mak tak nak kamu merayap terutama sekali dengan lelaki tak ada masa depan tu!”

Rina mengeluh berat. Dia senyap dan meneruskan pekerjaannya.

“Aunty…” Lukman cuba untuk beramah mesra saat Noraziah lalu di sebelahnya.

Noraziah melihat Lukman atas bawah. Bisikan jahat mulai bermain-main dalam hati.

‘Pakaian serupa orang tak ada kerja. Seluar jeans lusuh. Koyak rabak! Kau nak kata kau rebel? Dengan rambut panjang. Silap-silap ada kutu! Aku tak berkenan dengan penampilan kau. Motor pula? Motor buruk tu kau nak usung anak aku ke hulu ke hilir? Dari pandangan mata kau, aku dah tahu kau ada hati dekat anak aku. Bermimpilah kau di siang hari!’

Lukman sedikit gentar dengan pandangan muram Noraziah.

“Dah dapat gambar yang kamu nak?” Tegas kedengaran suara Noraziah.

“Dah, aunty.”

“Matahari dah nak hampir tenggelam. Tak nak balik?” Noraziah menuding jari ke langit.

Lukman bersangka baik dengan kata-kata itu meskipun terasa hati. Noraziah mahu menghalaunya pergi.

“Sikit lagi, aunty.”

“Boleh aku tengok gambar yang kau ambil?”

“Boleh, aunty.” Lukman lekas menunjukkan skrin kamera. 

Noraziah melihat hasil tangkapan Lukman. Bersuasana kebun miliknya. Pekerja-pekerja sedang mengutip hasil timun dan cili. Foto pekerjanya memuat naik hasil pertanian ke dalam lori. Semuanya normal sehinggalah terlihat hasil swafoto Rina dengan lelaki itu.

Terus dijeling Lukman. 

“Gambar ni, kamu padam. Rasanya gambar ni tak berkaitan dengan urusan kerja. Habis urusan, kau boleh pergi. Jangan jejakkan kaki di sini. Urusan kau dah tamat.”

“Aunty…” Lukman mencuri pandang ke arah Rina yang memerhatikan perbualan mereka. Serba salah dibuatnya.

“Kau faham tak?” Noraziah mulai meninggi suara. Dia tidak akan membenarkan Lukman mencipta alasan.

“Saya faham.” Lukman menunduk pandangan.

“Baguslah kau faham.”

Malang sekali, Lukman tetap juga mencuri-curi datang ke kebun. Cuma, kali ini dia memerhati dari jauh. Sesekali, Rina mengendap untuk berjumpa dengan Lukman. Noraziah sedar namun, dia mengabaikannya. 


“Assalamualaikum, aunty.” Lukman bersuara lembut.

Lamunan Noraziah pecah. Penyesalan mendatang akibat tidak bertegas sebelum ini.

“Waalaikummussalam!” Noraziah menjawab sambil berpaling ke arah lain. “Cepat cakap apa kau nak. Jangan buang masa!”

“Saya meminta maaf terlebih dahulu sebelum menyatakan hasrat di hati.”

“Apa kau nak cakap?” Noraziah seakan dapat meneka.

Apatah lagi mereka berdua saling merapat. Aksi-aksi manja mereka berdua di kebun kembali terpapar pada layar mata. Tiba-tiba dia menyesal tidak berterusan memberi amaran kepada anaknya untuk menjauhi pemuda itu.

“Kami…” Lukman menoleh sejenak memandang Rina. Menarik nafas dalam-dalam. “Saya suka anak mak cik. Saya ingin menyuntingnya sebagai isteri!” Lukman memberitahunya dengan agak kuat sehingga menyebabkan rombongan di dalam rumah terus berdiri menghampiri mereka.

“Apa ni, Aziah? Apa semua ni?” Maimun menyoal dengan riak terkejut. “Jangan malukan kami!”

“Tak ada apa. Tak ada apa! Mereka bergurau. Biasalah orang muda bergurau. Boleh buat sakit jantung!” Noraziah buat-buat ketawa untuk mengelak malu. “Duduklah dulu. Minum-minum dulu. Atau macam ni… saya tempah makan tengah hari. Kita makan. Bincang-bincang. Kan, Rina?”

Rina menunduk pandangan. Noraziah membesarkan bola mata. 

“Kalau Rina sudah mempunyai pilihan hati, apa daya kami untuk membantah.”

Maimun sendiri faham bahasa tubuh orang bercinta. Masakan bisa menghalang jika cinta itu untuk orang lain. Bukan semua orang dapat mengharungi bahtera rumah tangga yang dibina tanpa cinta.

“Eh, mana ada macam tu! Rina akan menjadi menantu kau.” Noraziah menarik Rina merapatinya. Dia berbicara menekan-nekan selanjutnya. “Elok apa anak aku! Cantik. Baik. Dengar cakap! Dia akan jadi isteri dan menantu terbaik!”

Maimun seakan memberi isyarat mata kepada rombongan merisik itu untuk beredar dari situ. Mereka siap-siap menyarung selipar.

“Eh, nak ke mana?” Noraziah panik, mendepakan kedua belah lengan untuk menghalang pergerakan mereka.

Maimun mengambil tangan Noraziah lalu menyalaminya. 

“Kami balik dulu. Dah tak ada apa untuk dibincang.”

“Eh, nantilah! Kitakan dah lama kenal. Apa juga perkara dibawa bincang terlebih dahulu. Kau takkan tak kenal aku? Bagilah peluang untuk aku bercakap dan perbetulkan keadaan.” 

“Tak apa, Aziah. Jumpa lain masa kalau ada rezeki.”

“Eh, janganlah macam ni!”

Noraziah turut menyarung selipar. Mengejar mereka sampai ke kereta. Malangnya, rayuannya tidak diendahkan. 

“Janganlah balik dulu! Kita belum habis bincang! Ya Allah!” Noraziah mengetuk cermin kereta yang dinaiki Maimun.

Mereka benar-benar beredar.

Mati. Harapan Noraziah mahu bermenantukan lelaki itu hanya tinggal angan-angan. Bersama tiupan angin kencang, dia termenung di situ. Sudah habis upaya untuk memujuk.

“Mak…” Rina mengusap lembut bahu maknya setelah beberapa minit Noraziah berdiri di halaman.

Baru kini Rina mempunyai kekuatan untuk menegur. Noraziah senyap. Dia menjeling tajam ke arah Lukman. Noraziah melangkah beberapa tapak menghampiri Lukman.

“Puas hati kau? Puas dapat malukan aku? Kau mesti rasa menang, kan? Sebab matlamat kau dah tercapai! Maruah aku dah tercemar!”

Mereka berdua diuliti rasa bersalah yang menggunung.

Noraziah berpaling kepada Rina pula.

“Dan kamu, Rina! Mak tak besarkan kamu untuk buat perkara yang memalukan macam ni! Kalau arwah bapak kamu masih hidup, dia akan makan hati sebab terlalu kecewa dengan anak perempuan yang ditantang bagai minyak penuh tapi akhirnya menconteng arang ke muka!”

Lukman mara beberapa tapak. Jika dia perlu melutut, dia akan melakukannya. Dia bersalah melukakan hati seorang wanita bergelar ibu.

“Maafkan saya, aunty.”

“Kau diam!” Noraziah mulai memukul tepi bahu Rina. “Tergamak kamu! Maruah mak ni ibarat tak ada apa untuk kamu! Kamu pijak-pijak maruah mak! Kejap lagi satu kampung tahu hal kamu ni! Kamu suka? Ikutkan sangat cinta tu! Kamu ingat cinta tu segala-galanya ke? Suatu hari nanti, kamu akan sedar bahawa cinta yang kamu agung-agungkan itulah yang akan binasakan kamu!”

Noraziah meludah ke tanah. 

“Mak…” Rina tidak berdaya mengejar Noraziah yang masuk ke dalam rumah dengan hati bengkak.

Noraziah menghempas pintu dengan kuat. Dadanya sakit. Nafasnya sesak. Peristiwa hari ini memang memalukan. 

“Hari ni aku tak nak tengok muka kau! Anak tak kenal diuntung! Eloklah kalau kau anggap aku dah mati!” Jerit Noraziah.

Rina teresak-esak. Lukman cuba menenangkan Rina.


“Kau tengok apa yang kau dah buat! Rina tak ubah macam mayat hidup. Dia tak bangun-bangun! Esok, entah-entah nyawa anak aku melayang! Cukup-cukuplah dulu dia hampir mati!” 

Lukman menitiskan air mata. Dalam hati, tidak pernah berhenti menyalahkan diri sendiri. Memang benar kata ibu mentuanya. Esok lusa tidak tahu musibah apa pula menanti mereka.

“Mak…” Lukman mahu meraih lengan Noraziah. Ibu mentuanya lebih laju melarikan tangannya daripada disentuh Lukman.

“Jangan sentuh aku! Aku jijik dengan kau! Masalah ni berpunca daripada kau. Kau! Tak pernah menyenangkan aku.” Noraziah sudah bersiap sedia untuk meninggalkan bilik itu. Dia berhenti di sebelah Lukman. “Aku patut berkeras. Pernikahan kamu berdua hanyalah kesilapan! Rina tak patut menderita disebabkan kebodohan kau! Semat baik-baik dalam kepala kau tu! Kau punca semua malapetaka ni!”

Lukman terus menjatuhkan badan setelah wanita itu pergi. Dia menangis teresak-esak. Jika diberi peluang untuk kembali ke masa silam, dia tetap akan cintakan Rina! Bagaimana untuk dia menghentikan rasa cinta itu?


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.