Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 44

Rina duduk menghadap balkoni. Senang hatinya melihat tanaman pelbagai bunga baru yang segar. Begitu juga jiwanya, hidup dan gembira kerana insan tersayang sudah kembali dalam hidupnya.

“Saya tak mimpi, kan?” Rina tetap bimbang. Pengalaman lalu, cukup meresahkan.

Lukman dalam pakaian kebun muncul di depan mata bersama dengan beberapa batang bunga matahari.

“Tidak, sayang,” balas Lukman.

Sebenarnya Rina sangat takut tidak dapat membezakan kenangan silam dengan keadaan semasa. Dia menggenggam kedua tangan Lukman. Nyata! Haba tangan Lukman membenarkan pemikiran logiknya. 

“Syukur…” 

Lukman menyisipkan sekuntum bunga matahari di sebelah telinga Rina. Perkara biasa yang dilakukan seperti sebelum-sebelum ini. Rina terharu. Akhirnya, dapat jua dia merasai kembali sentuhan itu.

“Hanya maut memisahkan kita.” Meskipun Lukman mengucapkannya secara selamba, kesayuan menyapa hati Rina.

“Jangan cakap awak nak tinggalkan saya.”

“Sayang, saya tak ada sebab nak tinggalkan awak lagi.” Wajah Lukman begitu ceria.

Mereka tersenyap. Tidak lama itu, cuaca terik tengahari dituruni hujan selebat-lebatnya. 

“Sayang…” 

“Ya?”

“Saya teringin nak makan kuih onde-onde,” ujar Lukman, memandang langit tengahari.

“Boleh.” Kesayuan itu aneh. Suara Rina tidak mampu keluar untuk berkata panjang.

“Dah berhenti dah hujan. Sekejap je hujan.” Lukman memecah kesunyian. “Sayang, tengok tu! Cantikkan pelangi?”

“Cantik!” Rina memandang ke dada langit. Tidak semena-mena, air matanya gugur. ‘Sayang, tak mungkinkan awak tinggalkan saya?’

‘Sayang, maafkanku jika suatu hari nanti aku terpaksa meninggalkanmu terlebih dahulu. Awak mesti jaga diri baik-baik.’ Lukman terdetik di dalam hati tika menoleh ke arah Rina.


Rina merenung kuih onde-onde yang sudah siap disusun di piring. Dia turut membuat kuih seri muka. Tiap kali dia membuat kuih itu, pasti licin dijamah oleh Lukman. Pernah dahulu, dia tersalah bancuhan. Keras dan tawar. Namun, Lukman memang tidak mahu melukakan hati Rina. Dijamah jua sehingga habis.

“Sayang…” Lukman menyentuh bahu Rina.

“Dah siap kuih yang awak nak.”

Lukman menarik kerusi. Menghidu dalam-dalam haruman pandan dan gula melaka. Satu onde-onde dimasukkan ke dalam mulut. Benar-benar menghayati setiap kunyahan sambil menutup mata.

Dari jendela yang terbuka, cahaya senja menyimbah wajah Rina. Jelas matanya berkaca-kaca. Dia mahu menyentuh jari-jemari Lukman. Terbantut saat Lukman membuka kembali kelopak mata. 

“Awak patut makan juga. Mari saya suap.”

Rina menerima sahaja suapan itu.

“Mana tahu lepas ni saya tak dapat suap awak.”

Berderau darah Rina mendengarnya. “Kenapa awak cakap macam tu?” 

Lukman menyapu air mata Rina. Dia perasan, air mata sang isteri begitu mudah mengalir beberapa hari ini. 

“Saya hanya cakap. Kita kena sentiasa beringat. Kematian ialah perkara yang paling dekat dengan kita tapi kita sering abaikan. Masa lalu, perkara yang paling jauh sekali. Itulah jadi kenang-kenangan.”

Rina meletakkan jari telunjuk ke bibir Lukman. “Tolong jangan cakap macam tu lagi. Saya tak sanggup nak dengar. Biarlah sama-sama menua. Masa tu, kita dah ada berderet-deret cucu. Tapi, kalau ditakdirkan kita tiada zuriat… kita tetap akan bergembira bersama. Saya jaga awak. Awak jaga saya.”

“Ya, sayang, Insya-Allah. Amin. Sambung makan?”

Rina mengangguk laju. Menerima suapan kuih seri muka pula. Mengunyah sambil menitiskan air mata.


Kalsum menggigil kesejukan setelah disirami hujan di malam hari. Dia benar-benar tiada arah tujuan.

“Huh, ke mana aku nak pergi?” 

Merinding, sahutan anjing kedengaran mendadak. Kabus malam membuatkan suasana menjadi seram. Rumah dibina secara berjauhan dan ditambah pula, pokok-pokok ditanam merimbum menambahkan ketakutannya.

“Tolonglah jangan muncul yang bukan-bukan!” Kalsum berhenti melangkah. “Ni bukan ke rumah jantan tak guna tu?”

Baru sahaja diseru, motosikal Lukman membelah jalan raya meninggalkan perkarangan rumah. 

“Ish, mereka tetap hidup gembira! Aku sekarang yang menderita sendirian! Semua orang tak boleh pakai. Yang dah mati ke… yang hidup ke! Semua sama!”  

Kalsum menyepak angin. Malang nasib, jatuh terduduk di atas lopak air.

Malam melabuhkan tirainya. Mereka berdiri sambil berpegangan tangan di depan tasik yang tampak membiru gelap pada waktu malam.

“Saya dah lama teringin nak bawa awak naik sampan mendayung sampai ke tengah tasik,” luah Lukman, membetul-betulkan jaket membaluti tubuh Rina. Dinginnya malam mencengkam ke tulang. Rina mengetap gigi atas bawah. 

Rina cuba membaca riak wajah Lukman. Sebelum ke sini, mereka singgah sebentar ke rumah Noraziah. Seperti sudah dijangkakan. Mereka mendapat sambutan dingin. Noraziah tidak sudi memandang mahupun menjeling. Berbual hanya di luar rumah. 

“Mak, saya dan Rina kembali bersama.” Lukman membuka bicara.

Sakit betul mata Noraziah melihat tangan kedua insan bercinta saling bertautan.

“Mak, saya dah tahu apa yang terjadi semasa saya koma.” Rina memberitahu. Ada nada kesal dalam suaranya.

“Kau salahkan mak?” Noraziah tersentap. Tiada apa perlu disorokkan lagi. Dia sudah tiba di jalan mati.

“Maafkan Rina, mak.” Terdapat suatu sudut di ruangan hati Rina, api kemarahan yang sekejap menyala deras, sekejap padam. Dia beristigfar berulang kali. Tidak mahu berdendam kepada ibu kandung sendiri.

“Jadi, aku yang paling jahat di sini?” Noraziah menyilang tangan ke dada. Tidak mahu mengaku kalah.

“Kami tak tuduh mak. Kalau saya di tempat mak, saya mungkin akan buat perkara sama.” Tutur Lukman. 

“Oh, kau sindir aku?” Menyirap terus darah Noraziah.

“Tak berani saya, mak. Maafkan saya buat mak terasa. Saya tiada niat.” Lukman menzahirkan dengan rendah hati. Dia masih menghormati perempuan itu walaupun Noraziah tidak pernah menyukainya.     

“Sampai ke mati pun, aku takkan restu!” Noraziah menghempas pintu sepenuh hati. Dia tidak mengalu-alukan kedatangan mereka. 

“Sayang?” Rina tersedar sebaik sahaja Lukman menggoncang bahunya. “Saya dah nak bawa awak naik sampan. Ada kejutan istimewa buat awak, sayang.”

“Okey.” Rina termangu-mangu.

Rina menyambut tangan Lukman untuk menaiki sampan. Lukman berdayung selama beberapa minit untuk ke tengah tasik.

“Wah, cantiknya!” Rina teruja melihat kunang-kunang berkerlipan cahaya kuning. “Terima kasih awak.”

“Kan. Bila mana, kita mendengar alam berbicara. Dengar tu? Bunyi unggas. Cengkerik. Tenang aje. Tak ada dengar bunyi ekzos kenderaan.”

Rina mengangguk, tersenyum sampai nampak barisan giginya. Lukman tidak pernah lupa membidik setiap momen menggunakan telefon pintar. Seekor kunang-kunang hinggap pada telapak tangan Rina. 

Mereka berswafoto bersama-sama. Lukman membawa Rina ke dalam pelukannya. Ditunjuk sesuatu pada langit.

“Rezeki kita malam ni. Bulan penuh pada tengah malam walaupun hujan turun tadi.” 

“Awan hitam selubung bulan,” komen Rina, sekelip mata angin bertiup kuat.

“Cuaca tak menentu kebelakangan ni. Kejap panas. Kejap hujan. Kita balik ya?”

Rina mengiyakan. Lukman memegang pendayung. Mahu segera meninggalkan tengah tasik.

Tiada siapa menduga, cuaca mendadak berubah. Hujan lebat menimpa bumi. Sampan mereka terolang-aling dengan tiupan angin kencang menyukarkan Lukman untuk berdayung. 

“Pegang kuat-kuat, sayang,” pesan Lukman.

Hampir-hampir sahaja Rina tercampak ke dalam tasik.


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.