Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 29

Sesekali Noraziah membetul-betulkan cermin mata yang terlorot ke bawah. Dia menanda beberapa kawasan pada kain menggunakan kapur tukang jahit. Mahu membuat baju kurung baru untuk Rina. 

“Saiz badan kamu semakin mengecil. Baju-baju lama kamu dah mengembang pula. Terbalik. Selalu badan mengembang dan baju mengecil.” Noraziah menjeling Rina, duduk termenung di depan tingkap kayu pada waktu malam. Suara katak dan cengkerik bersahutan. “Mak masak tak sedap ke? Sebab tu kamu tak nak makan?”

“Mak, sekejap lagi nak puasa dah.” Rina merenung bulan penuh di dada langit.

“Esok lusa mak nak bersihkan kubur arwah ayah kamu.” Noraziah mulai memotong bahagian ditanda. “Cantik warna kain ni. Merah. Sesuai dengan kamu Rina. Menaikkan seri wajah kamu. Coraknya pula, motif bunga-bunga kecil. Bunga Iris tak salah mak. Simbolik kepada harapan selepas dilanda musibah.”

“Ya?” Rina sayu. Melihat wajah yang sarat dengan kesedihan pada pantulan cermin tidak jauh dari kedudukannya.

Noraziah berhenti menggunting. “Kamu tak nak bersihkan sekali kawasan kubur Lukman? Kali terakhir mak pergi sana, dah semak benar. Kamu dah nampak sendiri hari tu.”

“Tak!” Rina tiba-tiba naik angin. “Dia belum mati!”

Rina berlari masuk ke dalam bilik tidur.

“Rina…” Noraziah tidak dapat menahan Rina. Pintu bilik Rina diketuk-ketuk. “Sijil kematiannya dalam simpanan mak. Kamu tengok sendiri.”

“Tak nak! Saya tak nak percaya.”

“Tak apalah, nak. Lama-lama, kamu kena terima. Hidup kena berjalan ke hadapan. Bukannya, kita mundur ke belakang dan selama-lamanya di titik sama! Kamu dengar tak ni?” 

Rumput-rumput liar di sekeliling pusara arwah suaminya, dicabut lalu dilonggok setempat. Tanah digembur-gemburkan. Batu sungai dibasuh dengan air bersih. Bunga-bunga kemboja ditabur dan air paip bercampur air mawar disiram di atas tanah.

Noraziah duduk di atas bangku kayu yang dibawa dari rumah. Dia membacakan surah Yassin sendirian di situ. Dia tidak memberitahu pemergiannya seawal pagi kepada Rina. Sesekali Noraziah menyeka air mata dengan hujung baju kurung.

Selesai urusannya, dia berjalan meninggalkan pusara arwah suaminya. Sempat terhenti, memandang ke suatu pusara.

“Belum mati, sudah disumpah mati,” suara perlahan seorang lelaki kedengaran.

Tidak semena-mena, Noraziah tersenyum sinis.

“Kamu datang?” Sindir Noraziah. 

“Datang melihat pusara sendiri.”

“Silakan.” Puas hati betul Noraziah dapat mengenakan seseorang itu.

Noraziah mulai menapak.

“Bila Rina dah tahu hal sebenar, puan nak buat apa masa tu?”

“Dia takkan tahu.” Noraziah sangat yakin. “Kamu tak ada kerja ke? Maafkan saya terlupa. Kamu dah lama tak ada kerja. Apa kerja kamu sekarang? Masih tak kerja?”

“Selamat berpuasa.” Seseorang tetap belagak tenang.

Noraziah berpura-pura tidak mendengar. 

“Rina akan tahu. Saya mempunyai cara saya untuk memberitahu dia,” luahnya.

Ketika itu, Noraziah sudah meninggalkan kawasan perkuburan.


“Kita dah sampai.” Shazwan memberitahu Rina. Mereka di depan bangunan yang menjadi hub pusat pengangkutan.

Shazwan mencari parking. Rina terus keluar sebaik sahaja kereta itu terparking elok di tempatnya.

“Rina…” Shazwan tidak sempat mengejar. “Laju betul!”

Di dalam hub pusat, Rina terpusing-pusing. Bukan sahaja tempat untuk menaiki kenderaan awam malahan, terdapat pelbagai kedai-kedai sesuai untuk membeli-belah.

“Ruang legar? Dekat mana ruang legar tu?” Rina cuba mencari di dalam Google Map. “Tak jauh dari sini. Tapi, aku tak faham nak baca petanya.”

Rina berjalan sehingga terjumpa pengawal keselamatan bertugas.

“Maafkan saya. Dekat mana ya tempat ni?” Rina menunjukkan tangkap layar lokasi pelancaran novel terkini N. Mikah.

“Oh, you terus sampai you jumpa pentas besar. Nanti ada orang busking. Itu tempatnya!”

“Yakah.” Rina tidak yakin, menggaru kepala. “Terima kasih ya.”

“Sama-sama.”

Rina mengikuti sahaja arahan tadi. 

“Dah lama aku jalan. Tak jumpa-jumpa pun.” Rina sudah resah. “Itu bukan ke suara orang menyanyi? Mungkin dah dekat!”

Rina kembali ceria. Dia terus berlari. 

“Betullah!” 

Tergoyang-goyang kepala Rina menghayati nyanyian itu. Lagu ‘Mengapa perpisahan yang kau pinta’ oleh Flybaits membuatkan Rina termasuk dalam penceritaan lagu itu. Sedihnya menusuk kalbu. Dia menangis sambil ikut menyanyi.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.