Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 11

“Zahuri!” Lukman terjaga mendadak daripada lenanya. Berpeluh-peluh sampai basah bajunya. Lukman bernafas deras.

Lukman cuba mencerna keberadaan diri ketika ini. Diperhatikan bilik tidur. keadaan bilik itu sudah gelap berbanding tadi.

“Aku tertidur lalu bermimpi peristiwa lalu. Aku cuba padam dari kotak memori. Tetap sahaja memburu aku.”

Lukman memulas tombol pintu. Mencari di mana sang isteri mahupun pembantu rumahnya berada. Jam dinding dipandang. Sudah melepasi angka 9. Lama juga dia terlelap dalam keadaan belum membersihkan diri mahupun mendirikan kewajipan solat. 

“Astagfirullah…”

Lukman ke ruang dapur. Dia dihurung rasa bersalah melihat juadah makan malam masih tidak berusik. Pasti Rina belum menjamah apa-apa demi menunggu dirinya. 

“Awak…” Tegur Rina, mendapatksan sang suami.

“Sayang tunggu saya?” Soal Lukman.

Rina mengangguk.

“Saya nak mandi dan solat dulu. Sayang makanlah dulu.”

“Tak apa. Saya boleh tunggu. Awak pergilah dulu mandi.” 

“Baiklah kalau macam tu. Saya pergi dulu.”

Melihatkan keadaan serabut sang suami, meruntun perasaan Rina. Dia mahu berkongsi beban.

Tersebarnya satu video daripada seorang pengguna TikTok dengan memakai samaran Mr. Iz, membuatkan hidup Lukman mulai berada dalam keadaan tidak aman. Merata-rata orang awam menghentamnya setelah melihat video itu. 

“Manusia keji! Pentingkan diri! Kalau aku jumpa dia, aku baling dengan telur busuk! Ambil kesempatan atas kebaikan orang lain.”

“Patut dia ni terima hukuman gantung sampai mati. Masukkan dia ke dalam penjara.”

“Kesiannya arwah! Menderita pada akhir hayatnya.”

Media sosial menjadi perkara sangat menakutkan buat Lukman. Laman Facebook dan Instagram peribadinya mulai diserang sehingga Lukman terpaksa menyah-pasang kedua-dua aplikasi itu. 

Sebaik sahaja Lukman tiba di pejabat, dia sudah terdengar suara-suara sumbang rakan-rakannya. Dia dipandang serong. Lukman cuba untuk tidak peduli. Dia membalas dengan jelingan. Duduk di tempatnya seperti biasa. 

Telinganya terdengar video arwah Zahuri dimain-mainkan dalam nada kelantangan penuh. Diulang-ulang. 

“Arwah Zahuri menderita pada akhir hayat sebab orang tamak macam dia tu! Menyesal aku kagum dekat dia masa malam anugerah.”

“Kita ni perlu jujur dalam berkarya. Tapi, dia? Shame on you lah!”

“Betul. Integriti tu penting. Mencalarkan nama baik kerjaya kita je! Di mana kemaluan dia?”

Lukman menutup telinga dengan telapak tangan. Bising.

“Kalau ikut rasa baran aku, memang aku cari seorang demi seorang! Aku pecahkan muka korang!” Lukman menahan-nahan suaranya.

“Man!” Azmir mencuit lengan Lukman. Hampir-hampir Lukman mengherdiknya. “Kau okey?”

“Aku nampak macam okey ke pada mata kau?” Suara Lukman meninggi. Soalan yang sudah ditahu jawapan, itulah yang ditanya!

“Sorry… sorry!” Azmir bersuara perlahan. Dia duduk di kerusi kosong sebelah Lukman. 

Perbualan mereka terjeda seketika. Azmir sedang rancak merangka ayat-ayat yang tidak mengguris hati Lukman.

“Kau mesti tak sangka aku buat macam tu dekat arwah Zahuri,” Lukman sukar mengungkap kenyataan itu.

Azmir menghela nafas, “Cara kau salah. Kalau aku, aku pun pasti akan tersangat kecewa. Kerja keras aku dirampas macam tu je.”

“Aku menyesal. Sampai hari ni, tipulah kalau aku kata aku tak teringat langsung.”

“Siapa agaknya ya di sebalik Mr. Iz tu, kan?” Bangkit Azmir. “Macam dah lama berdendam. Sekarang ni, bom dah meletup! Satu Malaysia dah tahu! Pada akulah, penyebar video tu mesti mereka yang rapat dengan arwah Zahuri. Adik ke abang ke, kakak ke?”

Lukman cuba menghadam kata-kata Azmir. Tiba-tiba dengan pantas dia membuka skrin komputer. Dia menaip sesuatu pada enjin carian pangkalan data berita.

“Kau cari apa?” 

“Butiran diri arwah Zahuri. Aku nak tahu identiti dia. Keluarga dia.”

Azmir mengerti. Mereka sama-sama menanti keputusan. Apabila keputusan terpapar, mereka terlopong. Maklumat arwah Zahuri hilang bagai tidak pernah diwujudkan selama ini!

“Mustahil. Orang berbakat macam dia tak ada maklumat dalam online database kita! Lagi-lagi dia pernah jadi pekerja dekat sini. Mungkin ada orang yang dah padam! Orang yang ada akses! Orang awam mana boleh akses online database kita melainkan staff…”

“Staff!” Sahut Lukman, memetik jari. Mereka berpandangan. “Dalang tu dalam kalangan kita ke?”

“Mungkin!” Azmir mulai teruja. Menyangka pencarian mereka akan segera berakhir.

“Kau tahu macam mana nak tengok history sesiapa edit maklumat ni?”

“Orang dekat bilik IT tahu kot! Jom ke sana! Pelik sangat tau tiba-tiba maklumat hilang! Sebabnya kita tak pernah nak sesuka hati padam-padam profil yang telah dimuat naik!” 

 

Lukman merenung maklumat penuh suntingan profil individu di dalam pangkalan data People.

“Ada orang padam profil arwah Zahuri!”

“Siapa user id yang buat?”  Soal Azmir.

“Fatimah70.” Suara Lukman mendatar. Cuba mengingati sesiapa dengan nama sebegitu.

“Fatimah librarian tu kot! Kenapa dia padam? Dia je yang bernama Fatimah dalam company kita.” 

“Kita pergi library. Kita tanya.”

Mereka memasuki lif. Menuju ke tingkat atas menempatkan perpustakaan syarikat.

Sunyi. Lengang. Hanya beberapa wartawan duduk di suatu sudut sedang menaip sesuatu pada komputer riba sambil mendengar lagu menggunakan earphone. Masing-masing mengejar dateline, melakukan rujukan di perpustakaan.

Lukman dapat melihat Fatimah, pustakawan sedang mencetak keluar sesuatu dari mesin fotokopi.

“Fatimah…” Tegur Lukman. Dingin. Lukman tidak mempunyai keinginan untuk mengukir senyuman hari ini.

Fatimah sedang terbongkok mengambil cetakan keluar, mendongkak kepala. “Awak berdua, kenapa?”

“Awak ada log masuk ke profil awak dalam ‘People’?”

“Mestilah ada. Saya kena kemaskini profil indvidu dan peristiwa penting sedang berlaku dalam negara. Demi rujukan para wartawan juga. Taklah perlu susah-susah cari sendiri maklumat. Tu haaa… surat khabar atas kaunter. Saya baru sempat selak beberapa helai.”

Lukman dan Azmir sedia maklum dengan fungsi pustakawan di organisasi mereka. Pustakawan membantu mereka mengumpul dan menyusun maklumat agar mereka tidaklah perlu membuang masa tercari-cari sumber. Mereka sendiri terkejar-kejar masa.

“Awak padam profil…” Azmir tiba-tiba merapati sedikit Fatimah sambil membisik, “… arwah Zahuri?”

Fatimah mulanya agak cuak dengan tindakan drastik Azmir yang semacam sedang berahsia sesuatu. Terletus tawanya.

“Awak ni, ingat apa! Terkejut saya. Apa tadi? Padam profil? Kenapa pula saya nak padam? Kan bagus kalau ada. Tak perlu susah payah kumpul-kumpul maklumat dan bina profil dari awal. Bukan senang tau nak cari semua maklumat tu. Ambil masa bertahun-tahun!”

Lukman menunjukkan kertas tadi dengan riak wajah serius, “Kenapa rekod ni ada user id awak?”

Fatimah mengambil kertas itu dari genggaman Lukman. “Aik, tapi saya tak buat! Saya tak ada motif nak buat macam tu.”

“Dah tu siapa pakai id awak?”

Fatimah menggaru kepala, “Tak pasti pula.”

“Awak save log in?” Celah Azmir, lebih berlembut.

Muka Lukman sudah merah padam menahan marah. Azmir bimbang rakannya meletup di situ juga!

“Betul! Mungkin masa saya sedang bermesyuarat tadi ada yang guna pc di kaunter. Silap saya tak log out. Kalau ikut catatan masa tu, saya ada meeting dekat tingkat bawah.”

Lukman sudah tiada soalan. Dia tidak mahu berkata apa-apa lagi. Dengan selamba, berjalan keluar. 

“Maafkanlah dia. Dia serabut!” Azmir mewakili Lukman. “Oh, ya! Awak ada simpan tak fail rekod dekat arkib tentang arwah Zahuri? Artikel-artikel lama ke? Dah alang-alang bahan online semua terpadam. Dulu dalam 10 tahun lepas, organisasi kita masih guna cara tradisional, kan? Yang keratan surat khabar tu dikumpulkan dalam satu fail khas.”

Fatimah kelihatan berfikir. Mengurut dagu. 

“Saya rasa ada. Ikut saya ke bilik arkib.”

“Fuh, harap masih ada.” Azmir lega namun bimbang dalam masa yang sama.

“Insya-Allah. Kami memang masih simpan fail-fail yang belum sempat nak didigitalkan.” Fatimah begitu berkeyakinan.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.