Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 12

Wanita itu menitiskan air mata di balik cermin mata hitam. Dia tersedu-sedan. Dia berselendang hitam. Baru sahaja selesai membacakan surah Yassin buat pemilik pusara di hadapannya.

Masih terngiang-ngiang tawa mereka bersama. Hubungan mereka terbina semenjak dari sekolah menengah lagi. Puncanya, mereka rapat setelah sama persatuan dalam sidang redaksi sekolah. Dia ialah editor manakala, pemilik pusara itu merangkap jurugambar.

Terkenangkan mereka berbasikal bersama pulang dari sekolah setelah selesai mengedit untuk majalah tahunan sekolah. Masa itu, menghampiri lewat petang. Angin bertiup damai. Sejuk dan mendamaikan. Mereka berhenti seketika untuk menyaksikan matahari terbenam di sebuah sawah padi.

“Apa impian awak?” Wanita itu bertanya. 

“Impian saya?” Lelaki itu berkalih sedari tadi menyaksikan matahari kuning. Memandang tepat ke bola mata wanita itu sehingga bergetar hati hawanya. “Nak jadi imam awak, boleh?”

“Ish, gatal!” Wanita itu berpura-pura menyepak lalang walhal sudah hangat pipinya.

“Saya serius ni.”

“Yakah? Seserius mana?”

“Saya akan tunaikan apa sahaja permintaan awak. Saya sanggup tadah telinga saya mendengar keluh-kesah awak. Awak membebel tak ingat dunia pun, saya sanggup dengar!”

“Oh, awak nak cakap saya kuat membebel?”

“Eh, tak! Tak!”

Mereka mulai berkejaran. Dan, lelaki itu memang benar mengotakan janjinya. Setia walaupun berlainan institusi pengajian. Boleh dikatakan, jika mempunyai masa lapang tiap hujung minggu pasti mereka akan keluar berdua. Jika dia menghadapi masalah dalam pelajaran mahupun kewangan, lelaki itulah orang pertama menghulurkan tangan untuk meringankan beban.

Batu nisan diusap-usap. Terserlah cincin emas pada jari manisnya. Dia menilik cincin emas itu. Pemberinya yang sedang menghuni pusara itu. Semakin laju air matanya.

“Awak, hari ni genap 5 tahun awak pergi meninggalkan saya. Saya… saya patut bertahan. Saya tak patut terus melangkah keluar dari hidup awak dan putuskan pertunangan kita. Saya… saya patut berada di sisi untuk menyokong awak.”

Dia memandang sekali lagi cincin di jari. Cincin itu pernah dibuang ke dalam tasik. Dialah yang membaling pada hari dia meminta untuk putus tunang. Entahlah, hubungan mereka pada akhir-akhir hayat lelaki itu dilanda krisis tatkala masing-masing sedang rancak mendaki tinggi kejayaan dalam kerjaya masing-masing. 

“Awak…”


Imbas kembali…

5 tahun lepas…

Mereka berdua menghadap ke tasik yang jernih airnya. Tenang, akan tetapi bukan perasaan masing-masing. Gelori di hati, siapa yang tahu!

“Saya dah tak tahan! Awak tak pernah ada masa dengan saya. Saya ni manusia tau. Saya ada perasaan. Saya bukan robot!”

Zahuri mengeluh. Teringatkan beberapa janji untuk keluar berdua yang dimungkiri dengan alasan jadual kerjanya padat. Makan malam romantik di restoran mewah, meluangkan masa membeli persiapan nikah dan pulang ke kampung perempuan itu untuk majlis pernikahan mereka! Belum lagi dengan janji-janji kecil yang tidak teringat. 

“Kenapa awak diam? Awak sedar tak sepatutnya semalam kita bernikah? Tapi, apa awak buat? Awak lagi memilih untuk bertugas!”

“Maafkan saya.” Zahuri benar-benar kesal sehingga tidak berani menatap wajah marah kekasihnya.

“Sudahlah! Awak tak serius! Kita tamatkan je hubungan kita. Cukuplah sampai sini.”

“Jangan sayang. Bagilah saya peluang.”

“Peluang? Supaya awak boleh khianati peluang ni lagi? Enough is enough!”

Zahuri terus menggenggam tangan perempuan itu.

“Saya janji saya tak akan kecewakan awak kali ni.”

Perempuan itu merentap kasar tangannya. Dia menunjukkan jari-jemari kanannya.

“Nampak cincin tunang ni? Tak pernah terlintas sekalipun untuk saya tanggalkan cincin ini. Hari ini, di depan awak sendiri saya akan tanggalkan dan…”

Sepantas kilat, perempuan itu menarik cincin pada jari manis. Dengan sepenuh tenaga, dilemparkan ke jauh ke dalam tasik. Zahuri tidak sempat menegah.

“Mulai hari ni, kita bukan sesiapa. Saya sudah buat keputusan untuk awak memandangkan awak susah sangat nak pilih antara saya atau kerja awak!”

Zahuri ditinggalkan sendirian. Zahuri termenung memandang tasik bersama air muka kosong. Hatinya hancur berkecai. Terasa hidup tidak bermakna. Sakit… pedih! Dia tidak mahu menangis. Sekuat mana hatinya menahan, akhirnya air mata itu pecah.

Tanpa berfikir panjang, dia terjun ke dalam tasik. Berkocak-kocak air tasik. Zahuri menyelam ke dasar. Mahu mencari cincin tunang itu meskipun akan mengambil masa yang lama untuk ditemui. Dia mahu meraih kembali hati tunangnya. Kali ini, dia akan bersungguh-sungguh.

Dari matahari tegak di atas kepala sehinggalah sudah condong ke barat. Pada akhirnya, Zahuri berjaya menjulang cincin itu ke langit senja. Usahanya berjaya!

“Kalsum… tunggu saya, sayang!”


Zahuri memerhati keadaan gelongsoran tanah runtuh trek pendakian. Sudah tidak kelihatan lagi laluan itu. Dia diberitahu, ada dalam lebih kurang 5 orang pendaki terperangkap. Hujan lebat tidak berhenti turun semenjak semalam, menyukarkan lagi proses carian.

Beberapa jentera berat digunakan untuk menggali tanah. Pasukan khas bersama dengan anjing-anjing pengesan menghidu-hidu tanah mencari keberadaan mangsa. Misi menyelamat itu sudah berjalan selama dua hari.

Badan Zahuri sudah penat ditambah pula dengan cabaran keadaan semasa. Namun, semangatnya tetap membara-bara! Sedang menghala-hala lensa mencari sudut terbaik untuk merakam foto petugas khas, keadaan menjadi riuh!

“Kita dah jumpa mangsa pertama!”

“Mari kita ke sana!” Seorang petugas media memberitahu kepada petugas lain.

Berbodong-bodong mereka mengekori.

Zahuri merakamkan peristiwa penting itu dengan penuh teliti dan berhati-hati demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. 

Teriakan keluarga mangsa kedengaran. Mereka berlari-lari masuk ke dalam kawasan pencarian. Keadaan sayu menyelubungi kem carian. Zahuri tidak ketinggalan sama.

“Anakku, mak dah larang kamu mendaki! Kamu nak juga pergi walaupun musim hujan. Sepatutnya mak yang pergi dulu. Kenapa harus kamu tinggalkan mak? Siapa nak mandikan mak bila mak mati nanti?”

Sang ibu memangku jasad anaknya yang diselaputi tanah lumpur. Bau tidak menyenangkan langsung tidak dipedulikan. Meraung-raung sampaikan terpaksa ditenangkan para petugas.

“Abang, bangunlah! Abang!” Isteri mangsa pula memeluk jasad itu. “Tuan, suami saya pengsan je kan? Dia akan bangun, kan?”

“Sabar puan. Ini semua dugaan.”

“Saya tak nak dengar! Suami saya baik-baik sahaja. Abang, bangunlah. Cakaplah sesuatu. Abang, abang kata nak sambut hari lahir anak kita. Anak kita tunggu dekat rumah. Dia selalu panggil, papa mana? Papa work ke? Papa tak sayang adik ke?”

Hati Zahuri sebak. Dia tidak tahan dengan situasi itu. Terus teringatkan Kalsum. Poket baju diraba-raba. Cincin tunang yang berjaya didapatkan kembali setelah dilempar ke dalam tasik.

“Kalsum, saya akan buat yang terbaik dalam tiap tugasan. Saya nak awak bangga. Awak tunggu saya balik tau. Habis je tugasan ni, saya akan terus ke rumah awak. Kita akan makan malam bersama. Kali ni, kalau awak suruh saya pilih antara kerjaya mahupun awak… saya akan pilih awak! Biarlah saya berkorban kali ini. Saya tak nak kehilangan awak. Awak pun mesti tak nak kehilangan saya, kan?”

Zahuri tidak sedar kakinya melangkah setapak demi setapak. Akibat tidak fokus, kakinya menapak pada permukaan tanah lembik yang tidak selamat untuk dipijak. Tidak semena-mena Zahuri tergelincir. Tubuhnya melayang lalu mendarat ke permukaan tanah. Menakutkan apabila tepat di sebelahnya ialah gaung curam!

“Ya Allah!” Zahuri terbayang maut.

Zahuri bernafas kencang. Tidak berkelip matanya.

“Zahuri! Jangan bergerak. Bertenang.”

Rakan-rakan media berdekatan membantunya. Mereka menarik Zahuri menjauhi tempat itu. Para medik turut memberi bantuan. Sudahnya, Zahuri tidak mampu berdiri betul. Dia terseliuh. 


Kalsum melihat pada skrin pemberitahuan waktu penerbangan. Dia mahu membawa hatinya yang lara.

“Sepatutnya hari ni, aku dan Zahuri akan berbulan madu ke Switzerland. Apa boleh buat, pernikahan kami tidak dapat diteruskan. Awak lebih memilih untuk turun bertugas.”

Dua pasang tiket ditenung. Satu untuk dirinya dan satu lagi untuk Zahuri. Air mata menitis membasahi kertas tiket.

“Benarkah keputusan yang aku buat ni? Memutuskan pertunangan dan membawa sekeping hatiku?”

Kalsum sudah menyekat nombor telefon Zahuri. Dia tidak mahu terpancing dengan kata-kata manis. Dia cepat simpati. 

“Kak Kalsum!” Kalsum tiba-tiba terdengar namanya diseru.

Kalsum berdiri sambil menyekat cecair jernih yang mengalir. 

“Izatul? Apa Izatul buat dekat sini?” 

Izatul tercunggap-cunggap. Penat mencari Kalsum. Dia memang sedia maklum tarikh ini sepatutnya Kalsum dan Zahuri berbulan madu di luar negara.

“Izatul dari mana?”

“Saya dari rumah. Saya telefon akak langsung tak berjawab.”

Kalsum teringat dia menyekat juga nombor individu berkaitan dengan Zahuri.

“Yalah. Tapi, kenapa ni? Macam mustahak.”

“Abang… abang masuk hospital! Dia tergelincir masa nak ambil gambar tentang kejadian tanah runtuh. Izatul dan banyak kali call akak. Abang… umi… abah. Semua orang! Abang nak jumpa akak.”

Kalsum terdiam seketika.

“Akak…”

“Akak tak nak pergi.” Kalsum terasa dialah manusia paling kejam di dunia saat ini. Bukan tidak mahu berlembut. Dia hanya tak nak pisang berbuah dua kali.

“Tapi…”

“Sudahlah. Tekad akak sudah bulat. Kami tiada apa-apa hubungan. Waktu penerbangan akak dah nak dekat. Akak nak tinggalkan Malaysia dengan hati yang tenang.”

Jelas kecewa terpancar pada wajah Izatul. Memaksa pun sudah tidak berguna.

“Baiklah kalau akak dah cakap macam tu. Saya ada sesuatu untuk akak. Izatul harap, akak akan terima.” 

Izatul menyeluk beg tangan. Dikeluarkan bekas cincin berwarna merah. 

Kalsum bagai sudah tahu apa isinya. Matanya berkaca-kaca. Sebak namun tidak mahu mengakui. 

“Abang nak akak simpan cincin tu. Abang sangat berharap kakak akan kembali.”

“Kakak tak nak simpan. Hubungan kami dah berakhir. Simpan cincin ni akan buat luka lama berdarah kembali. Kakak mungkin tak boleh nak move on.”

“Simpanlah.” Izatul mengambil tangan Kalsum. “Jadikan kenangan. Takkan dalam hati kak Kalsum langsung tak ada rasa sayang lagi dekat abang? Jangan menyesal kalau sesuatu buruk terjadi dekat abang.”

“Akak…”

“Dah. Jangan fikir banyak. Akak tenangkanlah fikiran dulu. Apa-apa, call Izatul, ya?”

Kalsum hanya tersenyum.


Setelah lima bulan berkelana di luar negara, dunia Kalsum gelap dengan perkhabaran yang baru diterima.

“Kak, abang ditimpa kemalangan jalan raya! Keadaan abang kritikal. Bila-bila masa je abang boleh pergi.”

Bagaikan di luar sana yang sedang hujan lebat, begitulah hati Kalsum merintih. Hatinya ibarat kaca terhempas pecah ke lantai. Terasa sebelah jiwa hilang. Tanpa berfikir panjang, dia terus menempah tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

“Kawan-kawan abang kata, abang tiba-tiba keluar dari majlis. Air muka abang nampak sedih dan kecewa. Macam ada sesuatu yang berlaku sebelum kejadian kemalangan tu.”

Sepanjang perjalanan berendam air mata. Dia menyorokkan wajah sedih dengan menggunakan mask. Walaupun begitu, mata tidak pernah berbohong. Kesedihan dari dalam mata menyebabkan pemandu teksi menegurnya.

“Kenapa kamu begitu sedih, nak?”

Kalsum tidak langsung membalas. Dia tenggelam bersama kenangan indah dengan Zahuri. 

“Mungkin dengan meluahkan, hati kamu akan lega.”

Bisu. Perbualan itu bagai di angin lalu.

Teksi itu berhenti tepat-tepat di depan hospital. Kalsum tidak membuang masa terus menuju ke bilik wad menempatkan Zahuri.

Pintu bilik itu terbuka. Di dalamnya, ibu bapa Zahuri dan Izatul menangis teresak-esak. Zahuri terkulai dan kelihatan seperti tidak bernyawa lagi! Wajahnya pucat!

‘Aku… aku terlambat? Tak! Tak!’ Detik hatinya. Dia tidak mahu menerima hakikat.

Kalsum terlopong. Air mata menitik. Dunianya terasa senyap tiba-tiba. Dia terus longlai lalu menjatuhkan tubuh. Penyesalan yang tidak pernah akan padam.

“Kalaulah… kalaulah aku tak membawa diri! Sudah tentu bukan jasad terbujur kaku itu yang harus aku terima! Awak… awak! Cepat sekali awak tinggalkan saya! Kenapa awak? Awak tak sudi nak hidup bersama dengan saya ke? Saya dah balik dah ni awak! Awak!”


Kalsum meneliti rakaman video menerusi kamera Nikon milik Izatul. Mereka baru selesai dengan urusan pengembumian arwah Zahuri. Kini, mereka berdua duduk di pondok kayu berada tidak jauh dari kawasan perkuburan.

“Izatul rakam sebab Izatul rasa benda ni akan berguna untuk kita berdua. Arwah abang sempat sedar selama beberapa hari. Bila dia sedar, dia selalu merintih seperti dalam video tu. Kesihatannya semakin hari semakin merosot. Tak makan atau minum. Ubat jauh sekali!” 

Kalsum memain ulang video rakaman di wad hospital semasa arwah Zahuri masih hidup.

“Lukman, kenapa kau buat aku macam ni? Lukman, kau tahukan aku seorang yang komited dalam tugasan aku. Nyawa aku hampir melayang sebab ambil gambar tu. Kenapa kau senang-senang curi hasil karya aku? Kau kata kau nak popular! Kenapa kau tak rakam aku semasa kemalangan tu? Aku bagi kau peluang, Lukman!”

Kalsum menutup video itu. Sayu melihat Zahuri separuh tidak siuman. Ketawa dan menangis tanpa henti-henti dalam waktu yang sama.

“Siapa Lukman ni, dik?”

“Kawan abang. Rakan sekerja. Jurufoto juga.” 

“Apa maksud Lukman khianati abang?” Soal Kalsum lagi.

“Tak pasti.” 

“Kamu kata, malam itu ada majlis anugerah, kan?”

“Ya. Contoh anugerah wartawan terbaik. Anugerah artikel terbaik…”

“Dan foto terbaik, kan?”

“Ya.”

Kalsum membelek-belek telefonnya pula. Mencari-cari kiriman emel daripada Zahuri. Itu sahaja satu-satunya platform yang tidak disekat oleh Kalsum. Zahuri memang seorang yang gemar mengirimkan kepadanya foto-foto terbaik. 

Satu emel pada malam kejadian dibuka. Zahuri segak dalam suit hitam dengan kapsyen bersiap sedia untuk penyampaian anugerah malam ini. Zahuri turut menyertakan fotonya yang mendominasi dalam anugerah itu.

Foto ahli bomba dan pasukan penyelamat khas bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa kejadian tanah runtuh. Turut disertakan kapsyen, kegigihan para pasukan penyelamat dalam menjalankan tugas.

Mengingatkan dirinya sendiri tidak melawat Zahuri yang mengalami kecederaan ketika betugas menbidik gambar itu, lagilah meruntun hati Kalsum.

“Ini emel terakhir daripada Zahuri.” Kalsum menunjukkan kepada Izatul. 

“Tapi…” Izatul sedikit kekeliruan. “Dalam ruangan khas surat khabar tempat arwah abang bekerja, gambar ni milik jurufoto lain. Gambar ni yang menang anugerah malam tu!”

Kalsum termenung sejenak. Tiba-tiba Kalsum terbeliak biji mata.

“Lukman! Lukman yang menyebabkan Zahuri kemalangan! Dia pengkhianat! Dia yang curi foto abang kamu! Kalau tidak Zahuri tak akan merintih macam dalam video tu!”

“Dia? Sebab tu abang asyik ulang perkataan Lukman pengkhianat! Sampai hati dia buat arwah abang macam tu.”

Bahu Kalsum bergerak-gerak. Dia mulai menangis. Dari jauh memandang pusara arwah Zahuri.

“Kakak mesti balas dendam! Mana boleh biarkan pengkhianat tu terlepas.”

“Kakak nak buat apa?”

“Kamu simpan video ni baik-baik. Suatu masa, pasti akan berguna. Kematian arwah Zahuri harus kita bela.”


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.