Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 46

Noraziah menunggu di dalam kereta. Sudah hampir seminggu Rina duduk termenung di pinggir tasik. Termenung. Pandangannya kosong. Kejutan itu memakan jiwa.

“Saya tunggu suami saya balik. Dia janji nak balik,” balas Rina tiap kali diajak pulang.

Baju melayu kegemaran Lukman tidak pernah lupa dibawa. Perlakuan yang sama seperti dia sedar daripada koma tempoh hari. Malah, kali ini lebih parah. Tidak kira berpanas, berhujan mahupun berembun, dia tidak berganjak. Noraziah terpaksa mengheretnya pergi dan Rina meronta-ronta melepaskan diri.

“Awak…”

Rina terbangun. Noraziah keluar dari perut kereta. Bimbang Rina bertindak terburu-buru.

“Awak!” Rina mulai berlari. Noraziah dan orang suruhan mengejar Rina yang mahu terjun ke dalam tasik. “Lepaskan Rina! Rina nampak Lukman panggil Rina. Rina nak pergi ikut dia.”

“Mengucap Rina… mengucap! Mana ada apa-apa.” Noraziah menangis.

“Tipu!”

“Ya Allah. Memang tak ada apa-apa.”

Rina menyembam muka ke dalam pelukan Noraziah.

“Peritnya rindu ini, mak. Sakit. Tak boleh nak bernafas. Sesak.”

“Mak faham.” Noraziah mengusap belakang badan Rina.

Noraziah mendorong Rina untuk masuk ke dalam perut kereta tika senja melabuhkan tirainya. Jiwa penderita rindu seorang isteri, membuatkan Noraziah diselubungi dosa kerana memisahkan anak menantunya sebelum ini.


Shazwan mendatangi Noraziah yang sedang duduk termenung di beranda rumah. Rina baru sahaja dapat melelapkan mata setelah dua hari tidak tidur dan makan. Anaknya itu, berlama-lama dalam bilik air dan tidak mahu membuka pintu. Noraziah terpaksa menyuruh orang suruhannya memecahkan pintu. Ternyata Rina menangis di bawah pancuran air. Mujur sahaja tidak mencederakan diri.

“Puan…”

Noraziah tersedar dari lamunannya. Dia meraup wajah.

“Ya, ada apa?”

“Puan tahukan patah hati akan mempengaruhi kesihatan anak puan.”

“Aku tahu. Rina sendiri tak mahu sembuh walaupun dah dihantar untuk terapi. Ubat pun, aku jumpa dia buang luar tingkap.”

“Kalau dibiarkan, keadaan anak puan akan lebih teruk. Lama-lama, dia tak akan berada di alam realiti. Puan akan kehilangan dia.”

Noraziah bersandar. Dia mengeluh. Terbayang-bayang pandangan terakhir Lukman pada malam itu. Sayu yang tidak mampu diungkapkan. Lambaian di atas motosikal, lambaian terakhir. 

“Selama ni aku ego. Aku memandang hina pada menantu sendiri. Aku tak boleh terima ketentuan. Sepatutnya aku bersyukur Rina gembira sepanjang perkahwinannya. Aku…” Bicaranya tersekat. Dia mulai menangis. Menutup muka dengan telapak tangan. “Kenapa susah sangat aku nak terima dia? Kenapa hati aku keras macam bongkah ais? Kenapa?”  

Shazwan tidak menyampuk.

“Aku akan sentiasa dihantui rasa bersalah ni. Aku tak sempat nak mohon ampun. Lukman, maafkan mak. Maafkan mak.” Noraziah memukul-mukul dadanya.

Shazwan menegahnya. “Puan, jangan begini. Lukman takkan kembali. Tapi, puan boleh jagakan Rina untuk dia. Saya yakin, dia sudah maafkan puan. Jika tidak, mengapa dia datang malam itu?”

“Aku malu. Aku malu! Sepatutnya aku yang tua ni tunjuk teladan yang baik. Tapi, aku…”

“Puan…”

“Aku mahu mewakafkan sesuatu untuk dia. Aku… mungkin aku boleh membantu urusannya di sana.”

“Insya-Allah, boleh.”

Noraziah mengangguk. 


Rina sendirian di kerusi malas. Duduk menghadap tumbuhan bunga matahari yang layu. Sama seperti dirinya, tidak bermaya dan tiada harapan. Dalam dakapannya, bingkai gambar berisi foto pernikahan mereka. Ditemani lagu-lagu sedih sebagai halwa telinga. Itulah rutinnya sehari-hari. Sengaja menyeksa diri.

Noraziah menjenguk beranda. Sayu hatinya melihat bekas air mata yang tidak pernah padam pada air muka anaknya.

“Tidur rupanya.” 

Noraziah memandang dada langit. Hampir senja. Dia menyentuh bahu Rina. Mahu mengejutkanya bangun. 

“Rina sayang. Bangun, nak. Tak baik tidur senja.”

Rina tidak memberi respon seperti selalu. Noraziah mencuba lagi. Dia menjadi susah hati kerana Rina tetap juga pegun. Noraziah tidak sedap hati. 

“Rina…”

Noraziah mahu meraih tangan Rina. Tidak semena-mena, tangannya terkulai. 

“Rina…” Air matanya gugur mengejut. Dia benci firasat yang senang bermain di fikiran. “Kamu…”

Noraziah menjerit memanggil pembantu peribadinya. 

“Ya, puan?”

Noraziah terbangun. “Tolong periksa keadaan anak saya.”

Shazwan memeriksa pernafasan Rina. Namun tidak semena-mena, Noraziah terduduk lemah.

“Puan…” Shazwan cuba untuk menenangkan Noraziah.

“Rina…” Noraziah membawa Rina ke dalam pelukannya. “Jangan tinggalkan mak.”

“Mak…” Rina bersuara lemah. 

“Rina, jangan tinggalkan mak.”

“Rina mimpi arwah suami Rina. Dia minta maaf sebab tak dapat temankan Rina sampai ke tua. Rina cuba kejar tapi tak berjaya. Rina nak ikut. Tapi, dia tak bagi!”

“Mujur kamu tak ikut.”

“Rina nak ikut!” Rina meronta-ronta melepaskan diri. Keadaannya semakin lemah. Dia jatuh pengsan.

“Kita bawa Rina ke hospital, puan!”

Shazwan mencampung tubuh Rina masuk ke dalam kereta.


Pipi Rina terasa hangat. Tergerak-gerak kelopak mata, cuba untuk meraih kesedaran. Dia mahu melihat pemilik tangan. Kelembutannya seakan pernah dirasai. Lebih tepat, dirindui!

“Awak!” Rina hampir menjerit. Sudah meraih kesedaran. Memegang erat tangan yang disangka milik Lukman. 

Lukman kelihatan berseri-seri sekali. Dia tidak bercakap.

“Bawa saya pergi bersama.”

Lukman mengucup dahi Rina. 

“Jangan kata ini ciuman terakhir.”

“Jaga diri.” Pesan Lukman.

“Tak nak!” Rina cuba berlari.

Lukman tetap jua pergi.


Beberapa bulan kemudian…

Jari-jemari Rina membelai lembut papan kekunci komputer riba kepunyaan Lukman. Dia menghidupkan suisnya. Partikel habuk berterbangan. Sudah lama tuan empunya komputer tidak menggunakannya. Melihat segenap ruang kerja di rumah pusaka keluarga Lukman, Rina seakan dapat meresapi emosi arwah suaminya sepanjang mereka terpisah hidup.

Penghias skrin, foto di majlis pernikahan mereka. Rina menangis bersungguh-sungguh. Sticky notes terpapar, dibaca satu persatu. Ungkapan rindu terhadap dirinya. 

“Jangan lupa jenguk Rina dekat hospital. Hari ni Rina keluar hospital.”

“Aku hanya dapat perhatikan Rina dari jauh je. Tanpamu, aku ibarat terkapai-kapai di tengah sungai. Menunggu dikau menyelamatku dengan cintamu.”

“Rina, saya rindu awak sayang. Jasad kita terpisah jauh. Hati kita tetap bersatu. Suatu hari nanti, Insya-Allah akan bertemu jua walaupun di hujung dunia sekalipun. Walaupun ada tangan-tangan ghaib cuba memisahkan kita. Tiada sehari pun dalam hidup saya, tidak memikirkan awak.”

Komen-komen dari media sosial N. Mikah menderu masuk secara tiba-tiba. Rina terlupa, rumah itu turut dilengkapi dengan WI-FI. Dia terdetik untuk membukanya. Hampir semuanya dari peminat-peminat novel N. Mikah.

“Tolong sambung novel ni, boleh? Saya nak tahu pengakhiran watak-watak dalam novel ni. Happy ending or sad ending? Tolonglah happy ending!”

“Betul ke N. Mikah dah tak ada? Ada khabar angin bertiup, N. Mikah meninggal dunia sebab lemas?”

“N. Mikah? Awak okey ke? Ya Allah, risaunya apa-apa berlaku kepada penulis kesayangan saya.”

Mata Rina terlalu berkaca-kaca untuk membaca satu persatu komen. Dia menekup mulutnya. Hanya mampu ditatal ke bawah terus. Ada peminat N. Mikah melampirkan pautan berita atas talian mengenai kejadian lemas menimpa Lukman.

“Ya Allah, betul ke?”

“Bukankah arwah ni yang pernah tular suatu ketika dahulu?”

“Kes yang tu kan?”

Bermulalah, para peminat membuka kisah silam mengenai Lukman dan sesekali terselit juga perkaitan arwah Kalsum.

Rina keluar dari ruangan komen. Tidak sanggup membaca komen-komen lain. Separuh jiwanya sudah tiada. Dia tidak larat menerima tamparan kehidupan berulang kali.

Suis komputer riba dimatikan. Dia beransur ke bilik air, mengambil wuduk. Azan isyak akan mulai berkumandang. Telekungnya basah dengan air mata.

“Ya Allah, kau kasihanilah suamiku. Tempatkanlah dia dalam kalangan orang yang beriman.”

Doanya panjang. Selesai berdoa, Rina meneruskan dengan membacakan surah yassin untuk allahyarham suaminya. Lunyai kertas akibat titisan air mata.


Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.