Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 10

Lukman duduk sendirian di dalam bilik kerja sebaik sahaja tiba di rumah. Hari sudah mulai gelap. Dia sengaja tidak membuka lampu. Langsir belum ditutup. Dari tingkap, cahaya kuning sebagai sumber cahaya ketika ini. Jari-jemari Lukman mengetuk meja berulang kali. Dia termenung memerhati dinding kosong.

“Lukman… Lukman! Kenapa kau buat aku macam ni?! Kau tahu itu hasil kerja aku! Kau pencuri!” Suara lelaki kembali terngiang-ngiang di telinga sehingga Lukman terpaksa menekup kuat telinga.

Malang sekali, suara itu berdegung-dengung dan tidak putus-putus bagaikan perakam suara yang dimainkan berulang kali. Kemuncaknya, Lukman menjerit sekuat hatinya!

“Diam!”

Suara lelaki itu mulai lenyap. Manakala, Rina sedari tadi mencuri dengar kata-kata sang suami dari balik pintu. Rina memulas tombol pintu berhati-hati. Sia-sia. Tombol itu berkunci dari dalam. Rina tidak sampai hati untuk mengetuk pintu. 

Habis bersepah barang di atas meja kerja. Semuanya bertaburan ke lantai. Lukman menghempas tubuh ke katil. Mulanya memandang siling putih tanpa berkelip. Lama-lama, matanya kuyu sehinggalah tertutup rapat kelopak matanya.

Dalam lenanya, siapa tahu Lukman sedang berasak dengan kejadian silam. 


Imbas kembali…

Kira-kira 5 tahun lalu…

Zahuri sedang mengemaskan beg baju. Dia akan keluar hospital hari ini setelah beberapa hari mendapat rawatan akibat demam panas dan kekurangan cecair dalam tubuh. Kakinya turut terseliuh akibat tersalah menapak di permukaan tanah.

Keghairahan dalam kerja; mengambil foto-foto terbaik demi liputan tanah runtuh di sebuah trek pendakian menyebabkan dia mengabaikan kesihatan. Makan minum tidak tentu. Dia bagai tidak kenal erti rehat. Malam mahupun siang, hujan mahupun panas akan diredahi demi tugasan.

Ketukan seseorang pada pintu membuatkan Zahuri menoleh. “Kau, Lukman! Masuklah. Aku gembira kau datang.”

Zahuri tersenyum. Lukman datang membawa sebakul buah-buahan beraneka jenis. 

“Kau dah boleh keluar hospital hari ni?” Lukman menyoal.

Mereka bersalaman kemudian berpelukan.

“Ya, Alhamdulillah. Aku tak sabar nak masuk bekerja kembali.”

“Argh, kau ni!” Lukman menepuk bahu Zahuri. “Kuat sangat bekerja! Gila kerja! Macam manalah…” Lukman cepat-cepat menutup mulut. Dia hampir terlepas bicara.

Air muka Zahuri lekas berubah. Tadinya gembira menjadi sedih. Zahuri duduk di birai katil, merenung sahaja lantai. 

“Kau benar. Dalam fikiran aku, kerja… kerja dan kerja! Tunang aku sendiri tak tahan. Aku tak ada masa untuk dia. Dia bertahan dan bertahan sehingga tak mampu bertahan. Dia pergi.”

“Bro…”

“Aku okey. Eh, kau dah hantarkan gambar-gambar yang aku dah cuci tu dekat editor? Sorry susahkan kau, bro. Belum habis kerja dah jatuh sakit!”

Lukman tiba-tiba berwajah pucat. Senyumannya mulai tawar.

“Kau tak sihat?” Tegur Zahuri.

“Bukan… bukan! Aku belum makan tengahari. Angin dah naik ke kepala.” Lukman berbuat-buat ketawa. Kemudian, menepuk bahu Zahuri berulang kali. “Aku dah hantar. Jangan risaulah! Semuanya dah selesai.”

“Alhamdulillah. Lega aku dengar. Hilang beban masalah dalam kepala aku. Aku hampir hilang nyawa sebab nak ambil nice shot! Kau pun tahu aku akan buat yang terbaik selagi aku mampu! Selagi aku tak puas hati… selagi tu aku akan cuba dan cuba!”

“Aku tahu…. aku tahu!” Lukman menepuk bahu Zahuri.

“Hai… tak sabar aku nak balik rumah.”

Zahuri kembali mengemas begnya. Lukman diam tidak terkutik.

Zahuri sangat sibuk dengan kerja-kerjanya sebagai jurufoto. Di mana-mana kejadian menarik, di situ pasti ada dirinya! Sehinggalah tiba pada malam anugerah tahunan syarikat mereka. Zahuri sangat teruja kerana salah satu foto mengenai kejadian tanah runtuh trek pendakian telah termasuk dalam senarai dominasi. 

Zahuri berpenampilan paling kemas. Suit hitam, bow tie dan kasut kulit hitam yang berkilat-kilat! Rambut dirapi dengan gel. Apabila dia berkaca di depan cermin bilik tidur, Zahuri terasa dirinya paling tampan di syarikatnya!

Sebaik sahaja Zahuri di lobi hotel acara itu berlangsung, dia terserempak dengan Lukman. Mereka saling bersalaman dan berpelukan. Ada sedikit kegusaran pada wajah Lukman.

“Wuish, aku gemuruh, gelisah dan gementar! Pendek kata, semua perasaanlah ada! Bercampur-baur.” 

Zahuri mengangguk. Setuju dengan kata-kata Lukman. Perutnya sendiri sudah meragam.

“Goodluck untuk kau, bro!” Zahuri menepuk bahu Lukman.

“Terima kasih. Selamat berjaya untuk kau juga.” 

Mereka berlaga penumbuk.

Mereka berjalan beriringan menuju ballroom hotel. Meriah dengan rakan-rakan sekerja. Masing-masing bergelak ketawa. Kemeriahan digamatkan lagi dengan telatah pengacara majlis yang pandai melawak. Tidaklah bosan sepanjang majlis berlangsung.

Lampu-lampu digelapkan. Kini, lampu sorot tertumpu pada pentas utama. Majlis mulai berjalan dengan bacaan doa. Seterusnya, montaj-montaj berkaitan cerita setiap foto-foto bertanding. Anugerah pertama disampaikan pengurus besar ialah anugerah artikel terbaik disusuli video liputan terbaik. Pada akhirnya tiba kepada anugerah foto terbaik.

Saat montaj foto ditayangkan pada layar putih, mata Zahuri terbeliak besar. Dia menyaksikan sesuatu yang tidak pernah dimimpikan selama ini.

“Itu bukan ke gambar yang aku ambil? Tapi, kenapa bukan nama aku sebagai pemiliknya?”

Zahuri sepantas kilat menoleh ke arah Lukman yang duduk selang dua meja darinya.

“Kenapa nama kau pula, Lukman?”

Lukman terpandangkan Zahuri merenungnya bagai mahu menelannya. Lukman sudah bermuka cuak. Dia membuang pandangan ke tempat lain.

“Kau… pengkhianat?” Zahuri mulai berteka-teki.

Matanya sudah memerah menahan marah. Penumbuknya bila-bila masa boleh melayang. Silapnya, tidak menyemak butiran lanjut foto dipertandingkan. Hanya terpandangkan foto itu, dia menganggap dirinya antara calon anugerah itu.

Zahuri kembali teringat pada hari dia memberi sampul besar coklat berisi foto-foto baru dicetak kepada Lukman.

“Aku tulis semua butiran termasuk nama aku sebagai empunya karya. Lukman menukar butiran itu? Kenapa?”

“Dengan ini diumumkan pemenang anugerah foto terbaik…” Tumpuan Zahuri kembali tertumpu kepada jurucakap majlis. “Lukman Hakim dengan fotonya diberi tajuk pengorbanan di sebalik lumpur!”

Bergemuruh satu dewan dengan tepukan para hadirin meraikan kemenangan itu. 

“Terbaik Lukman!”

“Foto kau memang patut menang!”

“Aku bangga dengan kau!”

Lukman berdiri dengan begitu gembira, menyambut huluran salam dan pelukan daripada rakan-rakan lain. Langsung tiada rasa bersalah dengan kemenangan itu.

Berlainan dengan Zahuri. Jantungnya terasa mahu meletup! Dunianya bagai gelap-gelita tidak bercahaya. Paling sakit, dikhianati kawan sendiri!

“Kemenangan aku telah dicuri?! Bukan orang lain tapi, kawan aku sendiri?!”

Sorokan para hadirin bagaikan tawaan buatnya. Zahuri berasakan mereka mentertawakan dirinya

“Kau sang malang, Zahuri!”

Dengan perasaan tidak percaya, Zahuri melihat sekali lagi ke arah Lukman yang berjalan laju menuju ke atas pentas untuk mendapatkan anugerah. Bagai jatuh ditimpa tangga. Zahuri menitiskan air mata. Bibirnya bergetaran. Pandangan matanya kosong. Terasa kerjayanya hancur!

“I would like to thank my best friend…” Ucap Lukman, terhenti seketika. Melihat ke arah Zahuri yang sudah lama hilang semangat. Zahuri termenung jauh. “Zahuri!”

Lampu sorot tiba-tiba menerangi Zahuri. Tumpuan hadirin terarah kepada Zahuri. Mereka menyangka Zahuri menangis akibat terharu.

“Zahuri, maafkan aku.” Rasa bersalah Lukman kembali bersarang. Lukman melihat trofi yang baru diterima. “Apa aku buat ni? Kenapa aku sanggup khianat kawan sendiri?”

Zahuri mendadak bangkit. Matanya menikam tepat ke bola mata Lukman sehingga terpaku lelaki itu.

“Man, tahniah untuk kejayaan kau!” Lukman dapat membaca gerak bibir Zahuri.

Kemudian, Zahuri bergegas meninggalkan ballroom. Para hadirin saling bergosip. Mereka sedia tahu keakraban dua sahabat itu. Pasti sesuatu buruk berlaku di antara mereka.

“Diorang tu nampak macam tengah gaduhlah!”

“Tulah. Mesti sesuatu buruk berlaku. Ke berkaitan dengan anugerah malam ni?”


Lukman berlari-lari di tempat letak kenderaan bersama dengan trofi di tangan. Dia mencari-cari kelibat Zahuri sebaik sahaja selesai ucapannya. Rupa-rupanya Zahuri duduk di bangku berhampiran keretanya sambil menghisap rokok.

Lukman perlahan-lahan mendapatkan rakannya. Lukman memang bersalah namun dia perlu menjelaskan hal sebenar. 

Sebaik sahaja bayang-bayang Lukman memayungi Zahuri, lelaki itu memandang sejenak wajah Lukman sebelum menjeling tajam. Lukman menarik nafas dalam-dalam. Berusaha sedaya mungkin untuk melontarkan kata-kata. 

“Untuk kau.” Lukman menghulurkan trofi.

Zahuri mencebik. “Di mana rasa malu kau bila kau lakukan itu?”

Lukman mengeluh. “Aku minta maaf. Aku pentingkan diri. Aku salah mengambil hak kau. Aku… aku terdesak untuk menjadi jurufoto terkenal!”

“Terkenal?” Zahuri mencampak puntung rokok yang masih bersisi. Dia berdiri dan kini mereka saling berhadapan. “Dengan mencuri hasil kerja aku?”

Lukman tidak berani menatap Zahuri yang sudah terbeliak biji mata. 

“Kawan makan kawan… ya, kau! Kau orangnya! Tikam dari belakang. Kenapa tidak kau rodok je aku dengan pisau? Senang. Habis cerita! Kau bunuh jelah aku!” 

“Bro, aku tersangat menyesal.” 

Terbayang-bayang pada hari dia menyerahkan sampul berisi foto-foto diambil oleh Zahuri kepada editor mereka.

“Aku bersalah. Aku mengaku. Aku menukarkan nama pada setiap belakang foto dan muka sampul. Aku jijik dengan senyuman yang pernah aku ukirkan semasa editor memuji aku. Pujian yang bukan untuk si pencuri macam aku.”

“Nasi sudah menjadi bubur. Kau nak menyesal pun, dah terlambat! Tahniah ya untuk kejayaan kau! Aku harap kau akan ingat selama-lamanya kejadian malam ni.”

Zahuri terus ketawa sambil kakinya melangkah sembarangan. Kelakuan Zahuri seperti orang hilang siuman.

Lukman mengejar. Bimbang Zahuri hilang kawal lalu melakukan sesuatu tidak terjangka.

“Lihatlah wahai semua orang! Aku manusia paling malang! Ditinggalkan tunang. Nyawaku hampir melayang sebab terlalu asyik bekerja. Tapi, tapi kawan aku sendiri pengkhianat! Kemenangan aku dirompak! Dirompak!” Zahuri menjerit sekuat hati. 

Kini, Zahuri sudah benar-benar berada di bahu jalan raya besar. Kenderaan bertali arus. Dia berhenti di situ. Termenung. Kemudian, berpaling ke belakang. Lukman tercunggap-cunggap.

“Zahuri, bahaya! Kau cakaplah apa je yang kau nak aku buat. Aku nak tebus kesalahan aku. Aku boleh bagitahu satu syarikat, akulah yang curi hasil kerja kau.”

Zahuri terus ketawa.

“Aku kecewa bila tunang aku pergi. Tak apalah dia pergi. Bukan salah dia. Salah aku.” Zahuri terjeda. Matanya mulai berkaca semula. “Tapi, kau kawan yang paling aku percaya. Sakit dikhianati kawan sendiri lebih sakit daripada ditinggalkan tunang. Sekarang, mungkin kau akan gembira bila aku pergi.”

“Wait. Kau nak buat apa?” Lukman terkejut dengan hujung ayat itu.

Zahuri mengukir senyuman kelat. Melambai perlahan.

Lukman seakan menyedari apa yang kawannya itu mahu lakukan.

“Zahuri, jangan buat kerja gila! Jangan!” Lukman menjerit sambil berlari. Butiran jernih air matanya berjuraian.

“Kenapa kau tak bawa kamera? Kau akan terlepas momen berharga betul-betul berlaku di depan mata kau. Kau akan semakin terkenal. Satu dunia akan kenal kau, bro! Rugilah kau lepaskan peluang ni.”

Sudah terlambat. Zahuri tersenyum, berundur laju. Sebuah kereta tidak sempat membrek terus menghentam jasad Zahuri. Melambung ke belakang kereta.

Dunia Lukman terasa berhenti. Lukman menjatuhkan diri secara perlahan-lahan.

“Zahuri. Kau…”

Dia melihat jasad Zahuri kaku tidak bergerak-gerak. Darah membasahi jalan raya. Dalam sekelip mata, keadaan menjadi tersangat kecoh. 

“Tolong hubungi ambulans! Ada orang kemalangan.”

Trofi anugerah ditenung. Dia membaling trofi itu. Dia bencikan dirinya sendiri. Lukman menampar-nampar pipinya.

“Zahuri, maafkan aku. Zahuri! Aku memang jahat! Kau bunuhlah aku! Aku benci diri aku sendiri. Zahuri… bangunlah!”

 


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.