Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 18

Sabrina tertawa besar! Dia sendiri tidak sangka, secepat ini perbuatannya terbongkar!

“Wow, amazing! Sampai macam tu sekali awak siasat. Jadi, saya dah tak perlu berlakon! Sakit tau terpaksa berpura-pura.” 

“Memang itu yang kau patut buat, Izatul Sabrina!” Lukman terasa jengkel. Jika menurut hati, mahu dicarik-carik topeng sisi lain wanita itu. 

Izatul Sabrina ketawa lagi. Kali ini, memandang tepat pada lensa kamera telefon pintar. Sedar bahawa perbuatannya sedang dirakam. Rambut terjuntai pada bahagian hadapan, dihembus-hembus. Udara panas memenuhi lubang pernafasan. 

“Justeru, saya harus meminta maaf setelah apa yang awak dah buat dekat abang saya, Lukman?” Sindir Izatul Sabrina. “In your dream lah!”

“Ya! Aku dah hilang segalanya!”

“Kiranya kita seri, kan? Adil, bukan?” Izatul Sabrina sempat tersenyum sinis.

“Kau!” Jari telunjuk Lukman tegak tepat-tepat di depan muka Izatul Sabrina. Hampir ditunjah-tunjah ke wajah perempuan itu. Menyirap sekali darahnya!

Izatul Sabrina menjeling tajam Lukman. Dia beralih ke arah telefon pintar seseolah mahu bercakap dengan audiens yang sedang menonton.

“Kalau korang di tempat saya, korang akan buat tak apa yang sama buat? Abang saya mati tahu tak! Ini semua salah lelaki ni! Dia pencuri! Dia mencuri hasil penat lelah kerja abang saya!” Izatul Sabrina sudah naik hantu.

Lukman pantas menghalang Izatul Sabrina melanjutkan bicara. Telefon pintar Azmir dirampas. Sekelip mata siaran langsung itu ditamatkan.

“Kenapa awak end live? Puas dapat malukan saya? Teruskan, jangan berhenti!” Izatul Sabrina menujah tubuh Lukman. Wajahnya basah dengan air mata. Matanya terbeliak besar. 

“We talk later, Izatul Sabrina! Sekarang satu Malaysia dah tahu siapa pemilik akaun Mr. Iz!”

“Dan mereka pun dah tahu kejahatan yang awak buat!” Jeritnya sekuat hati. “Hey, come back! Pengecut!” Marahnya kerana Lukman terburu-buru beredar diikuti Azmir.

Izatul Sabrina terduduk. Dadanya berombak. Tiada sesiapa berani menenangkan dirinya. Mereka saling berbisik. Izatul Sabrina terus menyembam muka ke meja. Dia menangis teresak-esak. 

“Musuhku, kenapa mesti kau menjadi orang yang ku sayang? Aku tak kuat! Aku rasa nak padamkan je kewujudan aku dalam konflik ni. Kenapa mesti aku terlibat? Abang, maafkan Izatul! Izatul cuba keraskan hati. Dalam masa yang sama, Izatul tak boleh tipu hati sendiri!” 

Buat kali pertama, Izatul Sabrina menyesali jalan hidupnya!


Pang! Kalsum tidak teragak-agak menampar pipi Izatul Sabrina. Tergamam Izatul Sabrina. Tidak menyangka sama sekali Kalsum menyalahkannya akibat pembongkaran identiti itu.

“Bodoh! Kenapa kau tak nafikan?”

Izatul Sabrina menggosok pipinya. Hangat. Pasti berkesan merah jika dilihat dengan cermin. Berdesing. Telinganya bising seperti siaran televisyen tertunda. 

“Dah bukti itu terang menunjukkan identiti saya! Saya nak nafikan macam mana lagi?”

“Bodoh! Sia-sia kau belajar jadi wartawan kalau dalam situasi genting macam tu kau tak boleh nak kawal! Kau sepatutnya dah kebal daripada desakan. Sepatutnya kau pandai kawal emosi.”

“Kak Kalsum lupa yang saya pun manusia biasa?”

“I don’t care!”

Kalsum mulai mundar-mandir. Akhirnya, dia berhenti di tingkap. Wajahnya disirami cahaya jingga. Hari hampir menjengah senja. Kalsum memeluk tubuh memerhati matahari terbenam.

“Aku masih belum puas lihat mereka menderita!”

 “Kak Kalsum nak mereka mati, baru puas hati?”

Kalsum terus menoleh ke belakang. Menyirap betul dengan kata-kata Izatul Sabrina.

“Kenapa kau bicara seperti itu sekarang?!”

“Apa?” 

“Kalau Zahuri dengar kata-kata kau, dia akan menangis! Adik dia sendiri tak nak bela kematian dia.”

“Kak, kita boleh dakwa mereka ke mahkamah. Kita guna jalan yang sah. Tapi, Izatul tak faham kenapa kena guna jalan macam ni?”

“Kenapa kau baru nak cakap semua ni, sekarang?! Kau yakin mahkamah akan beri keputusan yang adil? Aku tak percaya!”

“Izatul tak faham. Perbuatan kita ni salah. Kita boleh didakwa.”

“Kau takut? Kau nak takut apa? Anggap jelah kau sedang beri abang kau hadiah hari lahir.”

Mereka mulai berhadapan semula. Masing-masing menunjukkan riak tidak puas hati. Membengis sehingga lenyap keayuan wajah.

Tidak semena-mena Kalsum ketawa. Dia menepuk dahi berulang kali.

“Aku tahu. Aku tahu alasan kau! Jangan fikir aku buta. Aku masih boleh melihat bahasa tubuh kau, Izatul! Kau suka lelaki tu kan? Kau kesian dekat dia, kan? Eh, kau buka mata kau! Dia musuh abang kau dan dia dah beristeri. Kau ingat dia akan pilih kau selepas semua ni terjadi? Dah terlambat nak berpatah balik.”

Kalsum merebahkan tubuh ke sofa empuk. Dia menutup mata. Tawanya masih bersisa. Cecair jernih mulai mengalir dari kelopak mata. 

Izatul Sabrina patah berhujah.

“Zahuri, adik kau sendiri dah mengalah. Dia tak nak balas dendam untuk kematian kau. Betapa pengecutnya dia.”

Mendengar nama arwah abangnya disebut, Izatul Sabrina sebak. Dia tidak mahu menangis hari ini. Cukuplah hari yang memenatkan emosi. 

Perbualan mereka lumpuh seketika. Hanya bunyi hanyunan kipas ruang pejabat menjadi halwa telinga.

Izatul Sabrina mengeluarkan telefon pintar. Dia menerima pesanan ringkas dari rakan sekerja. Pautan kepada siaran langsung. Saat ditekan pautan itu, dia melihat Lukman sedang mengadakan sidang media. 

Kalsum masih panas hati. Bunyi bising merengsakan telinga. 

“Ada apa tu?”

Izatul Sabrina terus menunjukkan skrin telefon pintar. Mereka saling berpandangan sebelum menumpukan kepada siaran.


Lukman menarik nafas dalam-dalam. Dia harus melakukan ini. Rasa bersalah semakin hari semakin menjalar. Dia bisa gila memikirkan kesalahan terhadap arwah Zahuri. Desakan di media sosial menjerat kesihatan mentalnya.

Kini, dia bagai terperangkap dalam kegelapan. Terlalu gelap sampai sesak untuk bernafas. Sampai dia terfikir, mahu memadamkan kewujudannya di dunia ini. Semua yang terlibat pasti gembira. Tiada siapa akan sakit hati lagi.

“Astagfirullah…” berulang kali Lukman mengucapkannya. Dia tidak sepatutnya berfikir begitu. Bukan urusannya mengambil nyawa sendiri. Menjaga nyawa ialah salah satu daripada jihad.

Kerlipan cahaya kamera di mana-mana. Dia memandang setiap jurufoto mahupun juruvideo yang hadir sempena sidang media khas.

‘Anehkan hidup ni. Dulu, aku menjadi sebahagian daripada mereka untuk merakam sebarang peristiwa. Kini, dunia aku sudah terbalik. Aku menjadi subjek tumpuan yang bakal dibahas, dicaci maki barangkali. Aku harus terima. Aku bersalah.’

“Terima kasih semua sudi hadir sidang media khas,” ujar Lukman, memandang setiap daripada mereka kemudian menunduk. Sukar untuk meluahkan yang terbuku. Suaranya hampir tiada. “Semua tahu, tentang video tersebar luas di TikTok. Tentang saya menganiaya kawan sendiri.”

“Sidang media ni diadakan untuk awak mengaku video tular itu benar?” Seorang wartawan terus bertanya soalan. Lukman kenal wartawan itu; dari pesaing syarikat akhbar lain.

Lukman tidak berdaya untuk berbalah. Badannya lesu. Jiwanya sudah layu. Dia mengangguk perlahan. Kalah dengan kesalahan lalu.

“Betul. Semuanya betul.” Lukman mengakuinya. Untuk apa berdalih? Semuanya sudah terbogel!

“Awak tak berfikir panjang masa tu?”

Lukman menghela nafas. “Rasa ingin dikenali lebih menguasai berbanding nilai persahabatan pada masa itu.”

“Jadi, awak mengaku awak menjadi punca utama arwah Zahuri kemalangan?”

Lukman sudah berkaca-kaca matanya. Sentiasa segar dalam ingatan pandangan terakhir arwah Zahuri sebelum dirempuh kenderaan. Di mana-mana darah!  Lukman berdiri. Tubuhnya terasa menggigil. Dia membongkok seperti mahu meminta maaf. 

“Saya, Lukman Hakim. Saya memohon maaf dengan sepenuh hati saya kepada keluarga arwah Zahuri terutama sekali kepada ibu bapa arwah dan adik arwah, Izatul Sabrina. Saya menyebabkan arwah kecewa. Benar, saya mendapat pengiktirafan bukan disebabkan keaslian karya. Saya telah mengambil dan mencuri hak arwah dan mengaku sebagai karya saya tanpa rasa bersalah. Saya minta maaf!”

Berulang kali Lukman mengulang kata maaf. 


“Aku tak boleh terima permohonan maaf itu. Dia hanya nak bersihkan nama sendiri. Nak nampak kononnya dia ialah mangsa.”

Kalsum merampas telefon pintar Izatul Sabrina. Dia membalingnya ke dinding. Berkecai! Semuanya berlaku terlalu pantas. Izatul Sabrina terlopong!

“Kau jangan nak terpedaya dengan lelaki tak guna tu!” Tengking Kalsum, menuding jari tepat pada muka Izatul Sabrina. “Selagi dia hidup, memang aku takkan maafkan! Faham?!”

Izatul Sabrina tidak mampu melawan. Dia melihat sahaja Kalsum bertindak gila dengan membaling segala perkakas yang ada di ruang pejabat itu. Kalsum semakin sukar dijinakkan.

‘Sepatutnya aku yang marah. Aku adik kandung abang. Mungkin juga, hati aku masih bersisa kemaafan. Arwah abang pasti tak gembira dengan tindakan kami.’


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.