Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 12

SYED Badiuzzaman memberi hon pendek sebelum mematikan enjin kereta. Mengikut peta, itulah rumah Ainul Mardhiah. Dia sampai ke rumah wanita itu lewat jam lapan malam. Syed Badiuzzaman hanya keluar dari perut kereta apabila lampu beranda dinyalakan. Dia tegak berdiri di halaman itu sebelum memberi salam.

“Assalammualaikum.” Laungnya, kuat. Pintu rumah segera dibuka, seorang kanak-kanak kecil lebih kurang umur lima tahun menyambut ketibaannya malam itu.

“Kumcalam.” Jawabnya, masih pelat. Tidak menyambut kehadiran Syed Badiuzzaman, kanak-kanak itu segera masuk ke dalam rumah. Kemudian, muncul pula seorang wanita yang dipimpin kanak-kanak kecil itu.

“Waalaikumussalam warahmatullah. Err...encik cari babah ke? Dia di masjid. Lepas Isya’ nanti baru dia balik. Jemputlah masuk”

“Bukan...saya cari Ainul Mardhiah.” Jawabnya, tak sabar lagi hendak mengangkut Ainul Mardhiah ke Kuala Lumpur. Kalau boleh, dia mahu bertolak kembali ke Kuala Lumpur sekarang juga!

“Ainul Mardhiah?” Soal Kak Along Aqilah, kembali.

Tak percaya yang adiknya dicari oleh seorang lelaki di malam hari. Ada rahsia yang Ainul Mardhiah simpan rupanya dari pengetahuan mereka sekeluarga.

“Kak, ini rumah Ainul Mardhiah ke?” Soal Syed Badiuzzaman kembali.

Dia melihat wajah wanita itu penuh tanda tanya. Tanda tanyanya, seolah-olah rumah itu bukan rumah Ainul Mardhiah.

“Hah? Iya, ya! Sekejap akak panggilkan dia. Err...begini, encik jemput masuk dulu ya. Tak elok pula berdiri di luar rumah malam-malam begini. Jemput masuk dulu, ya! Kejap lagi akak panggilkan Ain.”

“Tak apa, kak! Terima kasih saja. Saya nak cepat sebab kalau boleh nak balik ke KL dengan Ain malam ni.”

“Balik KL dengan Ain? Eh, ada apa ni? Kenapa Ain tak ada cerita nak ke KL dengan encik?” Soalan demi soalan dilantun tanpa disedari oleh Kak Long Aqilah. Syed Badiuzzaman pula tiada masa untuk menjelaskan duduk perkara itu. Yang dia tahu, Ainul Mardhiah mesti ikutnya malam itu juga.

“Ainul Mardhiah patut dah cerita dia nak ke KL. Ya, memang saya tak beritahu nak jemput dia malam ni tapi disebabkan alasan dia, saya terpaksa memandu begini dari KL.”

“Ain, oh Ain! Ain!” Kak Long Aqilah memanggil nama singkatan Ainul Mardhiah kerana tidak dapat menerima lagi kata-kata Syed Badiuzzaman. Sebelum dia habis bercerita, nama Ainul Mardhiah dilaung dengan suara yang agak besar.

“Ada apa, Kak Long?” Jawab Ainul Mardhiah sambil mendapatkan Kak Long Aqilah yang masih berdiri di depan pintu rumah.

“Ain nak ke KL dengan orang ni, malam ni ya? Kenapa Ain tak cerita pada kami pasal Ain dengan dia? Ain nak buat apa pergi KL dengan orang lelaki?”

Dahi Ain keruh. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Kak Long Aqilah sehingga dia melihat sendiri muka orang yang dimaksudkan itu. Dia menjenguk ke luar pintu dan terkejut besar melihat wajah Syed Badiuzzaman di situ.

“Tuan Muda Syed Badi?” Tanyanya, hairan. Dia sangat hairan melihat lelaki itu berada di hadapan rumahnya. Jauhnya Syed Badiuzzaman datang, hingga ke mari! Ada apakah ini?

“Ya, aku nak datang sini nak jemput kau. Patutnya kau lapor diri pada aku esok, kan?”

“Maaf, Tuan Muda Syed Badi. Pengurus tempat Ain kerja tak lepaskan Ain berhenti kerja serta merta. Minggu depan, InsyAllah, hari Khamis Ain ke KL.”

“Tak apa. Pasal pengurus kau tu, aku boleh uruskan. Memang aku sangat perlukan khidmat kau. Itu pasal aku sanggup datang sejauh ni untuk jemput kau. Aku letih ni, Ain...Tak boleh tunggu sampai minggu depan.” Jelas Syed Badiuzzaman dalam kepekatan malam. Ainul Mardhiah terkedu. Dia dan Kak Long Aqilah saling berpandangan. Takkan semudah itu dia mengikut Syed Badiuzzaman ke Kuala Lumpur?

“Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam warahmatullah.” Jawab dua beradik itu serentak. Syed Badiuzzaman hanya menoleh pada suara yang menyapa salam itu. Dia dapat melihat susuk seorang lelaki sebaya ayahanda berjalan menghampirinya.

“Ada tetamu ke kita malam ni? Kenapa tak jemput masuk wahai anak-anak babah sekalian?” Sapa Haji Karim, menegur anak-anaknya yang tidak memuliakan tetamu. Dia menghulur tangan kepada lelaki muda itu lalu memaut bahunya dengan mesra. Anehnya, Syed Badiuzzaman terus akur dengan Haji Karim. Jika tadi, liat juga dia hendak masuk ke dalam rumah itu kerana tujuannya datang ke Kampung Semanggol hanyalah untuk menjemput Ainul Mardhiah semata-mata, namun pelawaan ayah Ainul Mardhiah sukar hendak ditolak. Mereka berdua lalu berjalan beriringan sebelum masuk ke dalam rumah.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.