BAB 13
NURAIN tidak sedar sedari pagi umi sedang memerhati tingkah
lakunya. Masakan tidak. Selesai berjoging, kemudian bersarapan, Nurain tidak
turun dari biliknya. Dia memilih untuk berjemur di balkoni sambil membaca novel
Seribu Kali Sayang. Selalunya pada setiap
hujung minggu Nurain tidak betah duduk diam selagi kerjanya tidak beres di
rumah. Dia senang berkemas, membasuh, dan memasak. Tetapi, pada hujung minggu
tersebut, sikap Nurain benar-benar berbeza. Timbul tanda tanya di benak Puan
Aina.
“Oh, ya. Sepatutnya hari
ni Ain balik kampung jumpa kak ngah. Apasal cancelpulak?” tanya Encik
Ghazali yang kebetulan ketika itu sedang leka membaca akhbar Berita Minggu.
“Entahlah. Kejap nak pi, kejap
tak nak. Minggu depan kut?”
“Itu hari dia jugak yang
beria-ia nak jumpa kak ngah.”
“Abang tak perasan ke
perangai anak dara kita tu lain benar kebelakangan ni?” ujar Puan Aina ketika
bersantai dengan Encik Ghazali di ruang rehat keluarga.
“Lain macam mana pulak?
Aina tak tanya dia kenapa?” soal Encik Ghazali pula, bukan memberi jawapan
kepada persoalan yang meracau benak Puan Aina.
“Eh, abang ni. Kalau Aina
tau Aina tak tanya abang. Sebab Aina tak taulah Aina tanya abang.”
“Kenapa tak tanya dia?
Tanyalah. Mana tau dia ada masalah atau apa.”
“Abang... Aina ingat Ain
ada beritau abang apa-apa. Sejak balik dari seminar di Hotel Vistana minggu
lepas lagi Aina perasan Ain lain sikit. Itu sebab Aina nak pastikan dulu,”
terang Puan Aina.
Encik Ghazali menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Dia seperti memikirkan sesuatu.
“Abang rasa abang tau!”
“Tau apa?”
Encik Ghazali tersenyum
geli hati melihat telatah isterinya yang seperti tidak sabar itu. Dia faham
perasaan isterinya itu. Hati mana tidak risau melihat perubahan satu-satunya
puteri harapan mereka yang bakal mewarisi harta dan menjaga mereka tatkala tua
sebelum pergi menghadap Ilahi.
Encik Ghazali tidak terus memberitahu, sebaliknya
mengajak isterinya ke tingkat atas menuju ke kamar beradu anak gadis mereka.
Dia ingin tahu sama ada perubahan sikap Nurain itu ada kaitannya dengan
pertemuan yang tidak di duga dengan kawan lelakinya tempoh hari.
“Haaa... entah-entah....”
“Eh, Aina. Apa kena dengan
awak ni? Buat terperanjat abang aja.”
“Ni mungkin ada
kena-mengena dengan budak lelaki yang abang bagitau Aina tu.”
“La! Dah agak dah,” jawab Encik Ghazali
sambil menggaru kepalanya. Dia tidak jadi melangkah ke tingkat atas rumah teres
itu. Tidak jadi hendak surprisekan isterinya itu. Isterinya lebih bijak
meneka.
“Abang nak ke mana pulak?
Tadi beria-ia tarik tangan Aina ajak Aina naik ke atas,” tanya Puan Aina,
spontan marah.
“Aina ajalah yang naik ke
atas. Abang nak ke toiletkejap,” jawab Encik Ghazali, berbohong.
Puan Aina menggeleng-geleng
geram sambil bercekak pinggang. Namun, marahnya itu segera hilang sebaik sahaja
terkenangkan betapa dia amat mencintai suaminya itu.
************
CINTA? Perkataaan itu seolah-olah telah menggeletek hatinya.
Secara tidak langsung
menyebabkan dia ingin ketawa. Malah berdepan dengan Zakuan hatinya
tiba-tiba berdebar-debar. Cintakah dia kepada Zakuan? Atau cintakah Zakuan
kepada dia? Selama ini Nurain tidak pernah mengalami indahnya percintaan. Bukan
tidak ada yang ingin menjalin hubungan istimewa dengannya. Hatinya belum boleh
menerima. Tetapi dengan Zakuan, hatinya seolah-olah berbicara. Debaran di dada
bergetar hebat.
Lewat kebelakangan ini
Zakuan pula sering menelefonnya bertanya khabar. Jika tidak sempat menelefonnya,
mereka sempat berSMS. Setiap detik, ingatan terhadap lelaki itu tidak pernah
padam. Saban hari kenangan bersama di bangku sekolah kembali menjengah mengetuk
pintu hati.
Dia keliru dengan hatinya
sendiri. Dahulu dia boleh menidakkan perasaan. Mungkin mainan perasaan
remajanya ingin disayangi dan dicintai. Tetapi, kini apakah sebenarnya yang
bermain di fikiran? Semakin ingin diketahui puncanya, semakin dia kekeliruan.
Oh Tuhan! Perasaan apakah
ini? Tolonglah daku! Aku tidak mahu bermimpi di siang hari. Jika benar ini
cinta, aku tidak mahu menjadi mangsa cinta buta.
“Ain! Buka pintu ni, nak.”
“Masuklah, umi. Pintu tak
berkunci.”
Daun pintu dikuak.
Tersembul wajah Puan Aina sambil mempamerkan senyuman ceria.
“Mmm... bersih bilik anak
umi. Patutlah selepas sarapan tadi tak turun-turun. Mengemas bilik
rupa-rupanya,” kata Puan Aina sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kamar anak
gadisnya itu.
Nurain hanya tersenyum.
Dia memerhati sekeliling biliknya itu. Setiap hari dia akan memastikan bilik
tidurnya teratur dan bersih. Baharu sedap mata memandang. Baginya bilik tidur
bukan sahaja tempat dia melelapkan mata, malah bilik tidur juga tempat rehat
buatnya.
“Baru lepas buat senaman?”
tanya Puan Aina apabila melihat anak gadisnya itu berpeluh di sana sini.
“Baru saja buat senaman
regangan. Rasa dah longgar semuanya. Maklumlah, makan tidur saja setiap hari,”
jawab Nurain sambil meletakkan novel Seribu
Kali Sayang di atas meja soleknya.
“Duduk dekat umi, sayang,”
pinta Puan Aina sambil melabuhkan punggungnya di birai katil. Nurain datang
menghampiri uminya. Puan Aina mengelus lembut rambut anaknya yang panjang
melepasi bahu. Dalam hati memuji betapa cantik dan manis anaknya itu.
“Anak umi ni ada masalah
ke?”
Nurain mendongak memandang uminya itu. Dahinya
berkerut-kerut. “Kenapa umi tanya macam tu?” Soalan berbalas soalan pula.
“Anak umi tak macam
selalu. Hari ini Ain memilih untuk berkurung di dalam bilik. Umi ingat Ain ada
masalah.”
Mendengar sahaja bicara
uminya itu, Nurain ketawa menampakkan barisan giginya yang putih melepak.
“Ain okey, umi. Jangan
risau,” ujar Nurain. Puan Aina menarik nafas lega.
“Kalau macam tu, jomlah
turun tolong umi kat dapur.”
“Er... Ain ingat Ain nak
kemas almari buku. Kejap lagi Ain turun.”
“Baiklah kalau macam tu.
Nanti turun, ya!”
“Okey, umi. Sayang umi.” Nur
Ain melayangkan flying kiss kepada
Puan Aina. Puan Aina sekadar menggeleng-geleng sambil tersenyum. Kemudian terus
melangkah keluar.
Huh! Nasib baik umi tak
perasan perubahan diriku. Umph... bertuahnya jadi anak gadis Aina dan Ghazali
ini. Depa terlalu mengambil berat perkembangan anak-anaknya. Aku bangga menjadi
anak mereka.
Dan senyuman terus mekar
di bibirnya yang mungil.
***********
NURAIN sekeluarga sedang menikmati makan tengah hari. Hampir jam
2.00 petang baharu mereka menjamu selera. Sementelah pagi tadi mereka telah
makan nasi lemak yang dimasak oleh Mak Leha yang sedap dan enak.
Sebanyak mana pun makan,
Nurain bersyukur kerana tetap langsing tanpa mengambil sebarang ubat kurus.
Cuma terus mengamalkan makan jamu buatan uminya dan rajin bersenam. Tidak perlu
pergi ke gim untuk bersenam. Di dalam kamar tidurnya sudah tersedia kelengkapan
untuk bersenam.
“Sepatutnya hari ini Ain
balik kampung mak ngah, kan. Apasal tak jadi pulak?” soal Encik Ghazali,
memulakan perbualan.
“Ain tak ada moodlah, abah,” jawab Nurain.
ayam masak merah, rendang
kerang kacang panjang, sayur kangkung goreng, dan ulam-laman berserta sambal
belacan begitu membuka selera Nurain sekeluarga. Ketika di London, masakan umi
itulah yang dirinduinya.
“Sedap masakan umi?” tanya
Puan Aina.
“Mestilah sedap. Kat
London mana ada masakan sehebat masakan umi,” ujar Nurain, kegirangan.
Puan Aina dan Encik Ghazali
tersenyum. Sebagai seorang suami, dia berbangga kerana mempunyai isteri yang
pandai memasak. Lantaran itulah dia lebih suka makan di rumah. Isteri yang amat
disayanginya itu pandai menambat hatinya dengan masakan yang lazat dan
menyelerakan.
“Ain kena belajar memasak dengan umi. Nanti bila dah kahwin,
senang,” kata Encik Ghazali sambil tersenyum.
“Lambat lagi la Ain nak
kahwin. Calon pun belum ada lagi. Ain ada banyak masa dengan umi,” jawab Nurain
malu-malu apabila abahnya itu membangkitkan persoalan tentang alam
perkahwinannya pula. Tidak pernah terfikir pun dia tentang alam rumah tangga.
“Kalau macam tu, nak abah
rekomenkan dengan seseorang?”
“Tak maulah, abah. Kata
orang, jodoh tu tak perlu dicari. Ia datang sendiri. Betul tak, umi?”
Puan Aina memandang suaminya. “No comment,” jawabnya.
“Ala, umi ni.”
Puan Aina ketawa geli
hati.
“Aiman pun nak cari isteri yang pandai masak macam umi.”
Aiman tiba-tiba mencelah.
“Isy! Aiman ni. Sekolah
pun tak lepas lagi, dah bercerita tentang calon isteri. Dah tamat sekolah,
lepas tu dah kerja, dah boleh tanggung isteri, barulah boleh Aiman cari calon
isteri,” kata Puan Aina. Aiman tersengih manja.
“Jangan pandai mengayat,
sudah. Anak bujang umi ni bukan abah tak tau, handsome, ganteng, apatah lagi berkarektor. Macam mana perempuan
tak toleh dua kali,” usik Nurain. Serentak
dengan itu, meledak ketawa mereka anak-beranak. Aiman memuncungkan bibirnya,
pura-pura merajuk.
“Mana ada Aiman ngorat
budak perempuan. Perempuan ngorat Aiman adalah. Kan Aiman ni handsome,” kata Aiman kemudian sambil ketawa.
“Tengok tu, umi. Dah
pandai dah.”
“Ada-ada saja hang pa ni.
Tapi, apa-apa hal pun, umi harap anak-anak umi berjaya dalam hidup
masing-masing. Lagipun tak ke mana perginya harta yang umi dan abah cari ni.
Lambat-laun akan diwarisi hang pa jugak,” tegas Puan Aina.
“Betul kata umi kamu tu. Company abah mengalu-alukan kehadiran
Ain di sana. Abah senang hati kalau Ain dapat membantu abah.”
“Insya-Allah, abah, umi.
Itu pun kalau tak ada rezeki Ain di tempat lain. Ain akan kerja dengan abah.
Abah jangan risau.”
“Buat masa ni, berehatlah
dulu. Abah tak memaksa kamu. Abah tahu anak abah tau apa yang terbaik,” kata
Encik Ghazali lagi.
Puan Aina mengangguk
setuju. Dia faham kehendak anak-anaknya. Lebih-lebih lagi Nurain yang mahu
menimba pengalaman di tempat lain dahulu. Sebagai seorang ibu, dia hanya mampu
mendoakan kejayaan anak-anaknya. Mereka tidak perlu dipaksa mengikut telunjuk
orang tua. Malah, semenjak kecil dia sudah mengajar anak-anaknya hidup
berdikari.