Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,402
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 27

BAB 27

AKHIRNYA, Nurin Amira berkesempatan menjejaki kampung halaman tempat kelahiran Safiah di Batu Kurau, Perak. Terubat rindunya pada kediamannya yang sudah lama ditinggalkan. Sudah banyak kali Safiah mengajaknya untuk berkunjung ke rumah pusaka peninggalan arwah datuknya itu. Oleh kerana ada sebab yang tidak dapat dielakkan, ajakan Safiah itu tidak dapat Nurin Amira penuhi. Begitu bermakna buat Nurin Amira kerana ini kunjungan kali pertamanya ke sebuah daerah yang terlalu asing buat dirinya itu.

Kerap benar Puan Salmi sekeluarga mengunjungi rumah pusaka itu. Tambahan pula anak sulung Puan Salmi, Saiful menetap di rumah itu. Oleh kerana sunyi dan janggal tinggal sendirian, Saiful mengajak anak saudara sepupunya tinggal bersamanya. Kali ini mereka menumpang kereta Waja milik Nurin Amira. Encik Lutfi tidak dapat menyertai mereka kerana terpaksa bertugas pada hari Sabtu itu. Safiah ingin menjamu Nurin Amira makan buah-buahan tempatan yang meranum di dusun. Buah durian pula buah yang paling menjadi pada tahun ini.

Akan tetapi, itu bukanlah agenda utamanya. Safiah ingin menggembirakan Nurin Amira, memandangkan Nurin Amira sudah lama tidak pulang ke rumah keluarganya. Sekurang-kurangnya dengan melihat keindahan di sekitar rumah pusaka itu boleh mengembalikan keceriaan kepada Nurin Amira.

Lebih kurang dua jam memandu melalui highway Sungai Petani-Butterworth, mereka pun sampai ke destinasi yang dituju. Nurin Amira sudah semestinya seronok dapat melihat suasana sekitar kediaman itu.

“Emmm bestnya. Ada kolam ikan lagi,” ujar Nurin Amira sebaik saja keluar dari perut keretanya. Saiful yang sedari tadi menunggu kedatangan keluarganya, datang bersalam dengan Puan Salmi. Nurin Amira melemparkan senyuman mesra kepada Saiful.

“Dah datang sini baru tau, kan. Best ke tak best. Dah lama Yaya ajak. Saja jual mahal.” Tergelak manja Nurin Amira apabila diusik oleh Safiah.

“Jom masuk ke dalam. Emak masak apa ni sedapnya bau?”

Saiful mengajak tetamunya masuk ke dalam, sambil tangannya menjinjit beg plastik yang dibawa oleh Puan Salmi. Wanita lewat 30-an itu sejak awal pagi lagi sibuk di dapur memasak makanan kegemaran anak lelakinya.

“Apa lagi, bang. Masakan kegemaran abang la. Jealous tau mak masak untuk abang sorang. Yaya pun ada juga makanan kegemaran Yaya. Tapi, hari ni mak tak masak pun.”

Safiah sekadar hendak bergurau dengan abangnya. Sesekali berjumpa dengan abangnya buat dia rindu menggiat satu-satunya saudara lelaki sulung. Dengan adik lelakinya dia sudah biasa bergaduh.

“Ek eleh. Mengada-ngada,” celah Sofian sambil menjuihkan bibirnya.

“Kau orang berdua ni dua kali lima aje. Sesekali emak masak untuk abang pun nak berkira,” jawab Saiful.

“Tengoklah anak mak cik ni, Mira. Pantang berjumpa, ada-ada saja,” kata Puan Salmi sambil menggeleng-geleng. Wanita itu berlalu ke dapur untuk menyiapkan hidangan tengah hari. Tidak tahu hendak berbuat apa-apa, Nurin Amira mengekori langkah Puan Salmi ke dapur.

Melihat susun atur perabut yang kemas dan elegan buat Nurin Amira terpegun. Dia tidak menyangka lelaki pun suka mengemas dan menghias rumah. Potret keluarga menghiasi dinding, manakala gambar-gambar permandangan yang sejuk mata memandang terpampang indah di dua sudut yang berbeza.

“Abang memang rajin mengemas. Kalau bab menghias, dia memang pakar sebab dia lulusan grafik berkomputer. Tapi, bergiat aktif dalam bidang pertanian pulak. Jauh betul selera dia sekarang jika hendak dibandingkan dengan kelulusannya.” Safiah menghuraikan segala persoalan yang berlegar di fikirannya tanpa diminta.

Nurin Amira mengiakan sahaja. Dia berlalu ke dapur, sementara Safiah membantu abangnya memunggah barangan yang dibawa oleh emaknya untuk di simpan di atas rak yang disediakan. Ada serunding, susu, gula, tepung, Nestum, dan Milo buat abangnya serta anak saudaranya. Barangan itu memang sengaja dibawa oleh Puan Salmi. Dia tidak suka anak lelakinya membuang waktu makan atau minum di kedai. Dia arif benar andai ke kedai, lelaki akan mengambil masa yang cukup lama melepak. Seolah-olah tidak ada satu perkara pun yang perlu dilakukan.

Kemudian secara tiba-tiba menjengah seorang lelaki muda di muka pintu. Kedua-dua belah tangannya menjinjit beberapa biji buah durian. Nurin Amira mengagak umurnya lebih kurang sebaya dengan Nurin Anisha.

“Waduh! Bau semerbak. Masak pulut sedap jugak ni mak makan dengan durian. Bubuh santannya sekali,” ujar Safiah sambil berlalu untuk mengupas durian yang dibawa oleh anak saudaranya itu.

“Baguih jugak. Tapi, ada kelapa ke?” jawab Puan Salmi pula.

“Ada. Nanti Lan kupas kelapa. Nak makan dengan pulut nampaknya nak kena tambah lagi ni. Tak cukup. Bukan Lan tak tau Acik Ya ni hantu durian,” kata Alan, mengusik ibu saudaranya.

“Pandai la hang nak menyakat Cik Ya, noh.”

Nurin Amira ketawa, terhibur melihat kemesraan mereka. Dia menghampiri Safiah kerana tidak tahan dengan bau durian yang sungguh menyelerakan itu. Sedar-sedar sahaja sudah lima biji durian menjadi santapan mereka. Nurin Amira tidak larat hendak makan buah rambutan yang masak meranum di dalam raga. Buah duku juga ada di situ. Sofian pula apabila selesai menjamah durian, dia makan buah duku pula.

Sementara Puan Salmi sedari tadi merungut kerana masakan yang dibawanya tidak disentuh pun oleh anak-anaknya. Terpaksalah dia memanaskannya untuk hidangan makan malam.

Oleh sebab masing-masing sudah kekenyangan menjamah buah-buahan tempatan, tidak jadilah untuk menikmati hidangan tengah hari itu. Ini memudahkan kerja Puan Salmi. Dia tidak perlu lagi masak untuk kali kedua. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya kini. Dari jauh, dia memerhatikan gelagat anak terunanya yang sudah pun menjangkau usia 27 tahun.

**********

MENITI batas-batas sawah mengingatkan Nurin Amira pada zaman kanak-kanak yang pernah dilaluinya suatu waktu dahulu. Dia, adik dan abang berkejar-kejaran sambil bermain layang-layang yang dibuat sendiri oleh abangnya. Lintah dan lumpur tidak dipedulikan lagi. Walaupun menjerit kegelian berhadapan dengan lintah, itu tidak menjadi soal kepadanya untuk tidak bermain di sawah. Indah sungguh zaman kanak-kanaknya.

Dia menghampiri Sofian dan Saiful yang sedang memancing ikan di kolam. Ada beberapa ekor sepat di dalam raga.

“Melihat keindahan kampung kawasan sekitar di sini mengingatkan akak pada zaman kanak-kanak dulu. Tak jauh bezanya.” Nurin Amira meluahkan apa yang dirasa dalam hatinya setelah hampir di sisi Sofian.

“Kalau suka, datang la lagi. Jangan tak datang,” celah Saiful.

“Itu pun kalau ada kesempatan. Tak boleh nak janji,” jawab Nurin Amira pula.

“Dalam kolam ni banyak ikan, kak. Ada sepat, keli, haruan, baung, dan jugak lampam. Sekali makan gulai lemak ikan air tawar ni, sampai bila-bila pun tak boleh lupa keenakannya,” ujar Sofian kemudian.

“Eiii... akak tak biasa makan ikan-ikan sungai ni. Tak tahan bau hanyirnya. Kalau sepat, akak makan. Mak akak suka masak gulai lemak cili padi. Masa dulu-dululah. Sekarang mana ada sawah macam ni. Sawah pun penuh dengan lalang,” kata Nurin Amira sambil menjenguk ke dalam bakul.

“Apa ikan-ikan ni makan, Abang Epul?” Tidak lama kemudian, Nurin Amira terperasan yang soalannya itu lucu. Tapi, dia berpura-pura berlagak selamba untuk menutup perasaan malu yang menular di benaknya.

“Cacing, dedak, dan entah apa-apa lagi yang ikan-ikan biasa makan,” jawab Saiful.

“Cacing? Eiii... memang patut la Mira tak suka makan ikan-ikan ni.”

“Itu sebab ikan-ikan abang gemuk-gemuk,” kata Saiful sambil ketawa gembira melihat wajah Nurin Amira menahan kegelian.

“Alah, Abang Epul tu bergurau aja, kak. Ada pulak nak bagi makan ikan cacing. Ikan-ikan ni pun tak berselera nak makan cacing. Ada la makanan ikan ni, kak. Abang Epul beli di kedai,” ujar Sofian pula.

Nurin Amira tersengih sambil mengurut perlahan-lahan tekaknya yang meloya. Dia ingin beredar. Namun, langkahnya terhenti apabila Saiful seakan-akan tidak mengizinkan dia berlalu pergi.

Lelaki itu ingin berbicara lagi. Padahal Nurin Amira sudah kehilangan kata-kata untuk dibualkan bersama lelaki yang mudah mesra itu. Baharu sahaja bertemu bagaikan sudah lama mengenali. Ada kalanya Nurin Amira senang hati berbicara dengan Saiful yang suka mempamerkan humor secara spontan.

Safiah yang menyedari telatah Saiful dengan Nurin Amira itu menahan pilu dalam hati. Suatu waktu dahulu ketika Nurin Amira rapat dengan Zakuan, Saiful pernah menyuarakan hasrat untuk menyunting Nurin Amira sebagai suri hidupnya. Apabila diberitahu Nurin Amira sudah ada teman istimewa, Saiful tidak lagi mengungkit cerita itu. Kini setelah Nurin Amira kembali sendiri menongkah arus kehidupan, Safiah tidak menolak kenyataan bahawa abangnya itu masih menyimpan perasaan terhadap gadis manis itu. Walau apa pun persepsi masyarakat terhadap Nurin Amira, dia reda seandainya ada jodoh di antara Nurin Amira dengan abangnya.

**********

SEHARI semalam bermalam di rumah pusaka arwah nenek dan datuk Safiah, Nurin Amira puas merakam kenangan yang tidak mungkin dilupakan dalam kamus hidupnya. Keluarga Safiah sudah dianggapnya seperti keluarganya sendiri.

Pagi-pagi lagi Alan dan Saiful mengait buah-buah yang sudah ranum untuk dibawa pulang ke rumah mereka di Sungai Petani. Ada limau Bali, rambutan, duku langsat, pulasan dan durian. Sempat lagi Puan Salmi memasak serawa durian. Resepi orang utara. Setahu Nurin Amira, orang luar menggelarkan resepi itu pengat durian ataupun bubur durian. Nurin Amira juga sempat membantu Puan Salmi mengacau tempoyak yang diperbuat daripada durian yang tidak habis dimakan. Sekurang-kurangnya buah yang tidak habis dimakan itu tidak dibuang begitu sahaja.

“Abang! Yaya teringin nak pergi Lake Town. Abang temankan kami, ya,” ujar Safiah mengejutkan semua orang yang sibuk dengan kerja masing-masing.

“Boleh jugak. Boleh bawak bekal berkelah kat sana,” jawab Saiful, bersetuju dengan cadangan adiknya itu.

“Mak macam mana? Setuju tak?” tanya Safiah sambil mengerling wajah ibunya.

“Emak ikut saja.”

“Tapi, nak bawak bekal apa, ya?” kata Safiah seolah-olah bertanya pada diri sendiri.

“Bawaklah mihun goreng ka, kuetiau goreng ka. Tak pun nasi lemak. Mak kan terror masak,” celah Sofian.

“Mak dah agak dah. Mak jugak yang akan masak nanti.”

“Alah, mak. Nanti Yaya tolonglah. Mira pun boleh tolong mak di dapur nanti.”

“Dengaq tu, Mira. Anak dara mak cik satu-satunya ni. Tak adanya dengan sukarela nak masak di dapur,” usik Puan Salmi.

“Alah, mak ni. Bab masak-memasak ni bukan boleh dipaksa. Bila rasa nak memasak tu datang, dengan sendirinya Yaya masak la,” ujar Safiah, menutup rasa malunya.

“Yalah tu. Boleh percaya ke?” sampuk Alan pula.

Safiah kehilangan kata-kata. Sudahnya dia berlalu ke halaman rumah untuk mengangkat pakaian yang sudah kering di jemuran. Pakaian yang dibasuh sejak pagi sekejap sahaja kering apabila dijemur di tengah-tengah panas terik itu.

“Merajuk la tu.”

Suka benar Sofian mengusik kakaknya. Alan juga dua kali lima dengan bapa saudaranya. Peluang yang ada tidak dilepaskan untuk menyakat Safiah.

Nurin Amira menyedari mata Saiful dari tadi asyik menatap wajahnya. Cepat-cepat Saiful mengalihkan tumpuannya ke televisyen apabila mereka bertentangan mata seketika. Waktu itu sudah jam 2.00 petang. Mereka baharu sahaja menikmati makan tengah hari.

“Abang Saiful ni dah dekat 30 tahun. Rasanya dah layak jadi suami dan punya keluarga sendiri. Bila agaknya Mira dapat makan nasi minyak abang, ya?”

Tidak semena-mena terluah perkataan itu dari seulas bibir Nurin Amira. Dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

Ya Allah! Soalan apa ni? Ya, Tuhan.

Pantas sahaja senyuman meniti di bibir Saiful sebaik mendengar bait-bait kata Nurin Amira itu. Dipandangnya Nurin Amira yang sudah kegelisahan.

“Kalau ada yang sudi, abang tak kisah. Mak abang tau siapa calon menantunya,” ujar Saiful sambil mengerling Nurin Amira yang kelihatan tidak tentu arah menahan malu.

Wajah Nurin Amira serta-merta merona merah. Semua yang ada di ruang tamu itu perasan perubahan air mukanya itu. Dia tidak tahu di mana hendak menyorokkan mukanya itu. Kesudahannya dia membatukan diri. Bimbang tersalah cakap lagi.

“Mana ada. Kalau ada, dah lama abang beritau mak,” ujar Saiful lagi. Kemudian dia berlalu keluar.

Nurin Amira berkali-kali menerangkan kepada Safiah. Dia tidak bermaksud apa-apa tentang soalannya terhadap Saiful itu. Safiah sudah tidak dapat menahan ketawanya lagi. Nurin Amira kaget. Sementara Puan Salmi hanya tersenyum sahaja. Dia terhibur berada dalam lingkungan anak-anak muda itu.

“Apa la Mira ni. Malu-malu pulak. Itulah lain kali hati-hati,” kata Safiah, penuh makna.

Selepas itu, ada-ada sahaja gurauan daripada Alan dan Sofian. Riuh-rendah gelak ketawa mereka memenuhi ruang tamu rumah pusaka itu.

Gulp! Macam tahu saja aku tengah gabra tadi. Hai... nasiblah dapat kawan dua kali lima dengan abangnya.

***********

SELESAI solat zuhur, mereka bertolak ke Lake Town. Lebih kurang setengah jam memandu, mereka tiba di kawasan rehat itu. Keadaan sekitarnya sudah banyak berubah. Sudah ada chalet, taman permainan, dan restoran di situ. Lake Town kini sudah menjadi destinasi pelancongan dan percutian di kalangan orang luar yang datang bercuti ke situ. Nurin Amira rasa bertuah kerana akhirnya dia berkesempatan berada di situ menikmati permandangan yang indah. Sebelum ini dia pernah dipelawa oleh Zakuan untuk datang ke situ. Namun, belum sempat dia memenuhi permintaan Zakuan, dia ditangkap basah dengan Mohd Najib.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.