Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,756
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

BAB 7

SUDAH sebulan Nurain kembali ke Malaysia. Pelbagai cerita kurang enak tentang Nurin Amira didengarinya daripada orang tua dan sahabat terdekat buat dia tidak senang duduk di rumah.

Nurain tidak percaya semua cerita itu. Dia yakin benar ada sesuatu yang telah berlaku terhadap sepupu yang sangat disayanginya itu. Mereka membesar bersama-sama. Segala cerita suka dan duka dikongsi bersama sewaktu tinggal berjiran ketika kecil dahulu. Sakit demam ibu saudaranya yang merawatnya.

Nurain faham benar perangai dan sikap sepupunya itu. Lemah lembut orangnya. Mereka pasangan sepupu yang paling rapat. Mustahil Nurin Amira menjalin hubungan dengan lelaki yang selama ini tidak pernah sekali pun dilayannya. Setahu dia, Nurin Amira terlalu menjaga pergaulannya. Malah, sesiapa pun yang ingin bersahabat dengannya, baik lelaki mahupun perempuan diterimanya dengan senang hati. Namun, setakat kawan biasa tidak lebih daripada itu.

Selama Nurain di luar negara, Nurin Amira rajin mengutus berita melalui alamat e-mel yang diberikan. Mereka berkongsi cerita biarpun jarak memisahkan mereka. Biarpun masa begitu mencemburui mereka, mereka tetap berhubungan seperti biasa. Setiap kali menerima kiriman daripada Nurin Amira, tidak pernah diberitahu tentang berita mengaibkan itu.

Kenapa Mira merahsiakan penderitaan hidupnya? Apa sebenarnya yang berlaku, Mira?

Desakan naluri ingin tahu perkara yang sebenarnya berlaku melebihi segalanya. Dia mengambil keputusan untuk menziarahi keluarga ibu saudaranya itu tidak lama lagi.

Sekembalinya dari luar negara, Nurain juga tidak putus-putus berdoa mudah-mudahan dalam masa yang terdekat ini dia memperoleh pekerjaan. Tidak sanggup rasanya menganggur begitu lama. Malangnya, pengalaman menjadi guru yang sangat berharga berbanding kelulusan yang dimiliki. Itulah sebab ramai graduan mengganggur.

Nurain benar-benar bosan bersendirian di rumah. Habis diselongkar diari-diari lama dan surat-surat kiriman rakan-rakannya. Terubat sedikit rindu yang terpendam. Saat terpandang surat kiriman berserta hadiah pemberian lelaki itu, serta-merta kenangan bersama kembali menerjah ruang fikiran. Lebih-lebih lagi kira-kira seminggu yang lalu secara tidak sengaja buat pertama kalinya selepas pulang dari London mereka bertemu lagi. Ini menguatkan lagi ingatannya terhadap lelaki itu.

Banyak benar kenangan yang dicipta oleh mereka. Terlalu indah. Dia masih ingat, masih jelas di ruang ingatannya ungkapan yang dibuat oleh lelaki itu, “Seandainya diketemukan lagi, saat itu sudah berubah, Wan mungkin hadir dalam hidupmu bukan sebagai sahabat lagi, tapi.... ah malulah nak cakap. Masih terlalu awal lagi.” Kerana kata-kata itulah sehingga saat ini dia masih sendiri.

Apakah yang dibuat lelaki itu tika dan saat ini? Adakah dia juga berada dalam situasi seperti aku? Oh Tuhan, Jika benar dia juga mengingati aku berikanlah pertunjuk-Mu. Tapi, jika dia masih seperti dulu, tidak mengapa. Kalau dia sudah berubah, macam mana?

Hati Nurain tertanya-tanya. Lima tahun di negara orang. Tidak mustahil dalam tempoh itu hati manusia boleh berubah. Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula hati manusia.

‘Kacau! Kacau! Dia juga yang aku fikirkan.

Angin pagi yang menghembus membawa salam rindu yang teramat buat lelaki itu. Sepinya kian terasa. Tambahan pula tidak ada apa kerja yang boleh menyibukkan dirinya. Kerja di dapur sudah pun dibereskan oleh Mak Leha. Menjenguk taman kesayangan uminya di belakang pun sudah. Membantu Mak Leha menyiram pokok bunga hidup di laman rumah tidak mungkin sama sekali. Baharu tadi dia melihat Mak Leha hampir menyudahkan kerjanya.

Abah dan umi pagi-pagi lagi sudah ke tempat kerja. Adiknya pula sudah pun ke sekolah. Lagi setahun bakal menamatkan pengajian di tingkatan enam atas.

Wajahnya disembamkan ke bantal. Lama begitu, kemudian dia mendapat idea merelease tensionnya. Dia mendapatkan komputer riba yang elok terletak di tepi meja soleknya. Matanya laju berlari meniti setiap baris ayat yang tertera di skrin komputer. Niat di hati hendak melayari internet. Namun, niatnya terbantut. Terganggu dek deringan telefon bimbitnya yang bertalu-talu minta diangkat.

“Hello! Ya, umi!”

“Tak keluaq ke mana-mana?”

“Hari ni tak, umi. Tak ada mood. Lagipun Ain dapat rasakan Ain tak dapat kerja hari ini.” Luahnya sedikit kesal dengan sesetengah syarikat yang pernah dihantarnya surat permohonan menolak permohonannya. Kononnya dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang yang dipohonnya. Hendak tak hendak dia terpaksa menerima keputusan syarikat.

“Hai, belum apa-apa sudah mengalah. Cubalah dulu. Mana tahu sehari dua lagi ada rezeki untuk Ain.”

“Hampeh ada la umi. Penat aje dapat.”

“Abah dah cadangkan kerja dengan dia saja, Ain jual mahal pulak. Bagi umi, tak salah rasanya kalau Ain cari pengalaman dengan syarikat abah. Lambat-laun jadi milik Ain dengan adik jugak,” ujar Puan Aina, tanpa bosan menasihati anak gadisnya itu.

Nurain bukan sengaja Nurain tidak mahu bekerja dengan syarikat bapanya. Dia sebenarnya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada orang tua. Dia ingin berdikari dahulu apabila sudah bersedia memikul tanggungjawab yang dicadangkan oleh abahnya itu, baharulah dia bersetuju. Itu pun seandainya dia tidak mempunyai pilihan lain lagi.

Dia tidak berniat pun untuk menghampakan harapan abah. Buktinya, dia sudah berjaya mendapat segulung ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan. Di samping diploma dalam komunikasi massa.

“Kalau Ain boring kat rumah, datanglah ke salon umi. Tolong umi kat sini. Belajar sikit-sikit nanti dapat membantu Ain jugak.”

“Baik la, umi. Nanti Ain fikirkan.”

“Nak ke sini pun nak kena fikir dulu. Ain! Ain!”

Nurain tertawa kemudian. Berasa lucu dengan komen uminya itu.

“Yalah. Lebih kurang satu jam Ain sampai. Okeylah, umi. Assalamualaikum.”

Puan Aina menggeleng-geleng selepas anaknya itu mematikan telefon bimbitnya. Dia sebenarnya khuatir dengan anak gadisnya itu. Khuatir dengan pelbagai anasir negatif yang mungkin mempengaruhi pemikiran anak-anaknya. Sebagai seorang ibu, dia mendoakan yang baik-baik sahaja bakal mewarnai kehidupan anak-anaknya. Dalam masa yang sama, dia sedih kerana ramai anak Melayu seusia anaknya sedang menuju kehancuran. Mereka ini membunuh diri sendiri secara perlahan-lahan. Dia sendiri tertanya-tanya puncanya anak-anak bangsa Melayu hanyut dengan kenikmatan dunia.

Memikirkan masa depan anak-anak yang masih jauh, dia beristighfar berulang kali minta dijauhkan perkara yang tidak diingini.

Ketika leka menyusun resit pembelian pelanggannya di dalam fail, Puan Aina mempamerkan senyuman gembira setelah anak gadisnya yang ditunggu lebih kurang sejam yang lalu tercongok di depan matanya. Salam gadis itu disambut. Dia memperkenalkan anaknya itu dengan pekerja-pekerjanya. Tidak jauh bezanya usia mereka itu. Boleh dibuat kawan juga.

Nurain tidak menghadapi masalah untuk berhadapan dengan pelanggan uminya kerana dia menjalin hubungan yang baik dengan pekerja-pekerja ibunya yang dianggapnya friendly kerana melayannya seperti sahabat lama mereka. Dia senang begitu.

“Ain. Ke sini, nak. Umi nak perkenalkan Ain pada kawan umi,” laung Puan Aina dari muka pintu pejabatnya. Nurain tanpa berlengah terus datang bersalaman dan berpelukan dengan teman uminya itu. Dalam diam hatinya dipagut tandatanya kerana diperlakukan begitu oleh kenalan uminya. Seolah-olah wanita lewat 40-an itu sudah lama mengenalinya.

Untie Sofia ini kenalan lama umi masa belajaq di sekolah menengah dulu. Dia sekarang pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunas Harapan. Ain tentu masih ingat lagi, kan Cikgu Sofia yang garang tu?” ujar Puan Aina, memperkenalkan sahabatnya itu kepada anaknya.

Puan Sofia ketawa apabila dicop garang oleh temannya sendiri.

“Bukan garang. Tegas. Kalau tidak, anak-anak murid Sofia jadi nakal semacam,” luah Puan Sofia sambil tersenyum.

Buat seketika, Nurain melayan fikirannya cuba mengingati saat-saat terakhir di mana dia mengenali wanita yang diperkenalkan oleh uminya itu. Kemudian dia tersenyum. Kali terakhir dia bertemu dengan Puan Sofia itu ketika dia hendak berangkat ke London dahulu. Sebelum itu dia selalu mendengar nama Puan Sofia disebut-sebut oleh adiknya apabila ada aktiviti yang melibatkan Sekolah Tunas Harapan dengan Sekolah Cenderawasih tempat adiknya belajar. Memang tidak dinafikan pada raut wajah yang tenang itu terpamer ketegasannya yang tersendiri.

‘Ain rasa Ain pernah jumpa Untie Sofia ni. Kalau tak silap Ain masa kat airporttiga tahun lalu.”

Tidak salah lagi tekaan Nurain itu. Puan Sofia tersenyum sambil mengganguk.

“Ingat pun. Untieingat Ain dah tak kenal untie lagi.”

“Bukan tak kenal. Cuma, ingat-ingat lupa,” jawab Nurain cuba beramah mesra.

“Senang-senang, datanglah ke rumah untie. Aina bawa-bawalah anak hang ke rumah Sofia. Bolehlah kita berborak panjang nanti.”

“Insya-Allah. Tengok la nanti. Alah, singgah-singgahlah di salon Aina yang tak seberapa besar ni,” pelawa Puan Aina pula.

Nurain tahu pelawaan uminya itu lebih kepada mempromosikan makanan kesihatan dan produk kecantikan dalaman yang dijual di salon uminya itu.

“Jangan macam tu. Besar ke, kecik ke, yang penting kualiti produk itu sendiri. Sofia bangga dengan pencapaian Aina sekarang ni,” puji Puan Sofia.

“Alhamdulillah. Rezeki anak-anak. Kalau tak kerana usaha, tak menjadi jugak bisnes Aina ini, Sofia. Itulah sokongan saudara-mara, adik-beradik, dan teman-temanlah yang banyak memberi kekuatan serta semangat kepada Aina selama ini,” ujar Puan Aina, masih merendah diri.

“Ain buat apa sekarang?” tanya Puan Sofia apabila menyedari Nurain lebih banyak mendiamkan diri.

“Ain tak tahu lagi. Buat masa ni Ain dah cuba mohon kerja di mana syarikat yang perlukan pekerja. Tapi, belum rezeki Ain lagi. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa perkembangan, Ain kerja dengan abah aja,” kata Nur Ain.

“Kalau macam tu, bagus la. Sekarang ni pun ekonomi tak berapa baik. Orang takut nak ambil pekerja. Takut tak mampu bayar gaji. Lagipun tak ke mana perginya harta yang dicari orang tua Ain. Semuanya untuk Ain jugak, kan?” jawab Puan Sofia, memahami masalah yang dihadapi Nurain kini.

Agak lama berbual-bual dengan Puan Aina dan anak gadisnya, Puan Sofia melanggan beberapa jenis makanan kesihatan yang selama ini banyak membantu kecerdasan minda dan kesihatan dalamannya. Meskipun harganya berpatutan, Puan Sofia tidak kisah semua itu asalkan produk yang dipilihnya berkualiti.

**********

PADA hari itu, Nurain menikmati makan tengah hari bersama Liza dan Raudah, pembantu uminya. Mereka perlu bergilir-gilir keluar rehat kerana kesuntukan masa. Salon uminya itu beroperasi dari pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang. Ada kalanya apabila mendapat tempahan dari luar daerah, salon uminya itu terpaksa dibuka sehingga jam 7.00 atau 8.00 malam. Puan Aina memperuntukkan kerja lebih masa tidak lebih daripada jam 8.00 malam. Dia tidak suka membebankan pekerjanya. Walaupun ada antaranya yang tidak kisah bekerja lebih masa. Meskipun dia faham pekerjanya ingin menambah pendapatan, dia perlu memperuntukkan masa rehat yang mencukupi kepada pekerjanya. Melihat pembantu-pembantunya cergas sentiasa, baharulah pelanggan berkeyakinan membeli produk yang dijual di salonnya.

Perbualan ketiga-tiga orang gadis itu terhenti sebaik sahaja pelayan Restoran Selera Utara datang membawa pesanan. Nurain dan Raudah memilih kuetiau goreng, manakala Liza memesan laksa bagi mengisi perut yang mulai berdangdut itu.

“Sedap jugak, ya,” ujar Nurain sambil menghabiskan sisa kuetiau gorengnya yang terakhir.

“Kami selalu makan di sini. Enaknya usah dikata,” sambut Liza.

“Umi pun suka makan di sini?” tanya Nurain.

“Puan Aina tu gerai tepi jalan pun dia suka. Dia tak memilih. Janji perut kenyang. Tapi, biasanya dia makan di Restoran Budiman sebab ada pelanggan yang mempelawanya makan di sana. Kalau nak bertukar selera, ada lagi restoran yang tidak jauh dari sini. Boleh tahan juga keenakan mankanannya,” kata Raudah pula.

Nurain mengangguk faham. Dia faham uminya itu bukanlah wanita yang cerewet dalam soal makan. Asalkan tempat makan itu bersih dan sedap mata memandang. Namun, jarang benar umi makan di luar. Umi gemar membawa bekal.

“Puan Aina tu rajin juga bawa bekal. Tapi, kerana hendak jaga hati pelanggan, terpaksalah terima pelawaan mereka. Kalau tidak, nanti dikata sombong pulak,” jelas Liza.

“Habis tu, bekal yang dibawanya, siapa yang makan?” tanya Nurain sambil mengerutkan dahinya.

“Emm...siapa lagi? Kita orang la. Time tu la dapat berjimat. Siapa yang sanggup tolak, dialah yang rugi. Puan Aina kalau masak, sedap,” jawab Raudah.

Nurain mengangguk faham.

Emm... baiknya umi aku. Patut la macam adik dengan kakak aje dia orang ni.

Sebaik sahaja ingin beredar dari restoran itu, Nurain disapa oleh seseorang. Nurain cuba mengingati lelaki itu. Namun, dia tidak ingat lelaki yang berdiri di hadapannya itu.

“Ini Hafizlah. Member Sekolah Cenderawasih,” kata lelaki itu, memperkenalkan dirinya.

“Lailahaillallah. Maaf banyak-banyak. Ain betul-betul tak ingat. Yalah, dah hampir lapan tahun tak jumpa, kan?” Nurain mengutuk dalam hati kerana hampir melupai teman sekolahnya itu. Dahulu dia agak rapat juga dengan lelaki yang berdiri di hadapannya itu sebelum bertukar sekolah di bandar Taiping mengikut bapanya bertugas.

“Lama betui kan, kita tak jumpa. Nurain pun makin cun la ni.” Puji Hafiz pula.

“Eh, tak ada la. Ain masih macam dulu. Ain baru sebulan balik dari London. Tak tau nak buat apa kat rumah, datang sini tolong umi kat salon. Eh, alang-alang dah ke sini singgah-singgahlah ke salon umi. Salon............” Nurain mempelawa.

“Tak apalah. Lain kali aja. Hafiz nak cepat ni. Oh ya, minggu lepas kawan kita Sherry jemput kita ke majlis hari jadi dia. Dia tinggalkan pesan kalau jumpa teman-teman yang lain jangan lupa beritau,” kata Hafiz lagi.

“Sherry yang dulu pengawas pusat sumber tu?” Hafiz mengangguk.

“Dia sekarang jadi model, kan?” sambung Nurain.

“Biasa la. Orang cantik. Eh, ni siapa pulak?”

Nurain menepuk dahinya kerana tidak memperkenalkan Liza dan Raudah kepada Hafiz.

Sorry.Lupa nak perkenalkan. Yalah. Dah lama tak jumpa, kan? Bila dah jumpa tu, ada-ada saja cerita yang nak ditanya. Ini Liza dan ini pula Raudah. Pembantu umi,” ujar Nurain.

“Tak apa. Biasalah. Kami faham,” sela Liza, kemudian. Dia dan Raudah sedikit pun tidak berkecil hati. Nurain juga baik hati macam majikan mereka juga. Meskipun baharu hari pertama bersua, mereka sudah dapat menyesuaikan diri.

“Ain boleh kasi nombor phone? Nanti kalau ada apa-apa hal, aku boleh contact hang,” ujar Hafiz sambil mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya.

“012 4433012. Nanti miss call, ya. Jumpa lagi ye, bye.”

“Okey, bye. Aku nak cepat ni cari barang untuk mak aku. Nanti tak pasal-pasal berleter pulak dia,” ujar Hafiz dalam loghat utaranya.

Sebaik sahaja Hafiz memohon diri beredar, Liza dan Raudah sempat mengusik Nurain. Nurain sekadar tersengih. Dia langsung tidak ada apa-apa perasaan terhadap Hafiz. Mereka sekadar sahabat baik. Tidak lebih daripada itu.

Berbicara tentang lelaki itu, entah mengapa hatinya terbetik rindu pada insan yang pernah singgah di hatinya. Walaupun sebentar cuma kasih terjalin, rasa aneh itu tetap ada sehingga kini. Sudah lebih lima tahun mereka tidak berhubung. Malah, surat-surat yang menjadi pengikat hubungan mereka serta hadiah yang dikirim kepadanya masih elok dalam simpanan. Baharu pagi tadi dia menyelongkarnya. Dalam diam, Nurain menanamkan keyakinan dalam diri semoga suatu hari nanti andai ada jodoh di antara mereka, dia akan pastikan jodoh mereka berpanjangan. Mudah-mudahan.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.