Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,406
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 28

BAB 28

AWAL-AWAL pagi lagi Nurin Amira sudah bangun keluar ke pejabat. Sengaja dia keluar awal dan solat subuh di masjid ketika dalam perjalanan ke pejabat. Rutin tidak rasmi itu dilaluinya kira-kira dua bulan yang lalu. Dia tidak betah bertembung dengan lelaki penyebab kemusnahan masa depannya setiap pagi. Geram, marah dan sakit hati begitu mencengkam hati setiap kali menatap wajah lelaki yang mengheretnya pergi jauh dari keluarganya. Bertambah sayu hatinya apabila menjadi kebiasaan setiap pagi emak bangun menyediakan sarapan. Jika tidak sempat menjamah sarapan, emak akan menyediakan bekal untuknya begitu juga dengan adik-adik ke sekolah. Emak tidak pernah lupa rutinnya setiap pagi itu. Kata emak, makanan di sekolah kurang bersih. Selain itu, dapat juga menabung lebihan wang jika membawa bekal ke sekolah.

Bersama Safiah, dia terkenangkan Nurain, sepupunya yang paling rapat. Pelbagai aktiviti dilakukan bersama mengisi masa senggang. Namun, tanggungjawab dan kewajipan sebagai seorang pelajar dan anak telah memisahkan mereka.

Dia juga tidak pernah melupakan persahabatan yang akrab dengan Syeila dan Azizah. Dengar khabar daripada adiknya, mereka sudah berkahwin. Syeila mengikut suaminya menetap di Kuantan, Pahang. Sesekali sahaja Syeila pulang ke kampung. Manakala Azizah pula menetap di Sungai Petani. Seandainya dia tahu alamat sahabat baiknya itu, sudah lama dia menjejakinya.

Kenangan-kenangan indah itu kini menjadi sejarah dalam hidupnya. Datang dan pergi mengisi kesunyian saat diri dihimpit rindu yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi pada emak dan ayah sekeluarga. Rasa ingin menjenguk begitu menghimpit diri. Namun, apabila mengingatkan ugutan ayah dia sudah tidak diterima lagi, rasa ingin bertemu itu dibiarkan sepi.

Tersenyum sendiri tatkala teringat peristiwa-peristiwa manis bersama teman tersayang. Sungguh menyeronokkan berada dalam lingkungan usia remaja di alam persekolahan. Dia yakin Nurin Anisha juga tidak terlepas menghayati saat-saat yang meriangkan itu.

“Senyum sendiri nampaknya Mira ni, mak!”

“Ha argh! Minuman itu pun dah sejuk. Nasi goreng itu pun masih tak luak. Apalah yang dimenungkannya? Mira! Mira!”

Nurin Amira malu-malu sendiri. Dia baharu tersedar dari menungan yang panjang.

“Terkenang kawan lama mak cik. Lama sangat tak jumpa mereka,” jawabnya sambil tersenyum.

“Emmm.... jawatan yang Mira pohon tu, dapat?” soal Puan Salmi pula.

“Dapat tu memang dapat. Tapi, Mira rasa tak sesuai dengan Mira sebab kerja tu tak semestinya 24 jam di dalam pejabat. Masa Mira banyak kat luar jumpa client. Lagipun, kena rajin cari client. Cabaran besar tu, mak cik. Mira tak yakin Mira boleh buat,” jelas Nurin Amira meluahkan rasa hatinya.

“Kalau macam tu, mak cik nak kenalkan Mira dengan kawan mak cik. Dia buka sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim. Dia kekurangan tenaga pengajar. Mak cik rasa masih ada kekosongan jawatan itu.”

“Ye ke, mak cik? Rasa macam tak percaya pulak.”

“Betul la tu. Apa lagi? Mira siapkan resume cepat-cepat. Nanti disambar orang lain, merana badan pulak,” usik Safiah pula.

“Yalah. Mira tahu.”

“Nanti mak cik SMSkan alamat tu. Lagi cepat, lagi bagus.”

Puan Salmi bahagia dapat membantu Nurin Amira. Sudah dianggapnya gadis itu seperti anaknya sendiri. Sikap Nurin Amira yang lemah lembut dan pandai mengambil hati orang tua itu sudah lama mencuri hati keibuannya.

“Mira bersyukur kepada Allah semenjak dua menjak ni ada-ada saja rezeki datang buat Mira. Dalam minggu ni Mira akan dapat kunci rumah baru yang Mira beli tu,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum lebar. Dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Kalaulah rasa bahagia itu dapat dikongsi bersama orang tuanya, alangkah indahnya.....

“Betul ke, Mira? Alhamdulillah. Yaya kena ikut cara Mira yang pandai menabung. Belum apa-apa, sudah dapat beli rumah,” puji Puan Salmi atas kebijaksanaan Nurin Amira menabung pada usia muda.

“Yaya pun pandai menyimpan jugak, ibu. Tunggu masa saja. Just sit and wait,” ujar Safiah sambil ketawa mesra.

Hampir jam 8.30 pagi mereka berdua berangkat ke pejabat. Semenjak Nurin Amira menetap bersama keluarga Safiah, Safiah jarang memandu sendirian ke pejabat. Sesekali mereka bergilir memandu. Cuma, seminggu yang lalu Safiah sendirian ke pejabat. Nurin Amira mengambil cuti seminggu.

Nurin Amira terhutang budi pada kebaikan yang ditunjukkan oleh ibu bapa Safiah itu. Hanya kepada Tuhan dia panjatkan rasa kesyukuran kerana dikurniai keluarga angkat yang sangat mengambil berat.

**********

NURIN AMIRA leka di tempat kerjanya dengan kerja yang menimbun. Dia perlu membereskan laporan-laporan penting dahulu. Sepanjang seminggu dia bercuti, begitu banyak perkara yang perlu dibereskannya. Safiah sudah menawarkan diri untuk membantu. Namun, dia berbesar hati. Lagi pun Safiah sendiri sibuk sepertinya tidak sampai hati pula menyusahkan sahabatnya itu.

Tanpa disedari, Zakuan memerhati dari tempat duduknya. Setiap pergerakan Nurin Amira diperhatikannya. Terubat sedikit rindu yang mencengkam. Sudah lama dia tidak melihat senyuman manis itu tersenyum kepadanya. Seminggu yang lalu dia menahan diri. Kini dia tidak dapat menyembunyikan rasa itu lagi. Perasaan bersalahnya terhadap gadis itu juga begitu menggigit sanubari.

“Hai, hang kerja ke, melamun ni?” kata Jeffri yang datang mampir sambil menepuk bahunya.

Zakuan menjeling. Rasa geram pun ada kerana konsentrasinya terganggu. Namun, dia sebenarnya berterima kasih kepada Jeffri kerana banyak mendedahkan penderitaan yang ditanggung oleh Nurin Amira.

“Dua-dua sekali!”

“Ye? Aku tak percayalah. Ha... apa ditunggu lagi? Pi la jumpa dia. Ajak lunch sama-sama ka,” kata Jeffri, memberi cadangan.

Are you sure?”

“Tepuk dada, tanya hati,” jawab Jeffri sambil berlalu ke tempat duduknya.

Lama Zakuan termangu di tempat duduknya. Memikirkan cadangan rakannya itu. Serba salah pulak dia setelah sekian lama dia tidak bertegur sapa dengan gadis yang suatu waktu dahulu pernah hadir dalam hidupnya. Dalam kekalutan fikirannya itu, dia lihat Encik Idris, majikan mereka datang ke meja Nurin Amira mengarahkan gadis itu masuk ke biliknya. Dalam fikiran dia saat itu tidak lain tidak bukan sudah tentulah membincangkan tentang peletakkan jawatan yang dipohon oleh Nurin Amira. Dia berdoa yang baik-baik sahaja.

**********

“MIRA!”

Nurin Amira mendongak. Ditatapnya wajah Zakuan yang berdiri di depannya itu. Sudah lama Zakuan tidak menyapanya. Timbul tanda tanya dibenaknya apabila Zakuan berada di depannya kini.

Apa kena dengan lelaki ini?

“Maaf... Wan hendak mencuri sedikit masa Mira.”

“Ada apa, Wan?” Saat itu Nurin Amira serba salah. Dikerlingnya fail yang menimbun di sudut kiri mejanya. Semuanya perlu diteliti. Tambahan pula baharu tadi Encik Idris mahu dia berfikir dengan semasak-masaknya akan keputusan yang dibuatnya. Banyak benar perkara yang perlu difikirkan. Kini Zakuan pula tercegat di hadapannya. Apa pula masalah baharu selepas ini?

“Boleh kita lunch sama-sama hari ini? Banyak perkara Wan nak beritahu Mira,” ujar Zakuan, berhati-hati bimbang tersalah cakap pula.

“Tapi, lunch nanti Mira tak keluaq. Banyak kerja Mira nak buat. Kalau time balik nanti, boleh la,” jawab Mira.

“Kalau macam tu, tak apa la. Wan tunggu di gerai Mak Jah.”

Nurin Amira mengangguk setuju. Dia perasan Lily Zuhaily sedang memerhatikan adegan sebabak itu. Cepat-cepat dia meminta Zakuan beredar dari tempat duduknya. Faham benar pandangan sinis yang dilemparkan oleh Lily Zuhaily itu. Dia tidak mahu lagi cakap-cakap yang kurang menyenangkan sampai ke telinganya.

************

ZAKUAN sabar menunggu kehadiran Nurin Amira di gerai Mak Jah. Dia sudah memesan dua pinggan laksa dan dua gelas sirap bandung. Makanan kesukaannya dan Nurin Amira. Dia masih ingat Nurin Amira pernah membawa laksa ke pejabat sempena hari lahirnya yang ke-23 dua tahun lalu. Lazatnya tidak terkata. Masakan Mak Jah pun belum tentu dapat menandingi keenakan laksa buatan Nurin Amira itu. Jika diberi peluang, dia teringin merasainya lagi.

“Mak Jah, buatkan yang special, tau!” laung Zakuan kepada Mak Jah yang sibuk mengupas telur. Kebetulan pelanggan tidak begitu ramai. Zakuan bernasib baik. Untunglah ada pembantu. Jika tidak, kelam-kabut juga Mak Jah hendak mengurus gerainya itu.

Apa yang Zakuan tahu, sudah hampir 10 tahun pasangan suami isteri itu berniaga di situ. Itulah sahaja mata pencarian mereka. Sesekali perniagaan mereka itu dibantu oleh anak-anak mereka.

“Sudah lama Wan tunggu?” Tersentak Zakuan dari menungan yang panjang.

“Tak ada la lama. Lebih kurang 15 minit. Eh, Yaya pun ada.” Zakuan membalas sapaan Nurin Amira itu.

“Kalau Yaya menggangu kalian, Yaya tunggu Mira dalam kereta ajalah, ya,” jawab Safiah sebelum beredar.

“Eh, Yaya. Nanti la dulu. Duduk la. Tak ada mustahaknya pun. Cuma Wan kena tambah satu lagi order sepinggan laksa.”

Kedua-dua gadis itu tersenyum. Safiah kembali duduk bersebelahan dengan Nurin Amira dan bertentangan dengan Zakuan.

Sebaik sahaja Safiah duduk, Mak Jah membawa dua pinggan laksa Kedah. Baunya begitu menyelerakan. Sempat lagi Zakuan memuji kepakaran Mak Jah memasak laksa. Memang kena dengan selera mereka.

“Puji lebih-lebih ni, orderla lagi makan biaq kenyang,” ujar Mak Jah. Dia sudah lama mengenali ketiga-tiga anak muda itu. Kemesraan mereka tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Insya-Allah. Tambah lagi satu pinggan, Mak Jah. Untuk anak dara ni pulak,” kata Zakuan, masih dalam sisa tawanya.

“Dah lama sangat kita tak makan bersama macam ni,” tambahnya.

“Apa nak buat, Wan. Keadaan dah banyak berubah,” jawab Nurin Amira pula.

“Yelah. Begitu banyak penderitaan yang perlu Mira tanggung sejak kebelakangan ini. Wan saja yang tak mahu faham. Mulai hari ini, Wan tak mahu lagi menyakitkan hati Mira. Maafkan Wan, ya.”

Nurin Amira terkedu. Tidak menyangka Zakuan sudi meminta maaf daripadanya. Padahal sudah lama dia melupakan kisah sedihnya itu. Dia mengerling Safiah yang sedang menyuap laksa ke dalam mulutnya.

“Tak ada apa yang perlu Mira maafkan. Wan tak ada buat salah apa-apa pun terhadap Mira.”

“Jangan macam tu, Mira. Wan tahu Mira sedih dengan sikap Wan yang tidak mau memahami situasi Mira ketika itu. Tapi, apa yang boleh Wan lakukan? Wan tak tau apa-apa. Sesiapa pun akan melenting marah kalau dapat tahu orang yang kita sayang kahwin dengan orang lain. Wan nak kalau boleh, hubungan kita kembali macam dulu. Maksud Wan, kita berbaik-baik semula,” kata Zakuan.

Nurin Amira berhenti menyuap laksa. Dia cuba mencari kata-kata yang sesuai.

“Kalau pasal tu, dah lama Mira maafkan. Dah jadi sejarah pun,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum.

“Itu la awak. Lain kali dengaq dulu dari orang yang berkenaan. Jangan tau nak dengaq dari sumber-sumber yang kita sendiri tak tau kesahihannya,” kata Safiah yang sejak tadi diam membisu.

“Itulah kesilapan besar yang pernah Wan buat,” balas Zakuan sambil meraut wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangannya.

“Nak buat macam mana, Wan? Dah nasib kita jadi mangsa keadaan,” kata Nurin Amira pula.

Mereka berdua kembali menyuap laksa. Menghabiskan baki yang tinggal sedikit. Safiah yang sedari tadi menjadi pendengar setia melepaskan sendawanya.

“Sedapnya. Rasa nak tambah lagi. Tapi, perut Yaya dah penuh. Terima kasih, Wan kerana belanja Yaya makan laksa hari ni,” kata Safiah sambil merenung teman sepejabatnya itu.

“Wan dengar Mira nak berhenti kerja. Betui ke?”

Nurin Amira memandang Safiah di sebelah. Kemudian menatap seraut wajah tampan di hadapannya itu. Dia mengangguk.

“Sunyi la nanti pejabat kita ni, kan Yaya.”

“Mira dah nekad, Wan. Mira dah pun dapat tawaran kerja kat tempat lain. Tapi, Mira belum buat keputusan lagi. Encik Idris bagi tempoh seminggu untuk memikirkan perkara ini. Rasanya seminggu itu lebih dari cukup. Dia macam berat nak melepaskan Mira. Tengoklah tadi, berjam-jam dia motivated Mira. Minta Mira jangan lepaskan jawatan Mira,” jelas Nurin Amira.

“Majikan mana yang sanggup melepaskan stafnya yang banyak berjasa pada company? Lebih-lebih lagi orang macam Mira ni.” Memang tidak dinafikan ketangkasan Nurin Amira bekerja. Dia tahu itu.

“Sudah la tu, Wan. Dah kerja Mira. Puji banyak sangat kan, riak pulak,” kata Nurin Amira sambil tersenyum.

Dalam diam, Nurin Amira bersyukur Zakuan sudi meneruskan persahabatan dengannya walaupun dia yakin seratus peratus untuk kembali seperti dahulu tidak sama sekali. Keadaan sudah banyak berubah. Cukuplah mereka berbaik-baik semula. Itu sudah memadai baginya.

Safiah memerhatikan jam tangannya. Jam hampir menunjukkan pukul 6.00. Selepas ini mereka perlu ke rumah kebajikan Munawara di Taman Selasih. Dia tidak mahu terlambat sampai di sana. Baginya, perkara baik tidak elok dilambat-lambatkan.

“Dah hampir pukul 6.00 petang. Yaya rasa kita patut pulang sekarang,” celah Safiah setelah lama mendiamkan diri.

Zakuan ingin menghalang. Banyak perkara yang ingin dia bualkan dengan Nurin Amira. Tentang keadaan Nurin Amira sekarang. Dia ingin tahu status Nurin Amira sekarang. Dia baharu perasan seminggu dua ini Safiah sering menumpang keretanya. Kenapa Safiah menumpang kereta Nurin Amira? Di mana keretanya? Dia juga ingin tahu siapa pemuda yang begitu mesra melayannya ketika di Lake Town semalam. Timbul tanda tanya di benaknya. Keadaan pula tidak mengizinkan.

Ah! Sarat benar fikiranku saat ini. Tapi, apa hakku nak tahu segalanya tentang dia? Dia bukan siapa-siapa lagi dalam hidupku. Aku cuma ingin lihat dia bahagia dan ceria seperti dulu.

Selepas mengucapkan terima kasih kerana membelanja mereka makan, kedua-dua orang gadis itu beredar ke tempat parkir kereta. Zakuan menghantar mereka pulang dengan ekor matanya. Dia juga ingin beredar. Dia membayar harga makanan. Namun, entah mengapa sebaik sahaja hendak melangkah, dia terlanggar seseorang. Bulat matanya memandang orang yang melanggarnya.

Alamak!

***********

WAN! Sampai hati you buat Imacam ni!”

Hati Zakuan digeletek rasa lucu kerana entah mengapa tiba-tiba sahaja Lily Zuhaily datang marah-marah kepadanya.

“Apa kena dengan awak ni, Lily? Aku tak fahamlah.”

I dah lama sukakan you. Tapi bila tengok you mesra balik dengan Mira tu, hati I sakit.”

Zakuan ingin ketawa. Apabila memikirkan mereka berada di tempat awam, dimatikan rasa ingin ketawa itu.

“Entah apa-apa la awak ni, Lily. Merepek yang bukan-bukan petang-petang macam ni,” jawab Zakuan bersahaja. Dia segera ingin beredar. Tetapi, dihalang oleh Lily.

“Wan! I tak merepek. I... I sebenarnya...” Namun, Lily Zuhaily tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia tersedar dia sudah hampir memalukan dirinya sendiri.

“Tak apa la, Wan. Dah senja. Lain kali la kita berbincang, ya. I nak balik,” ujarnya kemudian, lalu memohon diri beredar dari situ.

Zakuan menggeleng-geleng. Rasa macam tidak percaya selama ini hubungannya dengan Lily Zuhaily setakat kawan biasa. Tidak pernah dia membayangkan Lily Zuhaily akan datang meluahkan perasaan kepadanya.

Macam-macam hal. Ada jugak perempuan macam tu. Kalau aku kisahkan story ni dekat member rumah aku, gerenti depa gelak sakan. Lily! Lily!

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.