Home Novel Keluarga Pergilah Cinta, Andai Derita Yang Kau Beri
Pergilah Cinta, Andai Derita Yang Kau Beri
Raiza Khairina
26/6/2016 09:01:58
7,377
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 5

BAB 5

BERTEMAN bayu malam yang lembut menyapa tubuhku, wajah tua nenek bergentayangan di pelupuk mata. Wajah yang semakin uzur dan tua dimamah usia yang aku rindui setiap saat dan ketika. Wanita yang membesarkan aku sepenuh kasih dan sayang. Selepas kematian datuk, kehadiranku sangat bermakna dalam hidupnya.

Walaupun kasih sayangnya melimpah-ruah, nenek tetap garang dan tegas. Dia tidak pernah alpa dengan segala keperluanku. Oleh sebab itulah aku menerima sahaja jodoh pilihannya. Seorang tentera darat berpangkat kapten. Kacak dan segak dalam sepersalinan pakaian seragamnya.

Banyak gadis di daerahku menaruh rasa cemburu kerana suamiku bukan sahaja segak, malah bergaji lumayan dalam kerjayanya.

“Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suami Hanna,” katanya. Entah untuk kali ke berapa.

“Kasih diterima. Jodoh ketentuan Allah, Hanna terima dengan reda. Doakan Hanna mampu menjadi isteri yang baik dan menantu terbaik buat ibu abang,” jawabku sambil tersenyum malu.

“Ya... abang doakan. Kali pertama memandang Hanna, hati abang dah jatuh sayang. Abang yakin abang tak salah memilih. Mula-mula abang bimbang juga takut lamaran abang ditolak.”

Aku tidak tahu hendak bereaksi bagaimana kerana dari tadi dia berterusan memandang ke arahku. Segalanya canggung. Sementelahan ketika itu usia pernikahan baharu mencecah sebulan usia.

“Allah dah janji di Loh Mahfuz abanglah jodoh Hanna. Jadi, Hanna reda saja.”

Kisah cinta yang baharu bermula bagaikan mimpi buatku. Hubungan baik Hadry dengan nenek serta sanak saudara yang lain menyatukan aku dengannya. Itulah kali pertama cintaku padanya kerana Allah buat dia bernama suami.

“Hanna... selama abang tak ada di sini, jagalah ibu baik-baik. Abang pergi bertugas di daerah seberang dua bulan saja,” ujar suamiku pada malam sebelum berangkat pergi.

“Tak bolehkah Hanna ikut menemani abang? Bukankah tempat isteri itu di sisi suami?” Aku sebenarnya kecewa akan ditinggalkan. Baharu sahaja diijabkabulkan, bakal ditinggalkan pula.

“Abang kerja, sayang. Bertempur dalam hutan demi membanteras jenayah. Untuk itu abang jarang ada di rumah. Hanna tentu bosan mengikut abang,” jelas suamiku lembut.

“Alaa... tak boleh ikut ke?” Aku lepaskan keluhan berat sambil membelek cincin dan inai di jari.

Inai di jari masih merah, terpaksa pula berjauhan dengan suami. Apalah nasibku selepas ini? Tidak dapat aku bayangi detik itu.

“Sayang... abang janji. Selesai tugas abang di Hutan Lintang, abang kembali. Abang bawa Hanna tinggal dengan abang.”

“Janji?”

“Ya... abang janji. Apa saja untuk isteri abang.”

Aku pegang janjinya. Demi rumah tangga yang baharu dibina, aku berusaha untuk tabah sepanjang ditinggalkan nanti.

Di azali, sudah tertulis garis pertemuan kami. Kerana itu aku melepaskannya pergi. Berpegang pada janjinya, aku pasrahkan hati.

Selama menjadi isterinya, aku dilayan bagai seorang puteri. Aku juga diajar memasak, membuat kuih-muih kegemaran suamiku. Namun, kukira panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Ibu mertuaku bukan seperti yang aku sangkakan. Hidup aku berantakan tiba-tiba.

“Hanna...! Ke sini kau!” laung ibu mentuaku dari dalam rumah.

“Ada apa, ibu?” tanyaku dalam nafas yang masih tercungap-cungap. Aku datang menghampirinya walaupun urusanku menyidai pakaian di luar rumah belum siap sepenuhnya.

“Sini kau. Cuba rasa apa yang kau masak ni.” Aku menurut sahaja arahannya.

“Masin, ibu.”

“Tahu pun masin. Kau ni kenapa, hah? Lembab. Sudah berkali-kali aku ajar cara memasaknya. Tapi, tengoklah hasilnya. Sudahlah masin, cair pulak kuahnya.”

Masakan kurma ayam di dalam periuk itu aku tatap dengan perasaan kecewa. Sekali lagi aku gagal memuaskan hati ibu. Tetapi, terlintas juga dibenakku. Kenapa masakan aku itu masin? Sedangkan tadi telah aku mencicipi kuahnya. Tidak mungkin aku tersilap.

“Tadi Hanna dah rasa. Tak masin seperti ini,” jawabku cuba membela diri.

“Hei... masih tak nak mengaku. Menantu tak tau diuntung.”

Ditunjal-tunjalnya kepalaku tanpa perasaan.

“Kau kena makan lauk ini. Pokok pangkalnya habis,” tegas ibu mertuaku itu. “Menantu tak boleh diharap,” sambungnya lagi.

Mahu atau tidak, aku kena habiskan lauk itu. Kalau tidak, entah apa lagi kata-kata hinaan yang akan dilemparkan kepadaku. Ikut sedap mulutnya sahaja. Entah kenapa membenci sangat menantunya yang satu ini. Langsung tidak mahu berlembut dalam berbicara.

“Jangan lupa masakkan lauk yang lain untuk aku!” laung ibu mertuaku dari ruang tamu.

‘Aku harus bersabar. Walaupun dia ibu mertuaku, tarafnya sama seperti ibu sendiri juga.’ Lagipun dia tiada sesiapa selain aku di sini. Sudahlah ditinggalkan suami. Siapa lagi akan menemani hari tuanya kalau bukan aku. Hati kecilku berbicara. Belajar memujuk hati sendiri.

Hanya tangisan sahaja yang membasuh luka di hati. Aku menantu di dalam rumah ini. Namun, statusku tidak ubah seperti orang gaji. Aku kena menyiapkan kerja rumah. Mengemas, membasuh, mengelap lantai, dan memasak. Perkara yang tidak pernah aku bayangkan selama ini.

Setiap hari, pada awal subuh lagi aku sudah bangun. Menyapu sampah dan mengelap semua habuk pada kabinet di ruang tamu, almari, dan mengemas bahagian dapur. Oleh sebab penat kerja mengemas dari pagi, aku tertidur. Tersedar sahaja, ibu mertuaku sudah memekik di luar bilik.

“Menantu pemalas memang suka bersenang-senang saja. Tak boleh diharap. Ini dah pukul berapa, bangunnya belum. Jam berapa nak masak?” Sayup-sayup kedengaran ibu mertua memburuk-burukkan aku di luar bilik. Sengaja dia menguatkan nada suara semata-mata mahu menyakitkan hati aku.

“Hanna dah bangun seawal subuh tadi. Sarapan pagi pun Hanna dah siapkan. Hanna tertidur sekejap saja sebab penat sangat.” Aku membela diri. Tidak sanggup berterusan dijerkah dan diherdik oleh ibu mertua.

“Hah... menjawab. Suka sangat menjawab. Suka sangat nak naikkan darah aku. Tak faham betullah aku dengan kau ni, hah!”

Melalui pintu kamar yang tidak dikunci, mertuaku itu menerobos masuk. Wajah yang jarang bermanis kata dalam menyulam bicara itu tajam menikam mata.

Apalah dayaku. Menjawab salah, tidak menjawab pun salah. Masakan aku mahu menipu. Sengaja tidur sebab malas. Sama seperti yang didakwa oleh ibu mertua. Gila!

“Kenapa ibu tak suka Hanna? Apa salah Hanna?” Aku memberanikan diri bertanya.

“Soalan apa, ni?”

“Hanna nak jawapan jujur daripada ibu.” Tidak aku peduli lagi mutiara jernih di mataku.

“Berani kau soal aku, ya? Suka hati akulah suka atau tak pada kau.”

Keras jawapan yang diberikan. Dia datang menghampiriku.

“Jodoh pertemuan rahsia Allah, ibu. Abang Hadry yang melamar Hanna. Keikhlasan abanglah yang menambat hati nenek sekeluarga. Hanna terima bila keluarga Hanna setuju,” luahku sayu.

“Kau ni kalau tak kerana abah Hadry tu, tak kuasa aku nak setuju. Entah dari mana datangnya kau ini dikutipnya jadi menantu. Yang Hadry tu pun macam mana boleh terpikat dengan kau ni, ha? Tak sesuai langsung jadi menantu aku, tau tak?” Spontan sahaja dalam berbicara itu dia sempat menarik rambutku.

“Mak! Sakit!” Air mata yang mahu jatuh ke pipi segera kuseka.

“Isy! Geram pulak tengok kau ni! Cepat bangun pergi masak!” arahnya tanpa perasaan.

Dengan langkah lemah, aku menurut. Sekujur tubuh ini bertahan demi sebuah ikatan suci yang terjalin antara dua hati yang saling mencintai. Tetapi, sampai bila?

Bukan kupinta jerat sengketa yang dibina oleh ibu mertua ini berterusan meracuni hidupku. Aku terperangkap dalam jurang permukaan insan. Debu-debu kebaikan berterbangan menutupi kegembiraan. Bagaimana hendak kubendung supaya tidak berpanjangan sengsara yang melingkari kehidupan? Aku tiada jawapan untuk itu.

Aku turuti menu yang dipinta. Resepi yang diberi aku ikut satu persatu. Selesai memasak, segala jenis hidangan itu aku siapkan di meja makan. Seperti selalu, aku akan ke bilik ibu mertua mengajaknya makan. Bagaimanapun, sebaik langkahku hampir tiba di hadapan pintu kamarnya, aku terpaku saat cuping telinga terdengar perbualan dari dalam kamar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.