Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,804
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Bab 21

NURAIN menghela nafas panjang. Buat pertama kalinya dia duduk di kerusi pengarah yang dahulunya diduduki abahnya sendiri selaku Ketua Pengarah Beauty Crystal Network Sdn Bhd. Sekembalinya dari bercuti di kampung rumah ibu saudaranya, dia membuat keputusan untuk bekerja di syarikat milik orang tuanya. Dia beranggapan ada baiknya menerima perlawaan abah untuk bekerja di syarikatnya. Lagipun syarikat itu nanti akan diwarisinya juga. Hendak diharapkan adik lelakinya, adiknya itu baru sahaja menduduki SPM. Hanya dia yang kini menjadi harapan keluarga. Dia cuma ada seorang adik lelaki. Sebagai anak sulung, dia rasa sudah sampai masanya dia membantu keluarga menguruskan perniagaan.

Hampir sebulan mencari kerja di tempat lain tidak menampakkan perubahan pun. Penat ke sana ke mari menjaja segulung ijazah yang bagaikan tiada makna pun pada orang lain. Namun, begitu bererti buatnya kerana berjaya meraih ilmu yang menjadi dambaan setiap orang. Bukan semua orang dapat mencapai matlamat hidup. Bukan semua orang berjaya meraih impian dalam hidup. Bukan semua orang mencapai hasrat memenuhi tuntutan agama menuntut ilmu selagi terdaya. Ramai orang yang punah impian di pertengahan perjalanan. Banyak sebab orang gagal dalam kehidupan. Gagal kerana kemiskinan, tuntutan duniawi, tuntutan masa dan tenaga, malah halangan pihak keluarga juga.

Dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan meraih impian keluarga. Dia bangga kerana menjadi kebanggaan orang tua. Malah, didikan ibu dan bapa jugalah berjaya membawa dia menuntut ilmu di perantauan.

Beauty Crystal Network Sdn Bhd ialah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk kosmetik. Setelah bertahun-tahun kejayaan orang tuanya membangunkan syarikat ini, kini sudah mampu meraih keyakinan pelanggan dengan produknya yang berkualiti tinggi setanding jenama kosmetik terkenal lain.

Merangkap Pembantu Pengarah Urusan, segala-galanya perlu dilakukan sendiri. Dia perlu belajar dari bawah. Banyak perkara yang perlu diambil tahu. Sebagai seorang pembantu pengarah dia perlu tahu soal kewangan dan pengurusan syarikat.

Dia sedar selama membangunkan syarikat ini, pelbagai rintangan dan dugaan telah ditempuh oleh orang tuanya dalam usaha untuk memajukan perniagaan. Kini menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil alih tugas berat itu. Tidak hairanlah kenapa selama ini abah begitu beria-ia mahu dia melengkapi diri dengan ilmu dan kemahiran untuk berniaga supaya suatu hari nanti dapat memajukan lagi perniagaan keluarga ini.

Hari pertama bekerja sungguh memenatkan. Nurain duduk bersandar di kerusinya ketika abahnya datang mengajaknya pulang.

“Hai.. dear!”

“Hai.... abah.”

“Penat!”

“Mestilah, bah. Sakit semua jari-jari ini menaip proposal yang abah minta itu. Harap-harap memuaskan hati abah nanti.”

“Kenapa tak minta Sofia saja yang menaip proposal tu? Untuk apa ada pembantu jika tidak diberi kerja kepadanya.”

Tugas yang tidak seberapa itu aku boleh buat sendiri. Abah ni rasanya sekadar nak menduga aku sejauh mana tumpuan aku pada kerja hari ini.

“Alah, bah! This is small matter! I can do it.” Aku mengukir senyuman paling manis buat abah. Dan aku percaya abah tak mungkin akan meragui segala hasil kerjaku ini. Aku akan cuba menjadi kebanggaan keluarga buat selama-lamanya.

Senyuman Nurain terus terukir di bibirnya.

***************

MALAM itu, setelah selesai makan malam bersama keluarga, Nurain duduk bersantai di ruang keluarga. Bantal kecil yang bersusun di atas sofa dicapainya. Kemudian melemparkannya ke atas ribaan adik lelaki nan seorang itu.

“Akak ni, saja nak mengganggu mood orang,” ngomel Nurman menampakkan kurang senang kerana diganggu oleh kakaknya itu.

Nurain seronok menyakat adiknya itu. Selama beberapa tahun ini, amalan kesukaannya itu jarang dapat dilakukannya kerana keadaan tidak mengizinkan dia berbuat demikian. Lima tahun di luar negara, seingat dia lima, enam kali dia pulang ke tanah air.

“Dari tadi melamun. Apa diingatnya, tak taulah.”

Jeolousla tu.... “ Giliran Nurman pula melemparkan bantal kecil itu kepada Nurain. Nurain menjegilkan matanya kepada Nurman. Kemudian matanya kembali ke skrin TV yang sedang menayangkan siri Impak Maksima.

“Agaknya adik tengah berangan naik kereta tu, kan?” Dia berpaling memandang adiknya yang tersengih malu. “Ala, tak payah nak selindung daripada akak la. Sekilas ikan di air, akak tau jantan betinanya, tau.” Ada-ada sahaja idea Nurain untuk menyakat adik lelakinya itu.

Nurman menjeling kakaknya. Geram. Tetapi, seronok pun ada. Boleh la dia bermanja dengan kakaknya itu. Tidak lama, sekejap pun jadilah. Dia tersengih lagi.

Gedebuk!

“Akak ni kenapa?”

Nurain sempat mengelak apabila bantal yang dilemparkan ke arah adiknya kembali dilempar ke arahnya. Dia terkekeh ketawa melihat telatah adiknya itu. Sedikit terhibur. Sudahlah tersengih sendirian, sesiapa pun akan tertarik hendak mengusik.

“Kamu tu dari tadi tersenyum-senyum, apasal pulak?”

“Suka hati orang la. Nak senyum pun tak boleh.” Nurman pura-pura merajuk.

Puan Aina dan suaminya datang menghampiri anak-anak mereka. Turut serta menonton TV. Biasanya, pada waktu beginilah mereka berkumpul bertukar-tukar pendapat tentang isu-isu semasa dan mendengar masalah yang dihadapi anak-anak mereka. Biar sesibuk mana pun mereka, keluarga tetap menjadi keutamaan. Masa terluang yang ada itulah dipergunakan sebaik mungkin.

“Ain. Abah tengok kamu dari tadi macam memikirkan sesuatu aja. Ada problem kat tempat kerja ka?”

Nurain tersentak. Dia merenung abahnya dengan dahi berkerut.

“Tak ada, abah. Cuma... ingatan Ain ni tak sudah teringatkan Mira. Ain kesiankan dia. Dia tak bersalah. Kenapalah pak ngah tak selidik dulu. Pakai main hentam dengaq apa orang kampung cakap,” luah Nurain. Simpatinya pada sepupu kesayangan tidak akan berkesudahan selagi nyawa dikandung badan.

“Abah rasa ada hikmahnya atas apa yang berlaku. Pak ngah pun agaknya pada waktu tu stress. Terperanjat pun ada. Yelah.... siapa yang tak marah? Abah pun kalau anak abah buat perkara tak senonoh macam tu pun abah melenting.”

“Tapi, takkanlah sampai nak mengorbankan masa depan anak sendiri. Mira tu Aina faham sangat perangainya. Baik budaknya. Najib tu tak sesuai langsung digandingkan dengan dia.” Ternyata Puan Aina juga bersetuju dengan pendapat anaknya.

“Apa yang abah tak tau yang Ain dan umi tau?” ujar Encik Ghazali sambil mengerutkan dahinya.

“Mira tu difitnah. Yang membawa fitnah tu, Najib anak Abang Mail sendiri. Dah lama dah budak tu tergila-gilakan Mira tu. Dah tau Mira tu budaknya lurus dan jujur, apa lagi ambil kesempatanlah dia.”

“Mana umi tahu semua cerita ni?” Nampaknya Encik Ghazali semakin berminat membicarakan perihal anak buahnya itu.

“Mira tu kan sepupu Ain. Kalau tak kerana Nisha yang beritau, sampai hari ini Ain tak tau apa cerita. Mira tu dah ada teman lelaki. Mak ngah pun pun berkenan dengan budak lelaki tu. Tapi, siapa sangka nak jadi macam ni,” jelas Nurain.

Serta-merta ingatannya terhadap Zakuan hadir menyesak fikiran. Kenangannya zaman persekolahan dahulu kembali berlegar-legar di ruang fikiran. Lapan tahun tidak bertemu. Namun, dengan kuasa-Nya, mereka dipertemukan lagi dalam keadaan yang cukup berbeza. Di mana dia masih sendiri, sedangkan Zakuan pernah menjalin kasih dengan Nurin Amira. Namun, dia tidak tahu apakah masih ada rasa itu di hati Zakuan? Apakah masih ada cinta Zakuan untuk Nurin Amiira setelah Nurin Amira berkahwin dengan lelaki lain?

Nurman yang sedari tadi cuma menjadi pendengar, kini mengambil kesempatan mengusik kakaknya pula. Akal jahat menerpa fikirannya. Sebiji bola getah lembut yang memang menjadi perhiasan mama di dalam bekas kaca di dalam almari diambil. Lantas segera dia melemparkan bola getah lembut itu ke atas ribaan kakaknya.

“Opocot! Mak hang. Cicak jatuh, umi!”

Nurain terjerit kecil. Nurman ketawa. Giliran dia pula terhibur melihat kakaknya terperanjat begitu. Orang tua mereka hanya mampu menggeleng.

“Nurman! Tak habis-habis mengusik kakak,” tegur Puan Aina.

“Kakak yang mula dulu. Umi tak boleh salahkan Man.”

Alah! Hang pa dua beradik ni dua kali lima la. Tak boleh berjumpa. Ada-ada saja,” celah Encik Ghazali pula.

“Itu la, Man. Kacau daun aje. Padan muka!”

Nurain yang tidak berpuas hati apabila topik perbualan mereka anak-beranak tergendala dek kerana lawak bodoh adiknya itu, berlalu ke dalam bilik. Dia tidak ambil peduli butir bicara yang dibualkan oleh orang tuanya selepas itu.

Bersendirian di dalam bilik, ingatan terhadap Zakuan kembali menjengah di ruang fikirnya. Setiap kali wajah itu menerpa, serta-merta rindu hadir mencengkam. Sengsaranya hati cuba mengusir pergi rasa aneh yang mungkin kembali bermukim di hati. Dia melepaskan keluhan berat sambil memejamkan matanya rapat-rapat.

Sebagai seorang wanita yang kini menginjak usia pertengahan 20-an, yang sedang melewati usia kedewasaan faham akan situasi yang dialami lelaki itu. Mungkin benar telahannya yang Zakuan masih menyimpan perasaan terhadap Nurin Amira. Zakuan seorang lelaki yang setia. Tidak mudah beralih cinta kepada perempuan lain.

Gambar dan surat-surat kiriman lelaki itu masih ada dalam simpanannya. Perasaan aneh itu masih ada untuk lelaki itu. Buktinya sebaik sahaja bertatapan mata buat kali pertama bertemu setelah lapan tahun tidak bersua muka, dadanya berdebar-debar secara tiba-tiba. Namun, dia tidak tahu apakah dia hanya bertepuk sebelah tangan? Tidakkah ada sekelumit pun perasaan cinta di hati lelaki itu untuknya? Jikalau ada, mungkin juga cinta kepada sahabat. Dia masih ingat ungkapan seorang teman ketika di London dulu. Di mana ada cinta, di situ adanya persahabatan. Dan di mana ada persahabatan, di situ ada cinta.

Wan! Cepatnya masa berlalu. Kau dah banyak berubah. Semakin segak dan kacak. Tapi, bukan itu yang kupandang. Masih ingat lagikah akan hubungan persahabatan yang terjalin di antara kita? Aku tak salahkan kau. Keadaan telah memisahkan kita. Waktu itu aku lebih kepada memenuhi kehendak abah yang mahu aku melanjutkan pelajaran di perantauan. Walaupun aku di kejauhan tidak pernah sekali pun aku lupa pada kenangan kita yang sebentar cuma itu. Masih lagi segar di ingatan. Aku tidak tahu mengapa dan kenapa mudah benar tertarik padamu. Padahal itulah kali pertama bertemu semasa di pasar raya Parkson itu.

Telefon bimbitnya itu tiba-tiba berdering. Terus berlalu segala kenangan yang datang bertandang. Segera diangkatnya telefon itu.

“Hello! Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Boleh saya bercakap dengan Ain?”

“Ain di sini. Maaf. Dengan siapa saya bercakap ni?’

“Wan di sini. Teman Ain masa di tingkatan empat dulu. Masih ingat lagi?” Berdebar-debar hati Nurain tiba-tiba. Langsung dia tidak menyangka Zakuan sudi menelefonnya.

Ya Allah! Ingat siapa la tadi. Macam tau saja orang ingat dekat dia. Senyuman terus terpamer di bibirnya.

Sorry mengganggu.”

“Tak ada la. Wan tengah buat apa tu?”

“Tengah bercakap dengan Ain. Tak ada kerja, kan. Nak menonton dah puas dah. Tak ada cerita best.”

“Oh, iye ke?” Sempat lagi hendak bergurau denganku. Ah, sudah! Aku pulak mati kata berbicara denganmu.

“Ain sibuk ke? Kalau sibuk, Wan letak telefon ni.”

“Tak ada la sibuk. Saja dok belek majalah yang baru dibeli siang tadi. Sebelum tidur, itu la yang Ain buat.”

Tanpa sedar, mereka berkongsi pengalaman selama lapan tahun tidak bersua muka. Banyak perkara yang dibualkan. Sesekali mereka ketawa bersama. Itulah yang selama ini dirindui Nurain. Jadi, tidak hairanlah selama lapan tahun dia masih bersendirian tanpa teman istimewa di sisi. Bukan tidak ada yang sudi. Dia sahaja yang belum bersedia. Namun, sebagai seorang perempuan tidak mungkin dia memecah tradisi. Bertanya sesuatu yang tidak pasti kepada lelaki yang selama ini membisu hampir lima tahun lalu.

Entah jam berapa terlelap, Nurain tidak sedar. Sedar-sedar sahaja jam sudah berdenting tujuh kali. Azan subuh sudah lama berkumandang. Tergesa-gesa dia bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Baharu dua hari bekerja, dia tidak mahu dikomen yang bukan-bukan oleh pekerjanya. Maklumlah sebagai anak bos, kreadibiliti harus dijaga jika mahu dihormati pekerja.

Dan senyuman pun terus mekar terukir di bibir. Berseri sekali bak puteri yang baharu disunting oleh putera raja.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.