Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,826
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Bab 9

TIGA bulan telah berlalu dan tiga bulan jugalah rumah papan separuh batu itu sunyi tanpa Nurin Amira. Sepanjang minggu tersebut, Encik Zainal dan isteri terpaksa melupakan anak yang telah menconteng arang di wajah mereka. Pantang ada anak-anaknya yang lain menyebut nama itu segera dijerkahnya. Bagi mereka suami isteri, Nurin Amira sudah lama mati.

“Ini kerja hang pa berdua, ya?”

Nurin Amira berpaling melihat kehadiran ayahnya dan beberapa orang kampung yang amat dikenalinya. Mulutnya terlopong.

“Apa semuanya ni Najib, ayah?” Air mata mulai menitis di pipinya. Nurin Amira dapat membayangkan apa yang akan berlaku selepas itu.

Mohd Najib menunduk. Rumah buruk di tengah kebun getah itu dikerumuni beberapa orang kampung. Encik Zainal tidak menyedari rancangan gila yang dilakukan oleh anak muda itu.

“Sekarang ikut ayah pi rumah tok imam. Kamu Najib, kena bertanggungjawab atas anak aku.”

“Ba... baik, pak cik.”

Bagai lembu dicucuk hidung, Najib melompat turun dari rumah buruk itu. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke tanah, satu tumbukan mengenai bibirnya.

Air mata Nurin Amira merembes keluar. Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Terasa dunianya menjadi gelap. Tiba-tiba sahaja dia jatuh terjelepok. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di rumah imam kampung. Malah, dia tidak ingat lagi bebelan emak, ayah, dan abangnya. Tidak dapat tidak, dia membayangkan masa depannya yang mulai kelam. Sepak terajang yang diterima daripada abang tidak dihiraukan lagi.

Encik Zainal menyapu sisa-sisa air mata yang mulai bergenang di pelupuk mata. Sedih hatinya mengenangkan anak yang telah menconteng arang di mukanya itu.

Sampai hati kamu, nak. Sanggup buat ayah macam ni. Susah payah ayah hantaq kamu belajaq, ini balasan kamu terhadap ayah, rintih hati tuanya dalam kepekatan malam itu.

“Bang, ooo bang...” panggil Puan Asiah yang terjenguk di muka pintu rumah. Matanya yang rabun tanpa cermin mata itu gagal mengesan kelibat suaminya dalam gelap malam itu.

“Abang ada kat sini hah.... Ada apa?” sahut Encik Zainal.

“Dah lama abang kat situ. Tak sejuk ka?”

‘Tak! Nanti abang masuk la,” jawab Encik Zainal.

“Nak saya buatkan kopi?” tanya Puan Asiah faham benar mood suaminya yang suka sangat ambil angin di luar pada waktu malam selepas makan malam.

“Boleh juga!” jawab Encik Zainal.

Tersenyum. Dia berlenggang masuk ke dapur. Sekilas dia memandang anak-anaknya seramai tiga orang itu terlentok di depan TV. Ada kalanya TV terpasang bercakap sendirian. Dia jugalah yang bangun menutup suis TV apabila tersedar pada tengah malam. Itu pun biasanya pada hujung minggu. Anak-anak gemar melepak di depan TV. Itu lebih baik daripada anak-anaknya merayap keluar entah ke mana-mana tanpa mengulang kaji pelajaran.

“Bang.... Minum air kopinya ni,” tegur Puan Asiah yang sudah berdiri di depan suaminya.

“Apa yang abang menungkan? Macam ada sesuatu yang abang rahsiakan daripada Siah aja.”

Encik Zainal mengerling isterinya. Macam tahu saja aku ada masalah, katanya dalam hati.

“Tak ada apa! Awak terperasan, kot!”

Mungkin suami aku ni teringat Mira agaknya. Bukan aku tidak tahu anak gadis aku tu sangat rapat dengan ayahnya, bisik hati kecil Puan Asiah.

“Abang teringat Mira ke?” Walaupun Puan Asiah sedar kemarahan suaminya, hati kecilnya kuat mengatakan suaminya itu merindui anak gadis mereka.

“Jangan diingat anak tak guna tu!” Keras nada suara Encik Zainal.

“Apa-apa pun kesilapan yang dia buat, dia tetap anak kita. Dan saya yakin dia tak salah dalam hal ini.”

Encik Zainal mengerling isterinya di sisi.

“Tak payah nak pujuk abang. Anak yang tak mengenang budi, anak derhaka tu tak patut diingat lagi. Dia dah jatuhkan air muka aku ni. Ke mana aku pergi, orang kampung pandang serong kononnya aku tak pandai jaga anak,” luahnya, geram. Hancur luluh hatinya. Anak yang ditatang dengan penuh kasih sayang telah melukai hatinya.

Apabila Encik Zainal membahasakan diri kau-aku, Puan Asiah sedar mood suaminya itu dalam keadaan tidak stabil.

“Abang. Tak baik cakap macam tu. Seburuk-buruk perangai dia... dia tetap darah daging kita dunia dan akhirat...” pujuknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Malah, dia lebih kenal anak gadisnya itu melebihi orang lain. Namun, dia tidak dapat menafikan rasa marah yang menyelubungi hati saat kejadian anaknya ditangkap basah tempoh hari.

“Jangan awak nak bela dia. Ini pengajaran terhadap anak-anak yang lain agar tak menderhaka terhadap orang tua. Orang muda kat kampung ni patut ambil iktibar terhadap peristiwa memalukan ini. Itulah hukuman paling adil!” tegas suara Encik Zainal. Dia berlalu ke dalam membiarkan si isteri terkulat-kulat mengesat air mata yang berlinangan.

Hati ibu mana yang tidak merintih sedih. Bagai dicarik-carik dengan sembilu tajam. Begitu pun sangkaan buruk suami terhadap anak gadisnya sendiri, Puan Asiah percaya tentu ada hikmah tersembunyi Tuhan menurunkan dugaan terhadap anaknya itu.

*************

“BERTUAH kau, Senah, bermenantukan anak Zainal tu. Kereta ada, bekerja tetap pulak, rajin budaknya,” puji Mak Nab, jiran sebelah rumah ketika menjemur pinang di halaman rumah pada pagi itu.

“Kak Nab tak duduk serumah dengan dia, macam mana Kak Nab tau pulak perangainya macam mana?” jawab Mak Senah, kurang senang dengan pujian itu.

“Tak baik kamu cakap macam tu. Mira tu terpelajaq orangnya. Dulu pun Kak Isah ada hati nak masuk meminang untuk Azril. Tapi, Zainal menolak sebab Mira masih belajaq lagi,” kata Mak Nab, mengingat kembali hasrat sepupunya melamar Nurin Amira. Dia kenal benar perangai Nurin Amira dan sedar tidak sepadan hidup sebumbung dengan Mohd Najib.

“Azril yang jadi pilot tu?”

Mengangguk.

“Saya ni hairanlah, Kak Nab. Kenapalah bebudak kampung ni tergila-gila sangat pada Si Mira tu? Apalah yang istimewa sangat?” kata Mak Senah.

“Budaknya kan lawa, sopan, lemah lembut? Aku tengok tak dak yang kurang pada budak tu.”

“Sudahlah, Kak Nab. Cukuplah tu. Banyak sangat memuji budak Mira tu. Sakit telinga saya mendengarnya,” jawab Mak Senah beredar ke bawah rumahnya. Mak Nab hanya menggeleng-geleng kepala.

Memanglah anak-anak Encik Zainal dan Puan Asiah terpelajar. Jika hendak dibandingkan dengan anak-anaknya, pendidikan anak-anak kawan sekolahnya itu jauh lebih baik. Dia tidak menafikan semua itu.

Kalau tidak kerana kemampuannya itu, sudah lama Nazim, Najib, Naemah, dan Nurul ke menara gading. Entah di mana silap, dia pun tidak pasti. Anak-anaknya hilang minat belajar setelah berada di sekolah menengah. Mereka lebih banyak membantu suaminya menoreh getah dan membantunya membelah pinang untuk dijual.

Mungkin juga salah aku yang tidak menekankan betapa pentingnya ilmu pelajaran. Akui Mak Senah dalam hati.

“Alah. Orang perempuan belajaq tinggi-tinggi pun ke dapur jugak akhirnya.”

Terngiang-ngiang di telinga kata-kata arwah kakaknya yang telah pergi menghadap Ilahi kerana penyakit diabetis.

“Budak-budak kalau tak pandai belajaq pun tak apa, asalkan jadi orang baik-baik,” pesan Puan Zubaidah, saudara sebelah suaminya.

Kata-kata azimat orang yang rapat dengan Mak Senah terngiang-ngiang di telinga. Sesukar mana pun kita mendidik anak-anak, kita perlu banyak bersabar. Semuanya sudah Allah tulis di Azali. Anak-anak bagai kain putih. Jika kita mencorakkan warna putih, putihlah kehidupannya. Pesan arwah bapanya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir kerana sakit tua.

Menyedari anak-anak membesar dan perbelanjaan meningkat, Mak Senah dan Pak Mail bertungkus lumus mencari rezeki. Seharian sibuk bekerja sampai lupa mengikuti perkembangan anak-anak juga punca anak-anak hilang minat belajar. Pernah juga Mak Nab berfikiran begitu.

“Eh! Senah. Termenung aje awak. Dah masak ka, belum?” tegur Pak Mail sebaik sahaja menongkat basikal tuanya di bawah rumah. Dia baharu selesai menoreh di kebun getah di atas bukit di hujung kampungnya.

“Abang ni. Lain kali bagilah salam dulu. Terkejut saya, tau.” Mak Senah tersentak dari lamunan yang panjang.

“Yelah. Awak tu dari tadi termenung sampai saya balik pun awak tak sedaq. Dah masak ka, belum? Saya dah lapaq dah ni,” luah Pak Mail lagi.

Mak Senah bergegas ke dapur, memasak apa yang patut. Sekejap lagi anaknya, Nurul akan balik dari sekolah. Itulah rutin hariannya semenjak menjadi ibu dan isteri kepada Pak Mail.

**************

PUAN ASIAH meletakkan sedulang minuman dan sepiring roti telur di atas pangkin di bawah pokok rambutan. Memang dia selalu menyediakan kuih menjelang petang. Suami dan anak-anak gemar akan kuih buatannya. Kalau tidak jemput-jemput pisang, ada roti telur, karipap, kuih keria, donat, lempeng kelapa, seri muka atau sira ubi kayu. Kuih-kuih itu menjadi kegemaran suaminya.

“Bang, oh bang...!” jerit Puan Asiah kepada suaminya yang sedang menebas lalang di kawasan kebun pisang di depan rumah mereka.

“Abang dengaq tak ni saya panggil!” Puan Asiah menjerit lagi apabila tiada respons daripada suaminya.

Encik Zainal berhenti menebas apabila merasakan ada orang memanggilnya. Dia memandang ke arah isterinya.

“Ya. Ada apa?”

“Berhentilah dulu. Mari minum. Karang sejuk roti telur ni, tak sedap pulak,” ujar Asiah lagi.

Melihat suaminya sudah turun ke bawah, Puan Asiah mengajak anaknya, Nurin Anisha minum bersama.

Nurin Anisha yang sedang membaca novel di atas buaian di bawah rumah, menoleh ke arah emaknya.

“Kejap lagilah, mak. Nisha nak baca novel ni. Bestpulak jalan ceritanya. Nak tamatkan hari ni jugak.”

Puan Asiah menggeleng-geleng sambil tersenyum. Perangai Nurin Anisha tidak jauh berbeza dengan perangai anak keduanya, Nurin Amira. Minat sangat membaca novel.

“Tak habis-habis baca novel. Tak ada kerja lain agaknya,” bebel Encik Zainal pula.

Puan Asiah menuang air kopi ke dalam cawan. Air kopi itu memang kegemaran suaminya tidak kira sewaktu bersarapan, minum petang mahupun selepas makan malam. Minuman itulah yang dimahunya.

“Biarlah dia nak membaca. Bukan luak mana pun!” sampuk Puan Asiah.

“Abang bukan apa. Hujung tahun ni, PMR. Tak buat persediaan dari sekarang, macam mana nak lulus periksa?”

Puan Asiah faham benar kerenah suaminya itu yang amat menitikberatkan pelajaran anak-anak daripada segala-galanya. Dia berbangga dengan pencapaian anak sulung yang berjaya meraih ijazah dalam bidang kejuruteraan, anak keduanya pula ijazah dalam pengurusan perniagaan, anak ketiga juga masuk universiti baharu tahun pertama.

“Pasal kerja sekolah, ayah jangan risau. Awal-awal lagi Nisha dah prepare. Bosan jugak asyik menghadap buku pelajaran. Sesekali tu nak juga baca novel. Novel Kak Mira tu banyak yang belum Nisha baca.”

Sebut sahaja nama Nurin Amira, berubah air muka Encik Zainal. Nurin Anisha pura-pura tidak menyedari perubahan air muka ayahnya.

“Kalau Kak Mira ada, bestkan, mak? Boleh juga Nisha bertanyakan Kak Mira mana mata pelajaran yang Nisha tak faham. Sunyi la Kak Mira tak ada.”

“Nisha...! Daripada duk merepek macam tu, apa salahnya bantu mak angkat kain kat ampaian tu.”

“Alah mak ni. Pantang Nisha sebut pasal Kak Mira, ada saja alasan mak.” Nurin Anisha seakan-akan merajuk.

“Memang pantang tok nenek ayah. Sejak hari pertama dia buat onar dalam keluarga kita, ayah tak berkenan dia balik ke sini lagi!” jawab Zainal, tegas.

“Ayah... tak tau apa yang berlaku. Ayah tak sepatutnya menuduh Kak Mira tanpa usul periksa.”

Biarlah Nurin Anisha dituduh berkurang ajar dengan ayah sendiri. Tetapi, mengakui kesalahan yang tidak dibuat oleh kakaknya, tidak sesekali. Lagipun, dia kenal benar peribadi kakaknya.

“Budak ni dah pandai melawan. Sepatah aku cakap, sepuluh patah dia jawab.” Encik Zainal berdiri dan ingin menampar anak bongsunya itu.

“Abang, sudahlah. Nampak dek jiran-jiran, malu kita,” pujuk Puan Asiah sambil dipeluk oleh Nurin Anisha. Kecut perutnya melihat mood suami yang mudah berubah sejak akhir-akhir ini.

Nurin Anisha yang terkejut dengan tindakan ayahnya itu memeluk ibunya dengan erat. Dua beranak itu berpelukan. Encik Zainal beredar ke kebun menyambung kerjanya yang terbengkalai sambil berleter menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap anak isterinya.

“Lain kali bila duduk depan ayah, jangan sebut nama Kak Mira. Kan ayah dah marah?” nasihat Puan Asiah.

“Mak dengan ayah kenapa tak boleh terima alasan Kak Mira. Dia difitnah, mak. Nisha tahu itu semua angkara Najib yang memang dah tergila-gilakan kakak sejak dulu lagi. Tapi, Kak Mira menolak dengan baik,” luah Nurin Anisha, geram.

“Mak tau. Mak paham sangat perangai anak-anak mak. Insya-Allah, suatu hari nanti mak percaya Tuhan akan bantu kita. Berdoalah yang baik-baik demi Kak Mira,” nasihat Puan Asiah, hiba.

Anisha mulai teresak-esak di pangkuan ibunya. Dia masih tidak berpuas hati selagi tiada pembelaan terhadap kakaknya. Baginya, kakaknya terlalu baik. Dia ingin melihat lelaki yang menjadi suami kakaknya itu menerima pembalasan kerana menganiayai kakaknya.

*************

HARI itu Nurin Anisha pulang awal ke rumah. Kebiasaannya habis sahaja waktu sekolah, dia dan kawan-kawan menuju ke pusat tuisyen. Entah silap di mana, kelas tuisyen hari itu dibatalkan pada saat-saat akhir. Sepanjang hari itu baik masuk hingga tamat persekolahan, dia asyik terkenangkan kakaknya. Disebabkan itulah dia tidak dapat memberi tumpuan dalam kelas selagi kakak kesayangannya dipandang serong oleh jiran sekampung.

Sebaik sahaja sampai di rumah, dia terdengar perbualan ibu dan ayahnya.

“Dengaq cerita, Ain anak adik abang tu dah balik. Betul ke, bang?”

“Siapa bagitau awak?”

“Ala! Masa rewang di rumah Kak Jah dua hari lepas, Kak Nab bagitau Siah. Itulah yang tanya abang ni, kut abang dengaq cerita ni. Ain tu dah macam anak kita, bang. Masa kecik-kecik dulu sayalah yang jaga dia masa Yam kerja kilang dulu,” ujar Puan Asiah sambil menghimbau saat di mana adik iparnya, Talib dahulu, tinggal berjiran dengan mereka sekeluarga. Kini rumah peninggalan Talib disewakan kepada orang. Talib pulak semenjak ditukarkan kerja di Pulau Pinang, menetap terus di sana.

Kak Ain dah balik dari London? Bestnya, bisik hati Nurin Anisha sambil menjerit kesukaan. Puan Asiah dan Encik Zainal terpinga-pinga.

“Apasal kamu ni terkinja-kinja macam budak-budak? Emm! Awal pulak kamu balik hari ni?” tanya Encik Zainal, hairan dengan keletah anak gadisnya itu.

“Hari ni tuition batal. Ala ayah ni. Balik awal, salah; balik lambat, salah.”

“Eh, anak bertuah! Menjawab pulak dia. Ha! Cepat pi tukaq baju. Kita makan sama-sama,” jawab Puan Asiah.

“Bercakap pasal Ain tu, baru abang ingat. Tadi masa awak kutip pucuk ubi, dia ada telefon. Dia kirim salam kat awak.”

“Ye ke bang. Emm... Waalaikumusalam. Dah lama saya tak tengok dia. Makin lawa gamaknya,” jawab Puan Asiah.

“Ain nak datang hujung minggu ni. Katanya, rindu sangat dengan mak ngah dia.”

“Rindu dengan mak aje? Habis dengan adik dia ni, tak rindu?” sampuk Nurin Anisha di hujung tangga.

“Isy... budak ni. Suka sangat menyampuk orang tua bercakap! Dah... cepat turun. Karang nasi terdedah ni jadi habuan lalat pulak.”

Nurin Anisha mengambil tempat duduk bersebelahan ayahnya. Gembira dia apabila mengetahui kakak sepupunya akan datang ke rumah. Begitu berselera dia menikmati makanan tengah hari itu. Masakan ibunya sering sahaja membuka selera. Namun, bagi Nurin Anisha, dia lebih seronok seandainya ada Nurin Amira untuk turut menyertai mereka menikmati hidangan ibunya yang tiada tandingan itu.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.