Home Cerpen Islamik Pengajaran Mimpi
Pengajaran Mimpi
Raiza Khairina
6/4/2013 23:46:47
1,882
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Oleh Raiza Khairina

SAYUP-SAYUP kedengaran alunan azan Isyak berkumandang dari surau yang berdekatan. Puan Maria sekeluarga baharu saja selesai membaca yassin bersiap sedia untuk mengerjakan solat Isyak secara berjemaah pula. Hanya puteri sulungnya sahaja, Zarina yang tidak menyertai mereka. Alasannya kerana uzur.

Ketika ahli keluarga lain selesai solat berjemaah, Zarina sudah bersiap ala kadar. Dia ingin keluar bertemu rakan-rakannya bagi membincangkan persoalan kerja. Pada ibunya sudah dikhabarkan. Namun, Puan Maria menghalang puteri sulungnya itu keluar pada waktu malam. Hatinya jadi risau melepaskan anak gadisnya itu keluar. Oleh kerana ibu menghalang dikhabarkan pula pada ayahnya tentang rancangannya pada malam itu. Senyuman lebar indah berseri terpamer dibibirnya saat mendapat kepercayaan ayahnya.

“Jangan ikutkan sangat keinginan Zarina tu, abang.” Puan Maria menasihati suaminya, Majid.

“Bersangka baiklah dengan anak kita. Lagipun abang tak nampak apa yang berubah pada dia,” jawab Encik Majid.

“Dia memang tak berubah. Mungkin abang tak nampak apa yang saya nampak. Cara dia, tingkah dia, penampilan dia sekarang sudah cukup buat saya memikirkan dirinya,” ujar Puan Maria cuba memahamkan suaminya.

Encik Majid mengerutkan dahinya. Dipandang wajah isteri dengan penuh tanda tanya. Cuba memahami apa sebenarnya yang bermain dibenak isterinya itu.

“Apa yang tak kena dengan anak sulung kita tu? Abang tak faham,” tanya Encik Majid pula.

“Zarina dah berubah. Sejak dua menjak ni dah pandai melawa dengan pakaian yang tidak sepatutnya.”

“Betul ke?”

“Zarina tak macam Zalila. Zalila tu jaga betul aurat dia. Ina ni lain sikit. Dia suka mencuba sesuatu yang dia tidak pernah cuba selama ini,” jelas Puan Maria lagi.

“Biasalah, perempuan mana tak suka cantik. Asalkan dia jaga aurat dia, batas-batas pergaulan dia, tahu mana yang betul dan tidak betul, itu sudah cukup baik, Maria.” Encik Majid menyuarakan keyakinannya. Dia amat yakin anak sulungnya itu pandai menjaga nama baik keluarga.

Anak-anak adalah harta yang sangat bernilai buatnya. Oleh kerana itulah kasih sayangnya tidak berbelah bahagi terhadap anak-anak. Dia cuba menjadi seorang ayah yang memahami.

Puan Maria mengalah meskipun dia sangat tidak berkenan dengan cara suaminya memanjakan anak. Apa yang diinginkan anak itu dituruti. Bukan sebab anak gadisnya itu sudah besar panjang. Sudah pandai jaga diri. Sebenarnya dia tidak mahu sikap alpa suaminya itu memakan diri sendiri. Jika diikutkan hatinya, dia tidak suka membenarkan anaknya keluar malam entah ke mana.

Emosi terganggu

“Janganlah awak pandang serong terhadap anak awak sendiri. Tengoklah penampilan dia. Saya tak percaya dia keluar nak berseronok di luar malam-malam buta macam ini,” jawab Encik Majid di suatu pagi yang dingin.

Apa lagi yang mampu dikatakan Puan Maria. Suaminya itu menilai dari pengamatan matanya sahaja. Dia risaukan anak gadis sulungnya itu. Sudah beberapa kali dia ternampak anak itu mencuba pakaian baru yang tidak menutup aurat. Sudah ditegur katanya pakaian itu hadiah daripada kawan.

Sudah disampaikan pesanan pada anak-anak, jangan sampai mengambil kesempatan pada kepercayaan mama dan ayah berikan selama ini. Jika detik itu sampai, kesilapan yang berlaku tidak akan dimaafkan lagi. Sebagai ibu dia ingin bertegas demi kebaikan anak-anak.

Zarina yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat korporat, berkeinginan untuk terjun dalam bidang peragaan. Dia jadi teruja dengan susuk tubuhnya yang menarik. Apatah lagi dengan susuk tubuh langsing dan senyuman yang menawan itu mampu menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Pada ibu sudah dikhabarkan keinginannya itu. Namun, ibunya menghalang. Halangan ibunya itu tidak menjadi masalah buat dirinya. Aktiviti peragaannya itu dilakukan pada hujung minggu.

Dalam diam Zarina berusaha dengan inisiatifnya sendiri menyertai pertandingan ratu cantik yang memperagakan pakaian pengantin yang mana lain dari konsep muslimah. Beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya muncul sebagai naib juara. Dengan meraih kemenangan itu, langkahnya semakin panjang.

Namun, tentangan bukan sahaja datang dari ibunya semata-mata. Adik bongsunya, Zalila turut tidak menyetujui impian Zarina itu.

“Mama tengok ada yang tak kena pada pakaian Ina tu.” Suatu hari Puan Maria menegur cara anaknya berpakaian. Sebelumnya Zarina tidak pernah memakai pakaian seperti itu. Hatinya curiga.

“Ala mama. Ini fesyen terkinila. Ina pakai saja-saja nak try.”

Puan Maria meneliti dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Zarina memakai blouseyang hampir menampakkan ketiaknya. Manakala skirt yang dipakai betul-betul di paras lutut Zarina.

“Mama lebih suka Ina pakai baju yang menutup aurat. Pakai tudung lagi manis.”

Hati ibu mana jadi tidak keruan apabila anak gadisnya ingin menceburi bidang peragaan. aksinya di atas pentas akan ditontoni lelaki. Pada haldari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah aurat bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan

Zarina mengeluh. Kecewa dengan penerimaan ibunya.

“Ina tak nak menyesiakan kecantikan yang Ina ada. Ina sudah lama mengimpikan kejayaan dalam bidang modelling,” begitu jawapan yang diberikan Zarina telah mengundang rasa sedih di hati Puan Maria.

“Nak jadi model tak semestinya mendedahkan tubuh sana sini. Ada banyak lagi caranya. Semestinya batasan aurat kena jaga.” Puan Maria terus menegur kedegilan anaknya itu.

“Untuk pengetahuan mama, pakaian yang Ina cuba ini pun sebahagian daripada kehendak penganjur. Dalam setiap pertandingan yang Ina sertai memperagakan pakaian wanita yang terkini. Tidaklah melampau sangat. Hendak tak hendak semua model kena ikut.”

“Sebagai seorang muslimah, kamu kena lebih peka. Niat kamu yang sebenarnya,” keras nada suara ibunya langsung tidak diendahkan Zarina.

“Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi turut memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang lain. Mempamerkan aurat kepada orang awam bukan kewajipan kita,” sekali lagi nasihat ibu menampar cuping telinga Zarina. Namun, dia tenggelam dalam kamarnya sendiri.

“Mama, bersabarlah. Suatu hari nanti Lila yakin Kak Ina akan sedar dan insaf.” Zalila yang mendengar perbualan kakak dengan ibunya itu, datang menghampiri.

“Mama hanya mampu berdoa mudah-mudahan Allah bukakan hati kakak untuk kembali kepada jalan-Nya. Bukan mama tak suka impian Kak Ina. Cuma mama risau dia tersasar jauh dari landasan-Nya,” ujar Puan Maria pilu.

“Sama-samalah kita doakan semoga apa yang Kak Ina lakukan semata-mata kerana Allah swt ya, mama.” Puan Maria mengangguk setuju.

Allah sahaja yang tahu, betapa Zalila ingin melihat kakaknya menjadi contoh kepada adik-adik. Menjadi seorang kakak yang kekal sebagai muslimah sejati. Dia tidak rela insan yang sangat disayanginya itu terlalu taksub dengan kecantikan sementara yang dimiliki.

“Tak baik akak lawan cakap mama. Apa yang mama cakap tu untuk kebaikan kita semua,” tegur Zalila saat Zarina bersiap hendak ke pejabat.

“Eh, akak bosanlah. Kau dan mama sama saja. Apa yang akak buat serba tak kena. Macamlah akak ni teruk sangat,” jawab Zarina.

“Akak… Islam tidak menghalang kita berpakaian mengikut fesyen dan suasana asalkan ia menutup aurat. Lila harap akak faham,” ujar Zalila lagi.

“Sudahlah Lila. Berhenti nak mengajar akak.”

“Tapi, kak. Sampai hati akak biarkan mama kecewa dengan akak.”

Zarina mendengus geram. Wajah adiknya itu dipandang buat ke sekian kali.

“Pakaian akak masih up to date. Tuntutan kerja akak buat akak ikut trend fesyen terkini. Malahan, sampai ke detik ini akak masih bertudung lagi kan. So, akak masih waras memilih mana yang boleh dan mana yang tak boleh. Faham,” tegas nada Zarina menamatkan perbualan mereka.

Zalila menggeleng. Dipandang sayu langkah Zarina hingga ke muka pintu. Dalam hati dia berdoa semoga diri kakaknya itu diberi hidayah Allah semoga kembali seperti dulu.

Kejayaan di hujung jari

Berjaya dalam pelajaran sudah dirasainya. Namun, Zarina merasakan langkahnya sudah jauh ketinggalan. Ketinggalan menempatkan diri sebaris dengan nama-nama model terkenal yang lain. Dia merasakan dia perlu berubah agar peluangnya di atas pentas catwalk lebih menyerlah.

Hari demi hari berlalu bagai tidak cukup 24 jam satu hari buat gadis seperti Zarina. Dia kian giat bergerak aktif memantapkan diri dalam kelas peragaan yang disertainya. Setiap hujung minggu dia berlatih di pentas catwalk.

Seiring dengan perubahan yang dilalui anaknya, Puan Maria tidak pernah berputus asa menasihati anaknya itu. Selain doa, tanggungjawab menasihati dan mendidik anak-anak kini menjadi perkara utama di dalam hidupnya. Dia tidak mahu gagal menjadi seorang ibu yang baik buat anak-anaknya. Baginya, biarlah apa sahaja anggapan suami asalkan anak-anaknya tidak terpesong akhlak.

“Dan janganlah kamu membuka aurat, sesungguhnya membuka aurat itu langkah pertama membawa anda ke lembah kehancuran,” kata Zalila suatu hari ketika Zarina bersiap hendak ke pentas modelling.

Penampilan Zarina hari itu sedikit berbeza. Tudung yang dipakai dahulu labuh kini hampir menampakkan bahagian dadanya.

“Jangan nak ajar akaklah. Akak tahu apa yang akak buat.”

“Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Ayat dari Surah al-Nur, ayat 31,” ujar Zalila lagi.

Zarina jadi marah ditegur begitu. Dia menghempas pintu bilik air. Zalila tertegun melihat tingkah Zarina yang berbeza itu. Langsung tidak menyangka, kakaknya jadi marah padanya.

“Akak dah fikir masak-masak. Akak nak teruskan minat akak dalam modeling,” kata Zarina usai keluar dari bilik air.

“Akak, Lila tidak pernah akan berhenti menegur selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Allah. Sesungguhnya cara berpakaian, pergaulan, interaksi, komunikasi ketika bekerja dan sebagainya hendaklah merujuk kepada agama agar apa yang dibuat mendapat redha Allah swt.” Zalila tidak berputus asa cuba menyedarkan kakaknya.

“Jangan nak jadi ustazah. Akak tahu apa akak buat,” merah padam air muka Zarina menahan sakit hati.

Tanpa berpaling lagi, Zarina terus melangkah yakin. Yakin bahawa keputusan yang dipilih adalah yang terbaik buat dirinya. Dia tidak mahu lagi memberatkan fikirannya tentang apa sahaja yang dikatakan ibu dan adiknya itu.

‘Ya Allah, Kau lindungilah maruah dan harga diri saudaraku ini agar tidak terjebak ke kancah maksiat atau terjerumus ke lembah kehinaan.’ Desis hati kecil Zalila.

Sebagai seorang adik, Zalila hairan. Sedari kecil mereka berdua dibekalkan ilmu agama yang cukup. Bersekolah di sekolah agama sehingga lulus pangkat satu. Namun, sekelip mata kakaknya berubah. Apakah kerana perubahannya itu ada kaitan dengan kerjaya yang disandangnya itu? Dia tidak mempunyai jawapan itu.

Hampir sebulan berlalu, usaha keras Zarina berbaloi. Rezekinya semakin murah setelah berjaya menjadi duta beberapa butik terkemuka. Wajahnya berjaya mencuri perhatian media.

Kenangan indah sepanjang perjalanan bergelar seorang model, mengitari bahagian dalam hidup yang tidak mungkin dilalui tanpa sebarang persediaan rapi. Tersadung akar di pohonan yang besar, terpijak duri sepanjang lorong kecil, terperangkap dalam lubang yang tidak terlihat sudah acap kali dilalui. Namun begitu, kekosongan di hati Zarina tetap terasa. Dia tidak tahu mengapa dalam diam terbit rasa bersalah pada adik dan mamanya kerana selama ini dia berdegil mempertahankan prinsip dan kemahuannya.

Barangkali doa seorang ibu dan adik itu mustajab. Kejayaan yang dilalui Zarina tidak mampu dibanggai keluarganya sendiri. Dari sisi kejayaan, bagi Zalila kakaknya itu gagal menjadi contoh ikutan yang baik untuk diikuti. Baginya, aroma perjuangan kakaknya masih kurang dari segi nilai ketimuran.

Gelora di hati Zarina mulai menghantui perasaan. Dia mulai terfikir kebenaran di sebalik nasihat-nasihat dan pegangan hidup keluarganya. Seringkali dalam solatnya dia menangis keinsafan.

Suatu pagi yang dingin,perkara utama yang dilakukan Zarina sebaik sahaja bangun dari tidur adalah melihat wajahnya di cermin. Dia ingin memastikan tiada jerawat yang mencacatkan wajahnya. Setelah itu dia akan tersenyum kepuasan.

Namun, pagi itu sesuatu yang berbeza berlaku. Zarina tidak mampu tersenyum lega di hadapan cermin. Dia menangis dan meraung melihat rupa parasnya yang hodoh penuh jerawat di muka.

“Tidak! Tidak! Tidak!” jeritan Zarina menggegarkan ruang kamarnya yang sepi.

Pelik. Tiada seorang pun yang mendengar raungan dan jeritan Zarina. Perasaan aneh menerjah ruang fikiran. Selama ini Zarina tidak pernah mencuba sebarang alat solek untuk mencantikkan wajahnya. Tetapi kenapa wajahnya begitu teruk sekali? Persoalan itu menjadi tanda tanya di hatinya.

“Ha! Ha! Ha! Itulah wajah kau yang sebenarnya!” Bergema satu suara entah dari mana.

“Eh! Siapa kau?” tanya Zarina.

“Kau tak kenal aku? Ha! Ha! Ha!”

Zarina melihat di setiap penjuru kamar. Namun, dia kehampaan. Air mata mulai menitis membasahi pipinya yang putih bersih.

“Jawablah pertanyaan aku! Siapa kau? Keluarlah!” Tanya Zarina lagi.

“Aku... adalah diri kau yang selama ini berselindung di sebalik wajah kau yang jelita itu. Ha! Ha! Ha!” Kata suara itu.

Zarina memandang ke arah siling pula. Seolah-olah mencari wajah itu. Namun, hampa.

“Apa yang kau cari?” tanya suara itu.

“Aku nak lihat kau. Keluarlah!”

Kedengaran suara itu ketawa mengejek. Mempermainkan dirinya.

“Keluarlah. Kau takut sebab kau buat salah padaku?” jerit Zarina geram.

“Kau tanya aku, kenapa? Aku ada dalam dirimu...! Cerminlah dirimu. Kau akan lihat aku.”

Namun, dia tidak sanggup melihat wajahnya di cermin. Lenyap sudah kejelitaan yang dijaga selama ini. Dia menangis lagi.

“Tidak...! pergi kau! Kau iblis!”.

Suara itu mentertawakannya lagi. Kemudian asap tebal menyelubungi ruang di sebelah kanan ruang kamar.

“Wahai Zarina, sedarkah kau kecantikanmu tidak akan kekal lama. Satu masa nanti akan lenyap ditelan usia,” ujar suara itu dalam nada sedih.

“Pergi! Pergi! Pergi...! jangan kacau aku!”

“Jadilah manusia yang tahu bersyukur dengan apa yang dimiliki.” Nasihat suara itu pula.

“Aku tak mahu dengar lagi. Pergi...!”

“Ina.... bangun nak. Kenapa ni?” tubuhnya digoncang kuat. Zarina membuka matanya.

Di sisinya ada ibu dan adiknya. Tiada lagi asap tebal yang menyelubungi ruang kamar.

Dengan pantas Zarina bangun. Menghadap wajahnya di cermin. Ibunya yang melihat sikapnya itu menggeleng sahaja.

Berkali-kali Zarina menenyeh-nenyeh matanya. Dia menarik nafas lega.

‘Aku bermimpi rupanya,” katanya, separuh berbisik.

“Mama! Maafkan Ina. Selama ini Ina tak dengar nasihat mama. Melawan cakap mama, jadi anak yang degil dan selalu buat mama susah hati,” ujar Zarina.

“Mama maafkan. Lega hati mama tengok Ina dah insaf. Bukan mama tak suka Ina jadi model. Tapi, mama nak Ina jadi model muslimah yang menarik lebih ramai wanita Islam menutup aurat dengan cara yang betul dan tidak membuka auratnya di sembarangan tempat.”

“Betul cakap mama, kak. Lila bangga dengan akak sebab akak seorang yang kuat,” celah Zalila sambil menghampiri Zarina.

“Terima kasih mama dan adikku Lila,” ujar Zarina dalam pelukan sayang ibu dan adiknya.

Kali ini Zarina sedar, kecantikan bukanlah elok untuk dipertontonkan kepada umum. Dia berjanji pada dirinya sendiri ingin menjaga batasan auratnya agar apa yang dilakukan diberkati Allah swt.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.