Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,394
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8

NURIN AMIRA baharu sahaja selesai menunaikan solat asar. Lama dia berada di atas sejadah. Merintih, meratap hiba dan mengadu kepada Ya Rahman betapa dia sangat letih menghadapi hari-harinya yang penuh mencabar. Peristiwa-peristiwa yang melukakan hati belayar di ruang fikiran. Datang dan pergi mengganggu ketenangan. Rasa-rasanya setiap detik jiwa dihambat kepiluan.

Dia diperlakukan bagai orang gaji oleh ibu mertuanya sendiri sebaik sahaja bapa mertuanya melangkah ke kebun untuk menoreh. Jika hari-hari bekerjanya dia boleh mengelak, tetapi, apabila tiba hujung minggu, dia tiada pilihan lain. Terpaksa merelakan diri berada di rumah itu. Lagipun, dia tidak biasa keluar berhibur di luar meskipun pada hari cuti. Sedari kecil pergaulannya sentiasa terkawal. Terbatas.

Dia beruntung tinggal di desa. Walaupun sedikit ketinggalan dari arus kemodenan, adab ketimuran sentiasa terjaga. Dahulu sebelum terlontar di daerah yang asing ini, hujung minggu begini dia melakukan kerja-kerja seninya seperti menjahit, mengait krostis mahupun alas-alas meja di samping serba sedikit membantu emak di dapur dan mengemas rumah.

Adik iparnya, Nurul juga lelah menegur sikap ibunya yang tidak punya perasaan itu. Mohd Najib tersenyum bangga kerana gadis yang dinikahinya itu seorang yang menurut kata.

Apa yang boleh Nurin Amira lakukan semenjak kecil, dia terbiasa menghormati orang yang lebih tua. Belum pernah dia meninggikan suara terhadap orang tua. Sikap terpuji itulah yang dididik oleh orang tuanya semenjak kecil.

Air matanya dengan mudah membasahi pipi. Dia ingin berehat setelah penat melakukan kerja rumah. Bangun awal pagi, memasak nasi lemak, mengemas dapur, mengemop lantai, kemudian membasuh baju yang bertimbun di bilik air. Mohd Najib sengaja meletakkan beban di atas bahunya. Kalau ada mesin basuh, tidak mengapa. Ini tidak. Pakaian-pakaian itu terpaksa dibasuh dengan tangan. Bayangkanlah dua tiga helai seluar jeans Mohd Najib yang tebal itu disental oleh jari-jemari Nurin Amira yang runcing itu.

Denyutan di kepalanya semakin menjadi-jadi. Digagahkan juga hati supaya tidak pitam pada saat-saat dia tidak merelakan perkara itu terjadi.

Baharu sahaja hendak melelapkan mata, dia dikejutkan oleh kehadiran Mohd Najib yang bagaikan halilintar membelah bumi masuk ke kamar tanpa mengetuk pintu mahu pun memberi salam. Suami apakah ini?

“Mira. Buatkan air. Kawan abang ada kat depan.”

Ah, jijik Nurin Amira mendengar perkataan “abang”.

“Saya penat. Nak berehat.”

“Eh, awak ni. Minta tolong buatkan air pun tak nak. Apa nak jadi dengan awak? Cepatlah!”

“Saya penat. Beri saya waktu nak berehat.”

Lelaki jenis apakah ini? Tidakkah lelaki itu sedar seharian dia sibuk mengurus kerja-kerja rumah yang semuanya diletakkan di bahunya.

Jari-jemarinya yang runcing memicit dahi. Kepalanya sakit berdenyut-denyut Tuhan sahaja yang tahu.

“Tak apa. Nurul boleh buatkan air.”

“Elok la tu, pompuan. Ada bini pun tak boleh diharap.”

Kemudian Mohd Najib berlalu ke deapan. Air mata Nurin Amira menitis lagi. Dia ingin melelapkan mata seketika. Beberapa minit pun jadilah, asalkan dia dapat merelakskan fikiran yang berserabut.

Selesai Nurul menghantar sedulang minuman ke depan, dia datang menjenguk kakak iparnya yang tersandar lemah di dinding. Hatinya sebak mengenangkan penderitaan kakak iparnya yang baik itu. Dia tidak mahu mengganggu. Dibukanya suis kipas angin biar Nurin Amira berasa nyaman dan selesa.

Nurin Amira dikejutkan dengan bunyi deruman kereta di halaman rumah. Hati tertanya-tanya kereta siapa pulak di halaman rumah? Siapa pulak yang datang?

Entah-entah kereta aku?

Serentak dengan itu dia bergegas menuju ke halaman rumah. Tergesa-gesa dia meluru menuruni anak tangga. Alangkah terperanjatnya dia menyaksikan aksi Mohd Najib itu.

Mohd Najib memandu kereta Waja tanpa kebenarannya. Hatinya bertambah sakit. Tahukah lelaki itu memandu kereta? Selama ini belum pernah sekali pun aku melihat dia memandu!

“Najib! Kereta Mira tu!” laung Nurin Amira dari anak tangga.

Mohd Najib yang menyedari kehadiran Nurin Amira di situ mengerling sekilas. Dia memandu dengan hati yang puas kerana akhirnya dapat memandu kereta Nurin Amira itu. Sudah lama dia berangan-angan hendak memandu kereta. Dia teruja sebenarnya kerana baharu belajar memandu. Padahal ujian memandu belum lagi lulus.

“Berhenti, Najib! Kereta Mira tu. Apa Najib nak buat dengan kereta Mira tu? Berhenti!” Jeritan Nurin Amira bergema.

“Tengah memandu la. Kalau tidak, apa lagi?” Sinis suara nakal menerjah ke cuping telinganya. Mahu sahaja dia menempeleng anak-anak muda itu seorang demi seorang. Tahu hendak menyakitkan hatinya sahaja.

Hati mana yang tidak risau apabila barang kesayangan dinaiki orang lain tanpa kebenarannya. Lagipun dia tertanya-tanya juga apakah Najib boleh memandu. Cemas berada di mana-mana apabila melihat pemanduan Najib itu seperti ada yang tidak kena. Beberapa orang rakan Najib yang tidak dikenalinya itu ketawa terbahak-bahak melihat aksi Najib yang seperti tidak dapat mengawal kereta itu.

Mohd Najib tercabar saban hari diejek oleh rakan-rakannya kerana tidak tahu memandu. Lantaran itulah dia nekad untuk belajar memandu. Walaupun belum mendapat lesen, dia cuba-cuba memandu kereta Nurin Amira. Sudahnya dia tersilap langkah. Dia ingin memberhentikan kereta. Entah macam mana, dia gagal mengawal stereng, lalu kereta Waja itu terbabas ke dalam parit berdekatan ampaian sebelum melanggar pokok nangka yang ditanam di situ.

Melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu, Nurin Amira jatuh terjelepuk di halaman rumah. Dia tidak ingat apa-apa lagi. Dunianya gelap-gelita. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di ruang tengah rumah. Percikan air membasahi wajahnya yang pucat lesi. Perlahan-lahan matanya dibuka. Orang pertama yang dilihatnya ialah Mohd Najib yang duduk menikus di sudut dinding.

“Kenapa dengan Mira?” tanya Nurin Amira sambil memicit kepalanya yang masih sakit. Nurul membantunya memicit kepala.

“Kak Mira pengsan di halaman rumah.” Rasa belas hadir di hatinya melihat raut wajah kakak iparnya yang ayu itu layu dan tidak bermaya. Sudahlah belum hilang penatnya seharian membuat kerja rumah, kini hati disakiti abangnya pula. Kalau dirinya sendiri berada di tempat Nurin Amira, dia tidak tahu sejauh mana kesabarannya bertahan. Mujurlah Pak Mail sampai tepat pada masanya. Geli hati pula melihat rakan-rakan abangnya itu mencicit lari sebaik sahaja melihat kelibat Pak Mail turun dari motosikal. Mak Senah tahu membebel sahaja dari pagi sehinggalah petang.

“Kereta akak.” Baharu dia teringat angkara Mohd Najib, keretanya terbabas melanggar pokok nangka.

Apalah nasib kereta aku tu? Baru setahun aku beli, begini pulak jadinya!

“Ayah dah suruh Najib hantaq ke bengkel. Kereta Mira rosak di bahagian depan. Baru tadi Ah Lai datang ambik dengan jentolak,” sampuk Pak Mail yang sedang duduk di sofa.

Nurin Amira seakan-akan hendak menangis. Akan tetapi air matanya bagai sudah kering untuk mengalir lagi. Hatinya menjerit pilu. Pandangan sinis ibu mertuanya menyakitkan mata. Lantaran itulah dia segera berlalu ke dalam bilik. Sementelahan tidak lama lagi azan Maghrib akan berkumandang. Dia ingin segera membersihkan diri dan berwuduk.

Leteran emak mertuanya tidak diendahkan. Entah apa butir bicaranya Nurin Amira tidak pasti. Berselang-seli pula dengan suara percakapan bapa mertuanya pula. Segar tubuhnya terasa sampai ke tulang sum-sum sebaik sahaja terkena air yang dingin. Petang-petang bemandikan air bukit memang menyegarkan berbanding waktu pagi di mana dia perlu menggigil menahan kesejukan.

Selesai solat maghrib, Nurin Amira membaca al-Quran pula. Suaranya yang merdu bergema. Dengan cara itulah sahaja boleh menenangkan hatinya yang resah.

Pak Mail dan Mak Senah yang baharu selesai solat, terdiam apabila sayup-sayup kedengaran suara merdu Nurin Amira mengaji al-Quran. Kelunakan suara merdu menantu, menusuk ke dalam jiwa Pak Mail.

“Dengaq tu. Bukan main merdu suara menantu awak. Dengaq suaranya pun saya boleh agak perangai dia macam mana. Apa yang awak tak puas hati, saya pun hairan!” kata Pak Mail.

Mak Senah tidak menjawab. Namun, dia tidak menafikan kelunakan suara Nurin Amira itu. Dalam diam, dia turut memuji.

“Tu. Dengaq baik-baik merdunya suara bini hang tu. Semenjak hang khatam Quran, tak pernah lagi ayah dengaq hang mengaji. Bertuah betui ayah mertua hang punya anak sebaik Mira tu,” ujar Pak Mail kepada anak lelakinya.

Mohd Najib yang terasa terpukul berlalu ke dapur. Tengah seronok tengok berita, ayahnya pulak mengganggu. Sakit kena penampar pada muka siang tadi belum hilang lagi. Ditambah dengan leteran ayahnya itu.

Melalui pintu di dapur, Mohd Najib mengambil angin di luar. Jari-jemarinya yang kasar itu mengusap pipinya yang masih terasa sakit. Penampar yang diberikan oleh ayahnya kerana suka-suka memandu kereta Nurin Amira. Hatinya tiba-tiba memberontak.

Apa salah aku? Aku ada hak nak memandu kereta Mira tu. Dia bini aku. Bukan orang lain pun. Ayah memang tak guna. Ada saja nak menangkan Mira tu. Jaga hang, Mira. Hari ini hari hang. Tunggulah nasib hang.

**********

MALAM itu, setelah selesai solat isyak, Nurin Amira membatu diri di dalam kamar. Dia tidak berselera makan. Dari waktu maghrib sehinggalah masuk waktu isyak, dia masih duduk di atas sejadah.

Tahulah dia kenapa Mohd Najib berani memandu keretanya. Baru sahaja menduduki kelas memandu sudah berangan hendak memandu. Kalau tidak kerana adik iparnya yang ingin berbual dengannya tadi, dia tidak tahu apa-apa. Tiada gunanya lagi sekalipun Mohd Najib ditampar oleh bapanya. Kereta kesayangan sudah rosak. Berapalah kos membaiki kereta Wajanya itu?

Dia menelefon Safiah.

“Yaya! Besok pagi boleh jemput aku, tak?”

“Boleh! Boleh! No hal. Tapi, kenapa dengan kereta hang?”
“Panjang ceritanya. Esok Mira cerita.”

“Okey la. Jam 7.00 pagi Yaya datang. Hang buat apa tu?”

“Dalam bilik la. Melamun.”

“Ooo... melamun. Hang tak tengok cerita Janji Diana? Best, tau.”

“Aku tak minat. Dah lama aku tak tercongok depan TV. Kalau aku tercongok depan TV pun aku bukannya fokus. Minda aku ke lain.”

“Ya la. Paham sangat peel hang tu. Mengait, menjahit, dan entah apa lagi kerja seni yang hang tau buat.”

“Tau tak apa. Jangan jealous sudah.”

“Ala... kalau aku jealous, dah lama aku pandai macam hang,” jawab Safiah sambil tertawa kecil.

“Kalau hang minat, aku boleh ajaq. Tapi, hang minat tak dak, susahlah nak ajaq.”

“Ah! Cukuplah hang sorang yang pandai. Aku jadi tukang mengkritik sudahlah.” Safiah ketawa lagi.

“Pandailah hang.”

“Okey la, Mira. Aku cau dulu. Bercakap dengan hang, sampai besok pun tak habis.”

“Okey. Mira tunggu hang pukul 7.00 ye. Bye, Yaya.”

“Okey, bye.”

Terubat sedikit hati yang tercalar dek perbuatan Mohd Najib. Safiah memang pandai menghibur hatinya.

Nurin Amira terbaring di bawah beralaskan narita yang sengaja dibelinya. Tidak sekali-kali dia berkongsi katil dengan Mohd Najib. Lelaki itu entah ke mana-mana setelah siang tadi teruk dileteri dan ditampar oleh ayahnya. Semuanya kerana di bahagian depan kereta kepunyaan Nurin Amira rosak teruk dikerjakan oleh Mohd Najib.

Dia memerhati sekeliling bilik yang kemas dan teratur. Sewaktu pertama kali melangkah ke bilik itu, nafasnya jadi sesak dengan bau yang kurang menyenangkan. Sana sini baju bergantungan, yang bersih dan kotor bercampur baur. Adik iparnya sendiri tidak sanggup masuk mengemas bilik abangnya yang berbau itu. Kini bilik itu bukan sahaja lapang, malah sedap mata memandang.

Setiap kali hendak melelapkan mata mahupun seusai solat, dia memohon ke hadrat Ilahi mudah-mudahan dia tidak diapa-apakan oleh lelaki itu. Walaupun sesaat sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah itu dia menyegerakan doanya itu. Buktinya sehingga kini dia selamat dari nafsu serakah Mohd Najib itu.

Matanya terkebil-kebil menghitung hari esok yang entah apa lagi masalah yang akan menimpanya. Namun, yang pasti tidak sekali-kali dia menyerah begitu sahaja terhadap lelaki yang telah menghadiahkan sebuah dunia yang terlalu asing buatnya.

**********

TERUKNYA lelaki tu. Apa dia ingat Waja tu dia yang bayaq? Suka-suka hati nak bawak!” kata Safiah, marah ketika keluar makan tengah hari bersama Nurin Amira.

“Aku dah lali dengan perangai dia.”

“Habis tu, hang diam ajalah?”

“Aku nak buat macam mana lagi? Nak menangis, dah kering air mata ni. Nak marah, siapalah aku ni. Untung saja dibantu bapak dia malam tadi. Kalau tak, aku tak taulah apa yang akan berlaku selepas itu.”

“Susah payah Mira beli dengan duit hasil titik peluh Mira sendiri. Akhirnya jadi macam tu. Sakitnya hati ni Tuhan aja yang tau,” ujar Nurin Amira perlahan. Namun, mampu didengari Safiah.

“Emm.... berapalah agaknya kos nak baiki kereta tu?”

“Itu yang aku tengah pening ni. Harap-harap kos nak baiki taklah banyak sangat. Kalau tak, teruklah aku.”

“Harap-harapnya begitulah. Eh! Malam ni tidoq rumah Yayalah. Risau pulak diapa-apakan oleh Najib. Yalah. Kalau dah sakit hati, macam-macam perkara boleh berlaku. Marahkan bapak, hang yang jadi mangsa,” usul Safiah pula.

Nurin Amira mengangguk. Awal pagi tadi lagi dia mengambil keputusan untuk tidak balik ke rumah dalam beberapa hari ini. Tidak sanggup rasanya menjejakkan kaki ke rumah itu. Apabila beroleh ketenangan sedikit, baharulah dia pulang.

“Bersabaqlah, Mira. Tuhan tu adil. Tidak selama-lamanya membiarkan hang menderita macam ni,” sambung Safiah.

Nurin Amira tidak jadi membalas kata-kata Safiah apabila matanya terperasan kelibat Zakuan yang sengaja melintas di hadapannya. Dia sudah tidak ambil peduli lagi terhadap kewujudan lelaki itu. Zakuan sendiri yang sengaja mencipta sempadan. Apabila dia hendak mendekat, lelaki itu menjauh. Apabila dia menjauh, lelaki itu pula seakan-akan hendak mendekat. Ada dengan tidak ada sama sahaja.

Persoalan demi persoalan bermain di benak Zakuan kenapa dengan tiba-tiba Nurin Amira menumpang kereta Safiah pula. Selalunya Nurin Amira akan memandu sendiri kereta Waja putihnya.

Kenapa dengan kereta Nurin Amira? Rosakkah? Atau digunakan oleh suaminya? Ah, sulit benar hendak memahami situasi sekarang.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.