Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,814
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

BAB 25

DUA jam sudah berlalu. Kini melewati jam 7.00 malam. Nurain masih sibuk meneliti kertas-kertas cadangan daripada beberapa pengedar tetapnya selama ini. Dia juga perlu memastikan formula yang akan digunakan nanti benar-benar menepati kehendak pelanggan. Tambahan pula kepakaran yang dimiliki uminya dalam bidang sains dan teknologi khusus dalam bioteknologi selain pengalaman yang diperoleh ketika bekerja di institusi kewangan tidak lama dahulu akan memudahkannya untuk membuat formulasi sendiri setelah menjalankan penyelidikan yang mendalam terhadap produk kecantikan tersebut. Penyelidikan serta pemerhatian yang terperinci perlu dibuat bagi menjamin produk yang dihasilkan berkualiti sebelum dipasarkan.

Susulan daripada keutamaan penggunaan herba dalam bidang perubatan, kini syarikatnya sedang giat berusaha untuk menjadi pakar herba dalam bidang kecantikan dan kesihatan menerusi salon syarikat milik uminya, Noraina Cosmetics. Perancangan yang dipersetujui ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada orang tuanya sendiri serta kakitangan di ibu pejabatnya telah sebulat suara bersetuju untuk menambah produk herba pada tahun ini selain lebih 20 jenis produk kesihatan yang telah sedia ada.

Dia telah berusaha untuk menjadi pakar pengeluar produk berasaskan herba. Untuk menuju ke arah itu, dia ingin bekerjasama bukan sahaja dengan pihak akademi, tetapi juga dengan organisasi-organisasi farmaseutikal bagi memantapkan lagi rangkaian produk yang sedia ada.

Pihak syarikat dari bahagian pengurusan pengiklanan telah pun menghubungi pihak perladangan herba yang diusahakan oleh anak jati Melayu yang artikelnya kerap tersiar dalam akhbar untuk menjalinkan usaha sama dalam menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan. Pihak media juga pernah membuat liputan. Tujuan menambah produk ialah kerana produk yang sedia ada belum mencukupi untuk melengkapkan kehidupan setiap insan. Tambahan pula produk yang berunsur herba bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah untuk kecantikan dalaman juga.

Dia bangga kerana dapat berkongsi minat dengan orang tuanya dalam perniagaan. Lebih-lebih lagi mereka ada kepakaran masing-masing dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Dengan usaha gigih demi menghasilkan produk sendirilah, akhirnya Encik Ghazali berjaya menubuhkan syarikatnya yang kini diterajui satu-satunya anak perempuannya.

Pokok-pokok herba yang ditanam di ladang kenalan Encik Ghazali itu wajar dikormesialkan menjadi minuman kesihatan dan amalan setiap hari supaya awet muda dan sihat tubuh badan baik kepada kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

**************

MINAT berniaga semenjak bergelar anak dara membuatkan Puan Aina sentiasa bekerja kuat untuk menjayakan salon yang diusahakan hasil dorongan suaminya itu. Ramai kenalannya dari kalangan isteri tentera mengagumi produk keluaran Beauty Crystal Network Sdn Bhd. Promosi yang dijalankan saban hari menambah bilangan pelanggan datang mengunjungi salon miliknya itu. Mujurlah dia ada empat orang pekerja yang membantunya di kedai. Jika tidak, dia tidak menang tangan melayani kerenah pelanggan.

Melihat sambutan pelanggannya yang setia, dia berazam menambah bilangan salon pada masa akan datang. Layanan mesra yang diberikan kepada pelanggan benar-benar menarik mereka sentiasa datang. Dia juga sering mengingatkan diri bahawa pelanggan itu umpama rakan-rakannya. Dia menjadi pendengar yang baik kepada pelanggan. Biarpun, salon itu baru sahaja bertapak dalam arena perniagaan herba dan kosmetik, ia tetap mendapat sambutan hangat daripada pelanggan, terutamanya rakan sekolah anak-anaknya, bekas teman sekerjanya, dan saudara-mara terdekatnya.

Syukur dia panjatkan kepada Tuhan kerana berkat kesungguhan suaminya juga dan kecekapan pasukan penyelidikan, akhirnya produk Beauty Crystal Network berada di pasaran sejak lima tahun lalu. Tidak sia-sia usahanya selama ini menyemai minat di hati satu-satunya anak perempuannya terlibat dalam perniagaan. Dia tidak takut pada persaingan kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah.

Hari itu Puan Aina dikunjungi rakan lamanya ketika sama-sama menuntut di kolej dahulu, Puan Zaitun. Puan Zaitun juga sering mengikuti perkembangan perniagaan Puan Aina daripada rakan-rakan terdekat. Puan Aina berbesar hati atas kesudian Puan Zaiton mencuba produk kesihatan keluaran syarikatnya. Dahulu boleh dikatakan mereka berdua akrab juga. Setelah tamat sekolah, mereka berpisah dan membawa haluan masing-masing. Kini mereka dipertemukan kembali. Puan Aina gembira sekali. Akan dikhabarkan kepada suami dan anak-anaknya nanti. Tidak lupa juga dia sempat menjemput rakannya itu datang ke rumah.

***************

MALAM itu, Nurain membantu uminya memasak di dapur. Sambal tumis udang sudah siap dimasak. Tunggu hendak menumis sayur campur pula. Tidak sabar rasanya menunggu malam tiba. Makan bersama-sama dengan kedua-dua ibu bapanya.

Paling kurang dalam seminggu, dua tiga kali dia mencuri masa membantu umi memasak untuk santapan mereka sekeluarga. Sekurang-kurangnya, sedikit sebanyak bakat memasak yang ada pada umi diwarisinya.

Nurain kagum pada uminya. Sebagai seorang wanita yang berkerjaya, Puan Aina tetap meluangkan waktu memasak untuk suami dan anak-anak. Bukan tidak ada pembantu. Puan Aina lebih selesa memasak sendiri untuk keluarganya. Biarpun sibuk, setiap hari dia tetap meluangkan waktu bersama keluarganya.

Pada waktu malam, Puan Aina dan suaminya tidak ke mana-mana dan jarang sekali keluar jika tidak ada hal penting. Jika ada pun, mereka akan keluar makan bersama. Ada kalanya mereka pergi bercuti bersama.

“Umi masak apa?”

“Masuk ke dapur tak bagi salam. Macam pencuri lagaknya!”

“Ala kak. Orang dah bagi salam. Umi dengan akak aja tak dengaq.”

“Mana ada. Tak dengaq pun orang bagi salam!”

“Macam mana nak dengaq, berborak sampai orang kat luaq pun boleh dengaq. Bibik kat tingkat atas pun boleh dengaq. Tau la orang pompuan, kalau sembang, tak ingat dunia.”

“Hei... cakap baik-baik sikit, tau. Karang akak tenyeh mulut tu dengan cili, baru tau.”

“Tenyeh la kalau berani.”

Nurman sudah pun melangkah menuju ke pintu. Dia tahu lama-lama berada di situ silap hari bulan teruk dikerjakan kakaknya.

“Eh, hang pa berdua ni kalau berjumpa, macam anjing dengan kucing. Tak baik, tau tak. Dengaq dek jiran sebelah tak malu ka? Hang pa tu dah besaq panjang. Ha... Man kamu tu dari mana? Baru sekarang nampak batang hidung.”

“Dari kelas komputer la, umi. Lepas tu main bola.”

“Itu aje la yang dia pandai. Tolong umi kat kedai tu kan baguih.”

“Ala... dengki la tu.”

Sekali lagi Puan Aina meninggikan suaranya. Mencicit Nurman lari ke anak tangga menuju ke bilik tidurnya. Dia menggeleng-geleng. Nurain ketawa geli hati melihat adik lelakinya itu mencicit lari.

Nurain pun meminta diri mahu mengerjakan solat maghrib, memandangkan azan maghrib sudah lama berkumandang dari masjid yang berdekatan dengan rumah mereka. Sebentar lagi, mereka sekeluarga akan berjemaah bersama-sama. Puan Aina tersenyum sendirian. Terhibur dengan telatah anak-anak yang menceriakan kehidupannya. Tugas memasak baharu selesai. Biarpun ringkas, bau gulai lemak rebung campur perut memenuhi ruang makan.

************

NURAIN teringat kepada seorang temannya yang menjadi wartawan di sebuah syarikat penerbitan terkemuka di Kuala Lumpur. Terlintas di benaknya untuk mempromosikan produk keluaran syarikatnya. Dari situ dia percaya produknya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Puan Aina menyetujui pendapat anak gadisnya itu.

Encik Ghazali juga turut bersetuju dengan pendapat anaknya itu. Dia terfikir sudah sampai masanya dia menguar-uarkan produk jenama keluaran syarikatnya sendiri. Baru-baru ini dia mendapat idea mengadakan bengkel untuk memberi pendedahan kepada wanita mengenai penjagaan kecantikan kulit wajah dan badan dengan cara yang betul, selain membuka peluang perniagaan, terutama kepada ibu tunggal dan suri rumah bagi mendapatkan sumber pendapatan dengan lebih mudah.

Dia sendiri akan mengendalikan bengkel tersebut. Dalam bengkel itu nanti dia akan mendedahkan tips dan panduan mengenai peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen bagi produk keluaran syarikatnya.

“Eh... abah. Apasal ni tersengih-sengih dari tadi? Cerita kat TV tu tak ada yang lucu pun.” Nurman yang perasan gelagat abahnya itu menegur.

Puan Aina dan Nurain yang sedang berbincang tentang penyelidikan R&D yang bakal dilakukan tidak lama lagi itu menoleh ke arah Encik Ghazali. Mereka tidak sabar ingin tahu apa yang difikirkan oleh Encik Ghazali itu. Sempat lagi Nurain menggiat abahnya itu.

“Begini... Abah dapat idea nak adakan bengkel keusahawanan kepada sesiapa saja yang berminat untuk menjadi ejen produk kita. Sesiapa yang berminat hanya perlu membayar RM500 saja dan kita akan beri produk dan bimbingan profesional serta sokongan iklan. Macam mana, setuju?” ujar Encik Ghazali, bersemangat.

Puan Aina dan Nurain saling berpandangan.

“Aina memang setuju, bang. Tapi, produk baru kita ni baru nak buat penyelidikan. Abang dah berangan sampai ke situ. Manalah tak terperanjat. Slow-slow la bang.”

“Eh! Kan kita ada lebih 10 produk? Produk yang baru tu nanti dah keluaq, kita buat promosi yang baru.”

“Ain rasa idea abah tu akan membantu mereka yang berminat dalam dunia perniagaan selain dapat memperkembangkan lagi perniagaan produk ini. Kita pun tak rugi apa-apa kalau bagi mereka free. Kita bagi ikut package. Nanti pengedar kita tak lari,” sambung Nurain pula.

Puan Aina menggeleng-geleng. Kerisauan pada wajahnya jelas ketara. Dua beranak ni bercakap pasal bisnes, nak menang aja.

“Umi jangan risau la. Selama ini pun produk keluaran kita berkualiti. Dapat sambutan yang baik daripada pengguna. Kawan-kawan Ain pun ramai guna produk kita,” kata Nurain yang saban hari tidak jemu-jemu menjawab panggilan telefon rakan-rakan yang meminta pendapatnya.

Setelah puas berbincang, mereka menemui kata sepakat. Nurman yang hanya menjadi pendengar, membantah tidak, mengiakan pun tidak. Dia langsung tidak berminat untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Dia lebih suka melibatkan diri dalam bidang IT.

***********

PUAN AINA mahu melihat anak gadisnya tampil cantik dan menawan ketika ditemu ramah nanti. Oleh kerana itu, dia tidak keberatan menemani anaknya memilih pakaian di butik pakaian kegemaran mereka. Butik Cantik yang terkenal berdekatan kediaman mereka itu sememangnya menyediakan segala keperluan untuk muslimah. Segala yang dikehendaki Puan Aina dan Nurain ada dijual di situ. Mereka dua beranak tidak perlu lagi singgah dari kedai ke kedai untuk mencari barangan keperluan mereka.

Begitulah kebiasaannya pada setiap hujung minggu. Kedua-dua pekerjanya ditugaskan untuk menjaga salonnya. Sesekali dia akan singgah untuk meninjau perkembangan salonnya itu. Kedua-dua pekerjanya itu sudah dianggap seperti anak-anaknya sendiri. Dia tidak pernah berkira soal duit. Yang penting layanan mesra terhadap pelanggan mesti menjadi keutamaan.

Sedang leka memilih baju, mereka dua beranak ditegur oleh seseorang. Mereka menoleh.

“Eh... Zai. Ingat siapa tadi. Seorang aje ke?” tanya Puan Aina sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan temannya itu.

“Dengan anak bujang Zai. Kalau jalan-jalan cari baju perempuan, tak nak dia temankan Zai. Entah ke mana menghilangnya dia.”

“Oh... ya ka? Eh, terlupa pulak nak perkenalkan anak saya, Nurain.”

Nurain yang sedari tadi menjadi pemerhati hanya tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Puan Zaitun meneliti wajah manis Nurain, hinggakan Nurain malu sendiri diteliti begitu. Dia menunduk sahaja sambil mengerling baju-baju cantik yang tergantung di dalam butik itu.

“Tak lama lagi Zai nak buat majlis kesyukuran sempena menyambut cucu baru. Datanglah, ya. Aina ingat lagi kan rumah Zai.”

“Bila tu? Kena tengok tarikh jugak. Takut bertindih dengan temu janji saya dengan pelanggan.”

“Hari Jumaat hujung bulan ni.”

“Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang nanti. Saya tak janji. Tapi, anak Zai yang mana satu baru bersalin?” tanya Puan Aina, sekadar mahu mengambil hati temannya itu.

“Anak Zunaida yang jadi pensyarah di USM tu!”

“Oh... anak Zu. Dah bercucu Zai ni, ye.”

“Baru nak masuk dua, Aina. Dok berborak-borak pasal Zai, Aina pulak berapa orang cucu?”

Ah! Sudah! Jangan umi kaitkan aku sudah!

“Nak bercucu macam mana kalau anak-anak masih belum lepas rumah lagi? Nurain ni pun baru saja balik dari London. Belajaq kat sana.”

Melebar senyuman di bibir Puan Zaitun apabila mengetahui anak perempuan Puan Aina itu masih belum bersuami.

“Dah bertunang ka?”
“Belum,” jawab Puan Aina sambil menjeling anak gadisnya.

Kalau macam tu, ada peluang la aku nak masuk merisik.

“Eh, Zai. Saya minta diri dululah, ya. Datang-datanglah ke rumah,” pelawa Puan Aina pula sambil meminta diri untuk beredar.

“Zai berharap sangat Aina sekeluarga dapat ke rumah Zai nanti. Dah lama sangat kita tak berbual mesra macam dulu. Sesekali dapat berjumpa tu, meriah sikit.”

“Insya-Allah. Aina akan cuba penuhi permintaan Zai tu.”

Setelah selesai beramah mesra dengan kenalan lamanya itu, mereka dua beranak meminta diri untuk beredar dari butik tersebut. Nurain pula sudah dapat pakaian yang diingininya.

Selepas memilih pakaian di butik kegemaran mereka, Nurain dan Puan Aina pergi ke kedai kasut pula. Dari satu kedai ke satu kedai. Namun, tidak ada satu pun kasut yang Nurain berkenan. Uminya mencadangkan dia memilih kasut pada hari lain sahaja memandangkan kakinya sudah tidak larat hendak meneruskan aktiviti mereka.

Puan Aina mengajak Nurain memanjakan diri di spa pula. Sesekali membelai diri bukan sahaja baik untuk kecantikan luaran, malah kesihatan tubuh badan juga. Nurain tidak membantah. Dia menurut sahaja. Sebaik sahaja hendak mendaftarkan diri di sebuah spa, telefon bimbit Nurain berbunyi.

“Hello!”

“Assalamualaikum, Ain.”

“Waalaikumusalam, Norlly. Ain ingat siapalah tadi. Tukaq nombor ye?”

“Tak adalah. Zahim punya handphone la.”

“Oh ya ka? Hang pa kat mana ni?”

“Kami dalam kereta. On the way nak pi rumah hang la.”

Bulat mata Nurain memandang Puan Aina. Dia benar-benar terlupa tempoh hari dia ada menjemput rakan-rakan sekolahnya datang ke rumahnya.

I’m sorry, Norly. Ain benar-benar tak ingat hari ini hang pa nak datang rumah Ain. Lewat sikit boleh tak? Ain kat luaq ni.”

Never mind. But, hang kat mana ni? Boleh la join kami. Kami tak dak apa-apa acara pun hari ini.”

“Tapi, Ain dengan umi ni. Tak apalah. Tak yah la cancelkan plan hang pa nak datang rumah Ain hari ni. Tapi, lewat sikit la. Ain nak kena masak dulu. Kalau dak, bila lagi?”

“Ala... tak susahkan Ain ke?”

“Tak dak susah-susahnyalah. Okeylah, ye. Datang, tau.”

Belum pun sempat Norly menjawab, Nurain sudah pun mematikan telefon bimbitnya.

“Alamak, umi. Kawan Ain nak datang rumah.”

Puan Aina memeluk tubuh. Matanya tidak lepas memandang wajah anak gadisnya yang keresahan itu.

“Pulak! Yang Ain memandai-mandai suruh datang jugak tu, kenapa?”

“Sebab Ain dah janji dengan depa, Ain nak masak. Macam mana ni, umi? Umi kena tolong Ain.”

“Tolong? Tolong apa lagi?”

“Tolong masak.”

“Umi dah agak dah. Kalau macam tu, lain kalilah kita datang ke spa.”

I’m sorry, ya umi.”

“Umi tak kisah pun.”

Lebih kurang setengah jam kemudian, Nurain dan Puan Aina tiba di rumah mereka. Mujurlah barang-barang dapur sudah pun dibeli oleh Encik Ghazali sebelum dia keluar beriadah dengan anak lelakinya. Biasanya pada hujung minggu lelaki itu akan berjoging dengan anak lelakinya.

Awal-awal lagi Mak Leha menawarkan diri untuk memasak. Kedegilan Nurain untuk memasak hasil air tangannya sendiri menghalang niat ikhlas Mak Leha untuk membantu. Dia cuma membantu apa yang patut sahaja. Puan Aina menggeleng-geleng melihat telatah anak gadisnya itu. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka bertiga bergotong-royong di dapur.

Nurain terdengar deruman kereta berhenti di pekarangan rumah. Serentak dengan itu, membutang matanya memandang wajah Puan Aina.

Biaq betui!

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.