Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,847
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

BAB 4

“HEBAT hang ya. Apa ceghita”? Ada respon dari Mira?”

Mohd Najib ketawa. Rakan-rakannya pun turut ketawa.

“Hei, ini Najiblah. Lambat-laun dia akan tunduk di kakiku. Dia akan mohon ampun dan kemaafan. La ni dia tak kenai sapa aku. Aku tahu sekeras-keras hati pompuan, suatu hari nanti akan lembut jugak dan terima aku jugak sebagai suami dia.”

Begitu tinggi harapan Najib. Rakan-rakannya hanya mampu menelan air liur dan tersengih. Jauh di sudut hati terbit rasa bersalah pula mengikut rentak Mohd Najib itu. Berasa kasihan pula kepada Nurin Amira yang menjadi korban fitnah. Namun, sudah terlambat. Nurin Amira sudah sah menjadi isteri Mohd Najib.

“Apa-apa pun, buat sementara waktu ini aku akan bersabaq. Dia tak dak di rumah,” jawab Mohd Najib lagi sambil melepaskan keluhan berat. Dia ingat keadaan akan berubah. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Nurin Amira berubah angin menghilangkan diri seminggu lamanya.

“Dia pi ke mana? Dia tak beritau hang ka?” tanya Karim, kawan yang setia dari sehari ke sehari mengikuti perkembangan Mohd Najib.

Manalah Mohd Najib tahu apa yang Nurin Amira buat. Bercakap dengannya pun Nurin Amira buat endah tak endah sahaja. Kalau ikut rasa hati yang marah, sudah lama Nurin Amira itu ditempelengnya.

“Entahlah! Jangan dia tak ikut lelaki lain, sudahlah!” Acuh tak acuh sahaja jawapan Mohd Najib. Jawapannya bernada cemburu terhadap Nurin Amira.

‘Apa punya laki macam ni? Bini pi mana pun tak tau. Isy! Isy! Isy! Sadis! Sadis!’ Hati kecil Jali berbisik.

Ala, tahu pulak cemburu. Kerja pun hendak tak hendak aja. Macam mana nak bela anak orang? Macam manalah Mira tak lari! Nasib hanglah, Najib!

“Hang ni tak habis-habis cemburukan Mira tu. Macam tak tau Mira tu jenis pompuan yang macam mana,” kata Karim melepaskan rasa tidak puas hatinya.

“Dia tu dah jadi bini aku, kan? Aku ada hak nak cemburukan dia.”

Ala kalau tanpa bantuan kami, hang tak kahwin jugak dengan dia. Kasihan Mira kahwin dengan Najib ni. Bukan boleh diharap kawan aku seorang ini. Jali pula mengomel dalam hati.

Bukan mereka tidak tahu siapa Mohd Najib, salah seorang lelaki yang terlalu memuja gadis yang bernama Nurin Amira itu. Gadis yang lemah lembut, bersopan santun dan baik budi bahasanya. Sesiapa pun yang melihat, pasti jatuh hati. Namun, siapa sangka kini gadis idaman ramai itu jatuh ke tangan Mohd Najib yang dirasakan jauh panggang dari api. Kerja tidak pernah tetap. Kelulusan setakat SPM pangkat tiga, sedangkan Nurin Amira lulusan universiti.

Ah, Mira! Aku menyesal kerana menganiayaimu. Apalah dosamu? Najib tu bukan boleh diharap. Harap-harap hang tidak diapa-apakan oleh Najib. Hati Karim berdetik kesal.

*************

KARIM melamun panjang di serambi rumah buruk itu. Sudah lama rumah itu sepi tanpa kehadirannya dan teman-teman kampung yang lain untuk bermain sepak takraw, alat muzik, bola sepak mahupun badminton semenjak Mohd Najib diijabkabulkan. Bagai ada kuasa, mereka tidak bersemangat meneruskan aktiviti yang menjadi rutin itu.

‘Oh Tuhan! Sudah terlalu jauh aku mengikut telunjuk Najib. Apa nak jadi ni? Sudahlah dipecat, emak pulak sakit. Aku perlu cepat-cepat cari kerja. Kalau tidak, susahlah.’ Katanya sendirian. Buat seketika, dia menarik nafas panjang.

Sebelum ini sudah banyak kali dia menolak nasihat ibunya yang tidak mahu dia berkawan rapat dengan Mohd Najib. Alasannya berkawan dengan Mohd Najib membuat dia lalai dengan tanggungjawab kepada diri sendiri dan adik-adik. Kini, dia mulai sedar selama ini telah membuat hati ibunya terkilan.

“Hei, kawan. Jauh termenung? Apa ke hal? Cakap seorang diri lagi tuh!” sergah Lutfi dari pembaringannya.

“Aku ingat nak cari kerja di bandar. Rasa macam tak kena pulak terperap kat kampung ni.”

“Ke situ pulak. Jadi, hang nekad la nak tinggalkan kampung ni?”

“Aku dah dipecat. Entah di mana silap aku. Emak aku pulak sakit la ni. Cuaca pulak tak berapa baik. Selalu hujan. Bapak aku tak dapat nak menoreh. Kami nak makan apa?”

Lutfi menepuk bahu temannya itu.

“Aku paham. Nak buat macam mana? Dah nasib. Tapi, jangan pulak dilupakan kami di sini,” katanya.

“Aku nak ingatkan hang. Jangan beritau Najib aku pindah ke bandar. Nanti dia cari aku. Taulah Najib tu.”

Lutfi tersengih. Bukan Karim sahaja merungut tentang sikap Mohd Najib yang tidak menyenangkan itu. Apabila tersepit dan memerlukan wang, mulalah mencari kawan-kawan. Apabila sudah senang, liat benar membayar semua hutang kawan. Bukan niat mereka hendak berkira. Tetapi, Mohd Najib harus ingat mereka juga kerja makan gaji. Berapa senlah sangat kerja kilang jika dibandingkan dengan kerja-kerja di jabatan awam mahupun swasta yang menjanjikan pendapatan yang memuaskan. Mereka cuma lulusan SPM sahaja.

“Itulah. Dengan Najib tu jangan berlembut sangat. Aku dah pernah nasihatkan hang pa jangan diikut peel Najib tu. Bukan tak boleh rapat dengan dia. Boleh. Dia tu, aku rasa pusing sikit la,” kata Lutfi memberi isyarat tidak baik tentang Mohd Najib.

Karim ketawa. Melihat Karim ketawa, Lutfi pun turut tertawa lucu.

“Hang pun sependapat dengan aku?” soal Karim pula.

“Yelah. Nak berbini cantik. Tapi, habuk pun tarak.”

Mereka ketawa lagi memecah keheningan petang.

“Dah! Dah! Dengaq dek Najib tu, teruk kita. Kita main badminton, nak?”

Serentak dengan itu, Karim dan Lutfi melompat turun ke bawah tanpa menggunakan anak tangga yang sudah kelihatan lusuh.

Antara mereka sebenarnya ada rasa serba salah apabila salah seorang teman mereka memerlukan pertolongan, sekalipun menganiayai seorang gadis yang tidak berdosa. Tambahan pula mereka berkawan sejak kecil. Oleh sebab itulah ada masanya mereka tidak mengambil kisah jika ada perkara yang mengguris perasaan mereka ataupun orang tua mereka. Dalam kes Mohd Najib, mereka terpaksa demi sebuah persahabatan.

Namun, setelah apa yang berlaku, melibatkan maruah dan harga diri seorang gadis, menyesal pun tidak berguna lagi. Apa yang mampu dilakukan ialah mendoakan mudah-mudahan gadis itu dilindungi Tuhan. Dijauhi musibah yang dicipta oleh Mohd Najib.

**********

JAUH lamunan Mohd Najib mengenang penolakan Nurin Amira pada malam pertama pernikahan mereka.

“Aku benci hang. Aku tak nak tengok muka hang di sini. Aku benci! Keluaq!”

Jeritan Nurin Amira bergema pada malam itu. Mujurlah tetamu di luar tidak mendengar perbalahan mereka. Kecut juga perutnya melihat tingkah laku Nurin Amira yang tidak disangka-sangka itu. Belum pernah dia melihat Nurin Amira seganas itu.

“Yang sudah tu, sudahlah. Nak buat macam mana dah takdir kita bernikah. Dah jodoh kita,” kata Mohd Najib, memujuk lagi.

“Hei! Sekarang hang pandai cakap pasal jodoh sebab hang yang rancangkan semua ini, kan? Betui, kan?”

Mohd Najib terdiam menunduk memandang lantai beralaskan tikar mengkuang itu.

“Hang lakukan semua ini bukan kerana kasih sayang. Tapi, nafsu. Ya, kan? Apa faedah yang hang dapat? Hang tak akan dapat kebahagiaan walau sedikit pun.”

Meluncur laju kata-kata itu dari bibir Nurin Amira. Mohd Najib tetap membeku di tempatnya. Kali ini dia mengambil tempat duduk di birai katil biliknya. Sayu memandang wajah Nurin Amira yang basah dek air mata.

“Aku tak tau nak cakap apa lagi. Terpulanglah sama ada hang nak percaya atau tak. Lagipun, aku sayang kat hang,” kata Mohd Najib.

“Sudahhh! Aku tak nak dengaq apa-apa lagi. Hang jantan tak guna!!” jerit Nurin Amira lagi. Dia membiarkan lelehan air matanya membasahi pipinya yang halus mulus itu.

Nurin Amira memejam matanya rapat-rapat. Terhinggut-hinggut bahunya menahan sendu. Dia tidak kisah jika ada orang yang akan mendengar jeritannya pada malam itu. Biarlah seisi alam tahu bahawa dia tidak merelakan perkahwinannya itu.

Mohd Najib melihat Nurin Amira yang duduk sambil memeluk lutut itu. Dia memberanikan diri menghampiri gadis itu. Niat di hati hendak meredakan perasaan yang bercelaru menerjah benak gadis itu. Namun, Nurin Amira menepis lembut tangan Mohd Najib yang ingin menyentuh bahunya. Kelihatannya Nurin Amira tidak berdaya lagi.

“Awak mungkin berjaya memiliki tubuh badanku. Tapi, tak mungkin hati dan perasaanku. Tak mungkin untuk selamanya. Hang takkan dapat kebahagiaan itu daripadaku. Pegang kata-kataku ini. Aku tak reda!” jelas Nurin Amira. Suaranya mulai kendur. Kata-kata itu meninggalkan kesan di hati Mohd Najib. Dia tidak menyangka Nurin Amira akan berkata begitu. Dia beredar keluar dari bilik.

Ketika orang lain sibuk dibuai mimpi, Mohd Najib melangkah longlai keluar dari rumah dalam pekat malam menuju rumah kawan yang berdekatan dengan rumahnya.

Menjelang pagi, dia pulang ke rumah dan mendapati biliknya kosong. Pakaian Nurin Amira pun tiada. Sekali lagi dia menahan geram.

Hampir seminggu Nurin Amira menghilang. Seisi rumah tidak tahu ke mana dia pergi. Dalam diam, hati bapa Mohd Najib tertanya-tanya ke mana menghilang menantunya itu. Baharu sahaja berkahwin sudah menghilang? Apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa rumah tangga anak menantunya yang satu ini menghadapi ketegangan? Segala pertanyaan hanya terungkap di benaknya. Dia kesal, tidak menyiasat terlebih dahulu berita khalwat anaknya dengan Nurin Amira, anak sahabatnya sejak kecil. Dia menyangka mungkin Nurin Amira pulang ke rumah ibu bapanya. Namun, kepulangan Mohd Najib keseorangan pada suatu petang menghampakan semua orang.

Hendak tak hendak terpaksa Mohd Najib bersemuka dengan bapanya. Pak Mail meminta kepastian apasebenarnya yang berlaku. Namun, anak lelakinya itu membisu seribu bahasa. Sikap anaknya itu mengundang marah di hati tuanya.

“Eh awak ni. Nak bunuh anak sendiri ka? Apa lagi yang awak nak tau? Anak awak dah bernikah dengan pompuan tu. Entah apa digila-gilakan pompuan tu, saya pun tak tau,” celah Mak Senah setelah terdengar kekecohan di serambi rumah mereka. Dia langsung tidak merestui pernikahan anak bujangnya dengan anak Encik Zainal, peneroka FELDA di kampung itu. Suatu waktu dahulu lelaki itulah yang digilainya. Dia kecewa Asiah, anak bilal kampung menjadi pilihan hati lelaki itu.

“Awak ni tak habis-habis menangkan anak lelaki awak. Dah la mencoteng arang di muka kita. Kerja tak menentu. Pemalas. Itu pun awak tak kisah. Ha, tengoklah dah berapa hari ponteng kerja. Macam ni ka perangai anak awak? Nak bagi makan apa dekat anak orang? La ni tengoklah. Baru seminggu kahwin, budak tu dah menghilang,” bebel Pak Mail melepaskan geramnya. Dia tidak berpuas hati dan bertekad ingin berjumpa kawan-kawan anaknya memohon kepastian.

“Alah, ayahnya. Buat apa risau. Taulah dia jalan pulang. Entah-entah keluaq dengan jantan lain, mana kita tau,” luah hati Mak Senah melepaskan geram. Sakit sungguh hatinya.

“Eh! Awak cakap jangan sebarangan. Jaga sikit mulut tu,” kata Pak Mail memberi amaran.

“Heee, geram aku. Asyik nak menangkan pompuan tu aja. Anak sendiri bukannya nak dihiraukan! Itu salah, ini salah. Semuanya dia saja yang betul,” bebel Mak Senah, kemudian berlalu ke dapur. Kata-katanya kurang jelas di pendengaran Pak Mail.

“Nak ke mana tu? Saya belum habis cakap lagi.”

Mak Senah buat tidak endah sahaja kata-kata Pak Mail. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Anak dengan mak sama saja. Sama-sama suka buat perangai bukan-bukan,” kata Pak Mail, melepaskan geramnya. Dia bergegas keluar menuju ke beranda rumah tanpa menghiraukan Mohd Najib yang tertunduk memandang lantai.

Kalau berperang mulut dengan ayahnya, Mohd Najib memang kecut perut. Silap hari bulan, berbekas lima jari di pipinya nanti. Namun, hatinya berbunga riang. Ibunya menyebelahinya.

Mohd Najib menarik nafas lega melihat kedua-dua ibu bapanya berlalu dari serambi rumah. Tinggal dia keseorangan di situ mencongak masa depan dengan gadis pujaan hati. Tersenyum-senyum dia seorang diri. Memikirkan diri berjaya menjerat seorang gadis yang baik seperti Nurin Amira.

“Aku akan tengok sejauh mana hang nak bertahan. Selama tu aku akan cuba bersabaq. Melepaskan hang tidak sekali-kali. Tengoklah nanti. Hang belum kenai siapa aku, Mira.” Mohd Najib terus-terusan memasang angan-angannya.

**************

HABIS sahaja waktu kerjanya, Nurin Amira tidak terus pulang ke rumah. Mujurlah dia membelek diari. Dia hampir terlupa temu janjinya dengan seseorang yang penting pada petang itu. Dia bergegas memandu menuju ke destinasi yang terletak tidak jauh dari pejabatnya.

Hampir jam 10 malam baharu dia sampai di rumah Mohd Najib. Dia tidak tahu ke mana lagi harus dituju selain rumah Mohd Najib. Pulang ke rumahnya sendiri tidak mungkin sama sekali. Menumpang rumah saudara terdekat juga tidak mungkin. Terlintas juga di fikiran untuk menumpang di rumah kawan baiknya, Safiah. Apabila memikirkan bakal menyusahkan Safiah sekeluarga, dia tidak jadi ke rumah gadis itu. Meskipun sedar apa juga kemungkinan akan berlaku jika pulang ke rumah Mohd Najib, dia berharap Mohd Najib sudah lena dibuai mimpi.

Namun, nasib tidak menyebelahinya. Ahli keluarga mentuanya menunggu kepulangannya. Walaupun berasa kurang selesa tinggal di rumah itu, Nurin Amira masih mengekalkan sikap kesopanannya. Menghormati setiap orang yang dikenali. Sejak kecil dia sudah diajar beradab sopan dengan orang lain.

“Mira ke mana, nak?” tanya ayah mentuanya sebaik sahaja Nurin Amira mencium tangan kedua-dua ibu bapa mentuanya. Dari ekor matanya, dia sedar ibu mentuanya tidak menyukai kehadirannya di rumah itu. Namun, apakan dayanya. Bukan kehendaknya dia berada di situ.

“Sebenarnya, saya ada kerja di Langkawi. Tak sempat nak beritau sebab last minute saya buat persiapan. Itu pun nasib baik saya ingat. Kalau tak, tak taulah,” ujar Nurin Amira. Dia sedar dia telah berbohong. Namun, itu sahajalah jawapan yang terbaik.

“Entah betul entah tidak alasannya tu,” sampuk ibu mentuanya pula.

“Er… ayah, mak. Saya minta maaf. Kerana saya, semua orang risau.”

“Tak apalah. Ayah maafkan. Mira dah makan?” ujar ayah mentuanya.

Nurin Amira bersyukur ayah mentuanya tidak seperti yang disangkakannya. Seorang lelaki yang sederhana dalam segala hal, berhemah dan boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik. Nurin Amira membuat andaian sendiri terhadap ayah mentuanya.

“Sudah ayah. Tadi, dekat pejabat. Er… ayah, mak. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya masuk ke dalam dulu.” Melihat sahaja ayah mentuanya mengangguk, dia terus beredar menuju ke dalam bilik. Dia tidak menghiraukan telatah ibu mentuanya yang langsung tidak sudi memandang wajahnya.

Mohd Najib pula sedar akan kepulangan gadis itu. Dia menahan sabar menunggunya di atas katil sambil membaca majalah. Dia ingin berlembut dengan Nurin Amira. Mungkin dengan cara itu boleh melembutkan hati gadis itu. Dia mempamerkan senyuman kepada Nurin Amira. Namun, senyuman itu bagai di angin lalu.

Mohd Najib mula menyusun kata-kata berbaur rindu. Harapannya Nurin Amira akan menjawab setiap persoalan tentang kehilangannya. Tetapi, sebaliknya pula. Dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

“Awak jangan cuba tunjuk baik dengan saya. Saya tahu itu cuma lakonan untuk ambik hati saya, bukan?” kata Nurin Amira tegas masih dengan pendiriannya.

“Awak tak habis-habis berprasangka buruk terhadap saya. Dahlah keluaq rumah tak bagitau saya. Menurut hukum, isteri yang tidak patuh pada kata-kata suami, berdosa,” ujar Mohd Najib sambil menelan air liurnya.

“Hakikatnya, status saya cuma di atas kertas saja. Bukan dari hati saya.”

“Cubalah anggap pernikahan kita ni dah ditentukan oleh Tuhan. Dah jodoh kita,” kata Mohd Najib. Dia berdoa agar hati Nurin Amira termakan pujukannya. Dia tidak mahu terjadi perbalahan. Kalau boleh, dia mahu berdamai dengan Nurin Amira. Dia bimbang orang tuanya akan masuk campur pula.

“Cakap memang mudah. Tapi… nak lalui hidup ni tak semudah disangkakan. Saya tak pernah minta semua ini. Tapi, saya yakin hubungan yang tak direstui orang tua saya ini takkan ke mana perginya.” Nurin Amira terpilu mendengar kata-katanya sendiri.

Daripada terpenjara dalam hidup yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan, dia rela dilepaskan walaupun statusnya sebagai janda muda. Dia rela menyandang gelaran itu.

“Kenapa susah sangat awak nak terima saya? Kita sama-sama mencuba. Masih belum terlewat lagi memperbaiki keadaan.” Beria-ia Mohd Najib memberi sokongan. Nurin Amira memandangnya tidak berkelip.

Impossible. Saya tak pernah merelakan diri saya bernikah dengan awak. Bernikah tanpa restu orang tua saya. Saya telah menjadi mangsa fitnah awak. Dan saya akan ingat sampai ke hujung nyawa saya. Tak kisahlah kalau sesiapa pun nak menganggap saya ni isteri derhaka ka, apa-apa ka. Yang penting, saya sedaq saya tak bersalah.” Panjang lebar Nurin Amira meluahkan rasa hatinya.

“Tak bersalah kata awak kalau sudah derhaka pada saya!” Kali ini berubah nada suara Mohd Najib. Tercabar keegoannya apabila Nurin Amira meninggikan suaranya.

“Awak yang merancang semua ini, kan? Jadi, saya rasa tak bersalah dalam hal ini. Awak berani menanggung risiko dalam soal hidup mati saya. Jadi, teruskanlah lakonan awak tu. Sudahlah seminggu kebelakangan ni hidup saya kacau-bilau disebabkan awak,” ujar Nurin Amira lagi melepaskan amarahnya. Dia berlalu keluar untuk ke bilik air.

Di dalam bilik air, Nurin Amira menangis semahu-mahunya. Sudah cukup terseksa jiwanya hidup dalam kepura-puraan. Pilu hatinya terpaksa berkongsi bilik dengan lelaki yang tidak pernah dicintainya itu.

“Oh Tuhanku. Dugaan apakah ini? Kenapalah nasibku jadi begini? Aku dah tak sanggup lagi. Ya Allah. Masukkanlah aku dalam golongan insan yang bertakwa. Ampunkanlah aku, ya Allah. Ampunkanlah aku!”

Nurin Amira menyapu sisa-sisa air matanya. Lama benar dia duduk berteleku di dalam bilik air. Selesai sahaja membersihkan diri, dia kembali masuk ke dalam bilik.

Suasana sunyi sepi. Seisi rumah sudah lama melelapkan mata. Nurin Amira menarik nafas lega kerana Mohd Najib tiada di dalam bilik. Namun, dia tidak tahu sampai bila harus bertahan duduk di rumah itu. Biarpun dalam terpaksa, dia merelakan. Sesekali dia bimbang juga Mohd Najib bertindak di luar dugaan.

Aku perlu berbuat sesuatu. Aku perlu jadi insan yang tabah, bisik hati kecilnya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.